08 March 2018

KL Special Force (2018)



Nota Fadz: Butolah Amir Muhammad! Sekali lagi dia menegur aku dengan sindirannya (kali ini dalam 9 isi neraka penulis celaka). Baiklah cipan, aku cuba tulis tanpa meletakkan "tanda petik" yang mata kau benci sangat tu, sial!

KL Special Force ialah Gerak Khas: Kuala Lumpur. Secara jelasnya, ia pastis (pastiche) atau interpretasi semula dari perspektif anak muda Syafiq terhadap hasil drama polis TV ayahnya yang membuat duit di siaran RTM. Untuk percubaan ini, terdapat beberapa hal yang boleh dipuji daripada buah tangan anak muda ini. Paling utama, filem Syafiq kali ini amat menghiburkan, dengan bentuk ngeri aksi yang bergerak sangat mendebar, laju dan penuh intensiti. Paling bagus adalah percubaan Syafiq (yang menulis lakon layar dan cerita asal filem ini) melakukan twist and turn pada setiap satu minit cerita filem ini bergerak. Ada keadaan babaknya membuatkan aku tercungap nafas, tertanya-tanya motif dan kebaikan watak, malah ada satu babak pada titik puncak membuat gigi aku melaga dengan keras kerana intensitinya mencanak agak tinggi bagi sebuah filem ngeri Malaysia.

Aku menyedari bahawa Syafiq melakukan pastis terhadap Gerak Khas apabila pada babak awal-awal lagi, bentuk aksi filem ini secara peliknya mengingatkan aku kepada Gerak Khas ayahnya (ingat siri filem Gerak Khas The Movie itu?), babak amat terang tanpa sudut syot yang bermaya, syot canggung polis meloncat atau sakit/mati tertembak, ledakan api dengan suntingan laju berubah sudut ala filem Kollywood. Ia kelihatan palsu dan melanggar konti. Walaupun penonton umum akan berasa jengkel dengan keadaan ini - kerana kita akan menuduh seakan-akan Syafiq tidak move on daripada bentuk gaya hasil ayahnya - namun Syafiq agak berani melakukan homaj terhadap ayahnya dengan babak awal ini. Namun, kita juga menyedari terdapat cita rasa baharu daripada Syafiq, apabila setiap tubuh polis dan penjenayah yang diratah peluru, tersembur darah ala filem Micheal Mann; begitu jelasnya sentuhan Syafiq bahawa he means business.

Untuk keganasan sedemikian rupa, aku syorkan mak ayah agar tidak membawa anak-anak kecil anda ke filem ini (sepatutnya diklasifikasikan 18) kerana bukan sahaja tahap ganas filem ini boleh tahan ganasnya tetapi setiap kali polis dalam filem ini memekik-mekik (bayangan KL Gangsterkah?) terpacul perkataan "sial" berkali-kali (Amir, tanda petik ni aku gunakan dengan betulkan, sial?). Ini ialah filem Syafiq: gelap, ganas dan berisi.

Kita akan diperkenalkan dengan watak Lan (Rosyam Nor) dan Zul (Fattah Amin), dua polis yang perlu berganding bahu untuk menumpaskan penjenayah hi tech generasi baharu, Syamsul Yusof. Lan ialah wakil polis lama/tua mewakili zaman ayah Syafiq (serius, termasuk selitan watak pipih India dan Cina di samping si Melayu Lan), dan Zul, polis generasi baharu. Metod polis Lan yang cara lama, tersusun dan prosedural menyebabkan kesushana kerana Syamsul dan kumpulan Anarkinya terus-terusan berjaya merompak bank milik Dato' Meor (Mahmud Ali Basha yang masih pelakon kadbod), menyebabkan Ketua Polis (Shaharuddin Thamby) memilih untuk membawa masuk Zul untuk membantu Lan. Lebih-lebih lagi, Lan dipujuk oleh Syamsul untuk bekerja dengannya, menjadi mata-matanya. Syak wasangka berlaku.

Dalam segala cat and mouse dan siasatan dan aksi pukul dan menembak, terdapat dinamisme perhubungan antara Lan-Zul yang menarik dibina-bangunkan oleh Syafiq. Sikap saling tidak percaya, konflik dan perlawanan kebijaksanaan dan taktik antara Lan dengan Zul menampilkan beberapa wacana yang menarik dan kelihatan sengaja disampaikan oleh Syafiq terhadap cerminan keadaan politik dan masyarakat sekarang. Zaman ini ialah zaman orang muda menyoal dan memperlekeh pimpinan dan susun atur orang tua, merasai kaedah orang lama sudah basi dan tidak berkesan. Malah, politik lama kini dipersoalkan, lebih-lebih lagi dengan keadaan rasuah dan mainan politik wangnya. Persoalan ini berlegar dalam watak-watak berkonflik Lan dan Zul. Walaupun ada bahagian dalam filem ini terasa komikal, ketelusan Rosyam dan mengejutkan, Fattah, untuk membawa perwatakan mereka dan konflik hubungan mereka dengan satu fokus membina suatu dinamisme perbalahan dan ujian kesetiaan yang sangat baik.



Rosyam benar-benar membawa filem ini hingga ke akhir (walaupun aku cukup menyinga dengan babak jeritnya harus berlaku setiap lima minit dalam filem), menyampaikan sisi manusia dan peribadi kemudian amanah yang mencengkam bahunya. Lan ialah watak polis yang lebih serius daripada Saheizy Sam dan Zizan dalam Polis Evo. Kalut dan permasalahannya lebih gelap. Syafiq bijak apabila Lan di sini, dijadikan teraju, bukan Zul, kerana kita yang bermula sedari awal, sudah mengesyak sesuatu yang kurang baik terhadap watak Lan. Filem ini seterusnya akan terperosok masuk dalam ruang subgenre polis kotor, satu-satunya genre filem polis yang belum pernah dibikin di sini atas sensitiviti kerajaan terhadap memberi imej yang buruk terhadap pihak berkuasa. Untuk itu, ada percubaan yang licik oleh Syafiq dalam hal ini apabila dia semacam bermain silat dengan LPF untuk menampilkan sisi teka-teki gelap-putih dan di antaranya dalam watak Lan, kemudian Zul, sewaktu kedua-duanya dengan metod yang berbeza, cuba menangkap Syamsul dalam kubu warna merah dan birunya. Hal ini jadi lebih menarik lagi apabila suatu pandangan matang Syafiq apabila menampilkan, bukan sahaja isu bersatu untuk menumpaskan musuh yang sama, tetapi perlunya masyarakat mempunyai sikap empati untuk memahami keluh dan kecamuk keadaan masyarakat sekarang dengan pelbagai masalah ekonomi dan sosialnya. Syafiq, dengan tidak sengaja menjadi seorang guru sosiologi di sini, dan ini amat mengujakan. Dalam hal ini juga, aku perlu memuji Fattah Amin yang boleh berganding bahu dengan bahu bersama Rosyam Nor untuk menumpahkan emosi dan luahan dialog yang seadanya, walaupun terdapat beberapa babak yang Fattah masih terasa membuat-buat daripada berlakon. Mantapnya, aksi dan gerak fizikal Fattah bagus, sebaik aksi-aksi sendiri Rosyam.

Bagi aku, Syamsul Yusof adalah antara masalah dalam filem ini. Dia tidak cukup gelap untuk membawa watak psikaotik (Saheizy Sam lebih sesuai setakat ini? Syafiq, apa perlunya kau merujuk Joker dengan topeng-topeng badut itu?) yang pandir. Lakonannya tetap mendatar dan lapisan emosi yang diperlukan tidak disampaikannya dengan kemas. Ia menyedihkan kerana skrip adiknya ini memohon seorang watak yang sangat-sangat kacau dan mengganggu untuk dibawa dengan betul, menjadi mega seteru yang dihadapi oleh pihak polis.

Gaya-gaya aksi dalam filem ini walaupun bising, dan kadang-kala terlalu mengada-ngada, mempunyai sentuhan kareografi yang baik dan menjalin dengan plot. Aku suka babak-babak kejar kaki dan kereta dalam filem ini, tangkas, mendebarkan dan meluncur baik. Malah, kali ini aksi parkour dibuat dengan betul dan bergaya sekali dalam filem Malaysia, mempunyai ritma, sentapan dan gerakan untuk menaikkan saspens yang betul dan sesuai. Malah, gerak kinetik ini yang digunakan oleh Syafiq (kita tidak diberikan masa untuk berdiam merenung), terus-terusan bergerak dan membuka cerita baharu dan mengawal saspensnya. Ini dibantu dengan suntingan Syafiq sendiri dan Akash, walaupun tidak secantik yang dilakukan dalam Polis Evo. Walaupun aku geli dengan lakonan Sabrina Ali sebagai isteri Rosyam dan babak-babak keluarga Lan terasa dibuat-buat, ia tetap penting untuk struktur filem ini, walaupun kelihatan terlalu mendesak. Sinematografi Azami Alias biasa kerana sengaja menghomaj era Skop Productions terdahulu. Skor muziknya mengikut gaya biasa Skop, yang kadang-kala kita dapat mendengar nada-nada filem gothik di dalamnya. Terdapat babak akhir yang sangat canggung (kita tidak mempercayai watak boleh terjerumus setahap itu), merosakkan naratif ngeri Syafiq yang sudah cukup mengkagumkan.

Sebuah filem yang tangkas, getir dan menghiburkan hingga ke akhir. Gerak Khas sudah mematangkan dirinya dan tidak lagi menjadi "sebuah lagi drama polis yang corny".

Klasifikasi: PG, beberapa aksi ganas dan kata kesat yang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI TGV Sunway Velocity.