26 October 2010

Keputusan Mahkamah Rakyat: Festival Filem Malaysia

Lalu, wakil rakyat Sentul, marhaen bayar cukai pun berkata:


"Dari nak beri (anugerah) sama rata kat semua pemenang (malam FFM 23), baik FINAS mansuhkan FFM dan beri duit anugerah sama rata kat semua produser filem!" - Sinaganaga.

21 October 2010

2 Alam (2010): Filem Laknat 2010



Mukadimah
:
- Semalam, kami diberi peluang untuk menonton filem ini sempena pelancaran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23. Ada satu kemenangan dalam FFM semalam (Anugerah Cipta, anugerah yang sedikit kecil sebelum anugerah Panca Delima untuk kategori-kategori yang lebih besar malam Ahad ini) yang buat aku mahu menonton sebuah filem yang aku terlepas, iaitu My Spy. Aku menyorak puas apabila mendapati Shashi Taran memenangi pelakon harapan lelaki terbaik semalam untuk Estet, dan Daphne Iking untuk Belukar.

- Adakah dengan kehadiran anugerah "filem komedi terbaik" dalam FFM ini akan konsisten, seakan membayangkan FFM kali ini semacam Golden Globe Awards? Adakah hal ini disengajakan untuk memaparkan "dinamisme" FFM yang tampak "mahu gah tapi s.s."?

- Amir Muhammad benar apabila menyatakan, hanya anugerah poster filem terbaik FFM merupakan anugerah yang paling penting, konsisten dan ditunggu-tunggu. Malah pilihan beliau mengena sasaran, Belukar menang poster terbaik (aku memilih V3, walaupun aku pun betul juga, Belukar mesti menang beberapa anugerah, ha ha ha).

- Tetap tersinggung atas nominasi filem kali ini di FFM. Ini bukan sahaja kerana Mualaf langsung tidak tersenarai tetapi cara penyenaraian filem (termasuk mengnominasi si wanita yang berlakon dalam 2 Alam) dilakukan. Tahun ini merupakan tahun terburuk buat FFM, dari segi filem bertanding serta senarai nominasi.

- OK, meh kita bedah filem "gah boleh dapat rm10-40 juta" yang sebenarnya aku tak sanggup nak bedah kerana risau ia benar-benar akan menggoncang reputasi produsernya ...

- Ulasan ini banyak SPOILER, so you've been warned.

Adam Dah Mati (1):
- Pertamanya: Aku tidak pernah semengamuk begini sewaktu keluar dari pawagam, mahu sahaja aku tumbuk si Dr., sang pengarah serta penulis skrip, kelar dan rejam mereka cukup-cukup.

- Inilah reaksi pertama aku sejak keluar lantas SMS kepada kawan-kawan:
"2 Alam is a filthy, disgusting, boring, aimless, puny of a f-i-l-m. A disgrace of the highest order!"

Amy Nak Mampus (1):
- Ini "filem" Dr. Rozmey. Yang lain sudah tidak relevan. Filemnya(?) senang, sang transgender bernama Amy/Adam bunuh diri lantas menunggu untuk dibela Tuhan dan keluarganya (ini filem dakwah, atau paling senang, transformasi teks ruangan Mastika). Soalan yang senang, adakah kita peduli? Inilah soalan terpenting untuk melalui filem ini.

Adam Dah Mati (2):
- Babak dan imej yang ternyata memberi rasa "sinema" atau "wayang" hanya berlaku dalam masa 4.7 saat dalam keseluruhan 86 minit klip panjang ini. Ini sahaja imej atau babak yang "betul", ini sewaktu keranda mayat Adam/Amy diusung masuk ke rumah ibu bapanya. Terdapat sentimen "pilu" dan "debar" yang susah hendak dinyatakan (mengikut imej-imej berbalik dari keranda- ibu bapa- si ustaz). Aku merasakan, "ahhhh ... indah", mereka mendapat gambaran ini bahawa dalam filem tentang "kematian" perlu dipaparkan kehidupan atau kepentingan "hidup". Tetapi hal itu hanya "berakhir" di situ seperti serpihan habuk yang mengikut angin.

Amy Nak Mampus (2):
- Ada perasaan teruja apabila mengetahui filem ini sebuah filem tentang "kematian". Tetapi juga satu "petanda" yang mencurigakan. Begini: Pertama, yang paling penting, filem tentang kematian sebenarnya sebuah filem yang "meraikan hidup". Ini jelas sebagai memahami fungsi "wayang" di mana semua wayang berakhir mengikut fitrahnya. Maka dengan menyatakan "kematian" (memahami pengakhiran sebuah filem), kita mencari sisi-sisi kehidupan yang boleh diraikan atau diinsafkan agar "meninggalkan dunia" itu "worth it" (di sinilah kita mencari semangat untuk berhibur, sedih, takut atau apa-apa perasaan mengikut genre yang ditetapkan). Rujuk mana-mana filem kematian yang bermutu seperti, Nasib si Labu-Labi, Those Who Love Me Can Take The Train, Le grand voyage, The Babarian Invasions (yang ini aku tak berapa suka, tetapi merupakan antara yang diraikan pengkritik antarabangsa) dan Jacob's Ladder. Kesemuanya memahami ekspresi ini. Secara menariknya, kita diberikan "sedikit" cahaya tentang hidup Adam/Amy, tetapi atas sebab kelurusan filem ini menuju ke arah dekaden Adam/Amy, tanpa memberi ruang dan peluang bagi "watak"nya untuk didimensikan dengan riwayatnya dan riwayat keluarga dan teman kampungnya, isi hatinya, sejarah kecilnya, kita diberi satu sisi sahaja ke arah "kehancuran" seakan ini sebuah filem DEKADEN yang dibikin Marquis de Sade yang alim fiqh. Simplisistik merupakan dosa besar filem ini. Tidak ada yang dapat diraikan kerana tidak ada satu "helai" benang hidup pun bagi watak-watak hidup untuk "hidup" walaupun beberapa watak cuba dihidupkan (watak gali kubur, watak isteri ustaz menenangkan ibu Adam, watak ustaz).

- Kedua, filem tentang kematian selalunya dibikin oleh para pengarah veteran yang sudah menuju ke akhir hayatnya (Madadayo, The Dead, Saraband), maka ianya semacam hadiah atau ekspresi terakhir buat dirinya (the last departure), keluarganya dan umat bumi (kerana kematian mengakhirkan semua). Ironi, Dr. Rozmey menandakan kerjaya filemnya dengan memulakannya dengan "kematian". Adakah ini satu sumpahan yang disengajakan?

Adam Dah Mati (3):
- 2 Alam kononnya ingin membawa sejenis "seni" atau "style over substance" atas kerana secara literal "2 alam" (hidup/mati, Amy/Adam, lelaki/wanita, dunia/akhirat, fantasi-wayang/realiti, benar/dusta) di sini dipecahkan kepada 2 "jalan cerita" yang mana penunjukan dalam babak itu terkait literal dengan jalan cerita yang satu lagi. Contoh, babak air disiram atas mayat turun ke lantai tanah, lalu dijukstaposisi dengan pancuran air dan Amy bermain buih. Ini mencari "puitis" mungkin. Tetapi The Masseur yang tahu menyusun iem-imej ini secara simbol berkait (juga filem tentang kematian!!) lebih memahami puitis susunan dalam penceritaan.

- Masalah terbesar, dalam dua jalan cerita yang saling ke depan belakang, kami penonton mencari "cerita". Aku berharap-harap benar ia berlaku pada babak Amy-Juan yang ditangkap di tengah malam, tetapi tidak, ia dijalankan secara amat simplisistik, kita semacam mahu mohon balik duit tiket kita.

Amy Nak Mampus (3):
- Ada satu babak yang benar-benar menimbulkan kemarahan pada tahap paling tinggi buatku. Ini sewaktu eksposisi Amy didedahkan (dengan zalimnya oleh lidah syaitan) adalah seorang lelaki yang dirogol (yeap, kes Saiful-Anwar orang akan tuding). Dalam sebuah babak "Yusof Haslam", dengan "bodoh"nya Juan (lakonan sia-sia Royady Madada) memutuskan perhubungan dengan Amy kerana Amy rupanya lelaki (?! - i kid u not). Kemudian dipaparkan satu babak Amy dan Juan berselisih dan kemudian masuk ke dalam kolam renang. Babak ini sungguh jengkel dan ta** kerana ia tidak pun "seni" dan tidak pun memberi apa-apa peranan. Adakah seluruh yang kita tonton selama ini adalah satu MTV yang panjang atau sebuah filpen eksperimental anak-anak pelajar yang merasakan filpen mereka boleh diperpanjangkan dengan babak-babak sebegini lemah?

Adam Dah Mati (4):
- Aku amat-amat merasakan filem ini sebenarnya berdasarkan persembahan pantomin "Selimut Putih" atau "Sakratulmaut" yang kita selalu tonton masa di sekolah sempena Israk Mikraj, Nuzul Quran atau mana-mana hari keagamaan. Aku percaya Dr. Rozmey mendapat inspirasi daripada itu. Aku "nyaris-nyaris" rasa "bertaubat" untuk menonton sebuah filem Melayu pada masa depan.

Amy Nak Mampus (4):
- Beberapa hal teknikal seperti imej "out of focus", runut bunyi dengan suara yang terlalu memekakkan telinga (aku terpaksa tutup telinga kerana desibel aku mencapai tahap kritikal), babak lewah panjang baca surat khabar, MTV MTV tak perlu melemaskan lagi filem ini, sepertimana Amy dan Juan yang menyelam ke dalam kolam.

Adam Dah Mati (5):
- Adakah filem ini dibikin sengaja untuk memperlihatkan penonton dari kampung tidak cukup cerdik untuk kenal Adam itu Amy dan Amy itu Adam dengan dialog terakhir "Mak, nama saya bukan Adam, saya Amy..?" atau menjerumus lagi ubat dakwah(?) yang sedia difahami secara awal? Maaf, ianya langsung tak berkesan.

Amy Nak Mampus (5):
- Apakah keperluan mendedahkan (secara janggal) hidup hedonistik Amy dengan Juan yang entah apa-apa, dengan cumbu-cumbuan yang "tak kena"? Filem ini semacam sebuah filem dakwah bersulam soft-porn yang tidak bernyawa. Cukuplah dengan Jalang dan Akhirat, kenapa filem ini mahu terjerumus dalam serkap yang sama?

Kesimpulan:
Serius, aku tidak ada masalah dengan para jutawan Malaysia yang berduit dan mahu menabur bakti mengangkat industri filem. Hal itu amat-amat digalakkan tetapi haruslah bertempat. Rujuk erti "adil", iaitu "meletakkan kepada tempat yang betul". Jangan membuat dosa, menzalimi industri dan isi kandungannya.

Ini merupakan muhasabah diri untuk aku, serta para produser agar memikirkan satu hal: ketepikan idea anda "Oh saya ada sebuah idea untuk filem!" tetapi sumbangkanlah duit anda kepada penulis skrip-pengarah yang mampu membawa idea besar, atau rujuk novel-novel yang mampu diadaptasi, atau cari skrip-skrip filem yang baik dan menunggu untuk dibikin, agar saluran "duit" yang betul akan tercapai kepada kumpulan kreatif yang betul dan memang memerlukannya. Aku akan maafkan dosa Dr. Rozmey melaknat industri, filem Malaysia serta penontonnya dengan menyumbangkan duitnya kepada penerbitan seperti Hanyut atau membantu mana-mana rancangan berkobar sang pengarah muda/veteran yang memang boleh buat kerja serta visinya memang mahu mengubah dunia filem kita. Sepatutnya, itulah "bayaran dam" yang perlu dilangsaikan atas mempalitkan kedurjanaan yang melimpah persada filem tempatan.

Bagi anda yang sudah membaca, anda sudah diberi amaran, tepuk dada, tanya jiwa.

ps: cara ulasan sengaja dibikin di atas untuk mengambil "semangat" filem ini yang juga berselang-seli tanpa erti dan rasa.

ps-2: Tak, aku tak menyesal tidak memilih Estet, kerana aku memang sudah berniat untuk keluar duit dan menontonnya di pawagam bila keluar nanti. Insya-Allah, lebih berkat.

19 October 2010

Belukar(2010): Mungkin beberapa anugerah FFM di dalam Tangannya ...


OK, demam FFM sudah bermula, memanglah tak terasa sangat (sebab tak ada yang betul-betul boleh didiskusikan sebagai menarik untuk "berlumba", malah terkejut Mualaf langsung tidak tercalon, adakah kerana keInggerisan filem itu?) tapi kenalah jenguk-jenguk juga (benci dan suka kan?) Kali ini nampaknya filem kita dibanjiri filem seram (berongkos B), komedi dan satu dua aksi.

Sebenarnya aku dah lama simpan DVD Belukar ni, sebaik aku baca ulasan kawan aku Ajami, aku terus nak nonton, tapi jadi MALAS bila mendapati ada babak prebiu filem-filem (ini kerja MIG lah ni!) Melayu yang disiarkan, langsung aku tak leh ke Menu Utama atau "skip" dipaksanya aku tonton entah apa-apa perbiu filem yang aku tak mau tonton. Buat MIG, mohon sediakan aplikasi "skip" supaya aku tak keberatan beli DVD kalian lagi!

OK, balik pada filem..

Belukar memang ada sesuatu, tetapi lebih baiklah aku mula dengan mengutuknya dahulu.

Teknik Belukar macam c****.

There.

Aku belajar satu benda: untuk menampakkan "aksi" dalam filem aksi anda, sediakan babak DISKO dan babak-babak GADUH dalam disko (rujuk kesemua filem "aksi" Melayu yang anda pernah tonton).

Aku rasa aksi disko dan filem aksi dalam filem Melayu dah wujud macam adik-beradik. Aku pun tak faham mengapa tetapi inilah tanda tangan yang mereka titipkan kepada kita sang penonton. Maka aku buat penanda aras, kalau aksi DISKO dalam filem tu best, dan aksi GADUH dalam disko tu best, maka kesemua babak aksi dalam filem Melayu/Malaysia tu memang best. Kadang-kadang hal ni bersangkutan juga dengan drama (babak disko Layar Lara best). Dalam Belukar, babak diskonya tak best, babak gaduh dalam disko hambar. Keseluruhan babak aksi dalam Belukar: hambar.

Aku tak tahu dengan Malaysia tetapi ini bukan filem Malaysia pertama yang aku "cringe" untuk melihat suatu babak aksi berkareograf, berancang, bersusun, bersyot kemas, dan ber"aksi" yang baik. Sedari PGL dengan babak silat pendeknya itu, tidak pernah lagi aku jumpa sebuah filem yang benar-benar memberi tumpuan, MASA, dan semangat untuk betul-betul memberi kita "sebuah aksi". Afasal korang ni malas sangat ah, ha Jason Chong?

Ya, akan kembalilah dengan dua masalah BESAR yang menimpa mana-mana filem Melayu, iaitu kos belanja filem dan masa pembikinan... Aku tak tahu, nak kesiankan penonto kita, penerbit kita yang takat-takat bagi duit (di Malaysia, kita menganggap produser hanya sebagai penyalur duit je) atau pembikin filem kita yang mungkin berjiwa besar tapi tak punya daya yang tinggi atas faktor-faktor yang menyelubunginya. Belukar inilah contoh yang besar.

Contohnya, saduran dan suntingan SUARA dalam filem ini merupakan antara yang TERBURUK dalam 2010. Kadang-kadang aku tak DENGAR apa-apa entah yang dikumandangkan pelakon, malah merasakan suara dengung "nggggggggggggg" dalam filem ni macam era filem Melayu 80-an tanpa "uhhhhhh" dan "ummm"nya.

Kedua, syot filem ni HAMBAR, bosan, lewa, lewah, dan suntingan filem ni tidak kemas, ada beberapa yang mengambil masa yang begitu panjang untuk satu babak panning. Ini sesuatu yang NO NO dalam filem aksi/jenayah, tolonglah.. Dah lah filem ni senang, dibikin dalam satu lokasi (resort dan kawasan sekitar Sabah) luar, tidakkah pengarah dan sinematografer tak buat reiki dan papan cerita dahulu untuk dapatkan syot-syot yang menarik? Dan akhirnya, MUZIKNYA, lahabau! Aku dah kata aku tak suka runut bunyi yang main masuk-masuk je.. Malah ada satu babak ni, DENGAN SENGAJA bila Bront Palarae bertanya Daphne Iking, "Ke mana selepas ni" dan Daphne jawab, "ambik fresh air", lantas kereta pun bergerak dan terpasanglah satu lagu entah apa-apa yang panjang (memohon kita mendengar bait-bait cintanya dengan baik-baik, as if we care!), dan babak ini betapalah lewahnya, aku sudah boleh menyukai filem ini, tetapi kerana memerangkap dirinya ke dalam satu KONVENSI filem Melayu (di mana kita ada satu babak luas yang panjang dengan runut bunyi lagi pop yang kononnya menyatakan, "inilah tema lagu filem ini ya") membuat aku memukul-mukul sampul DVD ini ke lantai berkali-kali.

Aku katakan semua ini sebab Belukar sebenarnya sebuah filem yang ditulis dengan AMAT BAIK sekali.
Link
Serius, walaupun aku sudah TAHU apa yang akan berlaku (jika kau menonton banyak filem jenayah subgenre con/caper), tetapi aku TERHIBUR malah menyokong dan menepuk bahu watak-watak yang "bergerak akhirnya ke matahari terbenam". Ye tuan-tuan dan puan-puan, ini satu filem jenayah yang mempunyai plot twist yang menarik. Malah, tiga filem "con/caper" yang aku gemari (sampai sekarang), The Game (paling hebat dalam gaya, tetap lebih kepada "con" walaupun ada berkenaan "duit hilang"), The Usual Suspect, dan Wild Things mendapat seorang adik baru yang boleh ditimang-timang dari Malaysia. Sebenarnya, kebanyakan filem "con/caper" mempunyai sedikit-sebanyak unsur tiga filem tersebut (dan beberapa klasik zaman NOIR yang mempunyai tema yang sama), malah filem sai-fai Inception juga merujuk filem bergenre ini. Kenapa aku kaitkan Inception di sini? Kerana semua filem-filem ini, seperti mana filem yang kononnya filem caper terbaik, The Sting (walaupun aku tak berapa suka) mengambil idea yang paling dekat dengan sinema/wayang: the idea of lying is to make people believe that it is true; selagi penonton "tertipu" bahawa semua yang anda tonton itu benar (dan ada penggerak yang membohongnya), anda berjaya menipu (deceive) penonton, maka penipuan anda bukan lagi penipuan semata-mata, tetapi merupakan sebuah seni sesungguhnya.

Inilah cita-cita mana-mana pembikin filem dunia di luar sana, untuk menipu penonton bahawa segala yang kita tonton itu "benar". Maka ianya realiti/fantasi terlaksana untuk kita (penonton) dan pengiktirafan "seni" untuk pembikin.

Dan Belukar mempunyai kekuatan ini sekurang-kurangnya di dalam skripnya. Ya, skrip Jason Chong cukup rangup bak keropok Cheezels yang amat lazat sehingga menjilat jari itu, daripada penstrukturannya, watak-wataknya menyelami dinamismanya, serta kejutan demi kejutan yang diberikan.

Rujuk sahaja satu babak sewaktu Daphne Iking diminta "berdrama" yang bukan-bukan memukul Bront yang sakit, lantas memberi kita komedi tetapi pembinaan watak yang jelas dan baik (kita menyedari kerana Bront memberi badannya, dan hal ini bukan sahaja kerana Bront seorang sado-masochist dan Daphne masochist), segala erotis di sini dijaga (erotisme merupakan kekuatan filem ini, tetapi atas kerana filem ini dibikin di Malaysia, banyak hal yang terpaksa di"rendah"kan tensi seksualnya, langsung takde adegan ciuman, dan ini suatu kerugian besar buat filem ini, aku mengesyorkan filem ini dibikin kembali dan menolak ambil pelakon Islam atas sebab sensitivitinya atau usah buat filem-filem sebegini!) dan menyeronokkan tetapi tidak diluahkan sebaiknya (atas nama LPF, filem ini tak patut dibikin di sini, aku sekali lagi menyatakan: if u cant show the sex in a sexual filem, dont do it!). Ini menarik (SPOILER) dengan babak "penyeleraian" yang membongkar kebenaran Bront dan Daphne, maka "perhubungan" gila-gila yang kita tonton separa awal (yang tampak ketidakmungkin tetapi amat "believable") dijawab dalam projektori si Daphne "sengaja" menyusahkan Bront dalam lakonannya kemungkinan atas dasar "cinta"nya yang sebenar,

Ya, filem ini terpecah kepada tiga, perhubungan Bront-Daphne, babak rompakan, dan pembongkaran. Mungkin orang tak akan menyetujui Jason dalam memberi kita babak pembongkaran yang teramat panjang-melodramatik-nostalgik (dengan warna sephia, seakan menyatakan realiti yang anda lihat mungkin "bohong") tetapi aku menyukai bagaimana seronok dan berkaitnya ia terhadap segala "penipuan" (wayang yang dilakukan oleh Bront-Daphne dan kawan-kawan) yang kita lihat sebelum ini di antara Bront-Daphne dan kawan-kawannya. Penanda yang menentukan hal ini (dan sesuai dengan plot dan peranannya) merupakan rekod digital yang dipegang Bront. Ya, rekod itulah merupakan "simbol" kamera pengarah atau kertas penulis, kuasa untuk memberi/tidak memberi, rakam/tidak merakam. Aku suka dengan kecilikan Jason bermain dengan hal "penipuan" bagai kertas nipis ini, menentukan kemahuan kita (penonton) untuk ditipu untuk sedikit "kepuasan" atau memuaskan suatu bentuk libido kita, yang ditentukan oleh sebuah pita rakam/kamera filem.

Lakonan Bront amat-amat baik, walaupun aku lebih menyokong jika pengarah mengambil seorang yang lebih berbadan cantik daripada Bront (cukuplah aku katakan, antara kekuatan imej seks dalam filem ialah kecantikan para pelakunya), seperti apa yang kita tonton dalam Wild Things, tujuan pengarah memberi amat-amatlah murah hati. Daphne Iking mengejutkan aku. This girl can really act, and she got the legs to strut it off! Aku dapat merasakan hawa, nafsu, emosi dan ketenteraman Daphne yang lunak, malah babak-babak dia menangis juga kiut. Hanya ada beberapa babak dia kelihatan kekok tetapi aku salahkan Ramli Long yang tak pandai menangkap babe yang panas ni.

Ya, kemungkinan Jason boleh menang "lakon layar terbaik", Daphne pun, ataupun Bront, kerana tampak mereka "benar-benar" melakukannya untuk filem ini walaupun dalam kekangan yang mereka hadapi. Selepas ini, para prdouser, anda sudah lihat kebagusan Jason, maka berilah ia lebih banyak duit untuk dia buat sesuatu yang lebih baik daripada yang ini.

Dosa-dosa Filem Melayu

Lontarkan kepadaku

DOSA-
DOSA

FILEM
MELAYU


(di bawah komen, sila):

18 October 2010

Wahh Transverse!!

Tiba-tiba rasa teruja pulak nonton filem ni, macam publisiti Dr. tu yang bukan-bukan, berbaloi:


07 October 2010

Magika(2010): Alam Bunian Pascamoden


Aku tak peduli apa orang kata, tapi aku rasa Diana Danielle tu hot dan dia membuat aku gembira, muahahahaha..

Ceritanya senang, mengikut gaya plot Labyrinth tetapi sudah tentu dengan latar, motivasi dan watak tempatan. Kita juga diberi pemahaman bahawa "alam Magika" ini merupakan alam "bunian" dalam tradisi cerita-cerita "tok nenek". Penting untuk difahami dalam filem sebegini (rujuk Alice in the Wonderland, Wizard of Oz, Chronicles of Narnia, dll.), atas kerana latar dan watak yang berhubung dengan protagonis (Diana yang mencari adik lelakinya, Fimie Don) akan secara langsung atau tidak langsung "mengubah" cara si protagonis melihat dunia realitinya. Ini adalah perlu.

Pada awal filem, kita, penonton, diberi "sekilas lihat" watak Maya Karin sebagai "Puteri Bunian", yang bukan satu, tetapi berpuluh memenuhi alam "Magika" di tepi tasik. Babak ini menarik (walaupun tidak ada peranan kuat dalam cerita) dalam beberapa hal. Kita, penonton, merupakan kumpulan "voyeur". Babak ini memberi ekslusifiviti untuk "menghendap" dara-dara bunian ini "mandi". Ini diperjelaskan dengan babak terkemudian yang memaparkan si manusia Fimie (sebagai mewakili kita) yang sampai sahaja di tempat itu "menghendap" bersama dengan Pak Pandir (lakonan Aznil) dan ayamnya (simbol ayam ni kiranya disengajakan). Hal yang puteri bunian ini buat merupakan sesuatu yang peribadi dan eksklusif, seakan-akan macam ritual (nyanyian pun berlaku, bukan sahaja sebagai pembuka kredit), ia juga menerangkan "keajaiban" yang akan ditunggu-tunggu penonton (perubahan warna sephia dalam dunia realiti kepada warna-warni dunia fantasi Magika juga sudah menjadi klu). Persoalan, adakah ritual dan Maya Karin ini dapat menggamit dan mempesona kita (voyeur paling luar) dengan lamanya sepertimana Pak Pandir dan Fimie?

Ada yang menarik dalam dunia Magika ini, tetapi ada juga yang dipersoalankan. Aku amat-amat setuju dan menyokong sebilangan pengkritik dan penonton yang bangga dengan tujuan murni Edry selaku penulis skrip (bersama-sama Amir Hafizi) dan pengarah untuk membawa watak-watak dongeng Melayu ke skrin. Magika semacam sebuah dunia yang bukan sahaja "mengingatkan" kembali generasi muda terhadap watak-watak menarik dan eksentrik klasik Melayu ini, tetapi membawa pemaknaan pascamoden terhadap watak-watak ini mengikut latar sekarang. Hal semacam Nenek Kebayan (Ziana Zain) yang penduduk Magika tidak tahu baik/jahat, Puteri Gunung Ledang (Ning Baizura) yang sudah tua kerepot, Hang Tuah lima beradik (Saiful Apek dan Senario) bertutur Utara, Bawang Putih dan Merah (adik-beradik Armani) yang berkawan dan menjengkelkan merupakan satu intepretasi yang menyegarkan. Maka "dunia" yang dicipta ini bukanlah dunia "bunian" semata-mata tetapi dunia "yang dilupakan" dan mempunyai tujuan "dibangunkan" untuk mengubah pendirian Diana dan Fimie, serta kita.

Malah, ada satu bahagian yang menampakkan keajaiban dan kepelikan lagi dunia "ngeri" (mengikut kata Roger Egbert) apabila manusia "bermimpi" di dalamnya, kita boleh juga bertemu dengan arwah saudara kita yang sudah pulang. Tetapi projektori ini juga sebenarnya "harapan" protagonisnya, Fimie. Kita percaya "fantasi" atau "mimpi" Fimie ini benar kerana Fimie benar-benar berubah menjadi "berani" selepas dia bangun. Ini yang diharapkan juga berlaku terhadap Diana (atau kita).

Jadi bagaimana pula susunan dunia ini untuk membuat kita "berubah"? Di sini merupakan kelemahan Edry dan Amir Hafizi. Aku memahami, kadang-kadang watak yang dibangunkan, juga babak dalam filem ini diadakan, hanya sebagai sandaran hiburan (malah merupakan babak paling melucukan) melebihi peranan cerita (cerita di sini ialah Diana dan Fimie). Rujuk babak Puteri Gunung Ledang yang panjang. Babak itu tidak mempunyai tujuan apa-apa terhadap Fimie dan Diana, malah tidak pernah Diana atau Fimie bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Hal ini menjengkelkan kerana ia melewahkan cerita tanpa apa-apa tujuan membangun.

Tetapi Edry juga perlu dipuji kerana dalam babak awal sewaktu Diana memasuki dunia Magika ini, dirinya jadi kacau-bilau dengan Pak Pandir dan Mahsuri (bertutur Siam). Hal eksposisi dan menyedarkan kita, dan mainan objek seperti duit kertas dan syiling mencuitkan, dan membawa pemahaman kita terhadap dunia ini (dunia ini kacau-bilau dan memelikkan). Sehinggalah Diana terperangkap dengan jerat Mawi, mula dari situ, dunia ini menjadi "goyang".

Aku benar-benar cuba bersimpati dengan semangat Fimie yang kehilangan ibu, dan cara ia berubah diri. Aku cuba juga menyukai Diana dan mengikuti susah-payahnya. Tetapi ruang dan kepanjangan cerita tidak memberi aku harapan ini. Ini adalah kerana, segala yang disusunkan dalam filem ini, babak dan watak demi watak tidak dibina dengan "pembinaan". Mengapa Diana tidak dapat melihat "jambatan" di Tasik Cini masih samar-samar (tidak dibina dengan elok dari awal, mungkin pengarah perlu menyatakan, seperti The Neverending Story II, lebih lama si manusia tinggal dalam alam fantasi itu, dan menyukainya, lebih cepat dia akan hilang ingatan untuk pulang ke tempat asalnya), juga bagaimana dia menaruh hati dengan Badang (Mawi) (aku tidak salahkan kepapanan Mawi yang bergerak macam Errol Flynn, tetapi kita tidak diberi detik dan masa yang ikonik untuk menyedari Mawi dan Diana makin intim). Hal-hal ini hanya berlaku dengan cepat dan lalai hingga kita tidak sedar "mereka bercinta".

Sebenarnya, kekuatan yang dicari ini perlu diisi oleh babak tarinyanyi yang ada dalam filem ini (setiap 10 minit!), tetapi ada yang menjadi, ada yang tak. Babak tarinyanyi Pak Pandir serta tiga pokok merupakan babak yang paling berkesan, walaupun bukan dari segi kareografi. Aku menyukai lagu dalam filem ini, serta liriknya yang dapat membawa maksud. Tetapi dalam bentuk aksi, ianya masih kurang, malah masih berbentuk Hotel Mania yang aku tonton di TV. Ia ada kerana ia ada tanpa benar-benar memberi simbol tertentu. Kekuatan menangkap imej, dengan syot tertentu, dengan penggunaan simbol dan latar tertentu masih kurang. Rujuk sahaja babak "minimalis" Puteri Gunung Ledang yang aku percaya, jika ia jatuh kepada tangan seorang pengarah muzikal, landskap istana akan jadi lebih luas dan tidak hanya bergerak dalam bilik beradu puteri sahaja, potret gambar betul-betul dimainkan, cermin betul-betul dimainkan, tingkap, dan apa-apa objek yang membanding dan menampilkan "tua" dan "muda" tentu dimainkan, dan disertakan dengan tarian (di sini, kita lihat dayang hanya latar dan berdiri dalam bilik serba kecil). Malah, lihat sahaja babak pergaduhan Awang Kenit-Diana/Fimie serta Mawi-Nenek Kebayan. Babak yang menimbulkan rasa "Rocky Horror Picture Show" (kerana lagunya amat-amat memikat!) jadi lesu apabila kita tidak ditunjukkan dengan kehebatan Awang Kenit dalam aksi melawan Diana dan Fimie (di sinilah kita boleh paparkan kenapa Fimie ini "penakut", dan bagaimana Diana, kakaknya yang jengkel dengan adiknya tetap dengan yakin, membela adiknya). Kita hanya dapat babak Nenek melempar beberapa mangkuk dan Mawi mengelak.

Aku tahu, sebenarnya memang susah untuk membuat sebuah filem fantasi, apatah lagi sebuah muzikal kerana permintaan efek khas, logik dalam ikatan dunianya serta pengimbangan cerita, watak dan magisnya. Setakat ini buat aku, Fantasi(1994) arahan Aziz M Osman merupakan filem fantasi yang hampir baik pasca 1980, aku tidak menemui lagi muzikal yang boleh dikatakan muzikal terbaik Malaysia (aku tidak pernah menonton filem-filem Ahmad Fauzee), tetapi Magika ini bolehlah dikatakan mendepani pada abad ke-21. Tetapi, seperti mana-mana filem sebelum ini, Magika menunjukkan kita masih kekurangan kuasa perancangan dalam penggambaran aksi (dalam filem ini, malah, kita tidak dipertontonkan babak Mawi bergaduh dengan anjing, kita susah mahu melihat Mawi benar-benar "Badang"), kita masih kekurangan kareografi dalam penggambaran aksi, dan ini tampak dalam babak tarinyanyi yang juga memerlukan kuasa objek dan aksi yang diimbangkan dengan baik.

ps: Poster tu dekat-dekat macam Enchanted, heheheh

06 October 2010

Endhiran(2010): Mengapa Rajnikanth Seorang Dewa di India



Semalam, aku menonton filem terbaru "superstar" Tamil ini di Colliseum (untuk mengambil feel), harga tiket berhara RM15 untuk Kelas Khas, dengan leteran awek aku kerana menontonnya dekat maghrib.

Aku perlu katakan sesuatu tentang fenomena Rajnikanth dan filem Tamil. Pertamanya, bahasanya. Ada sesuatu dalam bahasa Tamil, yang kita tidak akan dapat memahaminya. Dalam semasa aku menonton filem ini, ada beberapa dialog yang menyebabkan penonton Hindu tempatan boleh menepuk tangan dan ketawa. Aku tergaman. Dan Rajnikanth, ada beberapa babak, lebih-lebih lagi babak "mengembek"nya telah menyebabkan orang ramai bersorak, tepuk tangan dan ketawa. Aku rasa, aku takkan faham dengan tradisi-fenomena ini (secara diam-diam, aku masih mengkagumi Kamal Hassan yang bagi aku, merupakan seorang seniman yang layak dipromosi oleh India sebagai duta mereka).

Aku juga sedari (walaupun bukan semua teks sains diterjemah, malah dipaparkan dalam filem ini, orang India belajar sains menggunakan bahasa Inggeris!) bagaimana betapa gah dan tanpa malunya orang Tamil membesar-besarkan bahasa mereka. Dalam satu babak awal, semasa "endhiran", "robo" atau robot ciptaan Dr. Rajnikanth dicipta, ia bercakap bahawa "bahasa Tamil merupakan bahasa primer saya" dengan bangga (dan secara pelik, selepas itu dipinta ajar sebutan vokal). Aku tergamam bagaimana bangga dan kuatnya jati diri orang Tamil ini terhadap bahasa mereka, yang aku sedari tidak berlaku dengan dunia hiburan segelintir kita.

Cukup untuk itu aku membebel. Maka berbaloikah filem ini? Ya, mungkin jika anda merupakan penyembah Rajnikanth. Kepada yang skeptik seperti aku, atau penonton "luar", ada beberapa hal yang kami persoalkan, dan kami bukan mempersoalkan "kebesaran" hakiki Rajni, tidak, tetapi filemnya dan apa yang ia bawa.

Sebenarnya Endhiran (robot, mesin dalam terjemahan Tamil?) memberi suatu ruang para pembikinnya untuk membikin sebuah filem fiksyen sains yang menghiburkan, menyatakan dengan telus dan keanak-anakan, apa jadi jika sebuah robot diberikan "hati" lantas boleh bercinta (rujuk Tin Man dalam Wizard of OZ). Persoalan stereotaip tetapi menarik ini telah memberi ruang kepada Hollywood dalam pelbagai bentuk permainan kepintaran buatan, antara yang terbaik merupakan A.I. dan Blade Runner dalam hal ini, tetapi Bicentennial Man, I. Robot dan Heartbeeps bolehlah dijadikan rujukan biasa.

Premis yang digunakan dalam filem ini terpecah kepada dua, iaitu "penemuan" berkenaan robot yang dipanggil Chitty (lakonan mencuit Rajnikanth), yang mana, kita diberikan peranan dan fungsi robot/Rajnikanth yang "adikuasa" melakukan segala hal yang manusia biasa tidak boleh lakukan (ini menimbulkan rasa fantasi dan fairy tale). Kemudian, kita diberikan satu plot yang melangkau masuk ke fasa "ganas", yang mana strata cerita Rama (Rajnikanth)-Sita (Aishawara Rai)-Ravana (Chitty lakonan Rajnikanth) diulang dengan pengkhususan kepada analogi King Kong "the beauty killed the beast". Secara penyusunan, tidak ada unsur yang menyebabkan, sebenarnya filem ini sebuah filem yang boleh melangkau intelektual kita (filem fiksyen sains, perlu melangkau intelektual dan viskeral kita) malah filem ini dipersembahkan dengan mudah dan lewah sekali. Kita tidak temui persoalan manusia dan sains yang "besar", hanya hal dasar tentang sebuah robot yang diberi peluang untuk menjadi "manusia". Pendek kata, separuh skrip filem ini sebenarnya merupakan tipikal buku kanak-kanak sai-fai yang diterbitkan DBP pada 80-an. Malah "kartun" boleh menyamakan kandungan dan perasaan sebenarnya.

Ini dinyatakan kerana sebenar-benarnya filem ini merupakan "mesin jana" pelestarian bintangnya, Rajnikanth. Ini dipaparkan tanpa selindung, dalam satu babak tarinyanyi di mana tanpa segan silu, Rajni (sang robot) dan Aishawara dinyatakan: "Si Tuhan dan Si Ratu Dunia, sama padan sama menawan menggegar dunia". Atau sekurang-kurangnya begitulah liriknya. Bukti satu lagi, sewaktu awal-awal robot itu dicipta, kita ditunjukkan, robot ini di asas programkan dengan "menari" dan "seni pertaruhan", dua esensi utama yang rasa perlu mungkin dalam jati diri orang India (atau si bintang besar Rajnikanth). Ini membawa maksud yang menarik, adakah Rajnikanth mensatirakan dirinya sendiri, menyatakan "sang dewa" dalam dunia hiburaan Kollywood (atau boleh juga Bollywood) merupakan "robot" dan "hamba" kepada massa? Ini menarik jika kita lihat segala "pengorbanan" yang dibuat oleh robot Rajni terhadap "tuannya" Aishawara, secara tidak langsung menghiburkan para penonton (kita). Ini ditambah lagi dalam satu babak, dengan sengaja, Dr. Rajnikanth "mencipta" sebuah robot yang "menyerupainya" (dan tidak boleh robot rupa lain!). Kita faham analogi ini dalam ajaran Kristian, Tuhan mencipta manusia mengikuti "imej"Nya. Malah Dr. itu sendiri menyatakan, Chitty si robot merupakan "avatar"nya (mengikut pemahaman Hindu, suatu makhluk kelahiran semula Vishnu yang menyelamat manusia mengikut zamannya). Di satu babak, Chitty sendiri yang melengkap dan menarik besi dan senjata orang jahat ke badannya, membentuk secara sengaja dirinya sebagai Dewa Hindu(!) lantas orang kampung terus menyembahnya (aku teringat penjelmaan Bodhhistava dalam ajaran Buddha-Sino). Kemudian, kita dinyatakan dalam satu babak secara jelas, si Chitty "mengaku" adanya Tuhan kerana dia DICIPTA oleh Dr. Rajnikanth, seorang manusia!!! Ini memenuhi transformasi pemahaman filem ini, bukan dari segi plot lagi (si Dr. bermain kuasa sebagai Tuhan) tetapi memenuhi ego bintangnya, bahawa dia memang "dewa" yang menghiburkan dan tidak ada tolok bandingnya.

Keadaan penyembahan kendiri dan penampakan ego ini buat aku tipikal jika anda memang Rajnikanth. Aku tidak ada masalah dalam hal itu, malah aku mengingati filem-filem lakonannya yang mana, beliau memang seorang "hero" terhadap golongan marhaen, khusus Tamil. Tetapi kaedah yang dilakukan yang aku persoalkan, persembahannya, turutannya dan cara diselesaikan.

Memang, ia amat memeranjatkan untuk melihat bagaimana orang India suka membesar-besarkan sesuatu. Malah, maaf cakap, aku masih ingat (dan sudah jarang digunakan kerana istilah berlandaskan perkaumannya) bagaimana orang Melayu selalu menyatakan, "cerita keling" terhadap "cerita yang diperbesar-besarkan", begitulah yang aku jumpa berselerak di dalam filem ini! Babak contoh seperti bagaimana Chitty si robot boleh menyusun berpuluh senanapang yang tersusun seperti kipas lantas memicu senapang yang berderet panjang itu. Ini belum lagi apabila Chitty dan klonnya membentuk "naga" (hal ini melengkapi rujukan aku terhadap filem ini dengan King Kong).

Aku tidak ada masalah lagi dengan unsur sebegitu oleh sebab ini memang filem TAMIL dan seharusnya, hal-hal "besar-besaran" itu (oleh sebab itu aku suka filem Kamal Hassan, walaupun ada unsur sebegini, tetapi diberikan motif dan alasan logik serta struktur yang berkesan) perlu wujud dalam filem Rajnikanth yang berhubung dengan "hiburan". Malah beberapa babak seperti si perempuan bogel yang dibawa keluar untuk diselamatkan dari kebakaran, si Dr. yang membentuk robot menyerupainya, pergaduhan stereo sehingga dipecahkan, merupakan hal-hal "besar-besar" yang remeh mungkin dalam budaya hidup orang India, yang penuh semangat dan rasa membuak-buak.

Tetapi aku tidak boleh memaafkan beberapa hal yang amat mencacatkan filem ini, seperti bagaimana Chitty bercakap dengan nyamuk! (plot ini untuk memaparkan betapa romantisnya Chitty, hal yang mana hanya penonton India sahaja yang mampu menelannya) Bagaimana Dr. Rajnikanth membuang si robot di sampah awam tanpa berfikir untuk menyimpannya ataupun menghancurkannya habis-habis atau menyimpan cip otak robotnya (adakah kerana emosional begitu orang India?) sehingga menyebabkan si robot "hidup semula" dan diambil oleh musuh Dr. Rajnikanth untuk dipasang semula, bagaimana darah Rajnikanth yang beberapa minit tidak kering dan bagaimana si dua pembelot yang bekerja dengan Dr. Rajnikanth pada akhir plot, boleh BEKERJA kembali dengan Dr. Rajnikanth di makmalnya??? Inilah hal yang menyebabkan kita persoal filem ini yang dikatakan sebagai blokbuster paling besar, paling agung yang pernah dibikin di India sebagai sebuah filem yang terhebat. Maaf, ada seratus lagi filem agung Tamil yang boleh menandingi filem ini, walaupun lakonan Rajnikanth dan Aishawara Rai dalam filem ini baik, dengan susunan lagu A Rahman yang mendayu (dan amat mencuba untuk berinovasi).

Akhir kata, untuk menambahkan poyo filem ini, dalam satu lirik, si Chitty menyanyi, "Data kau susah mahu dicari walau di Google sekalipun!" Aku tak bohong!

ps: Sekurang-kurangnya, ianya amat menyeronokkan untuk melihat Aishawara kembali ke lidah ibundanya setelah berlakon entah berapa Hindi.

04 October 2010

Esei Kontreversi Aku dalam Orang Macam Kita



Yeap, aku dimohon oleh sang editor projek buku ini untuk menelusuri sesuatu tentang "homoseksualiti" dalam filem-filem Melayu yang aku rasa susah sikit nak "jumpa". Berat sih. Tetapi dengan berkat azam, aku menonton The Celluloid Closet dalam sekali duduk serta mula membuat rujukan dalam filemkita.com, imdb.com serta laman Sinema Malaysia, serta menonton dan "mencari" beberapa VCD dan DVD (tapi memang, tak lah sedalam yang dilakukan Amir untuk 120 Malay Moviesnya), tidak kurang juga beberapa rujukan ilmiah.

Aku amat terkejut dan suka dengan apa yang aku jumpa, seperti:

- Apa kaitannya Pendekar Bujang Lapok dengan homoseksualiti?

- Muzikal Rozana Cinta melangkaui zaman mengalahkan sinema Taiwan/Cina dalam paparan lesbianisme?

- Apakah filem Malaysia pertama yang mengundang adegan seks gay di layar?

- Berapa banyak kalikah mak nyah dilestarikan dalam layar Melayu? Bila? Kenapa mereka merupakan tokoh yang paling "senang" dipaparkan?

- Apakah kaitan Man Laksa dengan homoseksualiti pada peleraian konflik filem itu?

- Apakah kekuatan pembikin filem muda berbanding pembikin lama dalam isu ini?

- Kenapakah filem Waris Jari Hantu penting dalam kredensi filem gay Malaysia?


Dan banyak lagi persoalan yang aku kemukakan dan aku pertaruhkan untuk dipersoal, diperbincang dan dicari jawapannya sama-sama.

Segala yang cantik, yang buruk, yang estetika, yang murahan, yang kultus dipaparkan tanpa prejudis, malah aku menolak "menghukum" secara objektif (aku tidak mencari nilai, tetapi mencari petanda dan simbol yang memberi kod-kod tertentu terhadap keadaan dan tujuan filem itu, malah ya, dalam teori filem gay, setiap filem mempunyai agenda, atau setidak-tidaknya, identifikasi secara tidak sengaja), tetapi, dengan mengambil semangat The Celluloid Closet Russo, aku "menonton" seadanya dan cuba "membawa ke hadapan" manikam-manikam yang sudah lama terselindung.

Adalah sedikit kuasa merah jambu sebagai mengambil semangat bumbu penulisan sebegini.

Kalau korang berminat, boleh beli melalui talian dengan taukehnya di sini.

Buku ini juga boleh didapati di Silverfish.

Ulasan "Inception" Aku dalam Dewan Budaya Oktober 2010


Kali ni, hatrik! Tiga bulan berturut-turut diterima, huhuhu..