14 August 2018

Hantu Kak Limah (2018)

"Naa!" - Yeh Sekupang

"What are her?" - Nayan


Aku tak tahu mengapa, tetapi selesai menonton komedi seram terbaharu Mamat Khalid ini, jiwa aku jadi begitu pilu. 

Hantu Kak Limah ialah sebuah dunia yang kita sudah perlu terbiasa, walaupun ruang mainan lakonnya sama, Kampung Pisang, kita tidak akan menjangka pembawa peran-perannya akan kembali (selain kerana meninggal dunia secara alamiah).  Ini semacam Twin Peaks-Black Lodge Lynch buat Abang Mamat, khusus kita yang menonton The Return, Fire Walk with Me, dan drama siri asal Twin Peaks - tempatnya sama, tetapi orangnya berbeza. Warna ceritanya lain. Suaranya lain.

Filem ini dibuka dengan syot atas, sebuah perahu sedang menghala ke dalam sungai yang dilitupi hutan (kepada sesiapa yang menunggu Munafik 2, adakah ini suatu kebetulan?) yang terus mengganggu aku. Terdapat dua filem yang aku tersedar dalam hal ini; jika kita meneliti lokal, selain Da Di Du (1981), kita akan teringat akan Pendekar Bujang Lapok (1959), yang juga di perahunya terdapat tiga belia sedang mendayung mencari tepian. Tapi, selain itu, aku teringat akan beberapa babak layar di atas sungai filem Barat seperti The Mosquito Coast (1986), Aguirre, The Wrath of God (1972), Deliverance (1972) dan Apocalypse Now (1979). Kesemua filem ini bukan dengan sengaja memilih sungai sebagai laluan untuk sebuah bot atau kapal melaluinya agar kelihatan babaknya cantik, semua filem tersebut menggunakan imejan ini untuk bercerita tentang (1) proses menyelami jiwa diri yang paling dalam (2) bagaimana jiwa manusia boleh korup atau kehilangan sesuatu dalam perjalanan hidup.

Secara kanvas besarnya, Hantu Kak Limah bercerita akan itu; bagaimana bukan sahaja tiga belia ini akan kita perhatikan, walaupun karikatur, tetap diperhatikan (kerana mereka dipilih oleh Mamat untuk dirujuk, bukan Awie sebagai Husin yang kekal pencerita dunia Kampung Pisang ini - ya Husin tidak bersama di dalam perahu tetapi menaiki perahu yang lain) fiil dan sikap mereka, tanda perubahan dan perkembangan mereka. Yeh Sekupang (arwah Rab Khalib, semoga Allah mencucurinya Rahmat, sangat berkesan komedinya) terlihat nafsu seksnya (stim pada semua jenis wanita), Sharwani (juga Sharwani) bodoh-bodoh alang tetapi sekali-sekala berucap benda-benda bijak ("Engkau katalah kita dah merdeka") dan Khuda (TJ Isa) yang paling menakutkan, diam-diam ubi, atau seperti tutur Yeh terhadapnya, "nafsu kuda!"

Khuda dalam filem ini menikahi Kak Limah (Delimawati) dan ketiga-tiga orang (termasuk Husin) rakannya ikut serta ke rumah Khuda (dan Kak Limah) untuk meraikan perkahwinan mereka dengan bubur keladi, sebelum keempat-empat mereka berganjak hendak memikat burung di dalam hutan.

Mamat dalam hal ini, sekali lagi menggunakan metafora yang amat menarik dalam hobi orang desa Melayu - memikat burung. Bukan sahaja terdapat sisi fenomena Mastika dalam kerja ini tetapi kerja memikat burung itu (walaupun dimain-mainkan dalam filem ini) merupakan suatu kerja yang mempunyai "seni"nya yang tersendiri (dalam pengetahuan ilmu berbunyi dan mendengar bunyi, menghargai nada dan kemerduan bunyi burung), yang mana, sesiapa yang mengikutinya, akan jadi ralit, kadangkala tidak balik-balik rumah hingga 2-3 hari. Orang yang melihat celoteh pemikat burung ini (selalunya lelaki) akan memandang mereka hebat (kerana memerlukan kesabaran dan ilmu), biasa atau serong (kerana kerja memikat ini dilihat berleka-leka dan tidak membawa apa-apa yang berguna bagi orang rumah). Hanya mereka yang melakukannya yang dapat menikmati "kerja"nya. Metafora ini menarik terhadap Husin dan tiga kawannya, selain Husin mempunyai agenda lain, yakni menyambung pertaliannya dengan Tun (kali ini dilakonkan oleh Uqasha Senrose), gadis jelma hilang itu. Kerja memikat burung ini ialah analogi Mamat kepada "kerja lelaki" yang tidak ramai yang melihatnya berguna tetapi jauh penting buat mereka - boleh sahaja merepresentasi membikin filem, menghasilkan seni/karya, atau berpolitik (dengan berkali-kali dialog merujuk isu dan hal politik tempatan). Semua ini boleh dirujuk padankan, tetapi yang penting di sini, semuanya ada "perjuangan" dan "kemahiran"nya yang tertentu. Menariknya lagi, imejan ini akan dibesarkan ruang skopnya pada kefahaman ruang yang lebih besar dan getir (menyebabkan semua orang kampung terpaksa berkumpul di Klinik Kesihatan dan ber-JKKK di luar di tengah malam) apabila Hantu Kak Limah mengamuk; menyebabkan ada usaha menangkap/memerangkap/memikat "Hantu Kak Limah", pertama di rumah guru silat/bomoh/tukang ganti road tax Solihin (Zul Ariffin), kemudian di kawasan perkuburan Kampung Pisang yang hutan banat. Adakah mereka akan berjaya? 

Filem yang aku ingatkan boleh ditonton sesendal dan biasa mula-mula terganggu pada pertengahan filem apabila pada satu babak, seorang watak terserempak dengan Hantu Jepun daripada Pendekar Bujang Lapok! Malah, babak itu diulang, sebiji, sebiji! Ini merupakan homaj yang mula mengganggu aku, ditambah pula Jeneral hantu itu mengucapkan "Hantu Kak Limah cucu aku!" Filem ini menjadi tidak mudah dan ringan-hiburan lagi. Ya, kita masih boleh berketawa, lebih-lebih lagi dengan kelincah Ropie sebagai Nayan, pegawai klinik kesihatan yang sangat efektif ("Thank you God!") serta geletek ketawa campur ngeri empat watak belia tadi berserta Zul Ariffin, Sabri Yunus, Khairul Nizam, Erra Fazira(!), Seri Vida(!) dan Pekin Ibrahim (mengulang wataknya, Musalman, anak Kak Limah).  Tetapi terdapat satu lapisan baharu di sini yang disusun letak oleh Mamat dengan begitu teratur sekali. Malah, aku merasakan, filem inilah komedi seram Mamat yang paling kemas, malah bagi aku, paling matang yang pernah dibikin oleh Mamat Khalid. Dalam babak ini sahaja, ia membuka suatu persepsi baharu, bukan sahaja pada babak asal Hantu Jepun Pendekar Bujang Lapok, tetapi filem Mamat ini juga. Dalam hal ini, konsep "yang lain/yang luar" (the others) yang biasa kita dengar dalam teori pascakolonial menjadi lebih jelas; yakni Hantu Jepun/Hantu Kak Limah/Tun. Alam halus ini jelas-jelas "sebelah sana", the other, yang tidak mampu difahami (atau boleh difahami, seperti Husin akan "per per" yang diajar - "per" ini secara kebetulan mendekati nama "perlembagaan" atau "perkara" dalam akta-akta) yang selalu masyarakat melihatnya sebagai serong, terpinggir, menjajah (Hantu Jepun), malah bahaya. Solihin, atas matanya sebagai ahli ilmu ghaib memanggil golongan ini sebagai "jahat" dan "mengganggu", meletakkan nilai moral terhadapnya (ini pandangan konservatif?). Secara peliknya, kita dipaparkan pula, alam ini tidaklah "sejahat mana", malah atas sebab-akibat makhluk di dalam alam ini "disalah ertikan". Menjadikan yang putih hitam dan hitam putih. Dalam kefahaman ini pula, yang tidaklah pula meletakkan keperwiraan atau keputihan sepenuhnya pada alam halus sebagai "baik" (aku dah kata, ini Black Lodge Mamat Khalid!), penghuninya (yang bijaksana) mengetahui keadaan ekuilibrium dua alam ini tidak boleh dicerobohi atau disatukan. Malah, ada syarat-syarat yang jelas disampaikan oleh Bapak Bunian (Muz May) dalam satu babak, manusia dan makhluk halus tidak boleh bersama, seperti api dan air. Hal ini nanti, hanya akan difahami (dengan reda) oleh Husin seorang.

Di sinilah aku dapati, terdapat sikap kepiluan yang jelas dalam pendirian Mamat, apabila Husin dengan longlai melihat keberanian orang lain masih terus ingin memikat alam halus masuk ke alam ini. Mata nurani Husin menjadi mata nurani Mamat Khalid. Mamat Khalid tampak akan masa depan orang Melayu, yang cuba membuka, satu per satu perkara yang asing, di luar (ruang lingkup jati dirinya) atau bahaya, ke dalam hidupnya, menjadikan diri mereka Melayu baharu (atau "insan baharu" kerana konsep "Melayu" mungkin dihilangkan) dalam memerhati, dan kesanggupan diri menganut konsep yang asing/yang baharu/yang di luar; seperti kecairan pegangan agama dan idealisme (seperti menganuti kebenaran komunisme), kebebasan seksualiti, perayaan antimoral, dll. Hal ini jelas sangat-sangat berlaku pada babak akhir filem ini. Menggegar jiwa dan mengganggu.

Semua lakonan para pelakon menarik dan mencukupi dalam ruang pelaksanaan menyampaikan karikatur ala Mamat Khalid, khususnya dalam subgenre kedaerahan yang kita sudah ikuti sejak Mamat memperkenalkan Rombongan Cik Kiah. Secara teknikalnya juga, walaupun tidaklah impresif (kita masih ingat babak awal menggegar ala Close Encounter dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah?) tetapi tetap ekspresif, malah terdapat kejanggalan CGI dan kelesuan efek seram (kaki Hantu Kak Limah yang menjejak tanah waktu melayang) yang aku maafkan (malah kali ini juga, aku memaafkan kehadiran deus ex machina anak Mamat di tengah-tengah cerita secara tiba-tiba), malah kita maafkan kehadiran dua runut bunyi MTV sendal yang dimasukkan di tengah-tengah cerita, malah baru aku fahami - Oh, semua ini sinema Mamat Khalid, sinema yang sengaja dipalit cacat dengan efek filem-B, bukan sahaja sebagai homaj filem sebegitu (filem-filem seram Jalan Ampas, filem ini seperti Kala Malam ialah filem yang terperangkap dalam mileu itu) tetapi menampakkan falsafah sinema Mamat - yang buruk dan yang cacat ialah filem/kita, yang sempurna hanya Tuhan. Namun, Jack Rahmad sebagai pengarah sinematografi tetapi dipuji kerana memberikan beberapa imej kampung dan malam yang mempesonakan sekali gus nostalgik.

Satu perayaan buat sinema Mamat Khalid.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak khurafat yang mungkin memerlukan bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI GSC, MyTown.

No comments: