31 July 2012

Karma Reborn(2012): Malaysia, tolong BERHENTI buat filem seram!

Oh Tuhan!(Ohgurubesarku!, kata Ridhwan Saidi dalam Mautopia)

Aku tak peduli, aku nak celupar juga bulan-bulan puasa ni.

Tagline filem ini tertulis: SUSPENSE . HORROR . THRILLER! Biar aku tambah lagi satu: KIMAK!

Tidak pernah dalam hidup menonton aku di mana (Bjarne Wong tidak pernah mendapat penghormatan ini) sewaktu pertengahan filem, kesemua penonton keluar dari pawagam lalu tinggallah aku seorang. Ya, sewaktu menonton filem ni, ada lebih kurang tujuh orang termasuk aku. Tetapi apabila sudah sampai tahap babak-babak "apa yang kita tengok ni?", dengan sekali gus bersamaan 20 saat, kesemua penonton itu telah keluar dari pawagam.

Kesian M. Subash. Tapi padan muka dia juga. Kenyataan pertama: jika kau seorang pengarah "maverick" dan punya sentuhan artsy fartsy, jangan gatal cuba-cuba bawa gaya seni eksperimental lewah kau dalam sebuah filem genre seram yang mana sudah mempunyai ikatan komersial dan tatacaranya.

Untuk siapa yang tidak kenal M. Subash, dia sebenarnya seorang pengarah dan pelakon yang AMAT BERBAKAT dan sebenarnya, filem sulungnya, Pensil, mendapat tempat kebanyakan penonton yang menontonnya, termasuk pengkritik, lantas termasuk Faisal Tehrani pun! Mungkin kerana filem selepasnya merundum teruk, dan kemudian teruk lagi (dia juga membikin Sumpahan Puaka yang ramai juga yang memuji punya unsur gothic horror yang menarik walaupun teruk di pawagam), dia terus menghasilkan filem seram (kali ini dalam bahasa Cina) kerana "permintaan pemasaran". 

Filem ini sendiri "ada cerita" tetapi masalah utama Subash, mungkin kerana kengkangan belanja, dia tidak mahu "keluar" dari ruang selesanya yakni: menangkap dunia marhaen, menangkap golongan marhaen. Aku tidak ada masalah dnegan itu, malah seorang auteur bekerja begitulah, tetapi jika UNSUR MELODRAMA yang digunakan jelas-jelas diambil dari semangat tema yang sama dalam susun atur bayangan sebuah filem seram, ini merundumkan! Penonton yang lain telah jelas, terlepas menonton bahagian PALING PENTING filem ini, yakni "penceritaan" kisah lampau "apa yang berlaku" terhadap si wanita dan "dosa yang dipikulnya". Ini filem jelas didaktik, ini tiada masalah kerana kebanyakan filem seram punya konteks didaktik (kecuali anda memang memenuhi semangat modenisme mahupun pascamodenisme), tetapi kenapa perlu mengalurkannya dengan babak lewah yang terlalu, contohnya, satu syot panjang lama percakapan dua wanita di balik-balik tingkap tanpa suara mereka pun dan hanya runut bunyi membingitkan! Ia tak menakutkan dan langsung membuang mood! Subash perlu terus cut the chase dan tayang, jangan sesekali buat hal sebegini (dia mula lakukan hal sebegini dalam Jomlah CIUM)! Kenapa dia buat korang akan tanya, INI ADALAH KERANA KISAH yang hendak diceritakannya PENDEK dan dia MELEWAH dengan penggayaan ala-ala bukan-bukan dengan kamera meneropong dan menerewang bukan-bukan hanya untuk mencukupi 120 minit!

Sebenarnya aku menyukai penggambarannya, ia sekurang-kurangnya bergaya, serius, Subash punya kuasa "stylish" dalam menangkap, dengan gaya kelam dan sudut syot yang pelbagai dan tidak bosan, malah amat eksperimental, runut bunyi berdengung, semangat ini kalah mana-mana filem gelap (contohnya 8 Jam sepatutnya mengikuti gaya ini), aku seakan-akan menonton Bruce la Bruce tanpa pasangan lelaki homoseksual bercium dan model wanita menayang teteknya. Tapi ini bukan Bruce la Bruce, ini Subash, dan dia tersalah sangka hal sebegini boleh dibuat dalam filem mendatar dan kisah linear yang terlalu senang (berkenaan karma dan dosa pelakuan sendiri). Malah bila tiba babak-babak pengenalan "si Gila" yang hebat buat sup, ia mengingatkan kita dengan kehebatan Pensil dahulu (tapi ini filem seram!), malah mengejutkan kerana para pelakonnya boleh berlakon dan mereka berlakon bersungguh-sungguh! Semuanya terbuang. 

Ada satu babak, si lelaki tua/ayah termasuk "hantu" lalu mengucapkan, "Kau tak bagi aku belajar matematik!" Serius, babak "posession" tu berubah kelakar nak mampus! Inilah perkara-perkara yang Subash perlu sangat berjaga.

Secara rumusannya, aku dah tahap serik dengan hantu Malaysia, harap-harap Elly Suriyati dan Kabir Bhatia tidak akan mengecewakan aku lagi.

Klasifikasi: 18, entah aku pun tak tahu selain dialog klise orang Cina tak boleh kawan dengan orang Melayu.

30 July 2012

Bisem India: Hollywood Pun Kalah

He hey, aku ada artikel dalam Jalan Telawi berkenaan filem pembikinan semula di India, boleh dibaca di sini!

Juga sebuah artikel berkenaan NOSTALGIA dan sengaja mencubit bekas PM kita di sini.


27 July 2012

Shame(2011): Fessbender Mmg Takde Malu

"Sesuai" sangatlah aku pergi tonton filem ni bulan Ramadan. Dengan tayang kopeknya, pu**nya, konek terjulur ke sana ke mari, inilah filem seks-psikologi-drama Steve McQueen yang mana kulit filemnya sama dengan kulit Fixi Dayang Noor yang terbaru berserta antologi homo Pang-Jerome. Habis pahala puasa aku.

Filem ini bagus, tetapi dengan usia (aku yang mula lanjut, haha) aku sudah sedikit penat menonton sikap hedonis dan "pakai main buang" orang puteh yang tak penat-penat menayangkan kisah hidup seks serba individualistik-nafsu-kongkek mereka (kalau orang Taliban menonton ni, tentu mereka akan berdoa, "Ya Tuhan, cepatlah Kau musnahkan Amerika dan dosa-dosanya!"), yang mencari dan mencari "lubang" untuk dimasuki tanpa pernah menjumpai Buddhanya. Tetapi itulah juga tujuan filem ini dibikin.

Filem ini sebenarnya kritikan pengarahnya terhadap dekaden zaman Amerikana mahupun Barat kapitalis yang bergerak dan "ambil-ambil-ambil", sehingga sampai ke tahap individualistik, sepesimis ini McQueen menggambarkan protagonisnya untuk "berpeluang" memahami "hidup bahagia bersama orang lain". Michael Fassbender yang amat baik dalam filem ini sebagai protagonisnya dilakarkan sebagai manusia/individu sunyi yang senang hidup dengan kemeriahan permainan fantasinya berkenaan tubuh dan lepasan hawa nafsu, sehinggalah adik kandungnya "datang" mengganggu kitaran hidupnya.

Tonton betul-betul (selain seks dan tubuh telanjang yang mengganggu puasa kau) bagaimana watak Fassbender "bergerak" dan "bergerak", seakan makhluk yang bergerak tanpa penghujung. Inilah arkataip era kapitalis-individualis Barat sekarang yang dinyatakan "dekaden" melalui satu kitaran maut yang tiada akhirnya. Dunia kapitalis ini terus bergerak, tanpa mahu berhenti, mahu mengisi keinginan materinya (di sini dipaparkan, metafora hawa nafsu seks sebagai pengisian keinginan itu daripada hanya simbol materi), lantas sampai ke tahap dekaden, ya Amerika dan apa yang telah dibinanya telah menuju tahap itu, dan dengan tanpa segan silu menyatakan, tanpa MALU, inilah kami dan peduli apa kami dengan kamu.

Ya, dia "membesarkan" dirinya dengan kebendaan, material yang dicarinya (dia mengaku dia lebih berjaya daripada adiknya "kerana kerja dan bakat"), semua itu untuk "memuaskan nafsu"nya kerana apa-apa yang dia mahukan dalam hidup perlu memenuhi "keinginan nafsu seks"nya. Watak pembawaan Fassbender kompleks dan dikasihani (untuk suatu watak yang amat dingin macam celaka). Kita dibawakan imej yang mana Fassbender menaiki komuter, berjalan, berlari, selalunya bergerak: inilah progres dan pergerakan ekonomi dan dunia kapitalis, seakan-akan kisah dan jalan hidupnya sudah sempurna terancang. Di sinilah bila watak adik Fassbender "mengacau", Fassbender terganggu, terhenti (syot yang banyak terhenti di satu-satu ruang), sehingga pada satu detik, telah "bergerak mencari" sesuatu untuk memuaskannya hanya kerana adiknya telah "menghenti" gerakan normanya.

Emosi filem ini cukup menarik, ditambah dengan kekuatan suntingan yang membuakkan puitis (khusus babak awal dan babak Fassbender dipukul, kedua-duanya bersangkut paut dengan komuter, ruang yang menampilkan sikap Fassbender yang perlu bergerak dan terus bergerak walaupun "duduk"), serta cahaya dan latar filem yang ditangkap begitu indah. Aku rasakan, dalam mana-mana filem kalau merakam filem di New York, tidak ada yang buruk.

Runut bunyinya indah, mengganggu. Begitu memahami kelangsungan sifat dan sikap protagonisnya dalam "pencarian diri" dia sebenar, melantun kefahaman eksistensialis yang tinggi.

Ustazah dan ustaz tentu akan mengutuk filem ini kerana sememangnya itulah yang dipinta filem ini, tetapi sikap anti moral ini juga menyatakan kesahihan buat ustazah dan ustaz mengeneralisasi "Hah, kan dah kata, filem Hollywood pengaruh jahat!"

Carey Mulligan menyanyi lagu "New York, New York" dalam filem ini, menggambarkan dengan JELAS tentang abangnya ("I want to be the king of the hill") dengan pengejarannya untuk materi dan kesempurnaan individualis, serta keburukan dunia dekaden yang mengelilinginya dan "menelan"nya. Babak yang panjang dan kemungkinan bosan tetapi bergitu berkesan yang menyakitkan.

Jika anda belum kenal Fassbender "luar dan dalam", inilah filem yang harus anda tonton untuk mengenalinya.

23 July 2012

The Dark Knight Rises(2012): Turun Naik Seorang Adiwira

Masalah terbesar (dan filem ini punya masalah-masalah tertentu) dalam filem ini berlaku, kebanyakannya pada bahagian tiga filem ini (third arc) apabila kebanyakan klimaks filem akan terlerai dan diselesaikan. Wayang dalam dunia Nolan, selalunya cukup persis dengan masa dan logik (sepertimana logo filem produksi Nolan yang menampilkan Inception), jadi bayangkan apabila dua ruang dicipta (yakni bandar Gotham yang sangat Barat-New York kepada dunia penjara alam Bane yang sangat Timur Tengah/Afghanistan) yang tidak mungkin berdekatan melanggar ruang masa dengan kehadiran adiwiranya untuk "menyelamatkan keadaan". Oh ya, Gladiator pun pernah berbuat begitu ya tak?

Tetapi lebih buruk daripada itu adalah "suara rakyat" yang mengelilingi dan mendiami Gotham. Serius, jika dilihat cara pembangunan "kota" dan "anak kota"nya, kita seakan boleh membaca bagaimana suara Gotham itu yang pasif, mula diuji (dengan lebih berkuasa pada bahagian kedua, yang setentunya bahagian paling kuat antara ketiga-tiga trilogi adiwira Nolan ini), dan kemudian, pada bahagian ketiga ini yang sepatutnya "bersuara terus" (sepertimana kemahuan "menipu" Bane supaya anak kota itu bersuara sepatutnya) menentang puak elit dan kaya. Ya, ada babak-babak tertentu memancarkan ini, dan kelihatan "tampak" tetapi tidaklah berkesan. Filem ini sebenarnya punya potensi besar untuk melebarluaskan permasalahan sosial dan moral kelas/rakyat marhaen ini, tetapi yang kita dapat hanyalah budak-budak yatim dalam bas sekolah yang tawaduk dan ikut kata (OK, pelik tak kalian rasa, akhir-akhir ini terlalu banyak filem adiwira ada babak budak-budak dalam bas/kenderaan atas jambatan?)

Ada satu babak pukul, kemungkinan Nolan sudah tidak ada poket imaginasi dalam aksi atau mengambil homaj terhadap siri TV 70-an Batman, kelihatan Batman bergaduh dengan Bane dengan pukul memukul (with their own hands, literally) jelas sepertimana berlaku dalam pergaduhan tumbuk tumbuk siri 70-an suatu masa dahulu!

Berbaloi tak trilogi akhir filem ini? Berbaloi sebenarnya, lebih-lebih lagi dari struktur perwatakan, khusus peleraian perwatakan, terutamanya memberi tirai akhir buat Bruce Wayne/Batman (lakonan masih biasa Christian Bale). Malah dengan menakutkan, sepertimana aku rasa ia mencungkil keinginan komik gelap DC ini pada era 90-an, ada babak yang menampilkan Batman tersengih, menyeringai semacam JOKER lantas menampilkan maniak Batman sudah mencapai bulatannya serta pascapertemuannya dengan "kegilaan" moralnya (dengan Joker pada sekuel filem).

Hans Zimmer hebat, runut bunyi filem ini meletus dengan warna dan kuasa. Sewaktu suara "bangkit bangkit" itu dinyanyikan, aku turut menyanyi "bangkit" dan mahu Wayne "bangkit" untuk keluar. Pengarah Spider-Man Marc Webb pernah menyatakan, kehebatan filem adiwira bukanlah melihat bagaimana si adiwira itu menunjukkan kehebatan kuasanya bergaduh tetapi bagaimana mereka boleh "jatuh" dan "bangkit" semula untuk melawan kegelapan psikologi dan emosi yang meracunnya (the inner weakness/enemy). Filem ini ada usaha itu dan ini menarik. Benar, antara kesemua francais adiwira yang keluar, aku selalu mengiyakan formulaik seronok original Superman lakonan Christopher Reeves yang kemudiannya wujud dalam Sam Raimi Spider-Man dan Captain America. Tetapi trilogi Nolan ini sememangnya "adiwira abad ke-21" yang punya kesegaran baru kerana banyak melanggar kelaziman yang diinginkan dalam sesebuah filem adiwira, malah menggelapkan lagi moral dan psikologi wataknya. Nolan berjaya dalam hal ini, dan punya beberapa babak dan pengakhiran yang indah. Tetapi kasihan, suara-suara sepatutnya yang kita ingin lihat, menutup trilogi terbesar ini tidak kesampaian kerana Nolan terlalu "selamat bermain" dengan pemberian putih lawan hitam yang sudah diagak dengan lenggok akhir (final twist) yang sudah tentu membuat ramai penonton bengang.

12 July 2012

8 Jam(2012): Durasi Filem Ini

Aku dapat merasakan selepas menonton filem ini, Ahmad Idham tak dapat pergi jauh (dalam seni pengarahan). Filem ini, contohnya (dengan skrip Tommy CT Loh[?]) sememangnya memerlukan kata indah sinema untuk menggerakkannya (filem ini berkenaan "8 jam" yang diberikan kepada seorang banduan disabitkan dengan hukuman gantung, lalu menyampaikan cerita atau justifikasi jika benar dia patut dihukyum atau dilepaskan), perlu gaya (pernah tonton The Raid: Redemption?) dalam mengimbangkan genre aksi-melodrama (yeap!)- noir yang kelihatan cuba digarap. Malah "noir" yang (secara tidak sengaja, adakah Idham sedar akan ini?) digarap sesuai dengan klimaks antiklimaksnya dengan (spoiler!) femme fatalenya dibunuh, hanya berlingkar dengan asap-asap dalam babak yang entah apa-apa tanpa penggunaannya yang betul (asap kabus-kabus ala feeling feeling itu hanya digunakan pada sisi lorong gelap, waktu malam dan penjara, yeap, penjara! Apa maknanya semua ni?)

Ada empat filem "anak gelendangan" tahun ni, setiap satunya mempunyai kekuatan (atau kelemahan) serta bauran genre, memulakan satu "tema" baharu mungkin, yang mana Songlap paling kuat, kemudian ada Chow Kit dan Jiwa Taiko lalu kemudiannya filem ini (ada lagi yang aku terlepas?) dan kemungkinan filem ini yang paling lemah antara empat walaupun idea untuk filem ini "decent", sepertimana yang aku pernah merasainya dalam In Cold Blood (1967) dan A Short Film About Killing (1988) yang sudah tentu filem-filem itu jauh lebih berhasil menyatakan estetik dan persoalan moral dan sosialnya, dan menjawab persoalan "mengapa mereka membunuh" dalam jawapan (atau teka-teki) mereka tersendiri, yang mana filem ini "cuba" lakukan tetapi terbabas kerana ketidakhaslikan Idham memahami estatik, imbangan dan pemerhatian genre.

Salah satu masalah Idham adalah menganggap filem ini sebuah filem "komersial". Ini LANGSUNG tak salah, tetapi CARA dilakukan itu, lebih-lebih lagi dalam pengimbangan Idham dalam saat penjara-drama, perhubungan-melodrama dan pergaduhan-aksi, perlu Idham tahu bahawa "aksi" merupakan ruang dan emosi tersendiri yang harus difahami, menaikkan adrenalin. Merantau merupakan sebuah filem yang faham imbangan melodrama-aksi, yang mana, mengetahui bila mahu menyampaikan "drama emosi" dan bila memberikan "aksi". Masalah utama filem ini adalah susunan aksinya, yang kelihatan besar-besar-besar dan tidak mahu kalah antaranya, sedangkan perlu disusun, pertamanya, aksi yang "kecil" (yang filem ini lakukan dengan baik dengan pergaduhan di pasar, kemudian di sekolah) kemudian pergaduhan konflik, kemudiannya mungkin pergaduhan "turning point" dan akhirnya pergaduhan "big boss" yang menyelesaikan klimaks. Tetapi tak. Ada unsur melodrama yang disusun menyebabkan keterujaan hilang, emosi aksi bungkam malah terbenam kerana inti romantik suam-suam kukunya serta ton gelapnya ingin disampaikan. Hal itu sudah tentu SESUAI bagi sebuah filem serius eksperimental ala bebas (indie) dan bukan filem komersial formulaik yang mana teknik filem ini digerakkan.

Shaheizy Sam mempunyai watak menarik dan kiranya "bolehlah" membawa watak anak gelendangan ini (tetapi cuba bandingkan dengan yang dibuatnya dalam Songlap). Aku amat suka dengan cara Idham dan kareograf aksi memberi ruang "vulnerability" dalam aksi Sam yang mana Sam dipukul dan dipukul balik tetapi dia "menahan" lalu bertindak ganas terus, dia seperti kura-kura yang dihentak cengkerangnya tetapi tidak mahu mengalah. Suatu perwatakan menarik, hanya ada satu babak, tak silap aku aksi parkour yang mana melanggar hukum hakam graviti aku dah mati-mati ingatkan lelaki itu (yang dikejar Sam) akan mengajar Sam silat "parkour" (untuk meneruskan perjalanan pukul memukulnya). Ah, seeloknya Idham ambil sahaja pelakon aksi parkour itu untuk watak Sam, mungkin filem ini akan menjadi lebih menarik (mungkin).

Ada sesuatu yang buruk berkenaan penataan suara filem ini, tenggelam beberapa suara jerit wanita di flat contohnya, atau dialog tidak selari dengan mulut, dan dengusan dan nafas era 80-an. Pengarahan seninya mungkin sudah "fungsional" dan kareograf aksinya "menarik", hanya tangkapan sudut dan suntingannya memerlukan susunan dan keselarian yang lebih utuh dan organik. Ah, inilah mengapa Idham masih tidak boleh pergi jauh. 

Klasifikasi: 18, moral dan perilaku watak utama yang gelap mungkin memerlukan tingkatan 18, tetapi boleh diperbincangkan bersama kanak-kanak, walaupun tidak sesuai bagi mereka.