09 May 2016

Ke Mana Lagi Seram Kita Nak Tuju?


Nota pendek ini tertulis, setelah melihat bagaimana sikap enteng para pembikin kita memperkecilkan genre seram, suatu genre yang kononnya cepat bawa masuk duit lalu pembikinnya membikinnya dengan secepat-semurah-selacur sekali, seperti sebuah karya indie separa masak. Keduanya, setelah menonton video rentetan sejarah filem seram "Barat" ini: http://filmmakeriq.com/lessons/a-brief-history-of-horror/

Aku peminat besar filem seram. Ya, aku tahu taste aku berbeza dengan sikap perfect horror korang. Aku amat mengangkat Argento dan Fulci, malah filem seram all time best aku ialah The Exorcist 3, The Beyond, dan Dead Alive. Pedulilah kalau kau rasa filem-filem tu poyo. Secara pengalaman sinema, secara alamiah kendiri, filem-filem itu bukan sahaja "menghidupkan" aku dengan pengalaman seram baharu, tetapi detik peribadi yang membuka lembaran cerita hidup aku sendiri. Dalam dunia perfileman Malaysia pun, aku tercari, mencari-cari, turut berdialog dan mempengaruhi pengalaman hidup aku, juga pilihan, juga taste

Mengikut sejarah filem seram Malaysia, memang boleh dikatakan sudah melalui pelbagai tempoh, daripada bentuk lembaga hitam orang minyak dan pontianak yang dipopularkan oleh para pembikin Jalan Ampas, kepada parodi pertama zombi dengan hantu Jepun dalam Pendekar Bujang Lapok P. Ramlee, kepada filem-filem 70-an dan 80-an saduran cuba-cuba feel hebat Hollywood macam Kala, Anita Dunia Ajaib, Rahsia (ya, termasuk), kepada filem seram gabungan Malaysia-Indonesia ala kultus seperti Misteri Rumah Tua, Pernikahan Berdarah, kepada filem seram campur komedi ikut dasar drakonian LPF lalu timbul subgenre seram-komedi ala Hong Kong era 80-an 90-an macam Perawan Malam, Main-main Hantu, kepada era "filem seram VCD" yang melahirkan Zami Hitler dan M. Jamil (Momok yang entah apa-ap), kepada era LPF mengikat lagi dasar celaka dengan pelbagai lagi syarat dan tekanan supaya filem seram tidak dibikin (seperti tidak boleh ada babak hantu keluar kubur), dan jihad Tun Mahathir kepada tahayul Melayu, yang cuba dilanggar dengan berani tetapi separa menjadi oleh Suhaimi Baba dengan Pontianak Harum Sundal Malam, kepada era filem seram MiG bermula dengan Razak Mohaideen "pakai langgar" dan kemudian Ahmad Idham dan Pierre Andre, yang membawa kepada era baharu beberapa percubaan seram yang sofistikated, berani, dan mencabar kebiasaannya, macam Seru, Histeria, Hungry Ghost Anthology, Sembunyi, Khurafat, dan Villa Nabila, dan beberapa yang tidak menjadi macam Penanggal, Hijab, Karak, dan Jengka.
  
Persoalannya, mampukah kita belajar sesuatu, walaupun genre ini sememangnya untuk dilacurkan untuk duitnya?

1. "Horror is a director's genre." Ketekalan filem seram sebenarnya terletak di sebalik kemahiram pengarahnya, bukan sangat skripnya. Evil Dead sebuah contoh yang terbaik. Hitchcock memahami ini, dan beliau menjenamai semula "seram" dengan Psycho (malah, beliau tidak menganggap karyanya filem seram tetapi filem jenayah dan penerusan genre saspens-misteri, namun tetap memasukkan sikap "macabre", suatu istilah-kod yang mendefinisikan filem seram sebelum perkataan horror diperkenalkan), hanya kerana ingin melanggar "kod LPF" zamannya. Bezakan keberanian Hitchcock ini menitip jari tengah kepada Hays Code dengan ikutan syariah-compliance Razak Mohaideen dengan filem Mistik, secara text book literal mengikut garis panduan bikin filem seram ikut dasar LPF zaman itu.
2. Sejarah: filem seram melalui kitaran, yang selalu mencapai era pudar apabila diparodikan (bandingkan dengan kita yang memparodikan dahulu sebelum membikin karya asli).
3. Bunyi ialah kesan paling efektif dalam filem seram (sebab itu kita boleh uji kekuatan seram filem itu dengan menutup telinga kita sewaktu filem seram ditayang). Kekuatan seram ialah mood. Kekuatan seram ialah imej dan pencahayaan. Kekuatan seram ialah susunan segmen, syot kepada syot. Kekuatan seram ialah suntingan. Suntingan filem seram ialah seperti gerakan degupan jantung, ada masanya perlu berdegup biasa (selalunya buat ikatan gerak plot, meletakkan penanda "apa akan berlaku" seterusnya, dan penceritaan watak, rujuk babak Reagen dan ibunya bermain di basement rumah), kemudian dinaikkan (sama ada secara paparan "kejutan" imej hitam/the other yang jika dibuat berkali-kali menjadi cheap thrills, atau dengan gaya suntingan dan mood, serta emosi latar, seperti babak Cat People dalam sedutan video di atas) atau ditahan-tahan sehingga penonton terasa nafas sesak kerana menunggu apa yang akan berlaku. Inilah unsur paling penting dalam filem seram: menyesak nafas penonton, yang pada era dulu, pengkritik Barat panggil "edge of your seat". Era sekarang, dalam filem Barat, unsur ganas darah, gore, yang dikenalkan sebagai torture porn, dengan merealisasikan realisme keganasan babak sehingga objek yang diseksa itu "mati" menjadi ramuan terpenting era sekarang. Namun, bagi aku, sesak nafas secara mood, meletakkan sesuatu yang tidak ada dalam ruang dan "membayangkan" yang sesuatu itu ada, lalu menyebabkan penonton tertanya-tanya, lebih efektif dan merupakan tunjang utama kekuatan filem seram. Inilah rahsia sebenar kekuatan filem Hitchcock: meletakkan bom di bawah meja yang tertutup dan membiarkan dua orang yang tidak menyedarinya makan di atas meja tersebut.

4. Zombi merupakan subgenre seram (sebenarnya bermula sedari Cabinet Case of Dr. Caligari lagi, dipanggil somnambulism, kemudian Frankenstein [kemudian khusus: monster], kemudian zombi ala voodoo dengan I Walked with a Zombie daripada Val Newton) paling bertahan dan unik, berkali-kali diparodikan tetapi masih kental kuat dan diraikan.
5. Filem seram boleh bermula kecil, dengan bajet kecil, malah kebanyakannya memang begitu (Cat People, Texas Chainsaw, Haloween, Night of the Living Dead, Evil Dead, Saw), tetapi kesepaduan arahan-sinematografi-suntingan-bunyi-efek yang kreatif dan berdedikasi tinggi untuk penghasilan karya, yang menghasilkan filem seram yang efektif, lantas menghasilkan sesuatu impak yang besar dan selalunya original.
6. Mengikut kata pensyarah video ini tentang tiga subgenre seram yang masih kuat di Barat, kita, nampaknya setakat ini hanya mempunya subgenre "ilmu hitam" dan "saka" yang diulang-ulang sehingga MiG sendiri memparodikan karya produksinya. Sebelum kita memulakan subgenre zombi, Mamat Khalid sendiri membunuhnya dengan Zombi Kampung Pisang (dengan tujuan pascakolonial, kononnya).
7. Kita masih menunggu sebuah filem seram bergenre pontianak yang betul-betul seram, dan bagus. Sila buang: melodrama.
8. Kita pernah cuba melakukan seram psikologi, Syaitan, tetapi subgenre ini paling risque kerana tak ramai penonton kita yang boleh menghargai David Lynch.
9. Kita sudah tiba pada era Jwanita: filem seram dewasa, tontonan untuk 18 ke atas, yang boleh buat duit. Kita boleh sahaja bikin filem seram ala dakwah P13 macam Munafik, tetapi sudah ada "pasaran" untuk filem seram yang betul-betul hendak menonjolkan dirinya. LPF sekarang, walaupun tetap celaka, sudah mula memberi laluan dan peluang (terima kasih kepada Suhaimi) walaupun tak banyak, tetapi sudah mula menjinak. Lebih banyak lagi filem yang cuba menolak syarat dan dasar ini dibuat, lebih banyak lagi tabu yang dapat dipecahkan, dan akhirnya, barulah Dukun dapat dibebaskan untuk tayangan.

10. Kita patut lebih kreatif dengan tidak perlu mengulang kejayaan filem orang lain. Malaysia ni kecik. Kita bukan Hollywood. Cari tema original, paling buruk pun, sadur sesuatu yang orang belum tonton.  Tapi buatlah dengan bijak dan mengikut kemampuan duit dan kemahiran kita. Jwanita ialah "homaj" dangkal filem seram Indonesia era Suzanna dengan sedikit sentuhan ekspresionis 80-an seram Itali. Bukan sesuatu yang baru untuk aku, tetapi untuk penonton lain yang dah lama tak tengok filem seram yang bagus, teruja.
11. Bila kita berani adaptasi Bercakap dengan Jin, atau mana-mana novel seram yang popular dalam bentuk filem yang baik dan kreatif? Bilakah kita dapat menemui suatu era baharu seram tempatan, selepas Seru?