04 September 2012

Pasca Malaysian Shorts 3 September 2012

Ulasan saja-saja buat kawan-kawan, terima kasih Kelab Seni Filem Malaysia dan Universiti Help.

Via/Tanpa Judul (2012, 27 min, Arahan: Azharr Rudin)
Antara kegemaran aku malam itu. David Lynch boleh dijumpai dalam penemuan jantung dalam sinki, cahaya, bayang-bayang dan layar hitam putih Eraserhead yang indah, senyap, menderum kereta api yang menyakitkan. Kawan aku membisik, "Oh, aku teringatkan Satantango..." Si lelaki yang kemas dengan dua butang atas kemeja melalui koc KTM hitam putih. Tiba-tiba statik, dia membelakangi (baca: kita akan melihat imej ini sekali lagi tapi dalam adegan lain) kita dengan cahaya melanggar kepalanya. Indah. Dia menemui seorang gadis, tidak cantik, tetapi tenang dan menyimpan misteri di balik bibir dan mata sepetnya. Dia bertanya, "Macam mana kau tahu aku ada di sini?" berkali-kali. Si lelaki hanya tersenyum. Kemudian, filpen yang banyak menampilkan wajah lelaki-gadis-kereta api itu meneruskan "perjalanan" durasi dengan dialog (janggal) bahasa Melayu (sedikit Inggeris) di antaranya tentang pelbagai, sambil kadang-kadang melihat tingkap luar. Di sini, sakitnya mengundang. Beginilah mahu buat "filem berdialog" yang biasa dicanangkan Faisal Tehrani, ia jauh daripada terasa seperti "drama radio" (walaupun mungkin menggegar otak penonton dengan durasinya) dan kata-katanya menyentuh jika kita menyedari latar dan penyediaan kedudukan filpen itu (jika kita bandingkan dengan realiti kita). Ia bercakap tentang agama, kehidupan dan sumpahan, tanpa pernah secalit rasisme, kotor politik, ketegangan, dan diskriminasi. Ini adalah utopia "Malaysia" dalam falasi nostalgia (rujuk pemakaian dan fesyen serta percakapan), anggap ruang ini hanya berlaku jika "masa terhenti" hitam putih dan seluruh warga (oh, aku lupa maklum, "etnik" mereka Cina) Malaysia bercakap Melayu Baku tanpa mengenali kepentingan ras lagi (rujuk Indonesia), lantas percakapan tentang "dia keluar agama" dan "fuck you" terasa berdiri atas lapisan lain (aku gerenti jika JAKIM menonton ini, mereka akan mengamuk). Aku sukakan filpen ini kerana ianya antara filem yang benar-benar memahami rasa subtleness dalam menyampaikan ceritanya. Paling penting, suara derungan kereta api seakan degupan jantung, buat si lelaki, misinya untuk menyatakan cintanya (dan mencari cintanya), dan kesemua ini melibatkan "hati" secara literal dan menyakitkan, menyebabkan imejan filpen ini masih terikat dalam minda aku.

Donna Must Die (2011, 12 min, Arahan: Ismail Jamaludin & Dragos Dulea)
Memenangi filpen terbaik malam itu. Kuasa tekniknya paling baik, dengan latar, runut bunyi (walaupun saduran), pencahayaan, syot dan suntingan yang menarik dalam memaparkan noir yang sepatutnya dan semangat ekspresionis dalam gaya formalisme yang kuat. Perasaan yang disampaikan betul dan mencuitkan. Romania semestinya tempat untuk noir dilakukan. Hanya aku tak faham bagaimana daripada cold bitch si wanita tiba-tiba menjadi girang dan melepas nafsu bagai rak?


Leman (2012, 10 min, Arahan: Ahmad Hafiz Rashid)
Filem "kampung" yang sememangnya memahami intelektual/kritikan sosial secara massa (dengan meneliti hal-hal stereotaip dalam kekampungan) tetapi tidak memperlekehkan kebijaksanaannya. Yang ini punya cerita menarik tentang Leman yang belajar sekolah Inggeris tiga bulan yang menyampaikan kisah tentang "letrik" yang baru dimasukkan Kerajaan ke kampung tersebut pasca baru merdeka Malaya di sebuah kampung. Kisah "orang kampung bebal" dimainkan sekali lagi, dan kini dengan relevansi politik "Kita tak mau perubahan!" (baca: dalam sokongan pengundian) yang aku kira, tipikal dalam sastera prosa 80-an kita. Semuanya mencuitkan dan dibawa dengan sebaik komedi tanpa perlu slapstik bodoh. Hanya aku tidak setuju dengan kenyataan "menjagar" Iqra dalam satu babak yang mana kawan aku kata, "Perlu bro, untuk orang ramai."


Bonda (2008, 8 min, Arahan: Alhafiz Burhanuddin)
MTV. Kiasan imej antara ibu dan tanah air sudah lama dibikin dan dijalinkan dalam sastera dan seni, jadi hanya bagaimana persembahan yang dipaparkan itu yang ditungggu-tunggu. Ada satu imej sahaja yang menjadi keindahan dan kefahaman baik, yakni imej klise si ibu dan anak makan bersama dan si ibu makan seorang (baca: Kerajaan bagi kau duit untuk belajar dan membesar). Wajib ditonton untuk mengajar masyarakat untuk mencintai negaranya, membuat bakti kepadanya (dengan terus mengundi untuknya, hahahaha) dan menjaganya. Barisan Nasional tentu suka.


Enough (2012, 10 min, Arahan: Vickneswaran)
MTV. Tak, J. Lo tak berlakon dalam filpen ini. Tetapi seorang mamat yang aku boleh katakan, memenangi anugerah Pelakon Lelaki Paling Kacak nak mampus pada malam itu, kalah Aaron Aziz you. Kisah klisenya berkenaan anak kampung bisu yang sampai ke bandar untuk mencuba nasib, tetapi dijerut dalam dunia materialisme yang menipu dan memperguna orang yang berbakat tetapi lurus sepertinya. Pengakhiran filpen ini indah dan sedih dengan idea tragis si orang seni akan berjuang demi seni sehingga titik darahnya yang terakhir, tetapi gayanya tidak berapa meyakinkan. Runut bunyi kugiran yang lembut mengekspresi naratif cerita dengan betul dan sayu.


Conscience (2012, 5 min, Arahan: Nadia Khan)
Serius aku tak dengar sepatah harap yang diperbualkan oleh para pelakon amatur filpen ini, tetapi kawan aku kata, "Dia tu pelakon filem blue". Wang bukan segala-galanya. Kritis filem (kalau) berkenaan situasi industri perfileman sekarang (dengan paparan kubur) mempertawakan diri filem ini sendiri dan itu sungguh ironi!


Kaizen (2012, 10 min, Arahan: Shanjhey Kumar Perumal)
MTV. What the fuck did I just saw? I mean, seriouslyKoyaanisqatsi meets 127 Hours meets Eat.Love.Pray without the sex? Dan tiba-tiba si wanita melihat wajah-wajah eksotik orang asli, pergi memburu lalu berjaya mendapat "ketenangan atma"? Teknik (tanpa dialog) dan syot yang indah apa-apa pun.


Langat Di Odu (2012, 10 min, Arahan: Bebbra Charles Mailin)
Ah, ini satu pertemuan filpen yang menarik. Monolog membingitkan diselamatkan dengan kekuatan syot luas dan intim, realisme kuat dan si wanita tua yang menjadi subjeknya (walaupun ada satu bahagian, dia diminta merenung jauh, kita boleh lihat rasa tak kuasanya) yang menampilkan kesayuan yang amat terasa berkenaan si nenek yang merindui cucunya.Babak akhir, dengan kenyataan "kemarahan boleh mereda tetapi kerinduan adalah sakit yang sentiasa ada" mencapai klimaks getir dengan syot luas indah dan gerun akan langit yang tidak bergerak tetapi angin bersepoi kuat dan sedih. Menarik.


Lawan (2012, 8 min, Arahan: Azizulhaim Salleh)
Aku rasa aku dah pernah ulas filpen ni. Antara kegemaran aku malam tu.


Nisan Tak Terukir (2012, 12 min, Arahan: Muz Amer)
Aku perlu memberi kepujian tinggi kepada Muz kerana cuba mengadaptasi karya sastera kita kepada bentuk filem dan melihat pada hasilnya ia memang membanggakan, dengan kekuatan garapan kuat, syot dan susunan cerita yang menyakitkan dan tragis (serta didaktik). Nam Ron berlakon di dalamnya dengan baik sekali. Hanya pengakhiran filem ini mempunyai masalah dari segi memberi kita lebih ruang dan mengikat sedikit ruang yang dilewahkan atas nama "melodrama". Tetapi filpen ini masih boleh digunakan sebagai rujukan filem adaptasi yang baik dan menampilkan melodrama dalam filem.


Masked (2012, 7 min, Arahan: Khairil M Bahar)
Filpen ini kiut kerana Khairil bermain dengan hal-hal yang berlaku di sekeliling kita yang relevan dengan masyarakat. Filpen aksi  ini memberi satu imej syot yang menarik apabila si topeng sudah memukul kesemua penjahat lalu memandang (dengan syak) terhadap mangsa (seakan sebuah filem slasher!) lantas menambahkan intrig dan pertimbangan kemungkinan. Tetapi idea menarik ini agak kecundang dengan syot terlalu gelap dan mainan bayang yang tiada dengan babak gerak lambat yang salah perkiraan dan terlalu banyak digunakan tanpa bijak.


The Last Man (2012, 6 min, Arahan: Hanif Faiq)
Pengarah mungkin seorang peminat keras Richard Matheson. Percubaan pascaapokalips yang menarik dan kesungguhan genre seram sai-fai yang baik walaupun amatur, hanya gerakan watak dan perkembangan aksi dalam menggerakkan watak masih terhad dan ekonomikal dan memerlukan lebih banyak kreativiti. Pengakhiran yang buat kita gugup sebagai sebuah anti klimaks yang bagus.










1 comment:

Jiman Najmi said...

Salam.

Kat mana boleh tengok filem pendek ni semua? Youtube ada? Terutama sekali The Last Man dan Leman.

Saya pembaca tegar blog ni, walaupun bukan pengomen tegar. I didn't know you review short films, sebab saya pun ada buat satu filem pendek pasca-kiamat bertajuk 'Tanah Mati', mengisahkan peperangan askar Islam dan Kristian pada tahun 2062 (50 tahun lepas perang nuklear Iran-Amerika). Boleh tonton di sini kalau sudi;

http://www.youtube.com/watch?v=zZnvAG4P664

Thanks!