07 May 2022

Gangubai Kathiawadi (2022) Bagaimana Membentuk Seorang Dewi



Filem arahan Shanjay Leela Bhansali. Lakon layar tulisan Bhansali dan Utkarshini Vashishta.

Dalam dunia sinema, tidak ada obsesi (sehingga mendekati sebuah agama yang tersendiri, jika bukan budaya) yang paling pekat akan penampilan langsung penyembahan bintang filem jika bukan sinema India, khususnya yang arus perdana. Bintang filem (dipanggil 'superstars', kadangkala 'dewa/dewi'@'god/goddess') diangkat-angkat sehingga ada yang mendekati, jika tidak "menyerupai" tuhan. Oleh sebab itu, selain dipuja, bintang filem Bollywood/Kollywood (dan lain-lain wood di India) yang sehingga dianggap "maksum", malah disokong dalam dunia aktivisme dan politik kerana merasakan bintang-bintang filem tersebut "wakil sebenar" kebanyakan rakyat, malah kadangkala mengalahkan menteri. Sudah banyak selebriti filem India yang berjaya dalam aktivisme dan pengalaman sahsiahnya kerana penghormatan ini, malah memang dengan ini dijadikan wahana untuk menyampaikan agenda kemasyarakatan (selalunya) mereka kepada massa, dan selalunya hal ini berjaya.

Aku mungkin kurang nampak hal ini dalam filem-filem Hollywood (aku mungkin salah, khususnya dalam ide filem adiwira sekarang) dan pernah menemui pembinaan "dewi" dalam sebuah filem yang dikutuk ramai era itu, Showgirls (1995). Tapi jika filem India, sangat belambak. Khususnya, mereka akan (rujuk Manschot dan De Vos, Behind the Scenes of Hindi Cinema, 2005) menampilkaitkan sama ada teraju watak utama bintang filem tersebut dengan citra/jalan cerita/riwayat dewa/dewi Hindu, ataupun menjelmakannya sebagai citra/riwayat perwira/tokoh sastera agungnya, khususnya dalam Ramayana (khususnnya Rama-Sita-Ravana, rujuk Sangam) ataupun Mahabharata.

Aku rasa, dengan populariti dan pujian filem-filem Kollywood saban tahun, yang selalu mengangkat/memperkasa watak-watak marhaen/orang tertindas menjadi larger than life (mungkin aku salah, kerana aku temui juga Parallel Cinema India yang naratifnya juga cukup inklusif), Bollywood turut mengikutinya. Kita dapat lihat hal ini dengan deretan filem Akshay Kumar yang tampil sebagai marhaen kampungan yang kemudian muncul di pentas nasional/antarabangsa, apatah lagi Shah Rukh Khan dan Aamir Khan dengan agenda kemasyarakatan-humanisme mereka.

Bagi aku, pembinaan watak kecil mengubah sejarah kontemporari India ini paling efektif dizahirkan oleh Shanjay Leela Bhansali, dan dalam filem yang diperkatakan ini, melalui aura dan lakonan Alia Bhatt sebagai pelacur kemudian pemimpin pelacur yang tertindas di sebuah kawasan pelacuran di Mumbai, Gangubai Kathiawadi, suatu contoh yang paling jelas terhadap percubaan ini.

Filem ini diadaptasi secara longgar daripada kisah sebenar, daripada tulisan S. Hussain Zaidi, Mafia Queens of Mumbai, seorang gadis yang ingin menjadi bintang filem dijual oleh teman lelakinya (Varun Kapoor) kepada seorang ibu ayam (Seema Pahwa) menjadi pelacur, yang kemudiannya, hidupnya sendiri bertransformasi bagaikan "di layar filem". Ada kod-kod yang jelas di sini. Seorang wanita yang ingin menjadi bintang filem akhirnya menjadi bintang. Seorang anak yang biasa-biasa dan punya impian, akhirnya diangkat-dipuja menjadi "dewi". 

Bhansali yang mula bermain dengan "period piece" pada filem-filem mutakhirnya, khususnya selepas Devdas, merupakan antara pengarah terpengaruh di India yang membina filem yang dianggap "cantik" dipandang, malah terlihat seperti sebuah hamparan seni (jejaknya ini dituruti oleh Wes Anderson dari segi estetik seni Barat). Estetik Bhansali adalah dalam penampakan ikon dalam seni India. Selain kecantikan yang dilebih-lebihkan, Bhansali berkali-kali mengguna pakai mis-en-scene simetri dwisisi (bilateral symmetry). Dalam bahasa seni yang sarwa, penjelmaan persona simetri ini menguatkan rasa kestabilan, keseimbangan, harmoni, utuh, dan sempurna. Ia seperti cermin yang cukup membiaskan objeknya pada susunan yang sangat sempurna. Dalam kaca mata Hindu, citra simetri dwisisi diperkasakan dengan keunggulan ikon, atau penampakan ikon yang unggul, khususnya dalam penampilan Tuhan-tuhan Hindu. Kemunculan mereka mesti simetri dan cukup serba-serbi, menampilkan kekuatan imejnya, dipandang agung, dipuja-puja. Paparan imej ini juga merupakan representasi paling "romantik" terhadap imej di skrin/layar, dan ini merupakan diskusi yang menarik (kerana isunya sangat serius, Bhansali telah meromantikkan isu yang serius, dan hal ini bukan pertama kali dilakukannya; rujuk Padmavaat yang mengagungkan korban diri sang isteri dengan begitu "indah" dalam adegan ganasnya).

Ya, citra Gangubai akan mendapatkan imej ikon ini (malah, latar rumah pelacurnya turut menerima penghormatan ini) namun lihat pada imej awal, khusus pada "abang long/abang angkat" yang membantunya, Rahim Lala (lakonan berkesan Ajay Devgn) dengan penampilan sangat simetrikal dwisisi, dengan latar masjid/istana(?) di belakangnya. Dia dipandang "seperti Tuhan" yang inilah, diperturun kepada Gangubai nanti dalam pembinaan citra simetrinya yang tersendiri.

Posisi Gangubai sendiri disusun dengan begitu berkesan oleh Bhansali. Selalunya di kanan atau di kiri skrin, tidak pernah di tengah. Dalam proses itu pula, Gangubai beberapa kali berkelubung (menutup diri), pada poin-poin babak transisi tertentu, awalnya, sewaktu mula dikurung di rumah pelacur (babak kesedaran realiti), kemudian, sewaktu dikerat oleh psiko (babak mencari harga diri/maruah diri), dan akhirnya, sewaktu diserbu polis atas perintah seru politiknya (babak mencari kekuasaan/emansipasi hak). Babak kelubung ini tidak dibuat dengan sengaja, kerana Bhansali sedar bahawa wanita/pelakon wanita selalu dijadikan objek seks untuk dipandang (female gaze). Kerja "terpaksa" Gangubai itu sendiri untuk "dipertonton", memuaskan nafsu mereka yang menonton. Kadangkala Gangubai memberikan reaksi fizikal/lisan pada moral buruk ini. Menariknya, sedikit demi sedikit, objek seks ini bertukar sisi. Kita tidak lagi memandang "dengan nafsu" (Bhansali memberikan kita babak "cinta-tragis" sangat berkesan antara Gangubai dengan kekasihnya Afsaan di dalam kereta, sensual, erotis, romantik, tetapi penuh pilu dan tragik kerana peranan yang dipegang oleh Gangubai tidak akan dapat memiliki Afsaan, walau sejujur mana pinta teruna itu) tetapi "dengan hormat" terhadap imej Gangubai. Hal ini khusus pada dua babak, babak ucapan hak asasi, dan babak Gangubai menemui Perdana Menteri Nehru. Posisi Gangubai juga mula berubah. Gangubai berada di tengah-tengah. Dikelilingi. Dipuja. Paling penting: didengari. Yang menjadi objek berubah menjadi penyampai subjek (hak asasi pelacur/wanita tertindas), dan suaranya "didengar", walaupun prosesnya (jalan cerita) dilakukan dengan "simplistik" dan "romantik" sekali. 

Kekuatan mainan ikon imej Bhansali tidak akan berjaya tanpa lakonan berkesan Alia Bhatt, lakonannya yang paling matang setakat ini, dibantu oleh para pelakon pembantu yang turut memberikan kekuatan drama, khususnya Ajay Devgn, Vijay Raaz, Seema Pahwa, dan Shantanu Maheshwari.

Dengan Gangubai Kathiawadi, Alia Bhatt berjaya menjadi dewi baharu sinema India abad ke-21.