25 September 2012

Fetih 1453 (2012)

Filem ini mempunyai pembukaan yang mengesankan, khusus buat penonton Islam. Kita dipaparkan dengan dunia Madinah (Yarthib) dan sekumpulan manusia bersama-sama Nabi SAW (mengikut gaya The Message, kamera POV adalah Rasulullah) mendapat mesej, yakni, "Kota Konstatinopol setentunya akan jatuh, betapa berkatnya sang pemimpinnya dan tentera (Islam) yang akan membukanya."

Ah, "mesej" filem ini JELAS, yeap, pencerahan dan kehebatan Islam. Suratan di sini akan :"tersurat" setentunya atas "Hadis" Rasulullah SAW sendiri. Maka "plot akhir" dan pengkahiran filem ini SUDAH KITA KETAHUI. Jadi bersediakah kita menonton "pengalaman" bagaimana sang pemimpin yang dikatakan Rasulullah itu berjaya?

Masuklah Sultan Mehmet, dengan gaya ala hindustan, bertegang pedang dengan hamba/kawannya, Hasan. Selepas mereka berpedang, Sultan (masa tu baginda belum sultan) dibawa kepada pemberitaan kemangkatan ayahanda baginda. Lalu selepas itu, sejarah.

Kisah "epik" ini ada sesuatu sebenarnya, jika pengarah dan sebenarnya, penulis skripnya tahu menangani filem ini sebagai sebuah filem epik yang epik sepertimana yang dibuat oleh pengarah Thai, Yukol. Kerana filem yang tampak gah ini, dengan kehebatan seni pengarahan, penggambaran, latar, pakaian, solekan, babak perang dan kelengkapan hancur luluh dengan penceritaan yang tidak ada keyakinan.

Masalah ini ditambah dengan cara pengimbangan watak dan perwatakan yang terlalu pop dijelmakan, yeap, watak-watak satu dimensi yang tampak, daripada raja, menteri, pope, bangsawan, pemaisuri dan putera. Tidak ada satu watak yang boleh kita "ikat" sebagai menarik untuk ditonton. Malah paling teruk, watak raja Sultan Mehmet yang dipegang oleh lelaki Turki ala hindsutan itu hanya tahu mengeluh, mata membeliak dan naik berang (bayangkan, dipaparkan baginda perlu "bersuluk" daripada bininya sebelum dapat menakluk kota Nasrani yang gemilang itew). Di mana "berkat"nya? Kuasa hebat babak awal itu dihancurkan satu per satu dengan garapan lemah sang pengarah mengawal penceritaan. Ada aku kesah dengan si perempuan Kosova(?) pandai buat meriam bercinta dengan Hasan dan kemudian si bangsawan putera Latin? Babak-babak mereka menjelmakan ingatan terhadap Awi-Erra-Ziana dalam Sembilu II yang sekurang-kurangnya kita tercuit dengan kening mencanang Ziana Zain. 

Fetih, yakni "takluk", atau makna murninya, "pembukaan" (sepertimana Al-Fatihah, Surah Pembukaan) yang sepatutnya disampaikan (sepertimana boleh dikatakan berjaya disampaikan dalam Kingdom of Heaven pengarahan kafir itew) dengan ketulusan dan kemurniaan (istilah ini digunakan sepertimana era Khalifah Uthman "membuka" Kota Jerussalem/Baitulmaqdis) entah pergi ke mana atas susunan yang kurang menampilkan kuasa rohaniah terhadap Sultan Mehmet. Ya, dipaparkan Syeikh Tariqat sultan tersebut, AKHIRNYA bertemu di akhir cerita (tanpa susunan dalam perkembangan plot) lalu memberi nasihat (yang lemah) untuk baginda meneruskan kempen pembukaannya. Sifat lembut, falsafah dan intelektual dalam sufisme, langsung dijadikan hanya alat penggerak kepada plot yang seakan sudah menampilkan Troy di Timur.

Intrig politik dalam filem ini, walaupun menarik, tidak dapat menampung kekuatan sebenar yang sepatutnya diberikan tumpuan, yakni perkembangan watak yang baik, serta penceritaan yang sepatutnya. Sayang seribu kali sayang, filem yang amat diraikan oleh seluruh penduduk Islam sedunia ini rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Oh ya, aku terlupa, sempat juga dua pelakon dalam filem ini bercium. Tahniah Turki!

MENONTON DI kawan-kawan yang kita suka!

2 comments:

AbduL QaDir said...

film turkey mmg pakai gaya hindustan pun...teringat satu yg aku pnah tonton kat festival film turki kat Jakarta, melo-hindustaninya nya tak menahan...

Night Aves said...

Penerbit pengarah terlalu ingin membuat satu filem yang dapat menaikkan semangat Othmanisme dalam rakyatnya, tetapi pengaruh sekular itu masih lagi kuat dalam diri mereka. Dan mereka masih terikut-ikut blending filem-filem epik perang dari barat. Jadi hasilnya memang kurang memuaskan bagi yang faham sejarah dan hadis Rasulullah berkenaan sebaik-sebaik pemimpin dan tentera itu.

Selesai menontonnya membuatkan aku menggeleng kepala. Perwatakan Sultan Mehmet itu sangat jauh dari perwatakkan Sultan Memhmetyang sebenar.