10 January 2017

Lima Filem Malaysia yang Boleh Menaikkan Industri Filem Tanah Air


Aku terdiam seketika dengan soalan meme yang keluar daripada Akif Irfan, seorang ahli kumpulan facebook Movie Addict. Soalannya, "Boleh beri cadangan tentang 5 filem tanah air tidak kira bahasa ataupun bangsa yang wajib ditonton? Tidak kira tahun bila sekalipun. Filem yang mampu menaikkan industri filem tanah air." membuatkan aku tertanya-tanya juga, kita ada ke filem yang mampu menjadi "filem suri teladan" untuk menaikkan industri tanah air. Poin "industri tanah air" itulah yang membuatkan aku susah hendak menjawab pada awalnya, kerana aku bertanya pada diri, "Kita ada ke industri dalam filem"? Jadi, aku bayangkan, mungkin, filem yang aku senaraikan ini, mungkin, bukanlah yang terbaik, tetapi sekurang-kurangnya memenuhi beberapa faktor yang (1) sekurang-kurangnya mengangkat martabat kita di ruang luar negara, menjadikan negara kita, filem-filemnya, menarik untuk dilihat oleh orang luar dan diperkatakan, (2) membina pengaruh dan inspirasi berterusan, dalam negara atau luar, baik daripada penerbit, pengarah, penulis layar, pelakon, gerak pembikinan dan kru teknikal belakang pentas, (3) mempengaruhi pembikin/pengarah/pelakon baharu untuk turut terinspirasi membina filem dan menurut jejak teknik dan isi yang sudah diberikan, (4) membina suatu aras tanda baharu dalam perfileman kita, yang seterusnya akan dirujuk, disalin, mahupun diperkatakan pada zaman mendatang, (5) secara mudahnya, masih terasa penting kerana kehadirannya mengubah cara kita menonton dan membikin filem tempatan.

Di sini, aku perturunkan lima, dalam kefahaman aku, masih mampu menaikkan suatu kefahaman "industri" perfileman dalam skala dan persekitaran kita, yakni, suatu kolaborasi yang menjadi, yang kolaborasinya, kalau terhimpun, masih boleh diteruskan, dan harap-harapnya, menjana keuntungan untuk industri itu "hidup", atau sekurang-kurangnya menentukan hala tujunya pada masa hadapan:

1. Puteri Gunung Ledang (2004, PGL)/Hanyut (2012) (seri) - Untuk filem epik atau filem berbentuk monumental yang berjaya dibikin dengan kos, kepakaran, kekuatan teknik dan himpunan pelakon paling besar dalam sejarah perfileman kita. Filem berbentuk ini selalunya menunjukkan kekuatan karisma dan harapan para pembikinnya, yang membuka inspirasi untuk generasi seterusnya "boleh" lakukan dengan lebih baik lagi. PGL dan Hanyut seri dari segi berjaya menarik kepakaran orang luar Malaysia untuk turut sama-sama menjayakan projek yang besar dari segi latar tempatan ini (lalu menarik perhatian media luar untuk menelitinya). Jika filem ini dibandingkan dengan filem skala besar Red Haired Tumbler in Malaya atau Merong Mahawangsa, kolaborasinya lebih berjaya dan terasa kehadirannya dalam paradigma mengubah pembikin filem berskala besar. Malah, pelaku atau barisan orang di belakang tabirnya telah berjaya meneruskan kerjayanya dalam "industri" itu, khususnya bagaimana PGL memperkenalkan Mamat Khalid sebagai penulis skripnya (cerita asal), yang kemudiannya menjadi antara auteur tempatan yang berpengaruh pada tahun-tahun seterusnya. Filem epik seperti Hang Tuah tidak dimasukkan kerana filem itu di bawah kelayakan Singapura untuk menuntutnya, dibuat sebelum Malaya merdeka.

2. Raja Bersiong (1968) - Filem impian Perdana Menteri pertama kita memang monumental dan merupakan filem "underrated" yang memulakan pembikin filem berskala epik-nasional (fikir besar untuk filem). Filem ini memakan masa bertahun untuk menyiapkannya, dengan pewarnaan sinematografi yang indah, dan lakonan gaya era Jalan Ampas yang baik, ini Cecil DeMille kita yang dilupakan. Gerakan untuk membikin filem epik selepas itu tidak terdaya, khususnya atas masalah kos. Jamil Sulong, pengarah filem ini, yang sedaya upaya mencuba seterusnya, dengan Sumpahan Mahsuri (1989, percubaan ini baik tetapi tidak dipeduli oleh masyarakat sewaktu ditayang), kemudian Raja Melewar (1998), memamparkan ketidakmampuan ini kerana perbelanjaan yang terhad. Juga seperti drama kostum-period Jasmin (1984) yang terpaksa "terhenti di tengah-tengah" kerana kekurangan masa dan belanja untuk merealisasikannya. Ini juga satu-satunya contoh filem berbentuk studio-sentrik, sisa era Jalan Ampas yang menampilkan keupayaan profesional dan pencarian kesempurnaan yang amat tinggi, dan tidak akan dan tidak pernah lagi dapat diulangi. Mungkin, dengan kehadiran gaya pinjaman ruang untuk pembinaan latar, seperti filem Pulang yang sedang dibikin oleh Khabir Bhatia dapat mengulangi kejayaan ini dari segi dibikin oleh sebuah penerbit berbentuk studio (walaupun di Malaysia, masalahnya, semua penerbit kita lebih berbentuk United Artist dan RKO, yakni meletakkan kontrak dalam tempoh yang relatif pendek).

3. Bukit Kepong (1981) - Filem gaya Alamo/Zulu ini mampu membuktikan, apabila fakta bercampur cereka, kita mampu membikin filem yang baik (walaupun runut bunyinya kedengaran ciplak) dengan penggunaan pakar sejarah dan polis negara untuk menguatkan estetika dan realness imej cerita. Aziz M. Osman kemudiannya menurut gerakan ini dengan Leftenan Adnan bersama-sama tentera diraja.

4. Kaki Bakar (2001) - Ini sebuah contoh filem, yang minimalis, tetapi membayangkan segalanya tentang citra dan wajah Malaysia kepada dunia (yang menarik dunia melihat Malaysia). Pengaruh U-Wei dengan filem ini, pasca-Kami dan filem Rahim Razali menampilkan, auteur yang bersikap bikin filem kecil mampu bikin filem yang kehadirannya bersejarah dan penting pada sinema lokal, lalu selepas U-Wei, muncul pelbagai auteur Malaysia dengan filem-filem wacana sosial mereka yang rendah kos, termasuk arwah Yasmin Ahmad, kemudian Tan Chui Mui, Ho Yuhang, yang kini diteruskan oleh mereka seperti Chui, M. Subash, dan Perumal. Kaki Bakar ialah sebuah lagi contoh filem tempatan mengadaptasi karya sastera yang berjaya, malah U-Wei menghasilkan beberapa lagi filem dengan gaya itu, yang jarang-jarang diikuti oleh pengarah/penerbit lain tetapi dipandang tinggi oleh mana-mana pengarah sekarang yang masih membikin filem.

5. Sepet (2004) - Tidak sah, rasanya, Malaysia, jika tidak ada sebuah filem yang muhibah, multinasional, diutarakan dalam pemecahan ruang segregasi penonton mengikut kaum. Selain kru balik tabirnya yang muhibah, intinya sendiri muhibah, malah melangkaui apa-apa yang pernah cuba dibikin oleh Hafsham (saya tidak percaya era P. Ramlee muhibah jika diteliti sejarah tayangan pawagam era itu, bukan era bermula tayangan filem P. Ramlee di televisyen, ini pandangan saya). Malah, kerana Sepet, bermula banyak wacana "wajah sebenar filem Malaysia", tetapi lebih penting daripada itu, Sepet yang lebih mesra dan mudah dengan penonton berbanding gaya art-house U-Wei dan penurutnya, telah banyak membuka ruang perkenalan masyarakat luar negara tentang dunia filem Malaysia dan bagaimana uniknya ia boleh jadi, walaupun imej ini suatu eskapis terbaik untuk membina realiti baharu dalam segregasi masyarakat supaya lebih berintegrasi. Filem-filem Yasmin seterusnya amat dikenali sebagai "filem kecil berjiwa besar" atau "filem jujur". Chui meneruskan gaya ini dalam The Journey dan Ola Bola, yang menumpukan ruang naratif dan kos yang lebih besar.

Beberapa filem yang mungkin akan terlihat pengaruhnya pada industri pada zaman-zaman mendatang: 
Bunohan (2012) - Untuk suatu sinema yang amat baharu, bukan sahaja Malaysia tetapi dunia, dan akan diperkatakan kerana bahasa filemnya yang begitu segar dan mencabar.

Layar Lara (1997) - Jika ada satu filem Malaysia, yang ditonton untuk melihat contoh lakonannya yang berkesan, inilah dia. Filem ini juga merujuk nostalgia dan perjuangan pembikinan filem tempatan, yang seharusnya menjadi semacam buku teks mana-mana pembikin kita, semacam kita punya sendiri "filem untuk filem", macam di Hollywood dengan Singin' in the Rain dan Sunset Boulevard

Kembara Seniman Jalanan (1986) - Sebelum U-Wei, Mansor Puteh dan Anuar Nor Arai, ada Nasir Jani yang membikin sebuah art-house dan avant garde yang berbeza, penuh memberontak dan darah muda. Pengaruhnya ada tampak dalam filem-filem rock seterusnya, dan dihomaj oleh Mamat dalam trilogi Rocknya.

Dari Jemapoh ke Menchestee (2001) - Ulung sebagai filem jalanan pertama Malaysia, yang menampilkan, semangat punk. Sebelum wujudnya istilah "indie", ada punk, dan filem ini menampilkan pendirian liar bebas itu, yang masih mempengaruhi pengarah muda sekarang membikin filem yang berbeza dengan kos rendah,

Matinya Seorang Patriot (1984) - Antara contoh filem Melayu yang tipikal pascakolonial terbaik, tetapi menurut gerak genre bikinan filem Barat, dalam hal ini, ngeri (thriller) bercampur drama. Menjadi sebutan pada eranya, malah membuatkan banyak penurut selepasnya, seperti Yassin (1988), Sayang Salmah (1995) dan Azizah The Legend (1993).

Songlap (2011) - Sebuah filem pasca-Kami yang mengangkat tema kelam realiti sosial Malaysia yang dibikin dengan gaya realisme yang begitu baik. Memang Kami merupakan filem penting wajib tonton yang memperlihatkan gaya neo-realisme digunakan untuk menyampaikan hal realiti sosial masyarakat waktu itu. Namun, Kami agak melodramatik dan menurut kecenderungan dan pengaruh gaya melodrama era 1970-an, khususnya gerakan siri Esok Jins Shamsudin. Walaupun dalam Kami, ada babak eskapis (meletakkan Sudirman sebagai penyanyi yang berjaya) yang unggul. Namun begitu, dari segi pembikinan, kelancaran dan ikatan naratif, dan gaya warna stark gelapnya, Songlap membuka ruang baharu, walaupun mungkin suatu penambahbaikan daripada filem awal seperti Hati Bukan Kristal (1990) dan Bintang Malam (1991). Filem Pekak (2016) menjadi antara filem yang menurut langkahnya. 

Jagat (2015) - Sebuah filem yang menonjolkan kekuatan naratif dan cara untuk menyusun-menyulam 3-4 naratif pada satu sulaman cerita yang terikat baik. Serius.

Polis Evo (2015) - Setakat ini, sebagai filem formulaik generik tempatan yang terbaik acuannya, dan cara membikinnya yang terbaik, khusus aksi-siasatan, inilah dia.

Kolumpo (2013) - Sebuah contoh filem antologi yang baik, yang membuka cara kita bercerita, walaupun terdapat beberapa filem, seperti Cuak dalam gaya sama.

Munafik (2016) - Sebuah filem yang cuba menempa nama dalam subgenre seram yang baharu, yakni seram-Islamisasi, dengan gaya menceritakan kisah seram sambil berdakwah, sesuatu yang sebenarnya sudah wujud dalam kisah-kisah seram di Malaysia. Ini menarik, kerana selain filem ini, hanya Turki yang kelihatan cuba membangkitkan filem bergenre begitu, walaupun kebanyakannya tidak efektif.

Mungkin kalian juga mempunyai senarai yang tersendiri, dan mungkin boleh dikongsikan.