02 February 2017

Aku Haus Darahmu (2017)


Aku Haus Darahmu (2017) arahan Aidilfitri MY (Mohamed Yunos)
Satu sahaja alasan anda untuk menonton filem seram ini, yakni kehadiran Deanna Yusof yang sungguh eksklusif di layar. Kehadirannya sehinggakan, membuat apa-apa yang dilakonnya tentu sesuatu yang menarik untuk ditempuhi kerana usaha itu merupakan "projek Deanna", namun itu tidak berlaku di sini.
Apakah yang anda dapat, apabila, dalam era 1980-an, Nad Zainal Zoey Rahman dan Farhana Sweet bercadang untuk merakam-kaji suatu tarian klasik daripada tanah Nusantara (bukankah elok jika penulis skripnya menghadirkan nama sebuah empayar lama Nusantara/Melayu [seperti Chermin Tua, Medang, Singgahsari, Funan, Langkasuka. dll?] atau satu nama fiksyen daripada menggunakan istilah moden yang dipopularkan oleh orientalis Indonesia itu?) di sebuah rumah klasik milik Cik Cempaka (Deanna) dan orang suruhannya, Kenanga? Kita memasuki alam 80-an di sini, yang walaupun beberapa perkara tampak menarik dan dicuba untuk menghidupkan era itu dengan baik oleh 5 orang pelakonnya, kita tiba-tiba terganggu dengan istilah seperti "teruja" yang sebenarnya popular hanya pasca 2000 apabila Nizam Zakaria mempopularkan istilah itu dalam ulasan filem serta novelnya.
Baik, filem ini tidaklah seperti yang diuar-uarkan oleh pengarahnya, cuba mengembalikan kultus filem seram 80-an (ada percubaan ingin merujuk imejan Noor Kumalasari tertanggal kepala dalam Misteri Rumah Tua), kerana sikapnya lebih sebagai "mengintepretasi semula", seperti yang Ti West lakukan untuk The House of The Devil era 70-an seram Hollywood (tapi apa yang dilakukan oleh West, menjadi, malah benar-benar menjadi rujukan yang baik). Namun, itu pun salah apabila sikap Aidilfitri lebih mengambil sikap "brooding" dan mengambil masa, melayan filem satu ini seperti sebuah filem art-house yang tidak tahu ke mana arahnya, daripada bergerak dengan suntingan laju, menghiasinya dengan imej murahan, syot menangkap objek, seronok-seronok bodoh, dan paling penting, ceritanya sekurang-kurangnya bergerak dan ada motif moral, dalam filem seram 80-an seperti Toyol, Setinggan, Rahsia, Rumah Puaka (telefilem) Main-main Hantu dan Perawan Malam (Misteri Rumah Tua dan Perkahwinan Berdarah ialah filem usahasama yang lebih Indonesia daripada Malaysia). Filem yang lebih merujuk 80-an yang bodoh-bodoh alang itu (percayalah, tidak ada yang menariknya tentang filem seram kita era 80-an sebenarnya) sebenarnya lebih sesuai kepada Pontianak Menjerit (2005), filem yang diarahkan oleh Yusof Kelana (anda akan menemui pontianak yang best dengan Juliana Banos).
Kalau begitu, aku menonton filem ini hanya sebagai sebuah "filem seram", yang boleh aku katakan, ada satu babak menyeronokkan yang dicipta oleh Aidilfitri. Pertama babak di gelanggang, apabila Aidilfitri membina ruang mis-en-scene yang menarik,, gelanggang berpagar (seperti yang kita tonton dalam filem Rahim Razali lama) tepi bendang yang berupa pagar-pagar buluh, yang terasa membahayakan, malah dilarang oleh Kenang daripada mereka "masuk ke gelanggang" dan hanya berhubung dengan persembahan sebagai "penonton". Hal ini menarik apabila dengan jelas, Zoey dan Farhana akan melanggar pantang beberapa kali kerana bersikap voyeur (lebih jelas dengan Farhana dengan kameranya) - banyak babak dan adegan yang orang Melayu panggil "mengendap" atau "jaga tepi kain orang" yang berkait dengan voyeur Hitchcock, namun hal ini menjadi janggal kerana sebab-akibat skrip, sikap bodoh (apa benda bawak kamera tengah malam di luar rumah?) dan gerak naratif yang sendu dan perlahan (kita seakan-akan menonton sebuah Polanski di tepi bendang). Makin banyak rahsia yang dibongkar, perwatakan tiga watak utama kita menjadi lebih dungu. Mungkin ini masalah orang era 80-an yang naif?
Pengakhirannya, dengan pelik, mengingatkan kita, bukan pada main-main Main-main Hantu tetapi filem seram super annoying Razak Mohaideen (hal inilah mengapa aku benci dia sampai sekarang), Mistik (2003) yang klimaksnya ada berkenaan mimpi lalu menjerit bagai rak.
Menyedihkan, kerana premis ini ada Deanna dan potensi (dialog ini diulang berkali-kali oleh Deanna sendiri, mungkin cuba memotivasikan Aidilfitri setelah filem ini lingkup di pawagam), tetapi terjerat dengan skrip dan perbuatan pengarahnya sendiri. Mungkin ada satu babak kejutan yang baik berkenaan kereta dan Kenanga. Selebihnya, penonton era "aku sorang saja di pawagam tadi menontonnya" dan kemampusan filem Malaysia pasca-GST menjadikan judul filem ini dengan sikap sah-sah merayu, penonton celaka kita yang "Oh aku tak tengok filem Melayu" atau "aku dah lama tak tonton filem Melayu, tapi kerana filem _____ ni baru aku tonton", untuk darah dara sunti dan teruna ke pawagam, maka: "Aku Haus Darahmu", kata Aidilfitri memohon simpati. Alahai, kesiannya sinema kita.