23 March 2007

An Inconvenient Truth (2006) - Hakiki Yang Melecehkan


Pada waktu aku di UK, waktu musim sejuk dan musim panas, abang aku berkata, musimnya sudah tidak ikut musim. Memang. Musim panasnya lebih panas dan panjang, dan musim sejuknya pendek tetapi sangat sejuk. Dia berkata dengan seloroh, "Ini tandanya dah dekat kiamat." Kami ketawa, tetapi kita berdua faham, kejadian ini tidak berlaku begitu sahaja, ia mengubah sesuatu dalam ekosistem kita, ia menyebabkan sesuatu. Filem ini, An Inconvenient Truth memaparkannya.

Kalau pembikin filem Malaysia sibuk sangat nak buat filem yang 'bermesej' dan 'mengajar nilai-nilai murni' secara terang-terangan dan berdakwah, filem inilah yang patut mereka filemkan dari dulu lagi.

Inilah filem yang semacam dibuat oleh Filem Negara Malaysia atau Kementerian Pelajaran untuk program TV Pendidikan tetapi dengan lebih banyak fakta-fakta yang penuh warna-warni, drama dan sedikit melodrama.

Beberapa babaknya penuh animasi, penuh gaya-gaya semacam kita pernah lihat dalam TV Pendidikan, hanya ia lebih canggih. Dan kita asyik terdengar suara Al Gore sahaja bersyarah, tanpa muzik dan secara dramatis, hanya berlaku pada akhir syarahan. Tetapi nanti dulu, Al Gore tidak bersyarah, hanya menunjuk, dan cara dia melakukannya seakan seorang personaliti yang 'maha' hebat dalam persembahannya dan cara penyampaiannya daripada pengacara-pengacara yang 'plastik' untuk program-program hiburan itu.

Ya, filem ini sangat penting, walaupun mungkin, seperti yang Al Gore terangkan, beliau sudah melakukannya lebih 1,000 kali dan anda pernah mendengar/membaca tentangnya. Begitupun, filem ini sangat penting kerana kita, rakyat Malaysia yang sibuk bising-bising mengomen kerajaan tentang jerebu, penyakit, dan baru-baru ini, masalah banjir sepatutnya disuap dengan filem ini (tak tahukah anda bahawa setengah daripada Johor dan Singapura akan lenyap dalam 10 tahun akan datang?) untuk memaparkan bahawa, anda semua berdosa menghancurkan bumi ini. Dan aku sangat bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku cuba berkitar semula, tidak boleh memandu (banyak guna LRT) dan tidak merokok. Inilah sahaja sebuah filem, yang walaupun dibuat dengan penuh propoganda dan penuh 'pengajaran' tak sudah-sudah, yang aku akan paksa orang menontonnya semacam Hitler untuk orang menontonnya.

Mungkin cara aku lebih kasar dan kurang-ajar untuk memaksa anda menonton filem ini, tetapi Al Gore dalam filem ini (seakan rasul alam hijau) memaparkan dengan cara yang lebih seloroh, tidak menyiksa tetapi mengena maksudnya seakan seorang mahaguru motivasi yang hebat membuka wahyu pentingnya.

Ramai orang mungkin tidak suka dengan gaya seorang 'guru' bersyarah, dan tiba-tiba memaparkan gambaran-gambaran guru itu seakan 'saviour' kita yang terakhir, ini sungguh menjelekkan, seakan mengkeramatkan beliau- tetapi semua ini perlu, kerana idea filem ini sesungguhnya adalah untuk pendidikan, dan untuk menerangkan 'kenapa' perjuangan ini penting untuk beliau, walaupun ia terlalu mendakwah. Malah, ia perlu.

Kalau anda tidak sanggup menontonnya di wayang, anda wajib, ya, wajib mencetak rompaknya dari internet atau CD lanun, apa-apa pun anda perlu menontonnya, dan buka mata luas-luas bahawa alam kita sedang berubah, dan kitalah penyebab utamanya. Kita, membunuh diri kita secara senyap.

Dan kalau anda tak berubah selepas menonton filem ini, aku tak tahu apa lagi yang aku harus percaya daripada penonton kita. Jangan salahkan sesiapa (lebih-lebih lagi orang suka pergi disko) jika Malaysia akan diserang puting beliung atau ribut taufan dalam masa lima tahun lagi.

20 March 2007

Satu Pendapat Vovin Tentang "Mukhsin"


Nota Fadz: Vovin meminta aku menumpangkan hasil tulisannya ini kerana dia sudah mematikan blognya (aku dengar, untuk seketika, jadi gadis-gadis di luar sana, sabar, Samsonmu akan kembali satu hari nanti, dan tidak akan dibutakan dan ditipu Delilah.)

Pendapat Vovin Tentang Mukhsin (2007)

Okey, aku tahu aku bodoh dengan menutup blog.

Lantas aku terpaksa menjilat lidah dan melutut di depan Fadz untuk memuatkan apresiasi Mukhsin (2007) ini. Ini bukan ulasan sebab aku bukannya pandai pun. Sekadar satu dua cuit rasa selepas menonton.

Juga, aku rasa hampir semua sudah tahu apa yang ada di dalam Mukhsin. Dua budak pra-akil baligh, Pak Atan dan Mak Inom sebelum menopouse, Kak Yam di zaman pra-andartu serta Kiah di zaman mono-penis-nya. Okey, aku terlalu terbawa-bawa.

Ramai yang katakan betapa cantiknya Mukhsin.

Aku tak rasa sebegitu.

Mukhsin tidak secantik filem-filem Yasmin Ahmad sebelum ini. Dia tidak sekuat rabun. Malah aku lebih sukakan Gubra. Mukhsin kurang kontroversi, tidak 'thought-provoking' (walaupun masih ada) seperti Sepet dan Gubra. Apa yang ada dalam Mukhsin selain dari budak kecil dua ekor diselang seli dengan mak abah tak macam melayu dan jiran yang suka tengok buruk orang lain tapi diri sendiri pun duduk dalam neraka?

Mukhsin penting kerana ia melengkapkan 'universe' cerita Orked. Kini orang tahu bahawa kenapa Mak Orked lebih senang berbahasa Inggeris. Dia sudah menjelaskannya dalam filem ini. Juga bagaimana Mak Yam yang sebenarnya pada awal dia bekerja dengan keluarga pelik itu, tidaklah handal pun dalam Bahasa Inggeris. Juga menceritakan zaman Kiah sebelum menceburkan diri dalam kerjaya pelacuran. Kenapa dan mengapa.

Mukhsin bukan filem yang cantik sebab aku katakan Mukhsin sebuah filem yang comel.

Kenapa dia comel?

Err, sebab yang amat jelas iaitu ada dua budak kecil yang cukup comel dan pandai di dalamnya. Orked dan Mukhsin.

Kali ini kita menyusuri laluan budak dua orang ini. Lebih-lebih lagi kita mahu tahu dari mana datangnya Orked di dalam Sepet dan Gubra. Mukhsin membentuk karakter Orked di dalam filem sebelum ini. Aku katakan comel kerana semua adegan-adegan yang disusun, err..bersifat comel. Mukhsin ajak main layang-layang, comel. Orked tengok bola dengan abah di padang, comel, Mukhsin ajar Orked panjat pokok, comel juga.

Dalam banyak filem, ada satu karakter sampingan yang akan menjadi tumpuan (kadang kala lebih 'outstanding' dari karakter utama'). Aku suka karakter budak perempuan kecil mulut neraka itu. Kalaulah tidak kerana karakter Orked sudah dibina sejak dua filem yang lepas, aku lebih merasakan budak kecil mulut neraka itu akan kelihatan lebih menonjol. Aku harap dia membesar jadi pelakon yang hebat. Aku harap dia berlakon satu filem satu tahun, bukan 25 filem satu tahun.

Seperti filem-filem Yasmin yang lain, kepala aku sibuk dengan subteks-subteks yang (mungkin) ada di dalam setiap adegan. Aku percaya ramai sungguh yang tidak faham dengan adegan Mukhsin mimpi dia duduk di sebelah Orked sebelum terbang sesudah budak kecil itu mencium tangannya. Ah!

Aku faham kenapa orang Melayu tidak suka dengan hasil kerja Yasmin. Sama seperti Sepet dan Gubra, ada beberapa bahagian yang sibuk mendedahkan keburukan orang Melayu. Orang Melayu kan suka puji-pujian sahaja?

Ada orang yang tiba-tiba terkejut bagaimana Orked zaman tidak dara boleh muncul satu jalur masa dengan Orked pra-akil baligh. Siap ada Jason yang (kata orang) tidak mampus. Macam mana? Macam mana? (ambil pistol dan tembak kepala kamu). Fadz ada idea dia yang tersendiri mengenai hal itu. Aku nampak 'David Lynch'. Satu bentuk surreal (mungkin, entah, aku bukannya tinggi ilmu filem dan falsafah). Maka Mukhsin, seperti Sepet dan Gubra berjalan dalam suasana surrealisme. Tak hairan orang pening kenapa Orked tak dara muncul satu zaman dengan Orked pra-akil baligh.

Aku suka dengan lagu-lagu keroncong itu. Juga aku suka dengan lagu Nina Simone itu. Adegan Orked lari ke rumah Mukhsin berlatarkan lagu itu buat aku teringat filem-filem Itali atau Sepanyol atau Perancis. Ditambah dengan lagu itu, impak larian Orked itu cukup berkesan. Ia boleh buat orang menangis. Aku tak menangis, sebab ego aku tinggi. Aku kan lelaki paling bongkak di muka bumi.

Okey, aku sudah tidak tahu apa lagi untuk ditulis. Aku sebenarnya menunggu hentaman dari beberapa pihak yang kurasa sekarang ini sibuk mencari setiap inci kesalahan Mukhsin.

Untuk nota peribadi, aku lebih sukakan Gubra.

Tapi Muhksin penting sebagai pelengkap. Lagi pun seperti yang aku katakan tadi, ianya sebuah filem yang...

Comel.

19 March 2007

Perca-perca Filem Mac 2007


Pan's Labyrinth (2006)
Kalau filem ini masih ditayangkan di pawagam, jangan lepaskan peluang anda untuk menonton filem ini, kerana LPFN tidak memotong sebarang 'gore' yang terdapat dalam filem ini.

Ini sebuah filem syaitan yang setaraf Harry Potter, di mana semua keajaiban dunia Jin diberi seri warna indah yang memaparkan bagaimana manusia adalah medium berkuasa untuk alam lain ini bersatu dan menukar sejarah manusia. Secara amnya, filem ini bolehlah di samakan sebagai sebuah Alice in Wonderland versi dewasa atau sebenarnya sebuah 1001 Malam orang Sepanyol.

Filem ini tetap ada watak hitam/putih yang menjadi kebiasaan filem-filem fantasi (siapa kata filem ini lebih hebat daripada LOTR, nak kena sekeh? Kenal ke diorang apa tu genre fantasi?), paling penting, dan kalau diperlihat dengan seteliti yang mungkin, dunia paralel yang disengajakan ada dalam filem ini (untuk memaparkan bahawa kanak-kanak, baik dari dunia Peter Pan sehingga BFG, punya kebenaran mutlak dan kesucian tinggi sebagai manusia, maka fantasi yang mereka cipta adalah satu kebenaran) duduk bersenyawa dengan dunia manusia. Pendek kata, seperti Princess Manonoke atau The Neverending Story, ia memberi kesan terhadap dunia manusia dan manusia memberi kesan terhadap dunianya, satu penyataan yang lazim dalam dunia spiritual Alam Melayu (bunian-manusia).

Simbiosis ini boleh diperhatikan dengan gaya suntingan filem ini, juga penjalinan plot, juga jiwa, jika diperlihat dengan betul. Lihat sahaja 3 bentuk tugas yang diberi oleh Fawn kepada anak kecil. Tugas meletak batu geliga dalam perut katak, bersamaan dengan rancangan si kapten merancang untuk mencari dan menghapuskan para pembelot dalam perut hutan, dan kesalahan si puteri memakan anggur sama dengan kesilapan para pembelot memberi 'bukti' kepada kapten bahawa ada pengkhianat, serta bagaimana akhirnya si puteri perlu membunuh seorang yang tidak bersalah, bersamaan dengan pembunuhan si kapten yang memang bersalah. Semua ini diikat cantik dengan plot yang turut memberi kesan terhadap kedua-dua dunia fantasi serta realiti filem ini.

Watak yang digambarkan juga sangat cantik, lebih-lebih si kapten yang walaupun antagonis, mempunyai puitisnya yang tersendiri. Kalau diperlihat betul-betul, filem ini, sepertimana-mana filem fantasi, ingin memaparkan kuasa pemilihan manusia dan bagaimana pilihan manusia itu menulis sejarah (di dalam alam fantasi, buku-buku fiksyen ini sendiri semacam satu hikayat lama yang 'baru' atau teks sejarah tersendiri). Ini berlaku terhadap apa-apa pilihan yang dibuat oleh si puteri mewakili alam fantasi dan si kapten mewakili alam dunia. Si puteri sebenarnya 'mencipta' sejarahnya tersendiri, seperti mana si kapten mahu mencipta sejarahnya. Seperti yang kita tahu akhirnya, kedua-duanya mempunyai pensejarahan yang 'blurish' walaupun kita tahu si puteri yang menang akhirnya. Maka persoalan tentang sejarah, sebenarnya, adakah ia benar-benar satu kebenaran apabila ia di'cerita'kan oleh seseorang yang lain daripada diceritakan oleh orang yang mengalaminya sendiri? Filem ini memaparkan persoalan-persoalan itu.

Ini sebuah filem yang tidak patut ditinggalkan, malah aku yang menontonnya di DVD sanggup membuang duit aku menonton di layar perak kerana kecantikan gambarnya di mana Del Toro berani membawa setiap emosi manusia itu, takut, sayang, benci, seram, sedih, kelakar dalam sebuah filem yang amat memikat.

Ya, mungkin filem ini tidak dapat menandingi LOTR atau sebagai cerita pari-pari, Peter Pan, tetapi filem ini adalah antara filem fantasi yang tebraik dibuat tahun lepas.


The Queen (2006)
Jangan tidak nonton filem ini. Sebuah filem yang sangat baik. Malah, filem ini sepatutnya memenangi lebih banyak anugerah dan diiktiraf oleh mana-mana festival kerana aku mengaku, filem ini 'ratu' yang tersendiri (aku akur filem ini kalah dengan The Departed, tetapi memang tahun ini, banyak filem-filem baik yang keluar).

Lihatlah lakonan Hellen Mirren untuk mempercayai apa yang aku kata, satu lakonan yang mengikat anda di tempat duduk anda sehingga ke akhir filem ini. Filem ini membawa persoalan, apa suidah hilangkah kekuasaan daulat raja itu pada negara apabila segala kemodenan sudah langsung meninggalkan tradisi lapuk mereka? Filem ini terus 'menyinar' setiap kali Hellen Mirren memberi pendapat dan kuasa katanya terhadap Blair dan lain-lain. AKu suka bab ini: "Waktu ini, mereka (media) akan melambung awak setinggi-tingginya, hanya awak tunggu mereka akan kutuk awak sebawah-bawahnya." Dialog ini sudah merumuskan kuasa 'monarki' terhadap apa-apa kemodenan dan demokrasi yang mengelilingi mereka, dan kebodohan masyarakat yang sudah mula hilang penghormatan mereka terhadap kedaulatan raja.

Filem ini agak peribadi bagi aku untuk beberapa perkara (berkenaan dengan kerabat), maka aku agak prejudis apabila filem ini adalah antara filem kegemaran peribadi aku tahun ini.


Detik Terakhir (2006)
Aku tidak suka filem ini. Walaupun ya, aku mengaku, sutradara Indonesia sudah berani mengeluarkan filem lesbian. Satu perkara penting, aku suka tentang filem ini kerana ia sebuah filem yang diadaptasi dari sebuah buku (tidak salah aku). Walaupun filem ini punya unsur humanis (denagn sedikit didaktik ala Gia lakonan Angelina Jolie yang hebat itu), cara ia menggambarkan grafik seksnya, amat memualkan. Contoh terbesar adalah waktu si perempuan ini dirogol oleh tauke disko itu, ya rabbi, aku rasa babak rogol Embun lagi efektif lagi. Ada beberapa babak yang sangat menarik, iaitu riwayat awal pengnarator filem ini, serta babak waktu dia berhalunisasi kerana mengambil heroin. Yang lain-lain, sutradaranya sepatutnya lebih berani, kasar dan mengambil masa untuk membikin filem ini sebaik mungkin.


300 (2007)
Kalau anda suka tengok lelaki (dan perempuan) separuh bogel menunjukkan aurat mereka yang cantik dan mengiurkan, ini adalah filem untuk anda. Hanya satu perkara, filem ini sangat-sangat menghiburkan (itu pun sebenarnya tujuan filem ini, tidak lebih daripada itu). Kalau anda mahu mencari satu 'subtlety' macam Gladiator, bolehlah dikatakan ia ada setengah. Adakah filem ini satu propoganda yang membuat orang Amerika merasakan mereka wajib memerangi Iran (kerana Iran itu Parsi zaman dahulunya?)? Persoalan itu aku rasa jengkel kalau mahu salahkan Zack Snyder mengeluarkan filem ini sekarang. Yang aku dapat lihat ialah, apa yang perlu dibenci kerana di dalam filem ini, sudah terang bahawa pihak Parsi (the aggressor) yang melakukan serangan, sepertimana Amerika membuatnya terhadap Iraq dan waktu ini Iran. Maka idea 'peperangan' yang sarwajagat ini bagi aku sudah terang, mereka yang sering kali mendobrak diri mereka 'super powers' akan tersedar satu hari bahawa mereka bukanlah 'immortals' bila sesebuah negara itu bersatu hati memerangi mereka, itu sahaja 'point' filem ini, satu 'self mockery' terhadap Amerika kalau mereka angkuh dna salah langkah (maka orang Amerika sekarang bukan seperti nenek-moyang mereka si Spartan tetapi musuh mereka, Xerxes si Parsi).

Aku suka soundtrack filem ini. Seru!

Terowong Casablanca (2007)
Sebuah filem yang sangat bodoh-bodoh-bodoh walaupun para pelakonnya sangat cantik dilihat. Setaraf filem-filem keluaran David Teo's Mistik, Potret Mistik dan aku pasti, filem ini ada pengaruh daripada David Teo. Filem ini satu lagi contoh, JANGAN paparkan efek keseraman dengan sekaligus (hanya jika awak pro seperti Peter Jackson, Sam Raimi atau Clive Barker, di mana, kalau mereka mahu paparkan horror, mereka akan simpan sehingga 20 minit akhir filem itu, lalu kalau nak buat 'all hell loose' buatlah masa itu) tetapi perlu dibuat dengan satu "perkembangan yang sihat"!


C.R.A.Z.Y. (2005)
Sebuah 'cult classic'. Sebuah filem 'coming of age', separuh muzikal, separuh The Simpson, sekaligus memberi kuasa mikro untuk melihat sebuah keluarga biasa dalam sejarah di Quebec, pada 1960-an sehingga awal 80-an. Seorang lagi sutradara yang tahu bagaimana untuk mengikat cantik babak filem, watak dan lagu latar terhadap kewujudan keseluruhan filem.

Lihat sahaja tontonan watak utama memasuki dunia fantasinya di dalam gereja, atau bagaimana dia berimajinasi menjadi David Bowie dan bagaimana setiap kali ayahnya menyanyikan lagi peranchis itu, kita faham signifikannya dan rohnya terhadap keseluruhan filem ini.

Ia sendiri adalah sebuah filem yang bercerita tentang setiap keluarga yang kita kenal, sedang melalui fasa sejarah, dan paling penting, filem ini memaparkan kesatuan keluarga yang di mana, ia tidak perlu bermoral dengan pengajaran, tetapi sudah cukup membuat kita terasa akan kepentingan bersatu dalam keluarga. Sebuah filem terbaik bagi aku tahun lepas.

Jangan lupa untuk menyanyi bersama dengan dendangan lagu dari filem ini.

16 March 2007

Tontonfilem Versi Baharu



Setelah laungan azan dibuat, blog ini dengan rasminya, tercipta.
Tunggu untuk kemasukan entri seterusnya.

Filem yang akan diperkatakan:
Pan's Labyrinth

The Queen

Detik Terakhir

300

Terowong Casablanca

fadz-