17 August 2017

Bengkel Pemahaman Filem - Asas Teori dan Apresiasi Filem


Bengkel Pemahaman Filem - Asas Teori dan Apresiasi Filem
Tarikh: 26 & 27 Ogos 2017
Hari: Sabtu & Ahad
Masa: 9.30 am - 5.30 pm
Penceramah: Dr Norman Yusoff
Tempat: Kuala Lumpur Film School
Tingkat 1 & 2, 37 Jalan Wangsa Setia 1
Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur
Yuran termasuk sijil dan makan minum
Hubungi 03-4131 0321/ 4131 0310 atau sms/whatsapp ke talian 017-734 4297 bagi urusan pendaftaran dan maklumat lanjut.

08 August 2017

Filpen Malaysia Masuk Festival Filem Antarabangsa Venice ke-74


Korang tau tak ada filpen (filem pendek) Malaysia masuk Festival Filem Antarabangsa Venice tahun ni?

Korang mesti kenal Venice, kalau korang ingatlah apabila filem Puteri Gunung Ledang (2004) berjaya diundang untuk tayangan khas di sana. Akhir-akhir ini FINAS hanya buat-buat sibuk dengan Oscar saje sedangkan ada tiga festival filem antarabangsa yang terbesar menjadi pusat tumpuan pengkritik, pengedar, penggemar dan pembikin filem - Berlin, Cannes dan Venice. Venice merupakan festival filem antarabangsa yang tertua dan masih berprestij. Dan untuk Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu, sebuah filem (dalam hal ini filpen) Malaysia untuk masuk serta, itu kira satu kebanggaan juga.

Lagi-lagi apabila ini kali pertama sebuah filpen Malaysia yang terpilih (antara beratus yang nak masuk) untuk menyertainya, dicalonkan dalam seksyen Orizzonti (Horzion) di bawah pencalonan untuk Anugerah Filpen Terbaik. Menarik lagi apabila inilah filpen pertama Malaysia yang ditunjangi oleh kru pembikin yang 95 peratusnya adalah wanita! Clever Girl mak ai! Malah, ketiga-tiga teraju utamanya ialah wanita; pengarah dan penulis lakon layar, Amanda Nell Eu, penerbit, Gan Hui Yee dan para pelakon Sharifah Aryana (Yep, pelakon Mukhsin itu!) dan Sofia Sabri.



Filem terbitan Astro Shaw berdurasi 17 minit lebih ini menceritakan persahabatan "pelik" antara seorang gadis kampung (Sharifah Aryana) dengan seorang pontianak (Sofia Sabri). Ini kira dah berbunyi-bunyi macam Let the Right One In (2008) versi all girls di ceruk sebuah kampung Melayu, walaupun mungkin pontianak itu bukan vampiro namun mungkin suka makan nasi lemak, selain darah anak-anak yang balik dari mengaji.



Filpen Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu juga merupakan hasil karya skrip yang terpilih daripada bengkel Shortcuts Short Film untuk menerima bantuan produksi RM40 ribu. Hanya tiga skrip terbaik daripada bengkel tersebut yang berpeluang menerima ganjaran ini. Filpen ini akan ditayang dan bertanding pada 30 Ogos - 9 September 2017 nanti di Venice. Semoga filem ini selamat bertandang dan disukai oleh para penonton antarabangsa, serta selamat memasuki pelukan benua pusat Euro Horror dengan Argento dan Bava serta kumpulan peminat filem seram dan cenderung fantastikalnya, kita doa-doakan yang terbaik buatnya! 

03 August 2017

Hijabsta Ballet (2017)


"Aku sudah menemui akarku dalam bumi yang subur!" - Adele

Aku sebenarnya agak skeptik dengan rumusan (formula) dalam filem, dalam apa-apa pun, walaupun hal itu tidak salah. Dalam cerita ini, aku sebenarnya agak skeptikal dengan pandangan Syed Zul Tojo, pengarah (dan penulis skrip) filem ini akan "kajian" para cerdik pandai pengarah filem Malaysia kita terhadap "51 elemen pecah panggung" di Malaysia. Aku bukan apa (ya, filem pecah panggung sekurang-kurangnya akan bikin pengedar filem di luar untuk melihat potensi filem itu ditayangkan ke negara mereka), apabila kita berkata kita mengaplikasikan ke51-51 unsur itu dalam filem bikinan kita, dua perkara akan tersedia berlaku dalam kalangan penonton kita, (1) sikap "luar kotak" itu yang kita bayangkan sebagai inovasi mungkin disalah tanggap oleh awam dan pembikin lain sebagai "bongkak", dan hal ini biasa dalam dunia filem kita yang maha kecil (2) apa-apa yang dicampak kepada pihak awam pihak awam tetap tidak peduli. Hanya aku puji aplikasi tersebut apabila Syed Zul menekankan hal "penceritaan di luar kotak" (juga cerita yang berkesan?), hal itu sekurang-kurangnya jelas ada dalam filem sulung pengarah (muda?) ini.

Tapi lihatlah, ini yang berlaku di dalam pawagam pada hari tayangan pertamanya: 

(Yep, takkan aku sorang je? Alahai ...)

Aku harap, hal ini tidaklah berlarutan kerana penat che' Zul kita buat kajian dengan Rumusan 51 (aku panggil kerjanya ini, macam satu gagasan "Rumusan 51" - "Formula 51", ala Dogme 95 yang mahu buat duit gitu.), tapi yang lebih penting, sebab filem ini ada sesuatu.

Awal-awal lagi, filem remaja ini (memang) seakan-akan berani menyatakan, dalam bahasa filemnya, ini filem dakwah. Syukur Alhamdulillah, Syed Zul tidak menurut jalan-jalan sesat sebelum yang dilakukan oleh beberapa pembikin filem kontemporari (yang paling buruk ialah konsep filem dakwah Faisal Tehrani yang bergetar ayat-ayat ajaran dari awal hingga akhir oleh watak-watak patung). Syed Zul melakukan hal ini dengan pancaran imej: cermin - yakni pantulan. Pantulan/refleksi cermin ini dalam bahasa filem Barat atau biasa sudah diketahui menjadi alat menyampaikan "isi" atau ekspresi watak, dan menurut tanda-petanda Pak Hassan mempunyai koda negatif atau persoalan "perubahan" atau "bawah sedar". Cermin dalam filem ini, walaupun boleh dibaca dengan hal-hal sebegitu boleh dibaca juga dengan, kemungkinan, seakan-akan: satu bahasa filem yang baharu (dan lokal, selalunya secara tipikal, pembikin kita akan menggunakan gaya ala monolog berjela-jela "Ya Allah .." atau monolog dalam doa di atas sejadah). Hal ini adalah kerana cermin merefleksi - memantul. Unsur ini amat mendekati satu amalan tuntutan yang biasa dalam hal nurani Muslim: muhasabah (diri). Dalam hal ini, Syed Zul merealisasikan imejan "muhasabah diri" watak dalam filem ini melalui adegan watak di hadapan cermin, melakukan refleksi/muhasabah diri atau "cerminan diri". 

Babak permulaan lagi hal itu dilakukan pada watak Diana (lakonan bersahaja Betty Benafe) yang melihat anaknya, Adele (lakonan percubaan yang baik daripada Puteh Maimun Zahrah) yang sedang berlatih balet (ejaan baku ialah "balet" Syed Zul oi!). Babak ini signifikan dan jelas dalam banyak hal. Pertama, kejauahan isi hati Diana-Adele yang hanya didekatkan melalui cermin (tanda isi hati atau harapan Diana ini palsu, walaupun ini aspirasi tinggi Diana kepada anaknya). Kemudian, kita lihat Diana yang jelas kebaratan (dan bagi puak-puak agamawan, ya dia tidak bertudung, siap kaler rambut lagi) tidak melihat dirinya dengan bersungguh di cermin, hanya menggunakan cermin sebagai alat solekan (tanda material dan tanda cantik-mencantikkan yang palsu - kritikan jelas terhadap watak ini).

Di sini sahaja kita sudah tahu tujuan Diana kepada Adele. Namun begitu, Adele mempunyai seorang nenek (Aida Khalida, eh, ini bukan Aida Rahim ke?), ibu Diana yang alim dan mengajar Adele al-Quran dan agama.

Cermin ini menjadi lebih menarik apabila Adele menggunakan cermin, sudah tentu, untuk semua penari balet, melihat "perkembangan diri" mereka (salah dan silap, serta ketelitian dan kepersisan bentuk tubuh). Cermin ini akan dimainkan dan mainkan lagi, lebih-lebih lagi apabila Adele mula "bermuhasabah diri" dan mula yakin akan peranan "hijab" pada anggota tubuhnya. Hal inilah yang akan menjadi konflik besar antara Diana dengan Adele, dan dengan jelas, seni tarian Barat ini dengan tuntutan fiqh Islam. Hal ini menimbulkan beberapa persoalan menarik. Hal di sinilah yang aku puji sangat Syed Zul dan angkatan penulis skripnya. Seperti PK (2014), filem ini menggunakan ruang filem untuk membina "wacana", dan melalui gaya ini, Syed Zul tidak meletakkan hukum, dia hanya bercerita dan menampilkan jalan kisah Adele dan apa yang dia akan buat. Mana-mana orang awam, baik bukan Islam, agamawan konservatif, liberal, pluralis, ateis, ekstremis dapat melihatnya dan memberikan buah bicara masing-masing. Malah, ada "sedutan dakwah" berlaku tapi hanya muncul dalam ruang sampingan, yakni nenek Adele dan siaran dakwah di televisyen (ada babak menarik apabila siaran dakwah itu juga "menyakiti" jiwa Adele yang sedia pecah waktu itu kerana tindakannya). Maksudnya, teks didaktiknya ada (berkenaan tuntutan agama) tetapi menjadi bahan latar pada isi utama cerita.

Aku bercakap fasal cermin ini (spoiler!) sebagai penting kerana, kita akan menyedari ruang renggang Adele-Diana ini juga dimainkan dalam hal ini. Televisyen yang menjadi alatan seakan "cermin" (juga "wayang") juga mempunyai peranan yang sama, walaupun lebih plastik. Dalam satu babak, Diana sudah tidak dapat melihat anaknya (anaknya melarikan diri daripadanya dan tidak mahu berbual dengannya). Diana hanya dapat melihat anaknya melalui rakaman video di kaca televisyen, anaknya sedang berlatih balet (fizikal anaknya sudah tidak ada, hanya tinggal aspirasinya dan sejarah lalu). Aku sengaja bercakap fasal ini kerana kita akan tahu jelas, perhubungan Adele-Diana dan bagaimana ibunya menerima aspirasi baharu (dan muhasabah diri) - dan waktu itu Adele dan Diana dipaparkan sangat dekat, walaupun di atas skrin pad (yang plastik?), tanpa perlu berkata apa-apa, sangat dekat, malah kita sebenarnya seakan-akan melihat wajah Adele "memantulkan" wajah ibunya, Diana di atas skrin pad tersebut. 

Hal cermin/refkleksi ini akan digunakan lagi, dan kali ini dengan lebih jelas di Perth, tempat Adele "melarikan diri" setelah diserang oleh puak ekstremis agama. Lihat, ada satu babak yang menarik dan disengajakan: Adele yang sedang melatih seorang gadis Australia (yang sebenarnya tampak lebih matang daripada Adele) di tepi dinding, dan tubuh mereka tidak dipantul oleh cermin, tapi cermin berada di antara mereka berdua!



Terdapat juga dialog yang bijak dan sedap diingati, babak yang baik. Aku menyukai dua babak yang senagaja dipaparkan oleh Syed Zul. Pertama, babak Adele yang berlari dalam hujan. Babak ini jelas-jelas menempelak imej wanita era 50-an hingga 90-an yang dok menangis dalam curahan air hujan sebagai wanita dalam air mata sedu sedan dan takat pedih paling dalam, tidak mampu mengubah takdir mereka. Tapi dalam babak filem ini, Adele "yang dikalahkan", berlari basah kuyup dalam hujan (malah ibunya juga menegurnya pelik), yang memang dalam kesedihan, tetapi mencapai sesuatu keputusan yang positif buatnya. Inilah citra wanita milenial, dan bolehlah dikatakan imej wayang baharu kita abad ke-21 - wanita yang membelah air hujan (tekanan, dogma atau nasib malang).

Kedua, imej Adele yang menari balet di tepi kolam. Walaupun babak ini nampak biasa dan ditangkap biasa-biasa, namun rasanya dalam, lebih-lebih saat itu. Adele yang kelihatan "di syurga sebentar" sedang menari. Kita melihat bayangan tubuhnya dengan tudung, seperti tersingkap (seperti hijab) dan siluet, tapi ia juga menimbulkan rasa keresahan (kerana tona air tidak tetap pada tempatnya), bahawa pilihan dan pegangan hidup Adele ini boleh musnah bila-bila masa sahaja jika ada yang membaling batu.

Begitulah menariknya filem ini, filem Malaysia Melayu yang agak milenial dan bercakap hal-hal sekarang, yang sudah lama aku tidak menonton sebuah filem yang menyampaikan inspirasi dan sebuah filem yang membuat penontonnya berbualkan akan isunya. 

Namun begitu, terdapat beberapa pelaksanaan yang jelas-jelas membolongi filem ini daripada menjadi sebuah "adikarya" atau paling tidak pun filem yang memusakan. Secara jelasnya, percubaan Syed Zul dalam pengarahan mempunyai banyak kelemahan yang ketara. Tempo, rentak dan susun letak bukanlah kekuatannya. Dia hanya tunjuk dan tunjuk tanpa memikirkan gerak dan perkembangan dalam satu-satu adegan. Hal ini ditambah dengan suntingannya (oleh Hafiz Kamaruzzaman) yang tegang dan tidak lancar. Lihat sahaja satu babak apabila Diana bergaduh dengan anaknya, dia lalu masuk ke kamar tidurnya lalu dia menonton rakaman tari anaknya. Tiada percubaan pengarah untuk mencari "cantuman" atau babak cantum antara dua babak sebelum-selepas yang baik. Sepertimana babak pergaduhan di dalam LRT yang berjalan sebegitu-gitu sahaja, tanpa apa-apa debar dan riak, sedangkan susunan babaknya jelas menarik (tapi bagaimana puak ekstremis itu tahu Adele di situ???). Lihat juga tangan Deni yang janggal seakan-akan hendak menyentuh Adele di tepi tasik, persoalan babak sudah menarik tapi cara syot dan pelaksanaannya terlalu canggung, ia kelihatan lelucon. Begitu juga dengan lakonan, khususnya para pelakon mudanya. Aku begitu terkilan dengan watak Deni yang begitu lembut, amat janggal malah miscast untuk digandingkan sebagai love interest Adele. Begitu juga beberapa pelakon lain, lebih-lebih lagi ketua puak ekstremis tersebut, Zubir, yang melalakkan suaranya tidak tentu hala. Puteh Maimun pula mempunyai potensi, tetapi mungkin kerana masa, dia tidak mendapat latihan yang cukup, maka ada beberapa bahagiannya sedikit janggal, namun secara keseluruhanya, dia sudah menyampaikan wataknya. Sinematografi oleh Filus Ghazali juga biasa walaupun ditangkap dengan cantik. Kita tidak temui babak di dalam pusat tarian yang baik dengan cermin sebagai dindingnya serta tidak ada syot persembahan balet yang menonjol dan ikonik. Ada beberapa babak kelihatan kelam, atau adakah ini masalah projektor di pawagam GSC? Paling aku marah ialah skor muziknya oleh Nurzaidi Abd. Rahman. Alunan ketuk kunci organnya yang entah apa-apa, yang membawa cara klise filem terbitan MiG menyusun lagunya, mengacau mood dan emosi aku sewaktu menonton. 

Filem ini mempunyai ketiga-tiga sari kata, Inggeris, Cina dan Melayu. Malah, terdapat satu kenyataan panjang pada akhir kredit untuk memaklumkan mengapa isu subjek ini dipilih (maksudnya, usah dipolemikkan dengan emosional). Aku tak tahulah jika ke51-51 unsur yang dikatakan oleh Syed Zul itu sudah dimasukkan dengan sempurna dan berkesan, dan aku takkan tahu nasib filem ini untuk tayangan seminggu ini (memandangkan wayang kita sudah mati), tapi aku amat berharap, walaupun filem ini penuh dengan canggung dan nodanya, gerak watak yang lompong dan pengarahan yang polos, filem ini dapat dihantar ke festival filem antarabangsa yang khusus di negara-negara penduduk Islam majoriti agar persoalan-persoalan dalam filem ini yang jelas segar dalam keadaan semasa, diperkatakan dan dibahaskan untuk masa yang terdekat.