28 September 2012

Langit Petang(1982): Adaptasi Menarik


Dalam filem ini, Azean Irdawaty membuktikan bahawa jika Douglas Sirk atau Robert Aldrich di Malaysia pada masa itu, mereka tentu akan ambil bintang felem ini dalam filem-filem mereka. Filem ini sebuah melodrama yang mempunyai unsur "perjuangan tanah" yang diambil daripada (dalam kredit filem, digunakan istilah "dipadankan") novel Sasterawan Negara A. Samad Said, yang mana diketahui legenda, Pak Samad amat membenci (karya ini), sampai Syed Kecik, dan mana-mana pembikin filem Melayu zaman tu lepas tu memang tak koser nak sentuh bahan sastera lepas tu kerana penulis kita agak diva dalam hal-hal mengadaptasi ni.

Tapi tu legenda urban.

Yang lebih penting, legenda filem ini "fishy" sebab aku menyedari, novel Faisal Tehrani (yang memang patut diadaptasi), Perempuan Politikus Melayu, mempunyai garapan plot yang "seakan-akan" sama dengan plot filem ini (wartawan bercinta dengan pelacur/perempuan kaberet, penindasan orang kampung kerana tanah yang ingin diambil oleh golongan kaya). Kejap, plot filem ini pun mendekati kebanyakan tema "tanah digadai" ala 80-an yang aku sedar, juga dalam subplot Tsu Feh Sofiah.

Tanah was the in thing in those days. These days, we just sell lands. Tak caya, tanya Sri Iskandar dan Kota Sri Damansara.

Secara lalu, aku tak pernah baca novel "padanan" filem ni (mana nak cari, mungkin Wira Bukit boleh perkenalkan kembali), tetapi secara cerita, penceritaan Shahrom Mohd Dom (dan beberapa lagi penulis skrip) aku kira "decent" sebagai sebuah filem melodrama komersial yang berisi. Malah, jauh lebih menarik daripada melodrama Esok Jins Samsuddin. Tanah yang "diperkatakan" sebenarnya menampilkan beberapa metafora yang menarik, khusus dalam klimaks filem ini (yang masih relevan dan berguna) berkenaan bagaimana kita (orang Melayu khusus Melayu) mendapatkan kemerdekaan negara ini lalu mensia-siakannya dengan dengki dan menindas orang bawahan. Semangat sosialis ini menyamai semangat Mother India tanpa layar epik atau parang sabit.

Aku anggap, drama ini cukup untuk fokus Pak Arip (lakonan berkuasa Mahmud June, beliau patut menang Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem ini) dan perjuangannya, tetapi unsur melodrama-cinta (tarik penonton umum, strategi ini masih digunakan sampai sekarang) Dharma Harun-Azean Irdawaty meleleh-leleh dimasukkan sebagai perencah utama penarik penonton muda mudi (yang tak tahu baca buku). Bagi aku, cara Shahrom menyusunnya, SEIMBANG, walaupun banyak babak-babak "tacky", khusus dalam membuat kita percaya dengan "percintaan" ini (plot paling dipersoal: jika kau dirogol, kenapa kau jadi perempuan sundal?). Tetapi semua ini kita telan kerana ketulusan dan kehebatan lakonan Dharma-Azean yang membuat kita "mempercayainya", samalah macam lakonan rogol-cinta-paksa-jatuh cinta Aaron-Maya yang "tak masuk akal" dalam Ombak Rindu tetapi kita mempercayainya.

"Langit petang" layar ini juga diwarnai dengan lagu longlai hebat Ahmad Nawab, Raja Balada 70-an yang sememangnya menjadi ikonik terhadap mana-mana filem melodrama. Hanya aku tersedar, banyak runut bunyi filem sebelum digunapakai sekali lagi, aku syak, daripada beberapa filem Hollywood. Aku juga terjumpa runut bunyi Endless Love. Inilah antara sebab filem-filem kita dahulu kala (70-80-an) tidak dipedulikan golongan antarabangsa.

Tulang belakang sebenar filem ini adalah Johan Ibrahim dan Johari Ibrahim (adik-beradik), yang merupakan pengarah sinematografi lalu Johari penyunting filem ini. Terbaik, adalah babak awal 8 minit filem ini yang mana jukstaposisi kenduri kahwin, disilangkan dengan babak "rosak bendang" yang dilakukan oleh konco-konco "Tuan Hashim" (Oh ya, kalau aku tak silap, seorang daripada anak buah Hashim tu merupakan Man Kadir yang amat terkenal dalam filem-filem Mamat Khalid sekarang). Babak itu sendiri sungguh "sensual" walaupun "raw" apabila disilangkan bagaimana tarian Melayu lelaki-perempuan dijukstaposisikan dengan kocokan dan dengusan manusia "jahat" memecah bendang (yang seakan dilanda nafsu serakah, "memperkosa" tanah tersebut!) Semuanya ditangkap pada waktu malam! Kemudian ada beberapa gambaran yang mempunyai strok "breaktrough" untuk perfileman kita, hanya kita mungkin tidak menyedarinya, berlaku sepertimana babak Dharma di jeti dikejari Maimon, yang mana segala ini berlaku dalam tangkapan dalam rumah yang gelap, dan hanya cahaya di luar yang menyinsing, membuktikan pengarah sinematografi ini amat memahami ikatan komposisi ceritanya dengan mis-en-scene yang mahu diangkat (hal ini ada memperkatakan tentang jiwa sunyi, terasing dan melankolik Dharma, walaupun mempunyai petanda harapan cinta daripada Maimon).

Babak-babak nostalgik, seperti melihat Pejabat Utusan Melayu pada zaman itu menarik, serta beberapa disko-disko (orang Melayu tak boleh lari dari disko ya?) lama di Kuala Lumpur, dan hebatnya GRO zaman dahulu pakai kebaya.

Aku memaafkan beberapa kejanggalan dalam filem ini kerana kesatuan cerita filem ini yang baik, lebih-lebih lagi dalam menampilkan rahsia dan perjuangan "tanah" yang mencukupi, walaupun perahsiaan itu dibuat dengan corny dan terlalu melankolik (mesin membuat Azean menangis) dengan beberapa babak kesengajaan yang terlalu (Derus ketemu Dharma dan Azean dalam babak yang sama pada masa yang sama). Paling menarik adalah cara Shahrom mengakhirkan filem ini dengan larian kaki ayam Azean dari "kota" ke "kampung" untuk ke perkuburan seakan "one take". Ini penting, kerana kisah ini melibatkan "tanah" dan Azean diibaratkan sudah lama "tidak menjejak kaki ke tanah" yang bermakna "meninggalkan realiti dan asal hidup".

Azean disengajakan memakai tumit tinggi (simbol material, wanita moden dan terkini, dan hidangan Barat kepada Timur, ini bersilang dengan pemakaian baju kebayanya yang ketimuran) lalu kerana tidak cukup laju (untuk balik), perlu membuka kasutnya lalu berkaki ayam. Lantas kaki ayam itulah, menjejak "bumi" kembali (mengenal asal-usul", suatu hal yang jelas jika dibandingkan dengan klimaks sewaktu Azean mendepani Hashim. Babak malam itu, Azean kembali "membawa diri" meninggalkan kampung "berserta" tumit tinggi (dia masih tidak mengenal kebenaran), dan dengan sekembalinya dengan kaki ayam, pada waktu siang (dibandingkan dengan babak sebelum) membawa implikasi peluang kedua, serta harapan baharu buat orang seperti Azean, serta generasinya. Optimis yang indah tanpa perlu mengada-ngada.

Beginilah orang dulu buat filem. Suatu filem menarik yang patut diberi peluang kedua dan optimis baharu.

MENONTON DI DVD tulen "Dragon" yang hanya boleh dibeli di beberapa kedai DVD, khususnya kedai Classic.

6 comments:

zulazahari said...

Kalau tak silap aku lah, rasanya filem ini cuma sekali jer pernah ditayangkan di TV, rasanya sekitar tahun 90'an dulu, lepas tu tak pernah ditayangkan lagi, mungkin ada bantahan drpd Pak Samad kot.

zulazahari said...

Kalau tak silap aku lah, rasanya filem ni cuma sekali pernah ditayangkan di TV, sekitar 90'an dulu, lepas tu tak pernah ditayangkan lagi, mungkin ada bantahan dari Pak Samad kot?

indraputra said...

Fadz,
Memang saya dah lama tgk filem ni dan terkesan dengannya.
Bila baca segala yg Fadz tulis, terus babak2 dalam filem tu kembali depan mata.
Paling setuju ialah, lakonan Azean Irdawaty...sangat sangat hebat.
Cuma silau dan sakit mata bila banyak guna warna senja...
Sbb utama saya beli dvd nya dulu sbb suka sgt dgn karya2 Pak Samad.
Termasuk novel langit petang. Fadz tak tgk filem Untuk 3 Hari...?
Best! Pada saya, Afdlin telah melakukan adaptasi yang agak bagus....

fadz said...

indra, insya-Allah saya cuba tonton selepas ulas di Gala Tv hari ni.

Saya dah dua kali beli tiket dan duka kali saya terlepas kerana kerja/sibuk.

Azean mmg berkuasa dlm filem ni, sayang, dia amat sesuai membawa watak Salina Pak Samad. Filem ini membuktikannya.

Unknown said...

PAK SAMAD SUKA KACAU ADAPTASI KARYA BELIAU! NAK JADI SASTERAWANKAH..? ATAU DIRECTOR..? JADI PENGERUSI DEMONSTRAN SAJA SUDAHLAH..!

Unknown said...

Maaf, ada sedikit pembetulan di sini.

"Tulang belakang sebenar filem ini adalah Johari Ibrahim, yang merupakan pengarah sinematografi merangkap penyunting filem ini."

Johan Ibrahim adalah pengarah sinematografi manakala Johari Ibrahim merupakan penyunting filem tersebut. Mereka adalah adik-beradik.

Terima kasih.