25 September 2013

Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013. Penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2013. Setakat ini, kami mendapati terdapat 73 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2012 hingga Ogos 2013, tidak menolak beberapa filem terbitan tempatan bukan berbahasa kebangsaan, filem animasi, serta filem bebas yang tidak dimasukkan. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus.

Setakat pemerhatian kami, kuantiti tayangan filem tempatan mendadak naik daripada tahun lepas setelah penganjuran dua filem tayangan seminggu dijalankan. Banyak filem bergenre dalam landasan kotemporari menjadi pilihan para pembikin. Tema sihir, tahyul, dan gangsterisme mendapat tempat teratas, selain percintaan dan persoalan moral dalam Islam turut dicitrakan. Paling menarik, terdapat beberapa penampilan sarana kumpulan minoriti terhadap wahana sosial sekarang yang ditampilkan. Peningkatan penayangan filem tempatan berbahasa ibunda serta "percubaan" filem adaptasi karya kreatif pada tahun lepas dan tahun ini juga amat membanggakan. Percubaan penerbit terbesar negara, MiG untuk meneliti cerita melangkaui pembikinan harus diberi pujian kerana terdapat beberapa filem perdananya yang mempunyai penceritaan yang baik dan tersusun, walaupun bukan terbaik dari segi inti pati (substance). 

Dalam pemerhatian kami pada tahun ini, kebanyakan filem yang diharapkan dapat merentasi suatu mutu dan kekuatan yang boleh diiktiraf menjadi suatu permintaan yang sia-sia. Indah khabar daripada rupa. Perkara ini suatu sesalan dalam kumpulan filem yang banyak pada tahun ini. Kami turut mendapati bahawa kebanyakan filem membawakan idea dan cerita asal yang menarik, namun tidak mampu digarap dengan betul dalam beberapa perkara yang jelas, mengganggu pelancaran bentuk hasil akhir sesebuah filem. Mise-en-scène yang sepatutnya tidak dapat dirasai. Masalah ini ditambah dengan kekurangan fahaman tentang bentuk (form) filem, yang tidak menyampaikan jiwa dan kesinambungan teknik terhadap kandungan, menyebabkan inti patinya tidak begitu baik (mediocre). Masalah ini mencacatkan pencitraan filem berkenaan. Hal ini tampak jelas dalam beberapa filem adaptasi, yang jelas mempunyai idea asal yang menarik dan dapat diperkembangkan dengan intepretasi lakon layar baharu namun menjadi sebaliknya.

Atas sebab ini, dari segi mutu, kami merasakan kekuatan filem mutakhir ini agak merosot. Senarai filem yang keluar pada tahun ini antara yang terlemah dalam sejarah filem Malaysia. Tidak ada yang "stand out" dan dapat dibanggakan, sampaikan kami terpaksa menimbangi perkara yang sekurang-kurangnya kecil dan khusus sebagai merit terhadap kepentingan wayang dan pengalaman wayang.

Kami juga amat terganggu dengan suara penguasa dan pencatur politik yang cuba "masuk campur" dalam pengalaman pewayangan tempatan dengan alasan tetek-bengek yang tidak munasabah. Kami ingin menyuarakan pandangan mutlak, bahawa suara penguatkuasa dan politik perlu berada di luar budaya pembikinan dan apresiasi wayang. Filem ialah filem, karya yang memberikan reaksi, renungan, dan intepretasi terhadap sesiapa yang menonton layar tebarannya. Malang untuk filem seperti Tanda Putera dan Kampung Baharu/The New Village dipaksa masuk ke dalam kancah pempolitikan oleh mana-mana pihak dan dihakimi dengan pelbagai label dan kenistaan. Masyarakat perlu bergerak ke luar dan maju. Menuduh sesebuah filem "berdosa" sebelum menontonnya, seperti kes yang berlaku terhadap filem dokumentari, Lelaki Komunis Terakhir (2006) menampilakan kematangan sebenar penonton tempatan sekarang. Filem hanya dinilai atas baik atau buruknya, tidak ada cara lain lagi.

Di sini, kami sertakan senarai pencalonan seperti yang berikut:

Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013

Pengarah Terbaik
Nik Amir Mustapha untuk KIL
Bernard Chauly untuk Istanbul, Aku Datang! 
Mamat Khalid untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
M. Subash Abdullah untuk Misteri Bisikan Pontianak
Esma Daniel untuk Zaiton, Ceritaku

Pelakon Lelaki Terbaik
Beto Kusyairi untuk Istanbul, Aku Datang!
Redza Minhat untuk KIL
Khir Rahman untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
Pekin Ibrahim untuk Cerita Kita
Farid Kamil untuk Lagenda Budak Setan 2

Pelakon Wanita Terbaik
Lisa Surihani untuk Istanbul, Aku Datang!
Vanida Imran untuk Untuk Tiga Hari 
Nadia Aqilah untuk Zaiton, Ceritaku 
Ruminah Sidek untuk Misteri Bisikan Pontianak
Fazleena Hishamuddin untuk Kontradiksi

Sinematografi Terbaik
Mohd Noor Kassim untuk Zaiton, Ceritaku 
Haris Hue Abdullah untuk Istanbul, Aku Datang!
Soon Yung Chong untuk Paper Moon
Soon Yung Chong untuk KIL
Norhanisham Muhamad untuk Sembunyi

Lakon Layar Terbaik
Rafidah Abdullah untuk Istanbul, Aku Datang!
Alfie Palermo untuk Sembunyi
Mamat Khalid untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
Nik Amir Mustapha untuk KIL
Rameesh Puncharatnam untuk Olli

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Adlin Aman Ramlie untuk Juvana
Afdlin Shauki untuk Untuk Tiga Hari
Sharnaaz Ahmad untuk Sembunyi
Hans Isaac untuk Langgar
Saiful Apek untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Umie Aida untuk Sembunyi
Anne James untuk KIL
Mislina Mustaffa untuk Misteri Bisikan Pontianak
Fynn Jamal untuk Kontradiksi
Faezah Elai untuk Tanda Putera

Filem Terbaik
Istanbul, Aku Datang! (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Lina Tan Suan Jeu sebagai penerbit)
KIL (Rewan Ishak, Nik Amir Mustapha, Jeremy Little, Anizan Sarif, Tengku Iesta Tengku Alaudin sebagai penerbit)
Rock Oo! Rimba Bara Kembali (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Mamat Khalid, Jalena Rejab sebagai penerbit)
Sembunyi (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Frank Lewis, Kabir Bhatia, Jalena Rejab sebagai penerbit)
Misteri Bisikan Pontianak (M. Suurya sebagai penerbit)

05 September 2013

Psiko Pencuri Hati(2013): Nam Ron Cuba Hitch-Cock

"Afasal merah kau ni macam tak merah?" - Man

Dialog kutipan di atas (lakonan pelik Amerul Affendi) sebenarnya secara ironi sudah pun merumuskan keseluruhan organisme bernama Psiko Pencuri Hati (The Thief of Hearts).

Psiko Pencuri Hati, betapa pelik dan romantis sakitnya judul itu dalam sebuah genre ngeri (thriller) ala Korea berkonsep psikoanalisis, homaj slasher, dan filem agung Hitchcock itu sendiri. 

Tiga perkara utama yang membawa filem ini, yang sepatutnya boleh dan dapat dihargai, merundum: 

1. Shamsul Cairel sebagai penyusun dan pengolah lagu runut filem telah menghancurkan keseluruhan struktur "ngeri" filem dengan detik degupan dan cubaan memelodramakan "Aldrich!" filem ini - emosi tidak kena. Bukti: pada babak saspens seorang mangsa dicekik dari belakang. Runut bunyinya berdetik macam kompang dikir barat naik meraban. Emosi suara (juga masalah filem ini) dan imejan terganggu. Ini bukan kerja pakar.

2. Sinematografi Jepon Helmizan malas (walaupun kita nampak beberapa rujukan filem noir 50-an yang diambil), tidak dinamis, tidak melucun suatu cerita dan seketul-seketul tanpa memahami turutan. Hal ini juga berkaitan dengan (3). Namun yang penting, walaupun fokus imej menampilkan emosi watak hadapan kamera kadang-kala berjaya, terdapat beberapa imejan dan letak imej yang janggal, khusus pada bahagian klimaks. Mungkin ini kesalahan ruang, namun suatu perancangan yang teliti dalam sudut syot sudah harus disusun teliti. Semua filem ngeri mementingkan syot untuk menyampaikan "semangat keterujaan". Syot filem jelas tidak memberi ini.

3. Penyuntingan Hafeez Mohd Noor. Jika ada seorang penyunting (dan pengarah) yang melakukan fade out dalam genre ngeri pada dua bahagian semata-mata menyusun gerak ke babak lain, pipi mereka sepatutnya ditampar. 

Terdapat banyak lagi persoalan teknik yang merumitkan penguasaan estetika filem, dan di atas merupakan perkara yang membuatkan kita tidak dapat menghargai pengalaman menonton sesebuah genre ngeri. Ya, Syafiq Yusof mempunyai premis yang lebih kecil (malah goyah) dalam S.A.M. (2012) namun hal-hal di atas "dijaga" sebaik mungkin. Kita tontonlah sebuah "ngeri". Adakah dengan itu, Nam Ron hendak menyatakan yang kita sebenarnya menonton sebuah filem yang "melangkaui" ngeri?

Hal ini mungkin sahaja dengan beberapa dialog berkenaan "fiksyen" yang "perlu ikut realiti" (lalu ditempelak oleh Man, sahabat baik penulis novel jenayah, O.Sidi lakonan Bront Palarae). Kata "realiti" ini banyak kali dicetus oleh watak. Kemudian, kita menyedari pembunuhan bersiri wanita yang berlaku (dan diikuti/ditiru dengan obsesifnya oleh O.Sidi atas nama kesempurnaan/estetika) masih menemui jalan buntu (pembunuh masih tidak ditemui ala Jack The Ripper). Ini persoalan yang amat menarik. Kemudian Man menyoal Sidi, "Bukankah fiksyen ini direka-reka, kenapa sibuk nak ikut realiti? Bodoh!" Subteks ini menempelak bukan sahaja pandangan "karya seni cerminan realiti" yang selalu sahaja kita dengar, khususnya berkait genre realisme (dan dalam bidang sastera, naturalisme) tetapi juga kes misteri pembunuhan negara yang sampai sekarang kita tidak ketemu-ketemu pembunuhnya: Altantuya.

Memang, aku sendiri terkejut dengan keberanian Amin Shakib (cerita asal), Ayam Fared dan Nam Ron selaku penulis skrip dengan kritikan ini (suatu tragedi realiti yang terjadi yang diselubungi dengan rekacipta fiksyen, get it?) dan menyedari, maaf cakap, mereka berkali-kali "berjaya" membunuh seorang wanita yang "lebih bossy daripada suaminya), you know what I mean?

Subtext aside, ada banyak pembunuhan wanita (baca: penindasan wanita) maka Wani (Sharifah Amani) dan O.Sidi yang di tengah-tengah hal ini, obsesif berkenaan siri pembunuhan tersebut dalam tujuan yang cukup menakutkan. Suatu penguasaan seks berlaku dalam jiwa-jiwa kacau ini. Dr. Khai (Syed Hussein) di tengah-tengah gelombang angin pasang Wani-O.Sidi ini memohon "pertalian". Tarik-menarik seks berlaku. Malah turut disampaikan dalam penanda pisau memotong lobak, tanduk, ombak menghempas batu, dan senapang (yang masih blur, alat-alat ini ada berkenaan objek kemaluan). Hal ini berlaku apabila (secara kebetulan, AKU BENCI filem kita yang asyik-asyik bermain dengan kebetulan, macam sudah biasa, filem ini secara geramnya, beberapa kebetulan dan polos yang buat aku geram. Sekurang-kurangnya penulis perlu menampilkan klu objek sebelum objek sebenar yang menjadi peranan dalam plot itu dikeluarkan dalam babak tersebut. Jangan letak barang-barang tersebut mengikut motto BN, endless possibilities) Wani-O.Sidi-Dr.Khai menghinggap di sebuah pulau pada satu masa yang sama!

Ada satu babak yang sungguh nikmat berkenaan "sexual tension" ini, berlaku di meja makan. Di sini kita akan lihat peran seksual ketiga-tiga watak ini menyatakan, dan dengan menariknya, membuatkan seorang watak yang bunting idea ini muntah. Banyak pelepasan libido turut dimainkan atas sebab fantasi yang tidak dapat dikecapi. Muntah itu merupakan antaranya. Ya, pembunuhan itu sendiri mengikut acuan genre slasher ialah "imejan" pelakuan klimaks seks (lihat Anthony Perkins "merogol" dalam Psycho). Filem ini "benar" dalam menyampaikan pelepasan hawa nafsu ini dalam bentuk yang begitu "jahat", tidak pernah dilakukan oleh mana-mana filem Melayu kecuali mungkin, Dr. Rushdi (namun itu dengan pistol).

Begini, ini kritikan sosial Nam Ron yang mencengkam. Masyarakat kita relatifnya sakit, dan jiwa-jiwa kacau ini melepaskan "fantasi"nya dengan pembacaan, penontonan, dan penulisan. Tanpa mencapai libido yang diinginkan, mereka rela dimanipulasi oleh fantasi-mesin sosial (ok, lagi satu klu, apakah dia yang berkenaan baca-tonton-tulis, ya betul: media!) yang "selamat" ini yang lantas terus memakan jiwa mereka (kerana persoalan psikologi mereka itu tidak pernah dipenuhi) melihat jalan "realiti" atau jalan penyelamat. Watak Dr.Khai bagi aku, jelas, menjadi penanda "Mata Tuhan" yang mempersoal kesakitan-kesakitan kronik masyarakat ini dan dia "membenci"nya, sambil mengelar O.Sidi, "Yang penting ialah hati yang sejati, kerana tu hati kena bersih". Sekurang-kurangnya dia berfalsafah dan tahu bahawa kekuatan jati diri (hati yang sejati) hal yang penting dalam menghadapani realiti mesin sosial (media).

Namun begitu, terdapat satu penyimpangan yang tidaklah dapat aku terangkan di sini (yang seperti Fasyali Fadzly nyatkan, "Nanti kau turun spoiler" dan apa-apa lah) yang bukan sahaja menyampaikan ketidak berjayanya (dan ramalan Dr.Khai akhirnya benar) masyarakat menemui jati diri dan hati sejati sebenar, tetapi kita memenuhinya dengan bentuk yang amat bahaya atau gila (ini berbalik dengan persoalan pembunuhan sebagai acara seks di atas).

Keberanian penulis skrip dan Nam Ron memasuki alam pelbagai lapis ini dapat dipuji, menampilkan suatu maksud yang turut berkait dengan cara dunia patriach kini menghadapani kelahiran feminisme kuat dalam makna diri wanita tempatan (dan secara subteks filem ini menyatakan, feminisme wanita tempatan sudah lama wujud dan bukannya perkara baharu). Lelaki yang tetap hendak mempertahankan status quo (Oh Oh, ahli politik ...) sudah tersudut dalam klausa minoriti. "Ini tidak adil," kata Dr.Khai, yang masih sabar (2 tahun) melayan emansipasi fantasi bobrok isterinya, walaupun dia terpinggir kerana cuba menjadi patriaki berkonvensi lama (dia memohon si isteri tidak bekerja dan duduk di rumah, menentukan ruang tempat sosial sang wanita dari sisi mata kelelakiannya).

Ciri ini menarik dan diangkat dengan baik oleh pembikin. Hanya yang paling kurang ialah penonjolan ciri voyeur (sebenarnya O.Sidi mengambil peranan ini, tetap skripnya tidak memberi ruang untuk hal ini ditimbangi dengan baik, dengan terlalu banyak bermain dengan montaj dan cadangan imaginasi) yang amat penting dalam mana-mana filem ngeri (Susuk Amir Muhammad dan Ghalili pun tahu kepentingannya). Hal ini amat dikesali. Sharifah Amani tetap Sharifah Amani. Kelangsungan pendalaman watak yang murung tidak dapat disampaikannya dengan sempurna. Watak ini terlalu gelap dan Amani berjaya menitip hanya sedikit psikosis itu. Babak awal filem ini menampilkan dengan jelas. Bront Palarae is just plain weird walaupun punya babak-babak kiut "aku gilakan?" tertentu mengikut pola watak Jack Nicholson dalam As Good As It Gets (Ops, ada sisi persona Bront dalam sebuah babak merujuk Johnny Depp u olls!). Amerul Affandi, weirder. Syed Hussein amat menarik walaupun memerlukan lebih banyak stamina. Dia membawa watak Dr.Khai dengan cukup dalam dan emosional, turut penting ialah aura seksualnya. Ada babak-babaknya aku gerenti penonton wanita mahu merobek-robek kemeja sendat berpeluhnya. Sexual feelnya kuat dan penting buat filem ngeri sebegini (dan dia tidak perlu pun buka baju untuk itu).

Filem ini juga tahu mencuit, dengan beberapa babak, dan sudah tentu dengan cuitan akhirnya yang baik, sekali lagi tentang jiwa sakit masyarakatnya. Usahlah kita tertipu dengan imejan akhir tersebut tentang sakit orang. Pengakhir filem dengan jelas memaparkan akan sakit jiwa kita sendiri yang terperangkap dan tidak kita sedari. Menarik.

Oh ya, ada satu babak Micheal Myers masa kecik yang buat aku terlopong dan suka. Tiba-tiba Haloween u olls!

Psiko Pencuri Hati hendak menayangkan merah yang merah itu, tetapi tidak cukup merah seperti kutipan kata di atas. LPF sekali lagi dipersalahkan? Mungkin, tetapi juga sikap "tidak apa" penulisnya yang terlepas beberapa perkara penting dalam genre begini. Walaupun demikian, sebagai sebuah filem ngeri gelap Malaysia dalam tahun ini, filem ini antara filem gelap yang dapat dirujuk dan menarik untuk ditonton.

Klasifikasi Psiko Pencuri Hati: 18, terdapat beberapa adegan ganas, darah, dan perilaku seks yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI Cineleisure@Curve. Pratonton.