26 May 2010

Ulasan "Kick-Ass" Aku dalam Dewan Masyarakat Jun 2010




Yeah, ulasan Kick-Ass aku masuk dalam majalah bulan Jun 2010.

Hehehe, satu perkara yang amat menarik berlaku. "Ass" masuk dalam Dewan Masyarakat, muhahahahah... Aku akan mencuba lagi selepas ini jika ada lagi perkataan tabu seperti %^&* dan @#$% boleh menjenguk majalah berprestij ini.. muehehe (ketawa jahat)

Ini sedikit bahan yang tak dimasukkan dalam ulasan di majalah ini:

Riwayat Kisah Balas Dendam dalam Filem Hollywood
Kebanyakan filem “balas dendam” berbentuk vigilante Hollywood wujud semasa Amerika kalah dalam peperangan, khususnya Perang Vietnam yang berakhir pada tahun 1975. Sebenarnya, filem sebegini dibikin sebagai melempiaskan perasaan tidak puas hati rakyat Amerika terhadap kekalahan Amerika di mata pihak lawan atau kepincangan keputusan Presiden Amerika semasa peperangan berlaku. Filem Hollywood pertama yang dapat dirujuk mempunyai adegan vigilante ialah The Birth of a Nation(1915) arahan D.W. Griffith. Filem ini dikecam oleh para liberal kerana mendewakan alasan pembunuhan rasis Klu Klux Klan.
Filem Death Wish(1974) ditayangkan sewaktu Presiden Richard Nixon keluar dari Rumah Putih. Filem lakonan Charles Brosnan itu memaparkan semangat membalas dendam dengan melanggar undang-undang. Filem ini mendapat sambutan penonton Amerika. Secara umum, wujud sentimen masyarakat Amerika pada waktu itu yang memerlukan “wira rakyat” yang mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah jenayah di Amerika di tangan mereka sendiri. “Suara rakyat” ini berkembang kepada semangat mempertahankan hak feminisme dalam I Spit On Your Grave(1978), serta beberapa filem beracuan sama seperti The Hills Have Eyes(1977), Forced Vengence(1982), dan Vigilante(1983). “Suara rakyat” ini kemudiannya diterjemahkan secara politik di dalam beberapa filem vigilante yang “malu terhadap kekalahan Amerika” seperti First Blood(1982) yang amat dikenali sebagai Rambo lakonan Stylvester Stallone dan Missing In Action(1984) lakonan Chuck Norris.

Di bawah ini, tertera beberapa filem vigilante Hollywood yang dibikin selepas Tragedi 11 September dan sewaktu peperangan Amerika-Afghanistan dan Amerika-Iraq:

Kill Bill Vol. 1(2003) Filem aksi dua bahagian arahan Quentin Tarantino ini mengisahkan seorang pembunuh upahan (Uma Thruman) membalas dendam setelah majikan dan bekas kekasihnya membunuh bakal suaminya pada hari perkahwinannya. Sebelum Kick-Ass, Kill Bill Vol. 1 telah memulakan kaedah peminjaman dan rujukan filem bagi melaksanakan plot cerita dan perwatakan.

The Punisher(2004) Filem yang kurang mendapat sambutan kerana lakonan Thomas Jane yang tidak terkenal, The Punisher menyampaikan struktur cerita yang lurus tentang seorang lelaki yang membela kematian isteri dan anaknya. Filem ini juga diadaptasi daripada komik ciptaan Gerry Conway, merupakan antara perintis watak “antiwira” dalam komik Marvel.

The Brave One(2007) Filem lakonan Jodie Foster ini mengisahkan cerita seorang penyampai radio yang membela kematian teman lelakinya kerana pihak polis tidak dapat mencari pembunuhnya. Pada waktu malam, penyampai radio itu mengelilingi bandar New York dengan sepucuk pistol, menyiasat dan mencari sang pembunuh.

Shooter(2007) Filem ini lebih jelas pandangan politiknya apabila menyelar senator dan pegawai kerajaan Amerika yang mempergunakan askar Amerika sebagai catur dalam mainan peperangan mereka untuk keuntungan minyak. Mark Wahlberg adalah “perwira tunggal” yang mendepani sistem korup itu dengan membunuh mereka satu per satu.

Taken(2008) Filem yang membaur ketidakpuasan individu terhadap kerajaan dalam menangani jenayah dalam skop yang lebih global. Liam Neeson berlakon sebagai bekas CIA yang menggunakan kemahirannya untuk menjejak sindiket pelacuran yang telah menculik anak perempuannya. Filem ini bergerak seperti sebuah filem perisik, membawa Liam Neeson ke pelbagai sempadan Eropah. Filem ini juga menggambarkan “penjahat terbesar” yang akan didepani oleh Neeson ialah seorang jutawan Arab.

The Last House on the Left(2009) Filem pembikinan semula daripada filem seram Wes Craven pada tahun 1972, yang berdasarkan kepada sebuah filem Sweeden, The Virgin Spring(1960). Filem ini memaparkan kecekalan pasangan ayah dan ibu membalas dendam terhadap perogol dan pembunuh anak gadis mereka di sebuah perkampungan terpencil di Amerika.

Edge of Darkness(2010) Filem lakonan terbaru Mel Gibson ini memaparkan ketabahan seorang ayah menuntut bela atas kematian anaknya yang menjadi saksi kepada kepincangan sebuah syarikat multinasional. Filem ini diadaptasi daripada siri televisyen BBC pada tahun 1985.

24 May 2010

Lagenda Budak Setan(2010): Cubaan Adaptasi Yang Mencuba

"Aku bukan mencari perempuan, aku mencari cinta..."
Kasha (Farid Kamil)

"Awakkan tubuh kelab benci wanita, no woman no try, no men should cry?"
Ayu (Lisa Surihani)

Aku tak pernah baca novel Ahadiat Akashah ni. Malah, tak pernah satu novelnya pernah aku baca (habis). Serius. Aku pernah cuba habiskan siri seramnya yang agak susah untuk aku hadam (ayatnya berjela-jela, plotnya entah ke mana), malah itulah buku PERTAMA Ahadiat aku, itu pun tak habis. Aku kena caplesh dengan kawan aku Rizal, sebab dia kata, zaman sekolah menengah, novel ni kira lebih penting daripada buku teks. Dengan novel ni, serta novel-novel Ahadiat, anak-anak Malaysia (atau anak-anak Melayu Malaysia, aku tak tahu jika ada orang bukan Melayu yang baca novel Melayu kecuali novel Komsas, kartun Lat dan buku sejarah) diinstitusikan dengan dunia anak-anak Malaysia bernama penuh "Y" "C" dan "E" (jangan terkejut jika ramai ibu bapa sekarang beri anak nama yang bukan-bukan, dimulakan oleh zaman Ahadiat Akashah ini serta Norhayati Berahim), institusi fesyen berjenama (awek aku kata, dunia Ahadiat berlegar dalam Levis dan Armani Exchange), cara hidup serba laju anak-anak kota, anak-anak urban kaya dan budak VI dan St. John. Malah, membaca novel-novel Ahadiat semacam satu "rite of passage" buat anak-anak muda, khususnya gadis, sememangnya, novel ini sendiri, Lagenda Budak Setan aku tahu, sudah mencapai cult status kerana dunia "buatan" (yang ramai pembaca Ahadiat akan mengaku adalah REALITI urban zaman 90-an) yang menampilkan cara hidup material, cantik, luar negara, kereta mewah, wajah kacukan dan pemuda dan gadis urban yang ingin mencari "cinta".

Institusi ini, atau kultus ini aku kira, sedikit-sebanyak sudah menjadi "darah daging" anak-anak muda ini, oleh sebab bagaimana materialnya dunia anak muda sekarang, dengan kenalan terhadap brand. kenalan kepada dunia global (selalunya, Ahadiat "menyuruh" wataknya menuju Amerika, Australia, UK dan pelbagai tempat, yang sebenarnya kesinambungan filem dan novel pop 70-an) dan kebenaran Ahadiat "mewarna" eskapisme buatan tentang warna-warni dan "dunia lain" yang boleh diterokai oleh anak muda ini (hal ini digambarkan dengan "baik" bila Ayu tba-tiba mahu ke "New Zealand esok" atau Kate mahu ke "Los Angeles sambung belajar", ya bukan Carlifornia, tapi LOS ANGELES untuk sambung belajar!) Sememangnya, gilapan kreatif Ahadiat telah, walaupun tidak bertindak sebagai pola utama, sekurang-kurangnya membawa anak muda Melayu 90-an memahami dan membawa penyesuaian terhadap kemunculan cara hidup metroseksual dan barang komersial sebagai bahan kepura-puraan bernilai. Ahadiat membuka jalan anak-anak muda ini mengenal kesintetikan idealisme glokal, khususnya terhadap urban dan jenama. Hal ini, Ahadiat tidak pernah membohong.

Jadi, dalam dunia serba laju dan cepat ini (ya, aku juga anak urban, jadi aku faham apa yang ingin dibawa oleh Ahadiat, dan impian pula untuk anak-anak kampung atau di luar bandar), aku cuba mencari, apa sebenarnya Ahadiat nak kita jumpa?

Ok, aku cuba menjadi "baik sedikit" dengan filem ini kali ini. Pertamanya, kerana sudah berapa tahun entah lekangnya filem adaptasi ke novel. Semenjak Bicara Hati arahan Rosnani Jamil, tidak pernah filem adaptasi melawati pawagam. Keduanya, ada Nur Fazura. Ok, yang kedua tu bias sedikit (tapi Nur Fazura memang hebat dalam filem ni). Secara umum, filem ini, sebagai pemegang obor dunia "plastik" dan "berpura-pura" remaja, yang dicoletkan dengan warna-warni dan latar, watak dan perkembangan "semuanya cantik, semuanya indah", ianya dibawa dengan baik oleh Sharad Sharan. Walaupun ramai yang "bising" pada pratonton yang aku tonton itu berkenaan Kollywoodnya Sharad dalam pembawaan filem ini, secara dasar, pemberian Sharad itu SESUAI dengan skop dan "warna-warni" novel yang diadaptasi, kedua-duanya menyatakan kepura-puraan dan wajah dramatik dan cara hidup "lain" dengan warna-warni, dua-dua kelihatan sintetik, beremosi dan klise melodrama di mana ia memang memerlukan momen-momen melodrama yang stereotaip. Buat ini, Sharad tidak terlepas daripada menjiwainya, menggambarkan sepatutnya bagaimana dunia "picisan" itu di skrin. Apa yang kau nampak dan bayang di kulit novel Ahadiat Akashah, itulah yang kau nampak tercatan di skrin. Malah banyak syot yang disengajakan, detik-detik disengajakan begitu, khususnya rangkulan Kasyah dan Ayu, dialog yang membuka pendedahan dan pelbagai lagi yang mana kita biasa dengan novel popular, wujud dengan ajaib dalam filem ini. Ya, usahlah difikirkan sangat logik dunia novel popular sepertimana aku masih tak faham dengan dunia vampira dan serigala jadian mencintai seorang gadis bernafsu dalam Twilight. Gula-gula Sharan sekurang-kurangnya benar dalam hal ini. Malah ini ditolong baik dengan beberapa syot postcard perfect (segalanya mesti sempurna dalam filem ini, sepertimana bayangan novelnya, rujuk Cinta yang mengambil semangat yang sama) gandingan pelakon muda yang mantap-mantap (aku suka babak Que Haidar dan Lisa Surihani yang dramatik itu) serta runut bunyi yang banyak membantu mood.

Apa yang aku tidak suka adalah, makin kau kupas, makin kau nampak kecurigaannya. Aku tak tahu jika aku mahu salahkan Sharad atau Ahadiat dalam hal ini, oleh sebab aku sendiri tak baca novelnya. Aku bertanya Sinaganaga, cerita apa ni, Naga bagitau aku, ni cerita Ali Setan bertemu Lord of the Ring (ada kena-mengena dengan cincin). Aku tanya Kekure yang dah baca Budak Setan I dan II, tapi dia rasa yang dia sedang tonton tu ada dalam Budak Setan III. Ya, dia pun konpius. Aku sedar, Sharad seakan-akan berkobar-kobar benar, ada benda yang dia terlalu lajukan, ada yang dia terlalu ambil masa untuk membuak mood.

Pembukaan filem ini, seperti mana MF Kencana nyatakan, memang, ia sedikit caca-merba, tiada pengenalan watak dan plot yang betul-betul menusuk. Kita benar-benar "kenal" watak Farid Kamil sewaktu dia memasukkan cicak dalam Coke. Di situ, hal-hal kemudian menjadi menarik. Kemudian, percintaan Farid Kamil dan Lisa Surihani. Kita diberikan detik "kasih" yang mencukupi, tetapi aku mohon kalau boleh diperpenjangkan sedikit dengan satu dilema, kerana aku betul-betul mahu mempercayai hubungan kasih Lisa dan Farid itu "benar". Kita seakan, semacam, seperti kesuntukan masa, diberi satu rumusan bahawa Lisa (sebagai Ayu) amat mencintai Farid. Ini amat ditolong oleh "jalinan kimia" yang memang tampak wujud antara dua pelakon. Hanya ia dijanggalkan dengan dorongan Sharad untuk melajukan cerita atas dasar memadatkan masa penceritaan. Hal ini tampak "buruk" apabila dalam satu babak, Farid sudah mengenali ibu Lisa, Sheila Mambo dalam satu babak yang crucial. Bagaimana pula dengan cerita syarikat Amelia yang tiba-tiba "luput" dek Amelia "sakit"? (di sini, berlaku banyak babak-babak di mana watak menceritakan "plot" kepada watak lain sebagai "menyenangkan penjelasan penceritaan", sebiji-sebiji macam drama radio, walaupun tidak terlalu polos.) Berlaku hal yang melompat-lompat tanpa kepastian. Malah cerita ini sebenarnya dipecahkan kepada tiga bahagian, yang aku meraguinya atas dasar cara ia diperkembangkan. Paling lemah adalah cara pengarah memperkenalkan watak Que Haidar (walaupun lakonannya mengujakan) dan watak Nur Fazura. Malah, aku merasakan, pada bahagian tiga, Sharad sudah mula terumbang-ambing dari segi kesinambungan dan justifikasi watak, sepatutnya cerita "Ayu" yang kita mahu kenal (kerana dalam babak-babak ini, Ayu yang amnesia perlu diingati kembali cintanya dengan Kasyah, ataupun waktu ini, Ayu dan Kasyah diberi "peluang kedua" untuk mengenali antara satu sama lain, seakan "jatuh cinta sekali lagi" tetapi hal ini tidak berlaku, malah berlaku dengan lemah sekali) dan bukan fokus pengarah yang lebih kepada "jiwa batin" Kate. Ini yang menyedihkan, kerana kita sudah mula "menyukai" kasih-sayang Kasyah-Ayu, kita tidak diberi "rolling curtain" yang memuaskan untuk kasih-sayang yang melalui ranjau dan duri itu (aduh!)

Pengarahan fotografi Mike Muschamps, ada yang membantu, ada yang memerlukan sinemaskop untuk mewujudkan "rasa ikonik" terhadap Lisa-Farid (ada syot-syot yang menyekat wajah Lisa amat menjengkelkan), malah ada babak yang sedikit janggal dengan penggunaan hand held camera (pertama kali aku tonton sebuah filem romantik guna hand held camera! Shhheeeeeshh!), En. Sharad dan Mike, ini bukan Reds atau Lost in Translation eh untuk kalian bermain dengan hand held camera sesuka hati yang amat eksperimental sifatnya itu. Kalian perlu "make up your mind". Pun begitu, aku merasakan babak pergaduhan Que Haidar dan Lisa merupakan antara babak terkuat filem ini (sedih juga, babak ganas dalam filem cinta menjadi hallmarknya, patutnya bibit-bibit cinta filem tu.. haykhhh...)

Jadi persoalan aku, apakah aku menjumpai sesuatu dalam Lagenda Budak Setan? Sebagai sebuah filem yang diadaptasi daripada novel, kalau aku jenis suka membaca novel picisan, sudah tentu aku akan cari novelnya selepas menonton filem ini (dan mulalah aku buat perbandingan filem dan novel). Sebagai penonton Melayu yang suka filem Melayu cintan-cintun, mungkin, aku akan menjumpai warna-warni plastik yang indah berkenaan kisah tragis, dengan imbangan emosi cukup (ya, ada juga detik komedi, drama dan sedih) dan babak-babak berdialog yang "punchy". Sebagai penonton yang menonton, errr, aku masih tercari-cari dunia Ahadiat ini, apakah yang gemerlapannya? Apakah yang membuatnya "stay in your mind?" Serius, aku cuba mencarinya tapi aku tak jumpa walaupun sekarang. Mungkin filem ini bolehlah dikatakan sebagai sambungan atau melengkapi filem-filem Yusof Haslam zaman 90-an serta evolusi filem-filem Esok Jins Shamsuddin pada 80-an, dengan plot dan struktur cerita yang bermain "galah-panjang" dalam dunianya yang tersendiri, menguja kita dengan eskapis warna-warni, kisah pari-pari realiti berlatar urban dan glos kekayaan. Well, itu pun sejauh mana anda mahu mempercayai bahawa ianya realiti atau mimpi. Sekurang-kurangnya ia "watchable" daripada filem-filem Razak Mohaideen.

Dan, errrr, aku tak nangis ah tengok nih.. Camne tuh?

ps: Oh ya, JANGAN, JANGAN baca sari kata Inggerisnya, ia akan membina mood komedi anda ke bulan.

15 May 2010

Tiga Filem Untuk Mei 2010

Unjul Nak Jadi Orang(2010)
Haaaa, ni satu "feel good movie" telefilem yang betul-betul menarik, siap aku dan ibu aku terkehek-kehek ketawa, lebih-lebih lagi (walaupun aku persoalkan penggunaan lagu zapin dan bunyi gamelan ala Jawanya) kerana telefilemnya berlatarkan Perak (Zulhuzaimy merupakan seniman asal Perak). Ceritanya mungkin "bermotivasi" tipikal novel-novel fiksyen "nilai murni" DBP tetapi pengolahannya, cara Zulhuzaimy bawakan dan imej-imejnya cukup menyegarkan. Ini antara telefilem terbaik tahun ini. Aku begitu terkejut yang Zulhuzaimy memahami (bila) tempat yang sesuai untuk membuka "rahsia dramatik" dan bila untuk mengalun emosi penonton, dengan sudut dan cadangan susun letak yang amat menarik dan lain. Ini dapat dilihat daripada sedikit demi sedikit "gunung tak terdaki" kamera telefilem ini yang meninjau Zulhuzaimy daripada bawah kepada "besar" dan "tingginya" status makwenya di jendela rumahnya. Secara cilik, pengarah fotografi, dan pertama kali aku dapat meresap "alam dan manusia bersatu", satu falsafah yang cukup dekat dengan alam Melayu yang berjaya diungkapkan oleh pengarah fotografi dengan baik sekali. Malah penjelmaan ini nampak "sesuai" apabila kesemua unsur ini, diperlihatkan "timbul" dalam pemahaman watak-wataknya dalam "membina diri", yang mana tidak terhenti kepada pembangunan watak (dan drama) watak utama Zulhuzaimy sebagai Undun, tetapi subplot, Zamarul bersama Rosminah Sidek yang mencuitkan untuk memperisterikan seorang gadis yang tidak dapat dia miliki. Hal ini amat menarik bila kita kaitkan tempat Zulhuzaimy mendapat "makna" (di tepi kali) dengan jaringan Rosminah, dan bagaimana, Zulhuzaimy dan Zamarul, kedua-duanya hendak memiliki satu tujuan. Zulhuzaimy setentunya patut diberi peluang mengarah, lebih-lebih lagi mengadaptasi novel-novel sastera yang baik kerana kefahaman simbolisme serta ciri-ciri teliti banyak diambil tinggi oleh Zulhuzaimy. Syabas, aku dan ibu aku amat terhibur dengan filem didaktik sempena Hari Guru ini.

Sila lihat makluman lebih di sini. Gambar Ihsan Budiey.


Rupan Sansei: Castle of Caliogstro(1979)
Filem ini merupakan satu penemuan yang menyeronokkan! Secara tidak sengaja, aku sedang menonton beberapa filem Studio Ghibli dan aku terpasang filem pertama bikinan Hayao Miyazaki yang amat menghiburkan dan penuh simpang-siur ini!

Secara ringkas, ini sebuah filem caper (rujuk 12 Ocean) yang berinti advencer "at the highest order". Babak demi babak yang dibuka dengan bijak sekali oleh Miyazaki membawa keterujaan yang tiada akhir, dan aku membayangkan Steven Spielberg (yang menyatakan filem ini merupakan filem advencer terbaik yang pernah beliau tonton) menjadikan filem ini sebagai rujukan untuk membikin Indiana Jones: Temple of Doom kerana ketidak hentian menyentak penonton dengan pelbagai "plot twist" dan kejutan (tetapi sudah tentu filem ini lebih terancang dan lebih rasional susunannya).

Malah apa yang membuatkan filem ini sungguh menyeronokkan ialah bagaimana Miyazaki tidak memberi kita nafas untuk melihat kejutan demi kejutan terhadap plot, menggerakkan kita supaya "advencer" ini tidak perlu habis (malah ia tidak habis pun pada akhir babak), malah di sini lagi kita dapat melihat betapa telitinya Miyazaki melukiskan wajah "manusia" terhadap watak-wataknya, termasuk watak jahat dalam hal-hal manusiawi dan menghadapi konflik. Inilah kekuatan Miyazaki yang mana Disney, termasuk Pixar langsung tidak dapat menandinginya (Pixar dan Disney tetap menyatakan pendirian sisi hitam dan putih secara jelas, kecuali mungkin Up). Miyazaki menunjukkan, kita tidak perlu membuat "live action" untuk membuat penonton teruja dengan cerita dan aksi yang ligat, tetapi animasi sudah begitu cukup, hanya penceritaan yang baik dan mencemaskan, mendahului jangkaan penonton.


Robin Hood(2010)
Filem seterusnya oleh Ridley Scott dalam pelancarannya mencari "dunia lepas" (dahulunya Gladiator, Kingdom of Heaven) dengan mengitar semula filem-filem genre epik yang pernah dibikin dengan pendedahan dan pemahaman kajian zaman sekarang. Buat aku, filem ini filem menghiburkan daripada Ridley berkenaan dunia jahiliyah Inggeris sewaktu mereka berperang salib dengan orang Islam (ada satu grafik di kredit akhir memaparkan kepala tentera Islam dipotong askar Inggeris). Ya, ini merupakan sebuah Hollywood yang tidak boleh salah, malah semua wataknya hebat melakonkan peranan mereka, malah intrignya cukup. Walaupun aku tidak faham mengapa ada pengulas yang tidak menyukai Crowe dan Blanchett, bagi aku perhubungan mereka sudah cukup dan memuaskan, lebih-lebih lagi melihat daripada perwatakan yang disingkap, antara Crowe sebagai Robin dan Blanchett sebagai Lady Marion. Malah hal-hal legenda berkenaan "Merry men", "Little John" dan "Lady into maid Marion" menjadi suku kata yang masuk akal, cukup dengan pemahaman "pun" dan "wit" Inggerisnya yang dibayangkan oleh Ridley dan penulis skrip, melarikan diri daripada kanta peristilahan yang sudah dibikin oleh Hollywood Amerika beberapa kali tentang legenda "mencuri daripada kaya untuk si miskin". Sememangnya kajian yang dibuat (atau andaian) bukan usaha yang sia-sia. Aksinya pun tidaklah sehambar yang dikatakan tetapi "cukup". Paling penting, ia tidak menipu genrenya, dan lebih lagi francais legendanya. Versi Ridley Scott ini, walaupun mungkin tidak dapat menandingi keseronokan versi Kevin Costner, merupakan antara siri Robin Hood yang menghiburkan.

05 May 2010

Close Encounters of The Third Kind(1977): Pengalaman Sinema Sebenar

"This means something. This is important." - Roy Neary (sewaktu meneliti tompok krim seperti "bukit")

Sewaktu aku masih kecil, aku menonton filem ini di HBO di rumah sewa mak di Pensacola, Florida. Aku menonton Edisi Khas (Special Edition). Waktu itu, aku rasa aku masih berumur 3 tahun. Apabila Roy Neary (Richard Dreyfuss) masuk ke dalam kapal angkasa mahkluk asing, aku teringat, segalanya dalam keputihan, wajah Neary sedikit bingung, teruja, seronok dan takut. Kita kemudiannya dipaparkan dengan tetingkap dalam kapal itu, beribu makluk asing dipaparkan "menonton" Neary. Pada waktu kecil. pemikiran kita lain dengan bila kita sudah dewasa. Gambaran kita kadang-kadang "menggila" dengan pelbagai imej. Kita berkhayal. Sewaktu aku kecil, menonton babak curcial itu (dan amat dibenci oleh Steven Spielberg), aku tampak, di dalam iris aku, wajah-wajah makhluk asing itu "memerhati" Neary, tak senyum atau marah, hanya menonton. Semalam, aku menonton filem ini sekali lagi, ketiga-tiganya (tayangan original, edisi khusus dan pilihan pengarah) dalam masa enam jam. Aku, tidak menjumpai wajah makhluk asing itu. Aku, tidak menjumpai cahaya yang sungguh terang keputihan. Aku baharu tersedar, bagaimana, filem yang aku tonton ini telah "membangu" sekian lama dalam diri aku, aku menjadi dekat kepadanya, apa yang dipaparkan tidak lagi penting, yang penting adalah keprasedaran yang ditimbulkan untuk minda, dan di sini, untuk memori.

Ini adalah pengalaman menonton filem ini. Pengalaman menonton filem ini membentuk "sinema"nya yang tersendiri. Filem ini mempunya kuasa visera (visceral) yang ampuh. Ini, adalah sinema dalam erti kata setulen-tulennya.

Dalam pemerhatian aku terhadap filem, tidak banyak filem yang menduduki "nilai sinema" (cinematic value). Nilai sinema buat aku ialah apabila penonton menonton sebuah filem, menyanggupi dan menikmati pemberian cahaya, babak yang dipotong-potong dan disambung, sudut cahaya dan segala gambaran pada waktu itu, serta suara, yang mengimbaukan satu rasa "pengalaman prasedar baharu". Selalunya "semangat" sebegini hanya dapat dicapai dengan puas dalam filem-filem yang visera, yang bersangkut paut tidak lagi kepada inti cerita itu, kepada lakonan, dialog, tetapi jauh lebih penting adalah terhadap paparan pada detik itu dan bagaimana paparan itu, serta pengolahannya yang diberikan kepada penonton, membuak satu cita rasa yang meluap-luap.

Kita juga bernasib baik, walaupun tidak banyak, aku mendapati, perasaan sebegitu, semangat visera dan kuasa nilai sinema yang kuat dapat aku jumpai sepenuhnya dalam filpen Ridhwan Saidi, Mautopia, dalam filem Azhar Rudin, Punggok Rindukan Bulan, dalam filem Yasmin Ahmad, Gubra, dan filem Yeo Jon Han, $ell Out! Aku tidak perlu khuatir pun, kerana kebanyakan filem Hollywood sekarang juga amat kurang nilai sinematiknya, yang aku lihat, terpancar gemilang, dan banyak pada awal 70-an sewaktu zaman auteur memerintah Hollywood. Hal ini, diteruskan, dan aku tampak, masih ada dalam filem-filem David Lynch, juga Martin Scorsese (seperti yang terbaru daripadanya, Shutter Island), serta filem Pixar seperti Wall-E dan Up. Paling menyedihkan, aku tidak nampak lagi kekuatan Spielberg dalam visera terhadap filem-filem mutakhirnya, lebih-lebih lagi dengan membandingkan filem-filem awalnya (termasuk Sugarland Express). Hal ini amat mendombakan.

Mungkin kerana, Spielberg sendiri mengaku, beliau banyak berubah setelah mempunyai anak, malah bagi beliau, jika beliau ada anak sewaktu penggambaran filem ini, beliau tidak akan membuat Roy Neary meninggalkan anak-beranaknya, Roy Neary akan tinggal di bumi (oleh sebab itu Spielberg membikin War of the World, karyanya yang jauh lebih lemah daripada filem ini). Kita merasakan, Spielberg "at his height as a director" apabila beliau menyelami jiwa kanak-kanaknya. Schindler's List satu pengecualian kerana filem itu sendiri filem "peribadi" Spielberg, yang aku percaya beliau tekuni filem itu sedari kecil berkenaan bangsanya.

Sememangnya, Close Encounters yang diperkatakan di sini perlu dilihat dengan mata seorang anak kecil, kerana mata seorang anak kecil dapat menyelami hal-hal viseral yang lebih getar daripada pemikiran orang dewasa, malah logik diketepikan, yang penting adalah "perjalanan" yang dibawa untuk menyelaminya.

Begini, apabila anak kecil menonton filem, ia tidak memerlukan dialog untuk memahami "cerita" filem itu, hanya yang ia perlukan adalah imej-imej yang dicantum, seperti mana menonton sketsa Charlie Chaplin. Lihat sahaja babak di mana makhluk asing "dewasa" keluar (keadaannya menakutkan kerana "asing") dari kapal angkasa, lalu apabila ia membuka tangannya, lantas dengan pertolongan skor John Williams, anak-anak tahu "ini makhluk asing yang baik". Anak-anak langsung akan nampak, KEHADIRAN makhluk asing ini "sebagai kawan" dan "orang jahat" dalam filem ini ialah orang kerajaan/tentera yang cuba menutup hal ini kepada orang ramai. Sebegitu senang.

Ada suatu lagi kuasa "anak-anak" yang dimainkan oleh Spielberg, yang mana sudah menjadi semacam "tanda tangannya" di dalam mana-mana filemnya, tetapi tidak sebaik yang dilakukannya dalam filem ini. Selalunya, dalam filem Spielberg, alat-alatan, khususnya alat media menjadi penggerak cerita atau penanda cerita (story cue) yang disemadikan secara tidak langsung, selalunya memberi MAKLUMAT kepada penonton (secara semberono, Spielberg melakukannya dalam Minority Report). Di dalam filem ini, kuasa olah Spielberg digunakan dengan maksimum. Aku tidak tahu jika orang dewasa menganggap hal-hal ini "mentah" tetapi hal yang dipertontonkan ini buat aku, bukan sahaja berjaya mengecapi satu pemahaman cerita dalam cerita, tetapi mengungkap emosi "untuk mengikuti" (get involve) cerita. Kita, secara prasedar, merasai apa yang ingin disampaikan oleh Spielberg. Lihat babak kecil seperti sewaktu si kecil Barry (Cary Guffey) terbangun dari tidur pada awal filem (menyedari, kita sedang masuk ke dalam "alam mimpi" anak-anak!), Barry bergerak mencari "bunyi bising" apabila semua mainannya "hidup". Rekod waktu itu bernyanyi, "Lets look around for a square" di mana gambaran kereta kebal mainan sedang menghala muncungnya ke kiri dan ke kanan. Di situ, anak-anak sudah menangkap "Barry sedang cari sesuatu". Ini menarik bila tentera/kerajaan JUGA sedang mencari sesuatu (dan ditutup dengan penipuan konspirasi).

Lihat lagi babak sewaktu orang kampung, seorang lelaki bersiul "She's coming right the mountain when she comes" sewaktu Barry sampai ke tengah jalan (bertembung dengan kereta Roy Neary). Orang lelaki itu tiba-tiba berdiri, menunggu sesuatu untuk datang. Buat orang dewasa, hal ini sungguh tidak logik. Dalam dunia anak-anak, ini membawa pemahaman yang cukup kuat, bukan sahaja "semangat uja untuk ketibaan sesuatu" tetapi "yang datang ni baik, yang datang ni besar."

Lihat lagi babak sewaktu Roy Neary membuat gunung Devil's Tower. Babak ini dengan sepenuhnya bermain dengan televisyen (sampai ke babak berita Devil's Tower), kita rujuk siri kartun Bugs Bunny bila kita dengar "now I use my secret weapon!" lalu kita terdengar suara "boom!" di televsiyen, pada tika yang sama, Neary telah "meratakan" gunungnya! Kemudian, kita dnegar suara drama Days of Our Lives dengan dialog "What's wrong with me today?" dengan paparan Neary melihat ke luar, menyedari "apa" yang ia telah lakukan (membuat replika Devil's Tower dalam ruang tamuya) dan menyedari dia "terkeluar" daripada norma ayah yang lain. Bukan sahaja, tanpa perlu DIALOG, Spielberg menceritakan perasaan wataknya, ia juga memberi kita klu yang paling penting: kesemua pencarian ini hanya boleh didapati dengan "melihat" dan "mendengar". Dan kita baru sedar, pada babak klimaks yang terbesar dalam filem ini, pemberian "gula-gula" melihat dan mendengar yang sebenarnya ialah "lagu" (not lima ciptaan John Williams) dan tapak Devil's Tower-landasan khas-kapal angkasa untuk "dilihat". Dengan kombinasi "dengar" dan "lihat" secara asas ini sahaja (seperti seorang kanak-kanak), kita mendapat "kepuasan".

Kemudian, satu lagi kuasa Spielberg yang aku dapati sudah tidak lagi dibuatnya adalah kebijaksanaan Spielberg bermain dengan penggambaran secara dokumentari, membiarkan satu babak seakan "hidup dengan sendiri" yang sebenarnya satu kareografi menyalin kebiasaan dan kenormalan cakap-aksi orang dalam satu masa tertentu, hal ini Spielberg cuba lakukan dengan skala yang lebih besar tetapi tak pernah sebaik filem ini, dalam The Terminal. Babak-babak ini juga tidak mementingkan dialog, tetapi rakaman imeh keterbiasaan dan hala tuju manusia, yang amat biasa (mundane) terhadap hal-hal yang luar biasa membuat filem ini amat luar biasa. Ini dapat dilihat dalam syot babak panjang tanpa runut bunyi apapun pada Stesen Komunikasi Indianapolis yang mendapati satu "pertembungan UFO dengan jet" berlaku. Babak ini semacam "tangkapan" natural, yang buat aku sudah cukup "real" (tanpa mainan hand-held yang begitu memualkan bagi aku sebenarnya) berkenaan manusia biasa melihat sesuatu yang tidak biasa. Hal ini sekali lagi diulang dan diulang dalam pengembaraan Francois Truffaut dan kumpulannya, memberikan "feel" benda ini benar-benar sedang berlaku. Semangat kebiasaan dalam keluar biasaan inilah, yang sekali lagi digunakan sebagai LATAR dalam menyatukan "dengar" dan "lihat" yang kita jumpai dalam babak-babak Neary dan Barry. Dengan itu, kerana pentas sudah ada, "lihat" dan "dengar" boleh dipersembahkan. Sinema Spielberg telah dijumpai!

Jadi apakah yang dijumpai? Pertama, kita sedar, paparan "dokumentari" ornag biasa itu adalah petanda rasional dan dinamisme pengkaji manusia meneliti hal ini secara saintifik (hal ini cuba menolak ide fantastikal dalam dunia fiksyen sains), sedangkan, hal kebiasaan yang amat luar biasa Neary dan Barry adalah semangat "idealis" dan ada yang melihatnya "spiritual" (rujuk The Ten Commandments dalam sebuah babak, ini menyebabkan filem ini dituduh keagamaan, walaupun ia sebenarnya bukan, ia hanya "spiritual" dalam erti kata sinematik, atau pengalaman sinematik) terhadap apa yang akan diberikan. Ya, rasional bertemu ideal sebenarnya, pertembungan ini yang ditemukan pada klimaks filem. Apa yang "mengejutkan" para rasionalis, dengan setiap babak demi babak yang menghimpunkan kuasa warna, imej dan suara yang "interaktif" antara makhluk asing dengan manusia, kesemua ini menjadi suatu imejan yang melampau atau terus "memecah" segala yang boleh mereka hitungi (ya, ini semacam menjadi amat fantastik) dan hadam. Siapa sahaja yang dapat menyanggupi atau "menyertai" kombinasi imej, warna dan suara ini? Ya, Neary dan Jillian (Melinda Dillon) dan beberapa saintis sahaja. Inilah poin sebenar Spielberg, mahu kita, menyanggupi sinema yang mahu dihidangkan. Dan aku tahu, ramai yang telah pun menyanggupinya. Maka, apabila kita menyanggupi inilah, kita sedar, satu perasaan puas yang menusuk secara tiba-tiba. Ya, kita mahu Neary naik ke dalam kapal angkasa, bersama makhluk asing itu, membawa satu "khayalan" dan harapan tinggi terhadap sinema, kita sendiri "mahu" masuk ke dalam kapal angkasa itu. Kita mahu "bersatu" dengan medium agung sang sinema ini yang dijelmakan di depan kita. Saat itu, kita sudah "terbang" melampaui nilai sinema Spielberg.

Kekuatan dan resonans Spielberg ini sudah tentu bukan usaha sendiri, tetapi kombinasi pelbagai kepakaran, yang turut menjadi aktor tersendiri dalam membentuk "sinema" Spielberg. Paling pertama adalah skor muzik John Williams yang membawa kita mengikut dan menelusuri filem ini, malah sememangnya lagu Williams merupakan narator utama filem ini! Spielberg juga telah dibantu oleh sekumpulan penulis skrip, yang telah mempercantikkan skrip filem ini dan membuatnya sebuah adikarya yang amat susah untuk ditandingi. Fotografi Vilmos Zsigmond dalam filem ini juga merupakan tangkapan fotografi paling aku sukai secara peribadi. Latar-latar luasnya menyingkap, ini adalah epik baharu abad ke-20. Ini sebuah filem tentang kemanusiaan dalam lanskap yang luas. Michael Kahn juga telah memberikan tempo dan jalinan yang sempurna untuk penyatuan filem ini sebagai sinema, dan akhirnya kekuatan efek khasnya oleh Douglas Trumbull serta latarnya yang cemerlang oleh Joe Alves telah menyebabkan filem ini punya kesinambungan dan ikatan kukuh dalam pemahaman objek, alatan dan latar benar dalam sinema Spielberg.

Memang, bila kita membesar, bila kita banyak bertanya soalan, magis dan nilai sinema filem ini akan luntur, seperti mana persoalan, kenapa, makhluk asing itu memberi lima nota nyanyian kepada manusia tidak boleh memainkannya dengan betul (seakan-akan memerlukan manusia untuk membimbingnya). Hal inilah, kita kembali kepada kaca mata kanak-kanak, bahawa hanya kanak-kanak akan faham, inilah "mainan" makhluk asing itu kepada manusia, melihat betapa jauh kekuatan mereka (frekuensi bunyinya sebelum kaca pecah, memaparkan makhluk asing ini juga macam kanak-kanak yang penuh kesilapan), dan paling penting menyedari kesamaannya. Sekali gus, melengkapkan bulatan bahawa apa yang kita lihat asing dan luar biasa itu sebenarnya adalah kebijaksanaan dan kecantikan (serta kesilapan manusia) kita sendiri.