24 September 2012

Berkenaan Senarai Pendek dan Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur

Assalamualaikum

Salam Sejahtera

Di sini kami sertakan kenyataan berkenaan senarai pendek dalam satu-satu kategori yang tidak sekata. 

Pemilihan yang dibuat, dalam masa 10 bulan, bermula Oktober tahun lepas menampilkan perbincangan dan pengundian lebih 50 buah filem yang ditayangkan. Setiap satunya dipersoalkan, dibidas dan disokong, mengikut kepakaran ahli masing-masing. Untuk tahun 2012, kami "sengaja" tidak mahu "mengurangkan" senarai calon, contohnya dua kategori paling banyak, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik sebagai reaksi terhadap beberapa senarai, khususnya Pelakon Wanita Terbaik dan Sinematografi Terbaik yang tidak dapat kami masukkan "calon terbaik" setakat Ogos 2012. Senarai ini juga menampilkan jurang yang amat membimbangkan, berlaku dalam penguasaan pengkaryaan dalam beberapa kategori. Kekuasaan "pelakon pembantu" menampilkan bahawa kita punya pelakon berbakat, tetapi kita tidak banyak hasil karya dan penulisan/pengarahan watak peneraju yang benar-benar kuat untuk mengangkat sesebuah karya (kebanyakan watak diperan dalam filem bergenre komedi romantik, aksi, seram, dan spoof yang jarang boleh dinilai sebagai hasil yang terbaik dalam penganugerahan lakonan). Dengan jelas, untuk tahun 2012 sahaja, tidak banyak watak wanita kuat yang hadir di layar, yang benar-benar mencabar mereka dan pencabaran itu menghasilkan sesuatu. Tema dan penceritaan merupakan masalah utama.

Tahun ini (dan lepas) memang "dikuasai" para lelaki, memandangkan pascafenomena KL Gangster, kebanyakan filem yang ditayangkan memberi ruang yang banyak mempelopori insan lelaki, kaca mata lelaki, semangat kelelakian dan isu para lelaki (walaupun isu itu boleh melangkau sarwajagat dan kejantinaan). Dua buah filem terkuat tahun ini sahaja, Bunohan dan Songlap, memaparkan kekuasaan "dunia lelaki" tersebut melebihi peranan watak-watak wanita, termasuk filem seperti SAM, 29 Februari, Tanda Putera (untuk Oktober), Misteri Jalan Lama, Jiwa Taiko, dan lain-lain.

Karya yang berpusing dalam gaya, langgam dan tema yang sama juga amat membimbangkan. Ada beberapa filem yang cuba keluar daripada kepompong kebiasaan filem tempatan, seperti Horeey! Horeey!, 29 Februari, SAM, Chow Kit, dan beberapa lagi, tetapi mempunyai beberapa kekurangan dan kelemahan. Walaupun begitu, usaha murni ini perlu diberi perhatian.

Kami juga ingin memaklumkan kehadiran filem bebas, Relationship Status yang boleh disanjung atas percubaannya mengambil jalan filem romantik komedi dan drama yang melangkau daripada filem romantik Melayu biasa, walaupun garapannya mengambil semangat beberapa filem bebas Barat. Kesegaran filem ini tampak dalam penglibatan idea "himpunan watak" yang biasa dibikin di Hollywood dengan tema semasa berkenaan media sosial yang mengganggu/mengikat/mencakna masyarakat sekarang. 

Kami juga ingin memberi penghormatan kepada pengarah sinematografi Bunohan, Charin Pengpanich yang kami tidak dapat masukkan dalam senarai akhir calon atas sebab kewarganegaraan. Kami sudah sebulat suara, untuk tahun depan, kami akan membuka pencalonan untuk pembikin dari luar (Hanyut akan datang) atas sebab, karya filem dilihat atas karyanya yang dibikin dan diterbitkan di sini (termasuk usahasama) dan bukan kerana warganegaranya.


Senarai Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur

Nazim Masnawi - Walaupun sudah berhenti menulis untuk sementara, pengkritik berlidah pedas ini masih menjadi tetamu pengkritik di rancangan Gala TV Plus, Astro Awani. Blog Roman Kodian beliau dahulunya antara ruangan kritikan filem yang paling "pedas" dan "jujur" berkenaan kekuatan/kelemahan filem Malaysia yang diulas. Pernah menjadi editor majalah di Gempak, dan merupakan penulis filem terbaik syarikat majalah itu.

Sinaganaga - Antara pereka buku terbaik di Malaysia ini, Sinaganaga yang mempunyai mata tajam dalam memahami estetik dalam imej, amat-amat tajam dalam menampilkan kekuatan mis en scene dalam satu-satu babak filem. Kepakaran beliau dalam memahami komposisi, pencahayaan, latar dan pewarnaan amat membantu dalam menyatakan "bagaimana filem sepatutnya hidup di layar perak". Beliau turut mengkritik filem di blognya, dengan gaya selamba tetapi kritis, dan paling utama, kelakar. Antara ahli yang sememangnya "keluar dari kotak" secara hakiki dan minda.

That Movie Blogger Fella - Pengkritik filem dalam bahasa Inggeris di blog yang terbaik, selalu meneliti filem Malaysia dengan mata yang kritikal dalam pelbagai rasa dan ilmu. TMBF (nama timangan yang dikenali) benar-benar meneliti sesebuah filem tanpa diskriminasi (termasuk filem Hollywood), menyatakan kekuatan dari satu-satu segi kepada kelemahan kepada satu-satu permasalahan pembikinan dan apresiasi. Rencananya selalu ditunggu-tunggu oleh para pembikin dan peminat filem tempatan.

Syafiq & Igniz - Pengkritik filem dalam bahasa Inggeris di blog Dramatic Durian. Walaupun mereka lebih mengendahkan filem Hollywood dan Barat, penelitian mereka terhadap filem tempatan jujur, bernas dan adil. Bayangkan, mereka merupakan pengkritik Barat yang "terpaksa" menonton filem Malaysia/Melayu.

Aidil Rusly - Pengkritik filem dalam bahasa Inggeris untuk The Star, setiap sabtu. Pendedahan Aidil yang paling luas (dalam kalangan ahli) dari segi tontonan filem menyamai sifat arkib guru filem, Hassan Muthalib. Aidil pakar dalam filem-filem serata dunia, perdana mahupun bebas, dan amat terkini dalam dunia perfileman semasa. Aidil tetap melihat filem Malaysia dengan kasih sayang dan empati, menampilkan apa yang terbaik yang ada dalam filem Malaysia dengan penelitian mata antarabangsa.

Perang Filem - Pengkritik ini mungkin mengambil nama blognya sempena keadaan filem semasa yang sentiasa bersaing antara satu sama lain. Dari persaingan itu, timbul hakikat "pendirian" untuk melihat yang terbaik. Tanpa diskriminasi, Perang Filem menonton kesemua filem di layar. Pengkritik ini, walaupun kupasannya mudah, menampilkan dengan suara hati dan pengalaman mengapa sesebuah filem itu perlu disanjungi. Perang Filem juga mempunyai "festival"nya yang tersendiri dalam memilih filem Malaysia terbaik, yang mana beliau laksanakan setiap tahun sebelum Festival Filem Malaysia.

Review Film - Pengkritik ini juga jujur dan bernas dalam ulasan filemnya, menampilkan beberapa perbandingan sebelum meyakinkan pembaca berkenaan satu-satu nilai dan kekuatan/kelemahan sesebuah karya filem. Beliau juga mengkritik karya fiksyen (novel) dan mempunyai pandangan tersendiri berkenaan pelbagai perkara dalam sesebuah filem.

Fadz Tontonfilem - Ini blognya. Kritikan filemnya juga tersiar di Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya. Pernah menjadi tetamu pengkritik filem dalam beberapa rancangan televisyen, radio dan majlis forum.

8 comments:

Anonymous said...

inilah ahli-ahli syura pengkritik kolumpo.. magnificent 7.? (jika Syafiq & Igniz dianggap kembar siam)

Anonymous said...

hassan muthalib mana weh? podah chit!!!

Anonymous said...

Ajami Hashim tarik diri?

fadz said...

Anon, Hassan Muthalib juri FFM.

fadz said...

Ajami Hashim tak masuk senarai.

fadz said...

Jalan Pintas mmg masuk senarai (dalam perhatian), tapi tak ramai yg mengundi (tak ramai pegi menonton, mcm ramai juri tak tonton sesebuah filem Foreign Language lah).

Aku selalu angkat filem2 indie ni. Aku cadangkan lepas ni, kalian boleh tolong dgn maklumkan kat aku secepat mungkin berkenaan tayangan filem indie ni supaya aku maklumkan kepada ahli.

Fasyali Fadzly said...

Norman Yusoff takde masukkah? atau dia ketua juri? hehe

Aliff Ihsan Rahman said...

mungkin tahun depan boleh buat pencalonan untuk filem pendek terbaik..? :)