02 January 2014

Ilo Ilo(2013): Perhubungan Yang Indah

"Kau tak perlu benda tu (tasbih) kat dalam neraka ni." - Seorang Orang Gaji Pinoy kepada Terry (Angeli Bayani)

Nampaknya selepas Eric Khoo, Singapura bertuah kerana mendapat seorang pengarah muda (ini filem sulungnya) yang amat berbakat dan membikin filem segaya beliau atau mungkin lebih baik daripada itu. Memang filem ini peribadi, namun lebih baik daripada itu, ia dapat juga menyampaikan maksud-maksud pathos yang sampai dan dirasai oleh orang kita di Malaysia.

Filem ini jelas menyampaikan suatu maksud masam manis kehidupan era 90-an sewaktu krisis ekonomi melanda Asia Tenggara, dan khususnya Singapura, dan bagaimana kadang-kadang, suara atau mata orang luar (di sini, orang gaji yang dipanggil Terry, atau Theresa lakonan yang sangat meyakinkan oleh Angeli Bayani) lebih memahami neraka orang lain (di bawa oleh keluarga Cina Chen Tianwen, Yeo Yann Yann [suatu lakonan yang amat meyakinkan dan utuh] dan anaknya, Koh Jia Ler). Namun filem ini lebih daripada itu, khusus daripada perhubungan erat yang indah tercipta antara si orang gaji dengan anak majikannya, Jiale (lakonan amatur Koh Jia Ler amat memberangsangkan dan dirasai). Aku seperti menonton persahabatan sang asing dengan budak yang sama terasa dalam E.T., malah yang ini lebih baik dari segi suara manusiawinya.

Hal ini diperkuatkan lagi dengan suatu permulaan yang amat mencuit, dengan penggunaan kamera yang membolak balik kepada watak-watak, mengikuti mereka dan "menceritakan" cerita mereka, dan kadang-kadang memberikan suatu suara teruja yang mengalahkan filem aksi (memang gaya ini disengajakan untuk menaikkan tahap teruja seakan dalam filem ngeri atau kejar-mengejar). Di sini suatu hal yang menarik disampaikan dalam bentuk dunia yang cukup tinggi konsumerisme dan sikap mementingkan material. Sikap kamera yang sekilas dan sekelip mata ini benar-benar menangkap sikap laju tanpa "jiwa" (kadang-kadang terasa dingin) yang dibawa oleh manusia-manusia yang hidup (atau mati tanpa mereka sedar) tentang keadaan sekeliling mereka.

Sebenarnya, hanya Angeli dan Jia Ler yang menyedari terdapat pengisian jiwa dan perasaan dalam dunia serba pantas yang melanda mereka, hal-hal yang penting untuk jiwa dan penjiwaan, menolak material hidup (dan kekeliruan orang luar melihat hal inilah yang membawa mereka kepada tahap hukuman). Mereka mahu hidup dan mengisi hidup mereka dengan kehidupan. Jia Ler terutamanya, dalam kesamaran (sengaja babak awal pembuka dibuat dengan samar, agar kita juga turut samar melihatnya) kita menyedari mengapa dia bersikap nakal demikian, dan hal ini hanya dapat dirasai oleh Angeli, bukan ibu ataupun ayahnya. Jia Ler melihat melampaui maksud duit dan status, dia melihat "hati", yang kita sedar hanya dua orang sahaja yang benar-benar dia sayangi, mendiang atuknya dan si orang gaji (pertalian ini jelas apabila dia menyindir ibunya tentang betapa atuknya bukan seorang kedekut di kubur atuknya).

Naratif ini jelas menekan Singapura yang material, progresif, dan mementingkan proses pakai-buang konsumerisme. 

Maka ibu dan bapa Jia Ler sebenarnya hanyalah mangsa keadaan berjuta manusia Singapura seperti mereka dalam cengkaman kerajaan untuk "progresif dan produktif Singapura", malah kadang-kadang sikap moden dan dinamis Singapura lebih terkutuk dari segi kolektif dan kesatuan maksud daripada negara komunis yang jatuh awal dekad itu, ironinya. Dengan jelas juga, Anthony menyampaikan kritikan sendiri terhadap kehilangan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan Singapura) dan kebaratan anak mudanya (yang balik dari luar negara), mengikis lagi jati diri dan imejan yang dikenali wujud dalam Singapura. Ibu bapanya tiada masa untuk menyedari hal itu (rujuk sahaja bahagian yang sangat ironis tentang ayam KFC dan ayam peliharaan Jia Ler), yang hanya dirasai dalam diam (tanpa dapat berbuat apa-apa) oleh Jia Ler dan Angeli.

Angeli sendiri, terperangkap dalam sikap pengejaran material ini (dengan keadaan yang sudah tentu lebih terdesak) apabila mula "menyalin" secara superfisial sebagai ibu majikan (Yeo Yann Yann) yang bermula dengan gincu bibir dan kemudian baju majikannya sendiri. Ruang Singapura hanyalah periuk rezeki yang memberi mereka peluang mencari sesuap nasi, tidak pernah untuk memahami dan mendampingi anak-anaknya yang sakit. Si anak seperti Jia Ler belajar untuk mematangkan diri dan membesar sendiri tanpa kedua-dua pertolongan ibunya (ibu kandungnya serta "ibu negara"nya sendiri, yakni diwakili oleh sekolah dalam filem ini, dengan kritikan sinis sekali lagi, membobrokkan sistem persekolahannya yang orang Malaysia sekarang terkinja-kinja nak ikut). Inilah perangkap yang terus dibiarkan hidup, seperti dengan ironinya, anak ayam terkurung yang dibayangkan dalam filem ini (mereka membesar dan mati untuk dimakan, atau mati untuk dijadikan persembahan, lalu yang tinggal itulah si Jia Ler).

Filem naturalis ini indah dan antara filem Singapura yang terbaik, dibaikkan lagi dengan kekuatan sinematografinya oleh Benoit Soler yang memahami sikap realis gerakan kamera yang perlu dibawa, sambil membawa dinamis dari segi gerakan aksi dan perubahan sudut pandang. Suara tanpa runut bunyi yang cukup dengan bunyian kota cukup menggegarkan dan mencapai keindahan. Penceritaan juga terbaik dan cukup berselesa dengan ramuan komedi dan dramanya, diperkuatkan oleh tiga watak yang menggerakkan setiap cerita mereka dengan unik. Suatu babak yang jelas menyindir sekali lagi (juga penyepak buat kita Malaysia yang tidak ada MALU dengan asyik memperlekeh si pendatang sebagai "perosak budaya" khusus mereka yang berkhidmat untuk negara kita dan lepak di Kota Raya) apabila si ayah dan si anak menolak kereta yang rosak yang mana si orang gaji Pinoy yang memandu. Jelas! Mereka yang datang dari luar inilah "penggerak" negara, kalau tidak pun, membantu menggerak/memandu negara Singapura/Malaysia yang asyik "semput" tak sampai-sampai (ke destinasi). Ada sesuatu yang anak-anak Singapura sudah mula sedar kepincangan yang dibuat oleh bapa-bapa negara mereka. Kita?


Klasifikasi Kolumpo: P13, Terdapat babak keganasan terhadap budak bawah umur yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Pavilion.