03 September 2012

Nenek Bongkok Tiga(2012): Kandungan Menarik, Teknik?

Telefilem ini merupakan filem arahan sulong pertama(?) Hadith Omar, yang mana skripnya turut ditulis olehnya serta Micheal Ang (yang setakat ini memberi kita telefilem seram yang amat baik, Hantu Kum-Kum). Aku menonton telefilem ini atas sebab seorang rakan, Shafareen berlakon di dalamnya, yang mana aku dah beri amaran kepada beliau, aku akan objektif jika aku tak suka lakonannya. Kesimpulan, lakonannya bagus, bersungguh, natural, pandai berjeda dan menjaga tona suara, dan pandai bermain mimik muka. Aku gembira akan hal ini. Tahniah Shafareen!

Sebagai sebuah cerita, telefilem ini ada sesuatu, sampaikan bini aku pun siap tak sanggup nak tonton habis kerana tahap seramnya yang menjadi (erm, tapi hal ini subjektiflah bagi aku). Antara hal yang paling boleh dipuji adalah bagaimana pengarah/penulis skrip bermain dengan sikap "pergi melampaui pemaknaan hantu-hantu biasa". Begini, jika kita tonton filem ini hanya sebagai "sebuah filem seram tipikal", kita akan menemui tema sumpahan-balas dendam tipikal seram Asia yang mengambil struktur 10 Budak Hitam (ah, ini bermakna ada kematian dan slasher flick) dan struktur plot Nightmare on Elm Street (anak-anak jadi mangsa kekacauan Krueger kerana mak ayah membunuhnya). Tetapi jauh dalam daripada itu adalah kesungguhan skrip dan penceritaan memaparkan didaktisme "perangai" sendiri yang membawa "kecelakaan". Di sini, dengan kuat, dipaparkan bagaimana dua perangai buruk, yakni syak wasangka dan jahil diri merupakan dosa dan hantu yang jauh lebih buruk daripada hantu itu sendiri, dipaparkan melibatkan perwakilan beberapa ibu bapa di kampung tersebut (hal ini banyak bermain dalam filem berkenaan witch hunt dalam genre filem seram barat). Paparan ini mempunyai sudut yang kuat, yang mana "hantu Nenek Esah-Nenek Bongkok Tiga" hanya merupakan subliminasi "paparan dendam" sahaja, yang mana si ibu bapa-ustaz mempunyai "ulangan mainan" untuk meneliti kembali sebab-akibat yang mereka lakukan (dan adakah mereka akan taubat atau sedar akan hal itu sebelum terlambat). Unsur ini ditambah pula dengan kehadiran ustazah baharu yang berkaitan pula dengan "Nenek Bongkok Tiga" tersebut, menambahkan lagi intrig dan sudut tangen antara perwakilan "yang didakwa" untuk meneliti kembali sikap syak wasangka dan jahil diri mereka: adakah mereka akan sedar kesalahan mereka atau adakah mereka akan mengulangi kembali kesalahan yang sama?

Aku amat suka dengan telefilem ini, mengangkat seorang wanita, ustazah yang kuat dalam ilmu ghaib melawan jin/syaitan (yang turut disalahertikan sebagai pengamal khurafat), sedangkan kebiasaannya dalam filem seram tempatan, lelakilah "penguja syaitan" yang utama. Sifat feminis bahawa wanita juga boleh berdepan dan melawan "syaitan" (yang juga akibat dan ikatan sikap patriaki kampung tersebut, serta penolakan mereka terhadap sesuatu yang pelik dan ganjil, sepertimana subjektifikasi Nenek Esah tersebut) dan boleh berdiri, berasional dan mendapat jawapan terhadap misteri yang mengaburi kampung tersebut. Watak itu, dengan sengaja dipakaikan tudung hitam (kononnya menyamarkan lagi perwatakan baik/jahatnya). Aku tepuk tangan kerana penulis skrip sekurang-kurangnya berjaya mengangkat seorang watak wanita yang kuat (atas kertas) dan boleh menyelesaikan masalah dengan caranya yang tersendiri.

Hanya kemudian, siapakah pelakonnya? Dua pelakon dewasa dalam telefilem ini, walaupun "cukup" tidak begitu menyerlah, sepertimana kesemua pelakon remaja yang berlakon dalam telefilem ini, kesemuanya memahami "natural" dan kelaziman dalam kebiasaan (mundaness). Dan aku tidak berapa menyukai bagaimana watak ustaz itu digarap, pengarah perlu memaparkan dua "usia" yang berbeza kerana wajah ustaz agak "terlalu muda" dibandingkan dengan ibu bapa yang dipaparkan, dan seakan ada kesamaran kesinambungan pada babak lampau dan sekarang. Babak "kenapa Nenek Esah kena mati" juga agak tergantung (kita imaginasikan kerana berlaku benda-benda pelik, dan kanak-kanak hilang, seperti yang dinyatakan, tetapi tidak diperlihatkan) dan memerlukan paparan dan bukan percakapan (lalu menambahkan intrig dan kekelabuan watak tidak bersalah/bersalah Nenek Esah).

Kelemahan juga berlaku dalam syot yang tidak membawa kekuatan "seram" yang perlu serta suntingan yang tidak bersungguh-sungguh (macam kejar masa). Ada babak-babak yang boleh diikat dengan lebih kemas tetapi tidak dilakukan (kerana aku langsung tidak terasa takut atau gerun menontonnya), membiarkan beberapa babak berlalu dengan detik yang panjang tanpa kreativiti (babak dalam Ju-On boleh dijadikan rujukan tetapi bukan ikutan), hal ini yang perlu dijaga oleh penyunting dan pengarah. Pengarah sebenarnya boleh pergi lebih jauh lagi dengan menampilkan tanda dan coretan (terhadap anak dirasuk) dengan mengapa satu-satu kecerdaan dilakukan (dengan makna) yang berkait dengan cara Nenek Esah dibunuh (yang mana, watak ustazah itu yang menelitinya: contoh, pada malam itu, ada seorang yang berbasikal, seorang memegang cangkul, seorang memegang batang besi, yang semuanya menjadi "penyaksi" terhadap pembunuhan Nenek Esah, mengikatkan lagi klu dengan misteri terhadap cara kematian mangsa).

Runut bunyi telefilem ini OK (saduran?) dan solekannya sederhana (dan mengingatkan aku terhadap The Exorcist dan filem seram Indonesia 80-an). Latarnya bagus dan sesuai dengan penceritaan.

Telefilem ini sebuah usaha yang baik dan masih boleh diperbaiki lagi. 

No comments: