24 August 2009

Gadoh(2009): Peribadi dan Provokasi Pemikiran


Menonton filem ini, aku teringat bagaimana sewaktu di sekolah SMBB Bangsar, aku dan beberapa rakan Melayu (ketiga-tiga kami berpindah ke sekolah asrama penuh) dan India (seorang sahaja, Mahenderan, aku ingat lagi namanya) di dalam kelas sains tulen "kelas budak pandai" secara "lembut" didiskriminasi oleh guru Matematik Tingkatan Empat kami, Puan Lim, dengan majoritinya adalah pelajar Cina. Malah, Puan Lim selalu mempersenda-sendakan "pelajar Melayu" yang kebanyakannya mengambil "ekonomi" atau "sastera". Malah, Puan Lim selalu membawa seekor anjing putih berekor kontotnya ke dalam kelas lalu anjing itu akan duduk di atas meja bersamanya "mengajar" matematik. Kadang-kadang anjing itu akan berlari-lari dalam kelas, membuat aku dan kawan Melayu aku terkemab. Ini adalah sebelum kami mendapat pemahaman bahawa anjing basah sahaja yang tidak boleh dipegang, dan sebelum aku memerhatikan bahawa anjing juga makhluk ciptaan Tuhan. Apa-apapun, atas "kesedaran" Puan Lim bahawa "kebanyakan Melayu lembap", aku dan kawan Melayu aku, Haizril telah bercadang untuk mengambil tawaran sambung belajar ke sekolah asrama penuh memandangkan Puan Lim lebih mahu menjual nasi gorengnya kepala pelajar, bawa anjing mengajar bersama (secara tersiratnya, bukan kerana cikgu itu rasis tapi cikgu itu tidak boleh mengajar) dan menyindir pelajar-pelajar bukan Cina.

Secara terkejut, antara "senior Melayu" yang disindir oleh Puan Lim adalah juga senior Melayu yang turut aku jumpa sewaktu aku masuk berdaftar di MRSM Kuantan. Di MRSM itu, ada beberapa Cina dan India "yang terpilih" untuk belajar bersama-sama dengan kita. Aku tidak pernah ingat para guru Melayu atau pelajar Melayu yang mempersenda-sendakan kawan-kawan Cina dan India mereka ini. Malah para guru selalu memberi motivasi dan memarahi kami pelajar Melayu agar "menjadi sama hebat dan pandai" seperti kawan-kawan bukan Melayu kami yang sememangnya menjadi ikon pelajar contoh. Aku sendiri waktu itu, selalu berbincang dengan pelajar India kami, Krishnan tentang Mahabrata dan dewa-dewa India (yang mana yang lebih kool, yang mana yang menakutkan), melebihi biologi ataupun matematik tambahan kerana subjek-subjek itu membosankan aku.

Pada akhir semester. Krishnan selalu menyatakan kepada aku bahawa dia di"diskriminasi" secara lembut, oleh sebab beliau tidak akan mendapat biasiswa atau tempat di situ, malah kuota bukan Melayu ke MRSM selalu menghasilkan "token-token pelajar" yang berjumlah 2-3 orang sahaja. Beliau dengan penuh rasa pedih, menyatakan akan masuk DAP bila besar nanti.

Kitaran Kebencian sejak sekolah inilah yang dipaparkan dalam filem ini arahan Brenda Danker dan Namron. Tetapi dengan melampaui beberapa ruang fikiran biasa (buat filem tempatan) iaitu melihat pertelingkahan kaum dari sudut mikro dan juga "solusi" untuk memperbaikinya.

Ada sesuatu dalam Gadoh yang benar-benar aku suka. Ya, ia bukanlah sebuah filem drama perkauman yang segah Do the Right Thing(1989) yang merupakan filem terbaik tentang perkauman, malah filem ini lebih cenderung kepada Freedom Writers(2007), filem "pelajaran bermesej" yang dicetuskan oleh seorang guru untuk menghadapi perkauman di mata anak-anak. Menolak semua itu, filem ini mempunyai "edge"nya yang tersendiri, yang masih boleh mengangkat beberapa kening Kementerian Pendidikan serta Kerajaan. Paling penting, ia menyalurkan satu kejujuran tempatan yang tidak menyelindung seurat benang pun. Ia sememangnya sebuah filem yang penting dari konteks kita rakyat Malaysia.

Plot bergerak dengan Cikgu Anne (lakonan Maya Arissa Tan Abdullah) dengan persetujuan pengetuanya (lakonan Chew Kin Wah) mengambil En. Azman (lakonan Namron yang penuh subtle) untuk memulakan sebuah kelab teater di sekolahnya, membariskan pelajar-pelajar yang "bergaduh" antara dua kaum (Cina dan Melayu) untuk bekerja bersama-sama berteater. Dari sini, beberapa pelajar seperti Khalil (lakonan berang dan mendalam oleh Zahiril Adzim) dan Heng (lakonan pertama kali yang memberangsangkan oleh Nicholas Liew Davis) menyedari beberapa perkara yang busuk tentang kaumnya sendiri, serta satu pembukaan mereka untuk memahami kaum lain.

Filem daripada olahan skrip Namron dan R.Chong ini buat aku telah berjaya mengangkat beberapa hal lapuk dan sudah meniti ke arah klise dengan jayanya, tanpa apa-apa halangan "no holds barred" dan secara terang-terangan. Secara makro, kita memang akan mempersoal jika "solusi" yang disampaikan oleh Namron serta R.Chong ini boleh "menjadi" disebabkan ini sebuah filem fiksyen. Yang lebih penting dari itu adalah pendebatan dan perspektif baharu yang disampaikan, baik dari kaca mata Cina, dan dari kaca mata Melayu membuat filem ini "worth experiencing". Ya, aku katakan "mengalami" oleh sebab, secara peribadi, filem ini akan menyelinap di dalam jiwa dan perasaan anda untuk mempersoal dan mencari jawapan dalam beberapa persoalan yang dipaparkan dalam filem ini. Malah aku berani mengatakan, filem ini boleh dijadikan bahan contoh untuk memulakan mana-mana forum tentang ketidakseimbangan kaum dan pemahaman antara kaum.

Aku menyukai latar real tetapi biasa filem ini, mengambil Stor DBP sebagai tapak teaternya , runut bunyi dengan gitar minimalisnya serta lakonan yang bersepadu dan kuat oleh para pelakonnya, terutama pelakon-pelakon mudanya. Malah watak sekecil Ah Long (lakonan Fong u Shin) dalam filem ini juga memainkan peranan penting, memaparkan kekuatan ikatan holistik skrip Namron dan R.Chong. Malah beberapa dialog yang santai tetapi cepat diingat dan bermakna tersembur di sana sini dalam filem ini. Para penulis skrip filem perdana harus belajar sesuatu daripada Namron dan R.Chong.

Hanya aku persoalkan kelogikan Ryan Lee Bhaskaran untuk ikut serta dalam kelab (pengkajian semula identiti) teater sekolah itu. Ryan Lee sebagai Raj dibuli oleh kedua-dua belah kaum pelajar (hal klise tetapi mungkin benar sebagai simbolsime Handraf sekarang?), dan masih Raj ingin, dengan kental, menyertai kelab itu (berlawanan dengan watak token pelajar Mat Salleh dalam kelas pelbagai kaum minoritu yang "terpaksa" berada di dalam kelas itu di dalam Freedom Writers). Ini membuak persoalan adakah Raj (atau sememangnya simbol kaum India di Malaysia?) adalah mosochist yang sukarela? Adakah kerana memang agak susah untuk menyertakan masuk "suara ketiga" dalam filem yang mempunyai dua kuasa berbalah? Persoalan kecil ini tidak akan membuat anda merungut oleh sebab, ada pelbagai lagi cerita daripada pendukung wataknya, termasuk keberanian En. Azman di hadapan pegawai Kementerian Pendidikan membuatkan filem kecil ini sesuai buat masa sekarang dengan mesejnya yang "edgy" dan masih terbuka untuk pendebatan.


22 August 2009

Maut(2009): Ayam Belanda 2009


Semalam, aku tonton filem ini selepas terawih, diminta oleh seorang kawan lama, Cairel untuk menontonnya. "Ambil mood puasa," kata kawan aku. Aku pun mahu, sebab ini antara filem yang aku terlepas sewaktu aku di Kelantan.

Selepas selesai menontonnya, imej yang paling mengujakan (arresting) dalam filem ini merupakan imej seorang tua berkopiah yang tiba-tiba menjadi sebutir cahaya lalu menyinar terang lalu lesap di balik udara. Itulah sahaja imej yang benar-benar membuka mata dan mata hati aku daripada segala caca merba dan meraban tak tentu yang tersulam dalam filem berimaginasi bertatah didaktisme Islam ini.

Mohon maklum ya tuan-tuan dan puan-puan, ya, filem ini sebuah filem yang tiada hala tuju dan dibikin dengan sifar kepintaran oleh seorang pengarah yang bernama besar seperti Bade.

Sebenarnya, ia sangat menyakitkan hati aku untuk meneruskan pengulasan tentang filem ayam belanda (turkey) togel (bagi filem Bade ini, kita tambah "togel"nya kerana cita-cita besarnya) ni, tapi, hmph, aku terpaksa, bagi menyelesaikan nafsu amarah aku pada hari pertama puasa, nauzubillah. Maut atau (Malaikat Maut sebelum dicincang LPFN) merupaka 3 cerita yang polos ala cerita-cerita "kan ustaz dah cakap" majalah Mastika yang menjadi alat "yang sepatutnya" menggoncang jiwa sekular/moden/muda/meghenyam anda untuk bertaubat - tetapi akhirnya telah menyebabkan anda merasa loya nak muntah sehingga anda taubat tak nak tengok apa-apa filem Bade lagi.

Di antara yang tiga (Syaaban-Ramadan-Syawal), cerita terakhir (Syawal) yang diterajui Que Haidar sebagai mamat Black Metal yang mempunyai beberapa lakonan, nilai dan cerita yang sedikit menarik, walaupun sebenarnya tidak dapat menolong mengangkat filem ini walaupun daripada lakonan baik Haidar atau cerita yang "tersarat bermesej moral".

Ya, inilah sebuah contoh filem "didactism gone wrong", ia mahu memberi pengajaran (berdakwah) secara lembut/terang, tetapi penggayaan Takashi Miike (graphic exegeration)nya terkeluar carta. Sekurang-kurang Miike melakukan dan menjalankan gaya filemnya khas untuk itu (grafik-grafik-grafik) dalam memahami semangat gelap yang misterius dalam manusia. Filem ini, entah. Kalau dah nak grafik sangat, tunjuk je lah adegan cium dan senggama bulat-bulat, sekurang-kurangnya filem separa dakwah dengan agenda sesat ini dapatlah dinikmati oleh para voyeur untuk keaslian lucahnya.

Cerita pertama (Syaaban) berkenaan seorang gadis, Liyana Jasmay (Jasmay yang hebat pun, dibawah arahan Bade ini semacam menjadi seorang watak ambil barbiturat 24 jam, kesian Jasmay) yang mendapat "sentuhan" dari alam lain, membantu satu halangan dengan usaha bantuan yang ikhlas: paparan dalam hidup di dunia ini, dalam erti menjadi manusia, semuanya terletak dalam komunikasi atau interaksi, dan juga qada' dan qadar Tuhan itu tidak boleh diubah, hanya kita sebagai hambanya "mengikut" programnya, walaupun selepas "meninggal".

Cerita kedua (Ramadan) berkenaan seorang pramugari yang bertaubat: paparan dalam hidup di dunia ini, kita senantiasa diberi peluang kedua atas Rahman dan Rahim Allah.

Cerita ketiga (Syawal) berkenaan Que Haidar, seorang pemuda keliru yang mencari jalan sebenar tetapi ditutup atas sebab pembawaannya semasa kecil: paparan salah asuh anak dan akibatnya.

Sebenarnya, ketiga-tiga cerita filem ini (yang menampilkan orang-ornag kecil, manusia-manusia biasa) mempunyai alasan yang baik untuk disanjungi jika Bade tahu bagaimana mahu mengalirnya dan menggerakkan ceritanya pada jalur-jalur tertentu. Sebaliknya, ceritanya melewah-lewah, terapung tanpa tujuan, pensiratan atau motivasi, malah keseronokan sekali pun.

Malah, seperti yang aku maklum tadi, Bade seakan mahu mengambil semangat Miike dengan pemikiran, "Bagaimana jika aku cabar penonton dengan imej-imej buatan manusia yang mengganggu?" di mana kita akan dipaparkan, cerita demi cerita yang mana "kelakuan melampau batasnya" sepatutnya melampau lalu makin melampaui perspektif "sihat wal hadhari" kita (ini dipanggil, mind torture yang kini dipanggil porn torture sebab memandangkan ada juga jenis manusia yang mengambil nikmat melihat pelampauan batas yang dibuat/terbuat dek sesama manusia). Ya, Bade sebenarnya mahu mencabar penonton Malaysianya untuk menonton bagaimana sewelnya manusia Melayu Islam boleh jadi dalam membelakangi Tuhan (seperti menum arak, menari dengan rentak buruk bagi cerita kedua, berzina, tatu, black metal,(!) derhaka mak dan paling tak malu, marah orang tua tepi jalan yang tak bersalah(!)

Semua ini digeraakan tanpa mood, semangat atau penanda yang menarik perhatian. Contoh seperti satu babak "bosan" yang "terapung-apung" tanpa makna dengan syot TV "berita" kemudian wajah Raja Farah (yang sedia ada cun) kemudian Liyana yang terganggun dengan "sedutan berita" kemudian TV kembali - errr, ok? Apa tu? Ia sememangnya tidak memberi apa-apa, malah sedikit semangat "tersentuh" terhadap imej tangkapan pun (walaupun ditangkap jelas, rata dan cantik). Ada beberapa babak dengan bunyi efek "tring tring" lebih merimaskan.

Inilah filem Bade yang paling bercita-cita tinggi tetapi paling ranap sekali. Depiksi Pokok Kehidupan di Arasy (di dalam tradisi Islam, pokok ini dengan bilangan daunnya mewakili nyawa hayat manusia yang hidup di bumi. Aapabila 30-40 hari manusia itu sudah tertulis ajalnya, daun yang mewakili ornag itu akan gugur ke bumi lalu Malaikatul Maut akan membaca nama siapa di daun itu untuk mengambil rohnya) dan satu babak "kononnya menakutkan" pengalaman di neraka tidak bercampur gaul dengan elok terhadap latar besar cerita. Sesuatu tentangnya macam sangat salah.

Selesai menontonnya, dengan rasa jujur, aku tak rasa nak ke sejadah dan berkonversi pun dengan Tuhan. Jika anda mahu menonton satu filem dengan pendekatan kemanusiaan yang lebih mengancam dan kreatif tentang retorik kuasa, keseraman, kecantikan dan misteri maut - tontonilah filem pendek Afiqsays, "4 Peringkat Ajal(2009)", sebuah filem yang 100 kali lebih baik daripada ayam belanda togel ini.



20 August 2009

District 9(2009): Bagaimana Mahu Membikin Filem Summer Yang Berbaloi

Ini permintaan daripada rakan-rakan pembaca.

Poster filem ini menyesatkan. Aku nyaris-nyaris ingat filem ini sebuah animasi atau komedi bodoh. Walaupun simbol UFO semacam Taman Tergantung Babylon (gunakan simbol ini dengan kaitan tamadun yang tidak diketahui, memberi penanda awal kehebatan makhluk asing dalam filem ini sebenarnya) itu sama wujudnya seperti The Castle in the Sky karya Miyazaki. Nasib baik ada nama Peter Jackson sebagai penerbitnya.

Yep, nasib baik ini bukan filem "dari" Hollywood, malah dengan mengejutkan, melebihi ekspetasi filem-filem Hollywood (cth., buat Transformers aku sudah agak Megan Fox akan banyak mempamerkan aksi badannya tanpa mental yang tinggi. Terapi soft porn yang paling selamat buat anak-anak muda bukan?).

Ceritanya senang (semua filem komersial, ceritanya mesti senang), malah bukannya original sangat seperti yang orang heboh-hebohkan - seorang pegawai "badan kerajaan" Afrika Selatan, MNU yang ditugaskan oleh bapa mertuanya (nepotisme!) untuk masuk ke Distrik 9, ruang "penempatan sementara" makhluk asing (isu pendatang!) dengan tugas memujuk para makhluk asing menandatangani borang "perpindahan" makhluk-makhluk asing ke Distrik 10. Sudah tentu, hal ini tidak sesenang itu, lebih-lebih lagi pegawai itu terkena larutan ciptaan makhluk asing yang akan tiba-tiba mengubahnya seperti apa yang dilalui Jeff Goldblum dalam The Fly.

Sila lihat: masukkan cerpen "Metamoforsis" Franz Kafka serta sedikit kesedaran The Fly dalam plot Alien Nation, walah! Kemudian bawa sentimen politik "bagaimana hendak menghadapi pengganas" serta isu-isu sekarang (Amerika sebagai pengedar senjata buat dunia ketiga?), dan wo hoo! Tetapi, ada beberapa perkara intim yang aku suka dan dibikin dengan "agenda" tersendiri pengarahnya, Neill Blomkamp (yang juga menulis lakon layarnya).

Satunya berkenaan Neill mensatirakan secara sengaja akan hal-hal diskriminasi arpateid dan bagaimana kaum kulit putih di Afrika Selatan menangani kemasukan kulit hitam ke bandar utama mereka waktu itu (Johannesberg). Persoalan manusia yang rakus tamak menginginkan "kuasa" dan "ilmu" melebihi segalanya (melempar keluar pemhaman kemanusiaan) terhadap makhluk asing merupakan satu persoalan yang besar. Dan ini dihadapi oleh pegawai kerajaan (lakonan Sharlto Copley yang sangat baik), melihat betapa rakusnya manusia dalam menginginkan sesuatu yang penting. Ini dipapar dengan baik dalam dua babak kontra dengan aksi yang sama, Copley di bawa ke meja bedah untuk "dibunuh" supaya anggota badannya dapat di"uji", membuka rahsia dan enigma "ilmu" makhluk asing yang mereka cita-citakan. Bandingkan aksi ini dengan babak sewaktu Copley (sekali lagi) dibaringkan di tanah, dengan satu ritual vodoo lalu ketua samseng District 9 memaklumkan bahawa dia menginginkan "kuasa" Copley maka Copley perlu di"korbankan". Blomkamp dengan jujurnya memapartkan dalam mana-mana strata masyarakat manusia, kekuasaan dan ilmu "membongkar" merupakan tujuan utama "penerusan" mereka terhadap satu-satu kerja - secara ironi, kita juga sebagai penonton, merupakan penonton yang "mahu" rahsia dan "ilmu kuasa" makhluk asing dibongkarkan (yang mana, tidaklah seteruk yang dilalui Copley, kita dapat juga mencapainya) - kita juga sebenarnya sama seperti para kapitalis mabuk kuasa di MNU atau si samseng yang inginkan kuasa tahyul.

Magis filem ini juga terletak dalam lakonan "innocent" Shrlto Copley sebagai seorang "fall guy" yang tidak mahu mengalah. Aku menyukai watak-watak sebegini (dan bukan seperti Shia le Bouf yang ingat dia hebat) yang sememangnya watak klise dalam mana-mana filem sai-fai (Spielberg merupakan orang yang paling percaya dengan watak sebegini). Kalau sesiapa yang kenal dengan filem-filem Peter Jackson, mereka tentu akan "seronok" dengan watak bawaan Copley yang ada "persamaan" perwatakan watak Lionel dalam Dead Alive. Yang menariknya, Copley merupakan budak kru untuk filem ini yang tidak ada pengalaman apa-apa dalam filem besar. Dalam filem ini, beliau memaparkan, dengan sungguh bersahaja, beliau seorang pelakon yang faham benar akan pembawaan "karakter".

Filem ini merupakan sebuah filem sai-fai yang sudah lama tidak aku tonton dan rasa seronok yang tidak terhingga. Memang, tahun ini sahaja, sudah banyak filem sai-fai yang baik-baik, dan filem ini bolehlah dikatakan memasuki rak perpustakaan bagi filem-filem sebegitu. Aku berharap makhluk asing yang datang kembali ke bumi akan membawa satu konflik yang menarik buat penduduk bumi, supaya idealisme makhluk asing "yang maksum" boleh dipermain-mainkan, dan seperti gerakan plot filem ini, alur liuk sekuel filem ini akan menjadi lebih menarik dengan santapan bertih jagung pada setiap antisipasi dan plot twist yang dicipta.



lihat: http://www.imdb.com/title/tt1136608/ http://D-9.com

19 August 2009

Sekitar Jaff 2009 Yogyakarta Indonesia

Tempat letak motorsikal,
masjid berdekatan Taman Budaya Yogyakarta,
tempat acara festival berlangsung.

Sarapan pagi bersama abang Garin Nugroho
yang selamba dan rendah diri, bersama Leonard
pengarah muda dari Singapura dan Cik Yuni,
perancang dan orang kuat Objectifs Films
(pengedar filem pendek antarabangsa buat Singapura dan sekitar
Asia Tenggara).

Azharr Rudin menikmati makan tengah hari
di Institut Bahasa Peranchis, juga tempat
tayangan filem dibuat.
Filem dokumentari Malaysia, Malaysian Gods
turut ditayang di situ.

Singgah ke Borobudur sebentar, sambil beli
buah salak.

Bang Garin menyampaikan anugerah khas
buat Ibu Christine Hakim.

Saudara Budi Irawanto, Pengarah Festival
menyampaikan anugerah khas buat Almarhumah
Yasmin Ahmad, diwakili oleh saudara Azharr Rudin.
Azharr Rudin secara seloroh menyambut, "Kata-kata terakhir saya
kepada arwah sebelum beliau lanjut ke rahmatullah ialah, mahu apa dari
Yogya? Kami berdua mencintai kota ini. Ironisnya, saya memang membawa
sesuatu buat beliau. Terima kasih Jaff."

Para-para juri membuat pengumuman pemenang.
Acara dibuat dnegan santai tetapi meriah,
tanpa paluan kompang dan perasmian para menteri
yang berucap berpanjang jela tetapi langsung tidak pernah
mengenali atau mengharungi filem.

17 August 2009

Ulasan Filem-filem JAFF 2009 (Bhg. 2)

Love Lost(2009)
Filem ini merupakan filem "istimewa" oleh sebab ditayangkan secara tidak rasmi di tempat tinggal komuniti filem muda Indonesia yang telah mempelawa aku menonton bersama.

Status filem ini oleh pengarahnya, Leonard Lai Yok Wai ialah ianya sebuah filem pendek. Tetapi filem ini panjangnya dekat 45 minit. Jika anda tidak ada masalah tentang hal itu, anda akan dapat sesuatu di sini. Filem ini sebuah filem peribadi pengarahnya, merakam (dalam masa yang pendek, mungkin) perasaan primal kita untuk melepaskan pergi satu-satunya perkara yang kita cintai (baik orang, kucing atau Jaguar buruk anda). Leonard mengambil "hal peribadi"nya secara literal, beliau juga turut berlakon sebagai protagonis, siap ada babak beliau telanjang bulat di bilik mandi, terang-terangan.

Hal ini sememangnya satu cabaran buat pengarah muda seperti Leonard. Kadang-kala semangat "kehilangan" dan "percubaan untuk mengingat dan kemudian cuba lupa" ini berjaya disampaikan, tidak kurang juga kelewahan (lebih-lebih lagi babak-babak awal sewaktu Leonard berjalan di tepi pangsapuri perumahan di Taiwan). Kelewahan ini buat aku perlu, lagi-lagi jika anda pernah merasai "putus cinta" (semangat "menunggu itu menyiksa"). Hal subjektif ini disampaikan dengan jujur oleh Leonard pada awal-awal babak apabila semuanya (yang kita lihat) semacam satu simetri (kita tahu ini tidak benar, simetri di sini merupakan keinginan Leonard yang kita sudah tahu akan berakhir dengan sia-sia). Malah ada satu babak yang merakam "peredaran masa" dengan gerakan kereta, jalan kaki lalu tiba-tiba di dalam kedai kopi sambil kereta bergerak seiring. Hal ini tanpa banyak suntingan dan runut bunyi, dilakukan oleh Leonard dengan lirikal sekali, menangkap perasaan "terkantung diawang-awangan" dengan baik sekali. Jadi apa yang Leonard buat selepas itu? Bertemu dengan "kekasih hatinya".

Ini dilakukan dengan gambar-gambar statik yang bertukar-tukar. Lihat dengan teliti, gambar-gambar tangkapan ini sudah hilang simetri(kesempurnaan)nya. Kita hanya melihat wajah dan wajah tanpa tanda latar apa pun. Leonard menyampaikan dengan jujur, sesungguhnya hal-hal tentang perhubungan, turun secara minimal terhadap manusianya saja, faktor lain dikesampingkan. Jadi apa yang terjadi? Secara klise kita sudah tahu, tapi bagaimanakah Leonard mendepaninya?

Secara jujur Leonard menyampaikan satu klimaks yang menggoyah setiap orang yang melihatnya. Ya, aku tak sanggup menulisnya di sini kerana kebenarannya terlalu. Ini yang disampaikan oleh Leonard secara jujur.

Secara ringkas, filem ini memang kecil dengan beberapa kelonggaran yang jelas. Dan selakunya ia digelar filem pendek (walaupun secara peliknya panjang). Tapi memang tampak, Leonard bukan ingin menyampaikan suatu hal trasenden atau sesuatu yang besar, hanya satu "pengalaman" hidupnya yang ingin dia kongsi. Buat ini, ia dibuat dengan rintih yang mengganggu sekali.

halaman pengarah: http://leonardlaiyokwai.wordpress.com/

Malaysian Gods(2008)
Menonton filem dokumentari terbaharu Amir Muhammad ini memaparkan filem ini merupakan filem terlemah dalam barisan bikinan filem pengarahnya walaupun bukanlah sebuah filem yang buruk. Aku dapat tahu bahawa pembikinan filem ini ingin menyerupai Russian Ark, dengan kamera bersama Danny Lim, mengambil masa beberapa jam dan minit untuk menangkap tanpa edit atau jeda, sejalan tempat perarakan "Reformasi" pascatangkapan Anwar Ibrahim dengan menemuramah sesiapa di tepi jalan. Tapi mungkin sebab subjek yang ditangkap membosankan serta hari itu sedang hujan (pelbagai perkara Tuhan lakukan terhadap golongan pencinta sosialis), pendekatan ini tidak dijalankan.

Sebaliknya, kita dapat cetusan-cetusan temu ramah antara pelbagai masyarakat India yang berpelesaran atau bekerja mencari nafkah di Kuala Lumpur waktu itu (maka lengkaplah trilogi doku 3 etnik utama oleh Amir). Ada yang menarik, ada yang biasa, tapi kesimpulannya ia sangat tame dan lame (seakan-akan Amir kali ini takut hendak menyucuk lebih-lebih). Aku cuba mencari lebih daripada itu dalam filem ini, tetapi aku sedar, filem ini semahu-mahunya hanya satu log peribadi Amir untuk menyimpan satu peristiwa yang bersejarah di Malaysia sebelum ia diterlupakan. Sekurang-kurangnya ini adalah filem pertama Malaysia yang membicarakan akan Reformasi secara jelas tanpa apa-apa sarung kain.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt1400352/

Babi Buta yang ingin Terbang(2008)
Antara filem yang kuat dari Indonesia tahun lepas yang masuk pertandingan. Sekurang-kurangnya filem ini benar dalam garapan "less is more" daripada cin(T)a. Dan lebih absurd, aku suka filem-filem absurd tentang keterasingan persekitran sebegini.

Ceritanya tentang satu keluarga disfungsi dengan anak tunggal Linda (lakonan Ladya Cheryll). Mereka sebuah keluarga Cina yang selalu (dipinggirkan) oleh masyarakat majoriti Indonesia. Di awal - tengah - akhir filem, dengan rakaman tidak linear, kita mengikut isi rumah keluarga Linda, dari Linda kecil sehingga besar bersama teman lelakinya. "Halim", ayah Linda ingin menjadi "bumiputera", dan ibunya pula seorang pemain badminton negara.

Sebenarnya ini sebuah filem yang amarah. Tetapi amarah pengarahnya Ediwn, diseimbangkan dengan hal-hal yang "melangkau" empati. Satu babak kita kedengaran atuk Linda mengatakan, "Jika orang taku suka kita, kita biarkan saja dan pergi", memaparkan pasifisme perwatakannya terhadap tekanan bumiputera kepada minoriti Cina Indonesia. Dalam satu babak yang lawak sekali gus mengganggu, Linda dan teman lelakinya memasukkan latar lagu pop catchy bodoh, "I just want to say I love you" oleh Stevie Wonder dengan paparan adegan rusuhan terhadap kaum Cina pada 1998, sambil menyanyi dan tersenyum. Ia sekali gus menyakitkan tetapi secara absurd, menenangkan kerana "sedia maklum" watak terhadap realiti yang mereka perlu terima. Persoalan-persoalan inilah yang dijuktaposisikan dengan babak-babak pasif ibu Linda yang menerima keputusan suaminya, serta keinginan ayah Linda untuk memotong kelopak matanya supaya dia nampak lebih "Melayu" dari "Cina".

Hanya babak yang aku tidak berapa setuju, walaupun entah berapa ramai yang terganggu olehnya, adalah babak senggama gay tiga serangkai di klimaks filem. Persoalan "moral decay" yang menjelma di kalangan para politik serta orang kuat di Indonesia memang sesuai dan kemungkinan satu realiti, tetapi hal ini agak bad taste buat penonton antarabangsa, malah kemungkinan "tersesat" oleh kerananya. Simplisistik yang diguna pakai oleh Edwin ini agak mengganggu, kerana kerja Edwin ini sepatutnya sensitif oleh sebab temanya, dan bukan hal-hal yang perlu dimain-mainkan.

Tetapi inilah filem ini, ia satu rangkai main-mainan Edwin sebenarnya terhadap dirinya sendiri (beliau seorang Cina Indonesia) yang kiranya berani melempiaskan beberapa perkara yang tabu terhadap etniknya. Edwin berani meludah dan menjilat balik air liur ludahnya. Dan ini sesuatu yang menarik tetapi tetap pelik.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt1129405/

The Wasps Are Here(1977)
Filem ini atau dengan judul Sinhalanya, Bambaru Avith, merupkan filem berkuasa dari Darmasena Pathiraja. Filemnya politikal dan berbumbu Neo Realis. Lantaklah semua tu, yang penting filem ini ada semangat sosial yang jarang-jarang dapat kita perhatikan di layar sekarang.

Aku suka dengan nada filem ini yang bergerak senyap tetapi berkeyakinan lalu melemparkan tragedi demi tragedinya dengan berimpak sekali tanpa perlu banyak menghadirkan suntingan atau efek suara yang berkesan. Seperti yang Azharr Rudin tampak dari filem-filem Darmasena, Darmasena semacam Shannon Ahmad, misoginis terhadap wanita (wanita adalah punca dunia ini tidak tenteram), dan ini juga berlaku dalam filem ini. Tetapi aku lihat ia lebih daripada itu. Kondisi manusia yang lemah dipertonjolkan sejujur-jujurnya dalam filem ini. Bagaimana semua cita-cita sebenarnya satu utopia. Adakah kita sebagai manusia biasa ada hak untuk mengubah manusia? Ini yang mengganggu Viktor (lakonan Vijaya Kumaratunga) pada akhir filem. Hal ini boleh dipersoalkan terhadap tindakan-tindakan "Little Master" yang menjadi ketua baru terhadap kaum nelayan yang secara tradisinya penuh sikap kekampungan. Ketidak fahaman antara kedua-dua generasi ini sangat jelas. Beberapa perjuangan sosial disampaikan, menyerupai filem-filem 50-an Rusia, yang kemungkinan mempengaruhi bikinan filem ini.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt0374523/

Punggok Rindukan Bulan (extended version) (2008)
Sebenarnya aku sudah mengulas filem ini di sini. Tetapi sewaktu di JAFF 2009, aku tersedar bahawa separuh lagi daripada filem ini telah ditiadakan buat tayangan di Kuala Lumpur. Ini adalah segmen Riza (lakonan Sharifah Armani yang baru hendak tumbuh rambut selepas penggambaran Muallaf) yang kembali ke flat derelik itu untuk mendokumentarikannya (sebenarnya mencari ayahnya). Jika babak-babak Sidi merupakan pembukaan kita terhadap Flat Chagar (yang sudah tidak ada sekarang) Johor Bharu dan perhubungannya, babak-babak Riza merupakan "penutup" terhadap flat itu, malah mengisi persoalan-persoalan yang dibiarkan tidak berjawab dan terbuka pada bahagian Sidi. Selepas menontonnya, aku menyedari bahawa filem ini bukan lagi kecil tetapi sebuah "epik". Aku tidak bohong. Tayangan DVD filem ini di Institut Peranchis hari itu agak mengecewakan oleh sebab komposisi cahaya yang terlalu terang tampak jelas pada bahagian-bahagian siang bila Sidi melihat ke bawah jalan-jalan, memagar perasaan dan mata para penonton daripada melihat tangkapan indah/keterasingan yang aku lihat pada awal menonton filem ini di GSC Mid Valley.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt1273812/
gezet: http://www.imdb.com/video/wab/vi1519846169/

Generasi Biru(2009)
Muzikal/dokumentari/fantasi daripada pengarah terhormat, Garin Nugroho menampilkan kumpulan rockers Slank dengan pencirian yang ala-ala Yellow Submarine(1968) The Beatles memberi jiwa dan falsafah yang menarik tentang sejarah Slank dan penubuhannya, fenomenanya di Indonesia (para peminatnya yang berjuta dipanggil "Slankers") serta inti roh mereka berkaitan dengan kupu-kupu, dadah, suara kemanusiaan, Reformasi Indonesia, pascanya serta Pulau Biru. Beberapa gerakan tarian kotemporari ala West Side Story kelihatan janggal, dituruti dengan animasi grafik dan tanah liat yang indah. Cerita tentang anak kecil yang dikawani oleh seorang daripada kumpulan Slank untuk "keluar melihat dunia" adalah yang paling menarik. Kemanusiaannya boleh dijamah oleh mana-mana penonton. Aku sudah mula menyukai lagu-lagunya.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt1369657/
gezet: http://www.youtube.com/watch?v=uqvR-NiH44A

13 August 2009

Ulasan Filem-filem JAFF 2009 (Bhg. 1)

Berikut adalah filem-filem yang ditontoni sewaktu di 4th Jogjakarta NETPAC-Asian Film Festival. Ulasan setiap filem akan dikemas kini setiap waktu di bawah entri ini nanti:-

Merantau(2009)
Ini adalah filem pertama yang aku tonton di Yogya, di mana filem ini menjadi filem pembukaan festival filem ini.

Pertama sekali, penonton Malaysia akan membandingkan filem ini dengan Ong-Bak(2003) serta kemiripan Tony Jaa dengan Iko Uwais, "hero pendekar" filem ini. Jangan. Filem tomoi Thailand itu sangat berlainan dengan filem silat ini. Untuk pengetahuan, Iko Uwais bukan sahaja boleh meliukkan badan serta melompat tinggi dengan jarak-jarak melawan fizik tetapi Iko merupakan seorang pelakon yang berbakat. Filem ini lebih emosional, dan Iko mengisi hal ini dengan pengimbangan aksi-drama yang baik.

Merantau merupakan filem seni pertahanan diri, filem silat, yang mana merupakan genre yang sangat popular buat penonton Indonesia (ingat Barry Prima dan Advent Bangun?) pada 70 - 90-an. Jadi, bila aku menyaksikan bagaimana pada setiap detik Iko menerjang dan berjaya menumpaskan lawannya, penonton malam itu akan menepuk tangan dan bersorak! Satu pengalaman yang mengujakan.

Tetapi menolak kesemua antisipasi serta sorakan penonton Indonesia, filem silat ini sememangnya satu hasil segar yang dibawa oleh pengarah Wales, Gareth Evans, baik dalam aksi serta semangatnya. Jenis silat diperkenalkan ialah silat harimau (atau silat cakar harimau). Ketulenan kareografi silat boleh dipersoalkan tetapi Evans, dengan kelancaran dan dinamisme Iko berjaya mengisi ruang, tindakan kamera, babak demi babak aksi dengan baik sekali, dan ini tidak boleh dinafikan jika dilihat pada setiap babak-babak yang ditampilkan.

Aku suka benar dengan mainan ruang yang ditampilkan Evans. Ruang kotak seluloid dipergunakan dengan sebaiknya, baik di atas bangunan dengan langit sebagai bumbung (lihat babak Iko dikejar, dengan terjahan buluh) dan ruang lif yang minimalis di mana Iko terpaksa berentap dengan rakan sesaudaranya. Terdapat dinamis timbal balik atau ekuilibrium pukul terima yang mengujakan, menampilkan seni silat sememangnya seni tentang keseimbangan alam (kita tidak menyerang tetapi mempertahan diri, atau mempertahankan ketidakseimbangan).

Beberapa shot luas mempertahankan idealisme ini. Ya, filem ini sebuah filem "romantisme" di mana Iko merupakan hero romantis dengan misi (merantau untuk mengajar silatnya di kota, merantau juga satu budaya norma orang Minang). Maka dalam setiap cerita perjuangan romantis, perlu ada penjahat sehitam mungkin dan perlu ada permainan logik gerak (maknanya, ada beberapa babak dalam filem ini yang tidak logik, terutama pertarungan klimaksnya). Iko dimasukkan dalam idealisme hero tanpa sisi gelap, bergerak sahaja buat mencapai impiannya, kadang-kadang satu mesin tanpa henti, wujud sebagai pelaku gerakan yang mengisi impian eskapisme penonton (seperti keadaan Tony Jaa dalam hal ini). Tetapi memang, itulah Iko, sampai kita benar-benar ingin mengikutnya memukul! Adegan pertarungan akhir sememangnya satu adegan yang sedekat Kill Bill Vol. 1(2003) tetapi hal ini tidak menjengkelkan oleh sebab antisipasi kita terhadap Iko sudah tertanam sejak awal dan kita sanggup menunggunya sampai ke akhir.

Teknik suntingan dan penggambaran aksi merupakan kekuatan filem ini. Pun begitu, lakonan daripada para pelakon, daripada yang tua (Christine Hakim) hingga ke muda langsung tidak menghampakan dan sesuai dalam tempo drama dan semangat aksinya. Hanya dua penjahat (big boss) yang sedikit mencurigakan. Mereka seakan "bad guys from Mars" walaupun lakonan mereka baik, oleh sebab tutur cakap yang boleh dipersoalkan (kedua-dua pelakon dari Eropah).

Sekali lagi, filem ini bukan saduran filem-filem aksi tomoi Thailand. Perlumbaan filem Thailand itu lebih "nasionalistik" dan bersifat "juang agung" yang terlalu (mencari kepala Buddha yang hilang). Filem Indonesia ini lebih "lembut" dan manusia sifatnya, meniti hal-hal sosial di Jakarta (mengambil semangat filem-filem aksi Indonesia yang menegakkan kemanusiaan dan hal sosial masyarakat), malah menampilkan realiti dunia gelap pelacuran dan kemalaratan penduduk Jakarta. Ideal budaya "minang" merantau diangkat dalam filem ini sebagai plot awal, di mana persoalan "kalau belum berjaya, jangan pulang lagi" menjadi tujuannya.

Kita tahu misi merantau Iko mencapai hasil apabila wujud dua watak yang tinggal bersama ibunya di akhir cerita, menyampaikan beberapa semangat "ingin mencapai yang terbaik" yang mempunyai kuasa spiritualnya. Tetapi benarkah? Si ibu meraung dalam hati apabila melihat air wajah anak kecil lalu tersingkap air wajah anaknya. Kemudian pintu hadapan di akhir cerita gelap apabila si ibu masuk ke rumah, satu antitesis terhadap The Searchers(1956) (dalam filem The Searchers, keadaan gelap lalu pintu depan rumah dibuka lalu jadi terang, memaparkan idola agung John Wayne berdiri yang tidak akan mati-mati, juga penanda harapan, semangat dna impian orang puteh Amerika terhadap tanah Amerika), di mana kita faham, harapan sebenar ibunya "berkecai" (atau perlukah anak muda Minang merantau lagi? Persoalan membangkitkan nilai norma spiritual Minang ini dipersoal. Ini kemugkinan mesej subtle filem ini terhadap ketidakperlunya para Indonesia datang bekerja di tanah orang lain). Inilah titi romantisme "gone wrong" yang berjaya diusahakan oleh Evans.

Sememangnya filem ini patut dibanggakan juga oleh penonton Melayu. Oleh sebab sudah lama kita tidak menonton gaya silat kita di skrin putih pawagam.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt1368116/
gezet: http://www.youtube.com/watch?v=PtkLFm3QrmA

Ponmani(1977)

Filem Sri Lanka pertama yang ditonton di JAFF2009 tentang perbalahan agama dan kasta antara dua golongan, dan oleh sebab cinta (Ponmani, yang beragama Hindu jatuh cinta dan mahu kahwin lari dengan seorang Nasrani kasta nelayan), tragedi akan berlaku. Klise? Entahlah. Filem dalam hitam putih dan tampak semacam filem bikinan 50-an (maafkan teknologi perfileman Sri Lanka waktu itu). Adakah kerana itu apabila aku menonton filem ini, aku terlelap saat pertengahan filem ini, dan 10 lalu 20 minit kemudiannya? Azharr lagi hebat, terlelap sebelah sutradaranya waktu tayangan!

Ya, inilah antara filem yang agak membosankan (kerana benar-benar mengambil tempo realisme sebab akibat dengan sangat serius, ia seakan satu adaptasi 100% sebuah novel, halaman ke halaman ke layar filem) jika anda tidak cukup tidur dan kopi sebelum masuk menontonnya? Lantaklah, nak panggil aku penonton yang tak boleh menghargai filem art house cinema, aku juga punya nafsu dan kesabaran.

Satu dua babak yang amat menarik, menampilkan "kemarahan" filem ini (yang tak cukup marah pun buat aku) adalah waktu perancangan dua saudara untuk membunuh teman lelaki Ponmani, yang mana tiba-tiba seorang daripada wataknya memandang penonton lalu menyergah penonton kerana "mencuri dengar", lalu kamera (kita) menunduk, penonton "dipaling" daripada mendengar. Tetapi Darmasena, sutradara filem ini "memberi" kita peluang mendengar rancangan "pembunuhan" mereka secara terperinci. Aku boleh bayangkan saat babak ini, tentu penonton Sri Lanka waktu itu naik meloncat dari tempat kerusinya (oleh sebab niat yang disampaikan). Secara politikalnya, hal ini agak mengganggu dan berkesan sebagai pendebatan. Malah kita diberi babak demi babak secara terperinci apa yang akan berlaku antara Ponmani yang baru hendak meloncat seronok di atas katil, keluarganya yang jadi tak menentu serta abangnya dengan pistol untuk membunuh tunangnya. Tapi entah, saspensnya langsung tak ada. hanya "sorrow" kerana terpaksa melaluinya serta sudah tahu tentang ajal watak utamanya.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt0374966/

Good Cats(2009)

Puitis dalam kesuramannya. Pendirian filem anak muda, Ying Liang ini satu satira politik, malah mengikut semangat pembikin Generasi Kelima China iaitu penceritaan tentang kritis sosial dan pemunculan masyarakat baru China selepas Revolusi Budaya, suara kritikan terhadap korupsi orang kerajaan untuk pembangunan sangat sedar. Ceritanya senang dan minimalis, ikut hari sehari seorang lelaki "barua" yang bekerja buat seorang taikun pembangun tanah. Shot statiknya menyebabkan ianya cantik. Hal yang aku suka, ia senyap, bergerak tanpa makna tetapi teratur, yang mana hal ini menjadi kuat sewaktu bahagian-bahagian akhirnya sewaktu protagonis semakin terjerumus dalam kekalutan dan melarikan diri. Kadang-kadang babak "pentas lagu" lawak (rock band tiba-tiba nyanyi di tepi sungai atas bot), tetapi paling efektif di kawasan flat dan di lorong hospital. Lalu paparan "rewind" tanah ke lori pengangkut tanah, bangunan runtuh kembali naik, bangunan-bangunan tepi sungai, menampilkan mesej pathos yang menghantui.

cin(T)a(2009)

Cinta anak muda dengan gesekan debat agama? Pluralisme agama yang dibanggakan Indonesia? (sekurang-kurangnya ada eskapisme ke arah itu dalam filem ini) Sesi Comparative Religion atau Interfaith 101? Aku tak tahu, tetapi aku semacam sudah pernah menonton sesuatu seperti ini, oh ya! Muallaf! Filem sulung pengarah muda Indonesia, Samaria ini semacam jr. kepada Muallaf, sangat "sesuai" buat anak-anak remaja yang baru hendak bercinta. (klise "cinta itu tidak salah" penuh tersebar dalam filem ini macam penyakit, oh ia cute, so dont worry). Pemuda Cina Nasrani jatuh cinta "tiba-tiba" dengan gadis bumiputera Islam yang kelihatan seperti Dian Sasterawadoyo. Pemuda Cina (bernama Cina!) pandai, Gadis Bumiputera bodoh. Pemuda Cina witty, Gadis Bumiputera ikut berdebat. Pemuda Cina sensitif dan manusiawi, Gadis Bumiputera penuh issues gadis-gadis muda. Terus-terang, pesona karisma si Cina (lakonan memberangsangkan Sunny Soon) menyebabkan filem ini aku teruskan menontonnya sampai ke akhir. Jika anda mahu berjinak-jinak dengan filem yang cuba berdebat tentang agama dan perbezaannya, sila masuk ke filem ini, tetapi jika anda mahu mencari "makna" yang lebih dalam tentang perbezaan agama, silalah tontoni Muallaf.

gezet: http://www.youtube.com/watch?v=VvXVDo3OHUs
halaman rasmi: http://godisadirector.com

Good Morning Luang Prabang(2008)

Inilah satu-satunya filem yang membuat aku menyesal menontonnya (bukan Ponmani) di JAFF2009. Dimaklumkan kepada aku bahawa filem ini "diban" di tanah tumpahnya, maka aku ingat filem ini "penting". Betapa salahnya aku apabila wajah pertama yang aku lihat dalam filem ini ialah Ananda Everingham, yang menceritakan (sepertimana cerita hikayat Thai atau Kampuchea) seorang lelaki campuran Laos-Australia hendak memutik cinta seorang gadis tempatan. Satu drama bersiri Thai yang dipendekkan, malah ada beberapa bahagian National Geographic yang membuat aku tak tercakap. Akhirnya cute tapi dah agak. Arahan Sakchai Deenan dan Anousone Sirisackda.

lihat: http://www.imdb.com/title/tt1192617/

12 August 2009

Sebuah Festival Kecil Tapi Besar dan Sebuah Festival Besar Tapi Kecil

Pada 8 Ogos 2009, hari terakhir aku di Yogyakarta, pada hari keputusan filem-filem yang bertanding buat Filem Festival Jogja-NETPAC Asian Ke-4 diumumkan, aku berleter kepada Azharr Rudin (sutradara Punggok Rindukan Bulan(2008) yang mana filemnya terpilih di antara nominasi enam filem berentap untuk piala filem terbaik) dan Paolo Bertolin (panitia Venice International Film Festival yang memilih filem asia tenggara dan Korea buat festival filem itu, juga seorang pengkritik filem tersohor) tentang senarai nominasi Festival Filem Malaysia (FFM) yang telah memperlekehkan beberapa filem sambil mencanangkan beberapa filem yang sedia ada "mengarut" untuk disenarai pendekkan. Pendek kata, senarai nominasi FFM buat 2009 adalah paling terburuk yang pernah aku perhatikan dalam sejarah FFM.

Azharr hanya tersenyum. Jawapan Paolo lebih pedas, "Kenapa anda mahu mengomel terhadap sebuah festival filem yang tidak relevan pun untuk anda?"

Aku agak terganggu dengan jawapan "laser" Paolo itu.

Pada hari itu, filem Agrarian Utopia dari Thailand (sutd. Uruphong Raksasad) merangkul filem terbaik utama dengan piala Hanoman Emas, filem Slingshot Hip Hop dari Palestin (sutd. Jackie Salloum) merangkul filem terbaik kedua dengan piala Hanoman Perak, filem The Goat dari Filipina (sutd. Adolfo Alix Jr.) memenangi Geber Award (pilihan komuniti anak muda filem Indonesia), filem pendek A La Folie dari Singapura (sutd. Sanif Olek) memenangi Blencong Award (buat filem pendek daripada komuniti pembikin filem pendek Indonesia) dan filem Agrarian Utopia merangkul NETPAC award. Anugerah Penghargaan telah diberikan kepada Chritine Hakim untuk jasa dan upayanya mengangkat dan mengerjakan filem Indonesia yang berkualiti tinggi, serta Anugerah Khas buat Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebagai memperingati arwah dalam melestarikan masalah keharmonian kaum di dalam sinemanya.

Sekembalinya ke Kuala Lumpur, aku mendapat berita bahawa Filem Papadom (2009) dan Talentime (2009) menang besar, Popodom berjaya merangkul filem terbaik. Hal ini tidak merunsingkan aku oleh sebab aku belum menonton Popodom lagi.

Terus-terang, festival filem Yogyakarta bukanlah sebuah festival yang besar, malah saluran bajetnya juga agak terhad, walaupun dibelakangi kementerian kebudayaan serta beberapa penaja tempatan dan antarabangsa. Para peserta sendiri perlu membayar tiket terbang untuk ke sana. Jadi bagaimana, secara terus-terusan festival filem ini menjadi "pusat" khalayak pemerhati filem antarabangsa untuk berkumpul dan berinteraksi?

Pada hari pertama aku sampai ke filem festival ini, para sukarelawan (yang kebanyakannya para pelajar universiti serata Yogyakarta) dengan baik budi dan profesional telah melayan aku dan sekumpulan peserta, memperkenalkan kepada presiden festival filem Garin Nugroho, (ya sutradara tersohor Daun di Atas Bantal, Bulan Tertusuk Ilalang serta Opera Jawa itu!), malah kami dapat bersantai, antara pembikin/aktivis filem lama/pertengahan (Garin, Darmasena Pathiraja, sutradara dari Sri Lanka, Sivamohan Sumathy, editor, penulis skrip, pensyarah dan pengkritik, Lisabonar, pengkritik dan kurator filem Indonesia, Yuni Wadi, mantan panitia Singapore International Film Festival) dengan baru (seperti Ridla An-Nuur, Ashari Rahman, Leonard Lai Yok Wai, Warren Sin, Samaria, Gareth Evans, Iko Uwais, pelakon muda filem Merantau). Hanya aku perlu beli secepat mungkin (yang masih aku kumpul) sebuah komputer riba supaya aku dapat terus melaporkan atau mengulas filem-filem yang ditayangkan serta agenda harian sewaktu di sana.

Paling penting, tayangan filem. Walaupun tayangan dibuat dalam dewan yang agak lama tanpa hawa dingin di Taman Budaya Yogyakarta, juga ditempat yang lebih baik di Institut Bahasa Peranchis, dan juga dengan penayangan filem menggunakan DVD (perkara yang sebenarnya amat haram dilakukan buat filem festival, dimaklumkan oleh sebab peruntukan bajet rendah, hal ini tidak dapat diatasi), segala perancangan, perjalanan dan tayangan dijalankan amat baik sekali. Selepas satu-satu tayangan juga, jika pembikin filemnya ada, akan diberikan peluang untuk satu sessi temu bual antara sutradara dengan penonton.

Ada beberapa agenda lain juga dibuat, seperti satu sidang forum yang membahaskan tema tanah air (tema pilihan tahun itu) yang telah mempersembahkan beberapa hal yang menarik tentang pertentangan globalisasi dengan warisan serta identifikasi nasional, juga pandangan subversif tapi logik Garin Nugroho tentang material digital sebagai teknologi anak muda yang akan menggantikan norma persada sinema Indonesia. Hal ini amat menarik untuk dikupas, oleh sebab, seperti di Malaysia, dengan tayangan layar tancap terutamanya di Shah Alam, kemasukan filem pendek di YouTube oleh anak-anak muda (contohnya, filem pendek lokal, Comolot yang kontreversi tetapi lewah itu masih boleh ditonton di YouTube) tanpa penahanan LPFN, tayangan di forum-forum kuliah kolej dan universiti, kemunculan nama-nama baru melalui filem pendek digital DIY (seperti Ridhwan Saidi BinFilem) serta kejayaan tayangan Maskara Shorties, dengan penumpuan filem daripada pembikin profesional hingga ke amatur telah sedikit-sebanyak mencipta satu hala budaya baru yang kemungkinan dilepas lihat oleh kerajaan serta penurut filem perdana tempatan. Seperti kata Garin, filem-filem ini (filem digital) lebih jujur sifatnya, lebih relevan dengan topik semasa, tanpa sekatan dan bersikap revolusioner terhadap filem-filem perdana. Hal ini sememangnya berlaku di Indonesia juga.

Maka oleh sebab itu, pengumpulan dan pemberian ruang festival filem ini kepada kesemua kumpulan komuniti filem anak muda (ya, di Indonesia, terdapat beberapa komuniti pembikin filem muda yang ampuh dan mengejutkan, sangat profesional, dan komuniti ini mengikut bandar, seperti Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Surabaya, dll.) dalam beberapa bengkel perbincangan (dengan pembikin amatur/profesional Indonesia) serta mengadakan forum tayangan filem komuniti-komuniti ini telah membuka mata aku tentang betapa jujurnya Garin Nugroho dalam membimbing dan membantu secara tidak langsung para pembikin muda Indonesia. Beberapa tempat di Taman Budaya Yogyakarta telah diadakan untuk komuniti-komuniti ini berkumpul, yang rata-ratanya membikin filem mereka secara bebas (indie) walaupun ada juga di bawah pertandingan dan tajaan syarikat besar seperti The Body Shop. Aku memerhati satu "kultur" yang menarik di sini. Kebanyakan pembikin filem ini muda-muda, ada yang baru 15 tahun. Ridla sendiri mengaku, beliau "lambat masuk" dan baru hendak berjinak membikin filem pada umur 17 tahun, dan perlu "banyak lagi ilmu yang dikejar". Ini sangat mengganggu aku, oleh sebab di Malaysia (serta Singapura), rata-rata pembikin muda kita yang baru hendak bermula adalah antara 25-30 tahun. Malah ramai yang benar-benar bermula "menerbit" pada awal 30-an. Malah, pembikinan filem anak muda Indonesia ini terasa sangat baik produksinya (walaupun hal estetika, nilai dan cerita itu perkara yang lain).

Aku mendapat tahu juga, tokoh seperti Garin Nugroho, telah memberikan para pembikin ini untuk duduk dan tidur di rumahnya sambil berbual dan menonton filem. Garin sendiri mengaku, pada suatu hari, 70 pembikin filem muda dari pelbagai penjuru Indonesia telah bertandang ke rumahnya. Sampai Garin terpaksa mendaftar di hotel oleh sebab tidak ada ruang lagi untuk dirinya sendiri! Pengorbanan sebegini memang jarang berlaku oleh pembikin filem kita, apatah lagi untuk mendorong para pembikin muda. Mereka hanya ingat, saluran "bantuan" hanya berlaku waktu forum, syarahan dan kuliah apabila para pembikin ini datang melawat para pelajar. Atau ya, seperti malam FFM bila para pembikin dipaksa memakai baju cantik-cantik dan bergambar sekononnya artis Hollywood. Hal ini bukanlah tidak boleh, tetapi di mana pertalian para pembikin yang sudah berjaya seperti Bade, Suhaimi Baba, Arief Karmahani, Mansor Puteh, dll. terhadap pembikin golongan muda? Aku sendiri mengaku, hal ini tampak berlaku dengan arwah Yasmin Ahmad yang senantiasa memberi tempat bagi pelbagai anak muda untuk berurusan dengannya tentang filem di pejabatnya serta di platform alam mayanya. Adakah hal ini dibikin juga oleh tokoh besar seperti U-Wei atau Jamil Sulong?

Satu acara seterusnya tanpa rancangan yang dibikin oleh Komuniti Filem Anak Muda Bandung kelolaan Ridla An-Nuur membuatkan aku terasa terharu. Tayangan filem pendek Love Lost dari Singapura oleh Leonard telah ditayangkan secara tidak rasmi (di luar agenda festival filem) di sebuah rumah besar kerabat di raja Yogyakarta (di mana tempat anak muda yang tidak dapat sewa hotel berkumpul untuk festival filem itu). Secara santai sahaja acara itu berlangsung, tetapi boleh dikatakan, sejumlah lebih 100 penonton yang "tiba-tiba" duduk menonton filem itu di sebuah perkarangan luar rumah yang kecil. Inilah kuasa "komuniti filem" muda anak Indonesia yang amat mengejutkan aku.

Secara terus-terang, aku nampak, ada "kepintaran filem" yang sedang berlaku terhadap anak-anak muda Indonesia, mungkin ya, tidak sama seperti Malaysia dan Singapura yang banyak perkakasan internet sebagai bahan penguasaan mereka. Tetapi keluasan pilihan filem mereka sama seperti Malaysia dan Singapura. Aku boleh sahaja bandingkan segelintir kumpulan penonton Indonesia yang boleh menonton Punggok Rindukan Bulan sehingga ke akhir kredit (dengan mengejutkan, masih duduk di kerusi, termenung, walaupun filem sudah selesai diputar) dan seorang penonton Malaysia yang mengaku "keluar" daripada dewan tayangan kerana tidak tahan dengan tempo filem itu (bayangkan jika penonton itu menonton filem-filem James Lee, Ho Yuhang dan Tsai Ming Liang). Itu belum lagi bertanya akan "rasa" terhadap imej yang dipaparkan dalam filem itu.

Walaupun ya, terdapat sedikit "semangat bias" penonton muda Indonesia terhadap filem luar. Aku berani katakan ini oleh sebab, kesemua tayangan malam filem Indonesia (waktu perdana yang sengaja banyaknya buat tayangan filem Indonesia) dipenuhi (full house) dengan penonton muda Indonesia, dan kurangnya sambutan buat filem Sri Lanka yang sangat baik dan turut ditayangkan. Penonton umum ini menyokong besar filem Cin(T)a dan The Blind Pig Who Wants To Fly. Aku kira, semangat ini baik juga jikalaulah penonton Malaysia mempunyai kesedaran penyaduran semangat dalam diri mereka buat filem-filem Malaysia. Walaupun The Blind Pig sebuah filem yang tidak bergerak secara garis lurus, dan membuat beberapa penontonnya tidak faham, mereka tetap datang menontonnya!

Perkara inilah yang menyimpulkan pendirian aku dengan jawapan "laser" Paolo. FFM buat aku, dan aku harap buat ramai pemerhati filem tempatan, sememangnya, mahu atau tidak, adalah sebuah acara anugerah filem (lebih kepada sayembara anugerah daripada sebuah festival!) yang amat-amat diikuti. Malah, dalam perjalanan pemahaman dan kesayangan aku terhadap filem, FFMlah yang memperkenalkan aku kepada kewujudan filem-filem berkualiti yang berlawanan dengan filem-filem popular (contoh, apabila Tsu Feh Sofiah mendapat filem terbaik buat FFM, aku selidiki tentang Tsu Feh Sofiah yang sememangnya antara filem terbaik Malaysia malah kegemaran aku sampai sekarang). Hanya apabila filem Oh Fatimah! arahan Badul yang menang pada akhir 80-an, telah terjadinya kontreversi bahawa FFM sudah tidak relevan, yang sebenarnya dirantai kaitkan dengan kelesuan pembikinan serta sambutan terhadap filem Malaysia waktu itu. Jika FFM tidak "disayangi" oleh penonton seperti aku, kenapa para produksi arwah Yasmin sibuk-sibuk menghantar filemnya untuk penilaian FFM, walaupun diketahui "bias"nya juri FFM dalam pemilihan senarai nominasi dan pemenang?

Azharr menyatakan kepada aku, ketidakadilan sayembara nasional seperti FFM, sudah biasa berlaku termasuk di Indonesia apabila filem Ek-Skool memenangi piala citra filem terbaik Festival Filem Indonesia (filem itu sebuah filem saduran). Jadi pemahaman yang dinyatakan oleh Paolo sebagai "pemerhati luar" menjengkelkan aku. Secara nasionalis, aku memang terasa. Secara pengulas filem, aku amat-amat tersinggung bagaimana tanggapan orang luar terhadap acara nasional filem kita.

Tetapi aku tidak memarahi Paolo, aku memarahi panitia juri yang memilih filem-filem buat senarai nominasi (contoh, Mahesh dalam Talentime sebagai pelakon lelaki utama terbaik, terdapat "tutup mata" terhadap beberapa filem indie dan perdana yang baik seperti Sell Out, filem Syurga Cinta saduran Kiamat Sudah Dekat mendapat banyak nominasi, adakah kerana produsernya di belakang badan FINAS?). Dengan senarai ini sahaja, Paolo, seorang yang terkemuka untuk memilih filem-filem kita ke ruang antarabangsa boleh memperlekehkan FFM. Jika ini berlaku, tidakkah para AJK FFM ingin mengadakan anjakan paradigma? Bagaimana dengan pertalian anak muda filem dengan orang profesional filem, adakah FFM memberi ruang itu? Bolehkah senarai nominasi FFM digunakan buat "passport" filem-filem kita diiktiraf mutunya? Hal-hal inilah yang dipersoalkan. Ya, malam anugerah FFM memang glamour dan penuh perasmian protokol kebangsaan jika dibandingkan dengan santai informal festival filem Yogyakarta. Tetapi kenapa keputusan filem serta senarai pendek filem yang bertanding di Yogyakarta mempunyai "isi kuat" untuk filem-filem ini dibeli dan ditayangkan ke negara-negara luar berbanding kuasa keputusan FFM? Contohnya, Cesar Award, satu anugerah kebangsaan "oskar" Peranchis yang sama pentingnya seperti FFM, tetapi keputusan dan senarai filem yang masuk memang diperhatikan oleh penonton antarabangsa, kenapa?

Perkara-perkara kecil inilah yang perlu kita belajar buat festival filem yang akan kita adakan buat tahun-tahun hadapan. Semoga buat FFM tahun hadapan, walaupun mungkin pengkritik seperti Paolo masih melecehkannya, aku bermohon agar senarai nominasi serta keputusannya melampaui ekspetasi kita semua.

lagi gambar JAFF 2009: http://leonardlaiyokwai.wordpress.com/2009/08/10/love-lost-screening-at-jogja-netpac-asian-film-festival/

06 August 2009

Sedang Di Jogjakarta NETPAC Asian Film Festival

Salam,

Akan kemas kini selepas kembali pada 9 Ogos 2009
Filem-filem yang ditonton:
Merantau (2009)
Good Cat (2009)
Cin(t)a (2009) [nominasi pertandingan filem terbaik JAFF 2009]
Good Morning Luang Prabang (2008)
Ponmani (1978)
Love Lost(?)
Malaysian Gods(2008)
The Blind Pig Who Wants To Fly(2009) [nominasi pertandingan filem terbaik JAFF 2009]
The Wasp Are Here(?)
Punggok Rindukan Bulan (extended version) (2008)
Generasi Biru(2009)

Dimaklumkan, filem Azharr Rudin, Punggok Rindukan Bulan (2008) dalam senarai nominasi pertandingan filem terbaik buat festival filem di sini.