29 July 2016

Dukun Doktor Dani (2016)

Kita kini dalam fasa menunggu filem Melayu best yang seterusnya.

Apabila aku dapat tahu bahawa Sabri Yunus, dengan produksi Balang Rimbun, membikin filem ini, aku jadi teruja. Sabri penulis lakon layar serta pengarah filem ini, dan melihat pada potensi bahan yang beliau hidang di televisyen, beliau mempunyai sesuatu, seorang "pengarah muda" yang tentu akan mewarnakan wayang kita dengan layar yang saksama indah.

Pada tempoh lima minit adegan kampung, memperkenalkan watak-watak utamanya, Dr. Dani (Taufik Batisah), Mak Siti (Khatijah Tan) dan Lepat (Amirul Affendi), tanpa runut bunyi, dengan suntingan cekap Razaisyam Rashid, dan syot luas-fokus-sisi cemerlang Mohd Shah Faizul, Sabri sudah membina "karekter" terhadap mis-en-scene; ini kisah mendepani kebenaran di hadapan ibu (pencipta/penguasa) akan tindakan "u-turn" yang diambil oleh seorang anak muda yang berpotensi. Si ibu, Mak Siti, sentiasa di balik jaring-jaring tingkap, di dalam rumah, malah kadangkala wajahnya sengaja terpotong. Kebenaran dan keikhlasan yang tidak disampaikan. Babak tanpa lagu ini dikuatkan lagi dengan rentetan suara dialog antara watak, tinggi rendah, mimik wajah, semuanya dibuat di tepi tangga rumah, sebagai "pembukaan" pada cerita (ibu rumah). Ibu di sini sudah melihat ilmu sekular, moden dan bandar sebagai unsur "memajukan" malah memuliakan (sikap ini sangat berbeza dengan sikap kampung lwn. kota melodrama Dia Ibuku [1981] atau sikap Tanggang yang klise era 1970-an). Dengan jelas dalam satu babak, walaupun si anak tidak balik ke kampung, tidak apa, walaupun lidahnya mengungkit, Mak Siti tersenyum dan wajahnya ceria. Sabri tampaknya ada sesuatu di sini.

Tapi cerita ini juga cerita sebuah "keluarga", ibu dengan anak, dan jelas-jelas Sabri tunduk terhadap tradisi adab dan moral Melayu (anak kembali mengikut kata ibu/penjaga/orang tua/penguasa). Anak ini sebenarnya, akan melakukan sesuatu yang bilazim, yang bukan biasa bagi orang Melayu, dia akan melanggar "adat kotemporari": meninggalkan kerja gaji beribunya di kota dan pulang ke kampung untuk mencari rezeki baharu, dan ini merunsingkan golongan tua/penguasa (dalam hal ini, penguasa keluarga lebih kepada matriaki/si ibu, ini menarik). Menambah lagi pelik ini, Dani, yang meninggalkan dunia perubatannya (kerana "membunuh" pesakit yang dibedahnya) mula bersahabat, dan kemudian menjadi rakan peniaga Dukun Sudin (Sabri Yunus). Moden tampaknya bertemu tradisional di dalam satu rumah.  

Premis ini tampak menarik bukan? Lebih-lebih lagi apabila kita sudah terbiasa dengan klise moden membawa petanda material, maruah dan kehormatan dalam drama Melayu kita lebih baik daripada kerja kampung lama, bahawa moden, teknologi dan segalanya yang bersifat material dari bandar, menjanjikan (perhatikan banyak drama Melayu ala Cinderella kini yang meraikan kehadiran anak datuk kaya berkedudukan dan bersijil universiti tinggi menyunting seorang gadis kampung). Pertembungan moden yang menjanjikan material, maruah dan ilmu sebenar bagi kekolotan kampung bukan hal baharu dalam wayang/sinema kita, seperti jelas dalam filem Melayu lama yang juga tentang doktor kembali ke kampung, lantas konon membawa "harapan" kepada rakyat kampung serba miskin, Doktor (1958) arahan Phani Majmudar. Atau pertembungan moden lwn. tradisi, yang selalunya, tradisi, yakni dunia perubatan tradisional dianggap tayahul dan merosakkan jika dibandingkan dengan perubatan moden Barat, seperti dalam Tiada Esok Bagimu (1979) dan Bila Hati Telah Retak (1983), walaupun pada era 1990-an, sudah ada percubaan untuk menemukan kefahaman saintifik dalam rawatan/unsur perubatan tradisional, seperti Badai Mentera (1998). Jadi, sudah tentu ada sesuatu yang menjanjikan apabila Dani si doktor muda tiba-tiba "ingin berguru" dengan Dukun Sudin, walaupun ditentang secara emosi oleh ibunya dan juga kekasihnya, Dr. Lily (Fasha Sandha).

Kekuatan Sabri (selain dialognya yang jelas, fungsional dan dirasa natural) yang jelas ialah membawa kembali psyche Melayu yang sudah terbiar lama tidak bergelumang dalam "felem Melayu", sejak Mamat Khalid dan U-Wei tidak lagi bermain di gelanggangnya. Psikologi dan sikap pendirian Melayu jelas ada dalam filem ini. Skap merajuk Dani meninggalkan kerjanya, sikap berlapik tapi keras emosi Mak Siti menentang tindakan anaknya, sikap "cakap beralas" Dukun Dani apabila "langau" atau "penyakit kampung" si Chot (lakonan baik arwah Yus Edoo) di warung makan menurunkan nista. Latar fizikal dan tindak-balas aksi dalam hal ini betul dan meyakinkan, lebih-lebih lagi babak-babak di warung yang memang tipikal dalam drama Melayu, serta ruang mainan rumah kampung (kepentingan ruang luar dan dalam) dalam budaya Melayu. Kita boleh perhatikan hal ini dalam mainan ruang sahaja, dengan penandanya sudah bersuara kuat apabila Fikha (namun lakonan pelakonnya sangat lemah), anak tok penghulu, menjerit-jerit memberi salam di luar rumah Mak Siti, sengaja menandakan kehadirannya (hal ini tidak manis dipandang dalam adab Melayu, lagi-lagi daripada seorang gadis sunti), dan jelas-jelas bertujuan untuk menonjolkan kehadiran diri untuk memikat si teruna yang sudah kembali ke pangkuan ibu.

Namun begitu, mengapa aku rasakan filem ini tidak cukup bumbu? Sabri mungkin bijak dalam memainkan hal yang tradisi, yang dekat dengan Melayu, bagaimana pula dengan teknik, dengan mood untuk membina kepercayaan penonton? Selalunya, inilah masalah besar dalam filem kita.

Pada awal-awal lagi kita diberikan suatu adegan yang lemah. Babak kredit awal dibuka dengan syot adegan di dalam bilik pembedahan. Suntingan pergi-balik pembedahan dan sebelum pembedahan menarik, sehingga membawa kepada babak Dani menghantar surat berhenti kerja dan memandu balik ke kampung. Namun, babak pembedahan itu sahaja, kita tidak diberikan "emosi" untuk mempercayai keresahan Dani dan apa yang menyebabkan sehingga ada kematian. Mungkin juga ini disebabkan oleh kelemahan lakonan Taufik yang terlalu baharu di layar putih. 

Kemudian, berlaku suatu tindakan mendadak yang tidak masuk akal langsung dan dibuat secara semberono. Dani, yang awalnya menolak tawaran dan cadangan kawan baiknya, Lepat untuk "membantu dukun kampung", boleh, dengan tiba-tiba (mungkin terpaut dengan cara Dukun Sudin berubat?) menjadi pembantu Dukun Sudin yang setia (?!) Halnya di sini, mengapa Sabri tidak memberi laluan yang lebih terurus panjang untuk Dani dan Dukun saling mengenal dan merasai hati budi masing-masing sebelum Dani mengambil tindakan "berniaga" dengan Dukun? Betapa mudah dan segeranya seperti Mi Maggi persahabatan mereka diuruskan. Ini dicampur pula dengan subplot yang melibatkan Dr. Lily, dan konflik (yang tidak terasa seperti konflik) Mak Siti dengan Dani, belum tambah lagi pembawaan fitnah Chot yang kelihatan adegannya tiba-tiba dan tidak natural (ada satu babak yang mengejutkan apabila Chot tiba-tiba boleh mendepani Lily tanpa segan silu dan memalukan Dani, juga cuba menggatal dengan Lily tanpa semena-menanya di tengah cerita!). Hal ini kelihatan muddled, cacamerba, tidak disusun letak dengan baik oleh Sabri. Kita kadang-kadang terperasan, adakah filem ini sebuah komedi, melodrama, romantik, drama atau apa? Ditambah lagi kecacamerbaan ini dengan runut bunyinya yang longgar dan tidak tahu emosi mana ia hendak tuju.

Pada babak Dani sudah mula mengambil-alih kerja "dukun" Sudin dengan tiba-tiba, aku sudah hilang kepercayaan kepada filem ini dan tujuannya. Banyak "persoalan" yang dibiarkan tidak terlerai, banyak percubaan melanggar klise (doktor menjadi dukun) dilayarkan tanpa persediaan dan susunan yang betul. Mungkin masalahnya, aku mahu melihat Dani ini, mendapat suatu rahsia daripada Dukun Sudin, seperti Yoda kepada Luke, yang menggoncangnya, yang "membuka matanya" kembali, yang menemukannya kembali dengan jati diri dan kemisteriusan alam Melayu (kerana Dani jelas-jelas rasional orangnya!), tetapi hal sebegitu tidak berlaku, malah rawatan tradisional dan Dukun Sudin hanya alat yang ada pada filem (malah dengan jelas, seperti Sabri membuat pemerian dalam satu babak yang berkait dengan Dani, hanyalah satu alat psikologi sahaja untuk memuaskan pesakitnya), tidak pun memberikan perasaan "pesona" sehingga kita boleh percaya bahawa Dani sanggup lepak lama lalu berniaga dengan Dukun. Takkanlah itu sahaja alasannya untuk tinggal lebih lama di kampung? Alangkah hinanya. 

Mungkin semua ini, mungkin, dapat dimaafkan dengan cara Sabri menghabisi farsa (farce) hilang diri yang telah dicipta ini dengan satu tutup tirai yang menarik dalam satu babak akhir, yang menjadi ruang ketawa yang hillarious. Semua ini atas pertolongan watak Chot yang menggelikan hati, dengan unsur tangkap basah dan kejutan para pelakunya yang mencuit. Sebaik komedi yang kita pernah lihat berlaku dalam filem P. Ramlee.
  
Mungkin filem ini belum lagi suatu adikarya, dan diharapkan perjalanan filem Sabri masih panjang. Sebagai filem sulungnya, filem ini tidaklah mengecewakan, namun kita berharap Sabri Yunus boleh melakukan yang lebih baik daripada ini.