14 May 2024

Sayang Salmah (1995) dalam Tiga Babak

Waktu aku remaja, aku tak berapa suka filem ni. Sebab sikap "pragmatik" dan "common sense", aku menolak filem ini. Apabila aku besar dan banyak memakan novel Melayu, aku baru faham sikap diam dan merajuk si ibu dan kata-kata yang cukup memberikan kebijaksanaan, tapi diungkap hanya sekali.

Filem ini sememangnya sebuah adikarya ciptaan Mahadi J Murat, yang cukup menyampaikan bagaimana kita melihat "negara" melalui kaca mata sebuah drama "keluarga kecil" milik sebuah keluarga kaya (cikgu) Mr. Jabar (Jalaluddin Hassan) di Johor.

Apabila kita pelajari "bahasa filem", dapatlah kita membaca beberapa lagi kebijaksanaannya. 

Catatan kali ini dibiarkan ringkas dan cukup buat syot beberapa babak yang terikat dengan bahasa filem yang baik.

Hassan (Sidi Oraza) yang jatuh gila kerana politik. Sidi Oraza memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-41 dan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-12.

Hassan kini ditempatkan (merempat) di sebuah sangkar di luar rumah sebagai rumah baharunya. Ibunya, Dasimah (Fauziah Nawi) menjaganya dengan kasih sayang.

Dalam keluarga Mr. Jabar, hanya ada dua anak lelaki, Hassan (Sidi Oraza) yang dibayangkan sebagai anak harapan keluarga, dan Salleh. Kerana kecewa dengan mainan politik, Hassan dipecat daripada partinya, dia menjadi tidak siuman, maka Salleh (Azhar Sulaiman), yang belum matang dan memandang tinggi abangnya Hassan, mencari jalannya sendiri yang selalunya tidak betul. Salleh kehilangan "figura contoh", juga father figure, lantas Salleh mencari jati dirinya yang sendiri untuk menjadi lelaki. Dan lelaki, yang tiada jalan dan ajaran yang betul, mengikut naluri alaminya, dia mencari pasangan hidup, teman, tempat melempiaskan perasaannya (dan nafsunya). Dia mencari perempuan.

Dengan duit harta yang dia ada selain kerjanya, dia melanjur ke arah berfoya-foya, ke kelab malam, suatu yang lazim pada era pramerdeka dalam kalangan anak muda (yang terkoyak antara mencari identiti jati diri fitrahnya dengan tampilan dunia hedonis yang ditinggalkan oleh Inggeris buat anak watan yang tiada pedoman); dan di situlah dia menemui Salmah (Norish Karman), gadis "anak kabaret".

Keluarga Mr. Jabar bolehlah dibayangkan sebagai wakil bangsa Melayu pramerdeka, atau tanda negara Tanah Melayu yang belum mengecapi kemerdekaan itu.
 
Lihat sahaja babak Salmah yang baru sahaja berkahwin (memasuki ruang keluarga/negara) dengan Salleh, keluarga Mr. Jabar-Dasimah (Fauziah Nawi) yang mula "menggelap" atas tragedi Hassan dan kematian Mr. Jabar. Ada ironi di sini. Salmah hanya "mencantikkan" diri (simbol materialisme) buat dirinya dan suaminya, tidak memahami peranan sebenar "keluarga". 

Babak (1)

Pada Babak (1) ini, Salmah mendandan di depan cermin, merefleksi hanya dirinya (pentingkan diri, lebih bersifat individual daripada keluarga/komuniti, sifat tradisi orang Melayu. Nota: Dalam sikap komunal, Salmah boleh bersama-sama lepak/tidur di ruang ibu bersama-sama ibu mentua dan suaminya), satu refleksi di cermin, belum memenuhi rumah (dia jarang-jarang mengisi ruang di ruang-ruang rumah lain selain meja soleknya), berkemungkinan "bisikan"nya kepada suaminya, Salleh yang dia "keseorangan" dan ibu Salleh tidak menyukainya (orang luar). Salmah belum hamil, maka dia belum (bersedia?) mengambil peranan ibu Salleh sebagai "pengisi warisan" rumah yang kosong itu, atau sebagai seorang wanita yang pernah berasa moden dan "bebas tak terkongkong dengan adat", memang dia tidak berniat untuk ke situ?

Babak (2)

Dalam Babak (2), apabila ibu Salleh/Dasimah sudah mati, refleksi Salmah di cermin sudah berkembang dalam tiga bayangan (Salleh-Dasimah-Hassan) di cermin, yang memberi imej "tipu" bahawa Salmah sudah "menguasai" rumah keluarga Mr. Jabar-Dasimah. Salmah masih belum hamil, peranan stereotaipnya sebagai isteri (dan ibu rumah) belum berlaku.

Babak (3)

Namun pada Babak (3) (dengan sengaja Salmah yang memakai bedak sejuk menyerupai "hantu", lebih awal daripada zomba Mamat Khalid), kehadiran tiba-tiba Hassan di luar sangkar dan di dalam rumah, menampilkan refleksi sebenar Salmah terhadap keluarga Salleh (negara!), dan hal ini tersampai dengan katarsis Salleh yang balik daripada kalah berjudi apabila menampang dan memegang abangnya Hassan kerana dia sudah "hilang diri". Cermin sebenar ada di Hassan (dia yang berkata benar) yang menampakkan (membogelkan) diri sebenar Salmah itu sendiri (refleksi cermin yang sebenar), dan Hassan membuka refleksi ini kepada Salleh pada akhirnya. Dan barulah, waktu itu, Salleh menyedarinya, dan terasa bersalah dan berdosa. Salleh merangkul abangnya. Salleh merangkul hakikat/refleksi Salmah. Setelah itu, kesemua filem ini ialah "wasiat" Salleh (daripada Hassan) kepada Salmah agar "merefleksi diri" sebelum terlambat, agar "melihat cermin yang sebenar". "Sayang" sekali jika Salmah masih tidak dapat memahami kata-kata wasiat Salleh (yang kita dengar diujarkan pada awal filem secara suara latar di potret-potret keluarga), untuk apa menjaga rumah (tanah tumpah), untuk apa menjaga keluarga (negara).

Inilah ramalan dan alamat dan petanda yang begitu halus tetapi terasa sekali tentang relfleksi dan mencari tujuan akar diri dalam sebuah filem Melayu, filem Malaysia. Malah, Mahadi J Murat menampilkan "ramalan" atau caution tale, jika pemimpin/watan mewakili Salleh dan Salmah terlupa atau tersalah langkah:

Babak akhir Sayang Salmah.

Babak akhirnya menampilkan Salleh-Salmah dengan anak sulung mereka (tunggal) melawat abangnya yang sekarang di hospital bahagia. Paparannya kini di luar, dengan paparan padang di belakang mereka, tanah berpasir dan sebatang pokok. Jika yang mampu menyedari, imej babak ini mendekati gambaran kita ke mana-mana pusara, perkuburan. Inilah keluarga baharu Salleh-Salmah (pascamerdeka), setelah lenyap keluarga Mr.Jabar-Dasimah. Entah mengapa, apabila kita melihat babak ini, kita akan rasa sayu, kerana imej ini menampilkan "masa depan" keluarga Salleh (Melayu) yang akan merempat di tanah sendiri.

Filem ini merupakan antara filem terbaik Malaysia.

Filem ini merupakan filem arahan, suntingan dan tulisan lakon layar Mahadi J Murat, dengan sinematografi Mohd Hani Mahidin. Filem ini berjaya merangkul tujuh piala pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-12.