03 January 2012

Relationship Status: Muka Buku Urban Love Actually


Filem ini ada sesuatu. Pertama sekali, filem ini sememangnya sesuai buat mak cik dan pak cik dan kakak dan adik dan couple-couple yang mahu menonton sebuah filem drama-komedi romantik berkenaan perhubungan, yeap, filem-filem yang kini dan selalu kita jumpa hanya wujud dalam dunia Hollywood, anak-anak indie Sundance 90-an dan Ashton Kutcher akhir-akhir ini.

Filem ini filem bebas kedua pengarahnya (yang turut menulis dan menyuntingnya) selepas Ciplak, sebuah filem yang amat-amat disanjung oleh Hassan Muthalib di mana-mana beliau bercakap dan berjalan. Aku boleh kata, filem ini lebih "mainstream" daripada filem pertama beliau, khususnya kerana tema yang dipilih. Ada sebuah filem Indonesia dua tahun lepas (ya, Indonesia sangat maju tapi tak semestinya baik), I Know What You Did On Facebook yang mempunyai tema sama, perhubungan, seks dan perselingkuhan di Facebook. Tetapi filem itu terlalu melibatkan dirinya dengan melodrama dan over acting yang tidak sudah-sudah tentang kehidupan bernafsu muda-mudi Jakarta. Filem ini semacam kawan sampingannya yang lebih beradab, bertudung Yuna (maknanya moden dan terbuka tapi sopan!) dan sok-sek sok-sek hal-hal yang panas di sebuah kedai kopi serba hawa dingin, tetapi masih membawa isi(weight) dan inti.

Filem ini turut menjurus penggayaan himpunan pelakon Hollywood 50-an yang dipopularkan kembali oleh Richard Curtis (all-star cast itew) dengan penelitian perhubungan Fred Schepisi dan gaya tangkapan "realiti" Steven Soderbergh, semuanya shaky-shaky camera dan warna ton bumi dan pencahayaan matahari dan lampu dalam kereta. Semua ni OK, jika ceritanya OK.

OK, ceritanya OK. Aku suka cara filem ini diperkembangkan dan cara ia diakhiri lantas amat menghormati jujukan kotemporarinya (seperti yang dinyatakan di atas) yang ditunjangi oleh semangat penceritaan yang bercakap tentang emosi-emosi penting yang tidak biasa kita tonton dalam filem Melayu (fasal tu ada nanti mamat minah Kongsi dan Ombak Rindu akan blur dan tidak sepatutnya) tetapi wujud dalam dunia lanskap realiti kita (di sini, khusus realiti lanskap mamat minah urban). Pun begitu, aku tidak suka dengan awalnya yang disengajakan bergerak mundane dan banyak persoalan dan tali-tali yang tidak terikat. Hal ini perlulah Khairil ambil fokus, khusus dalam mendramatasikan satu gerakan yang padu dalam penangkapan latarnya. Apabila Gavin Yap memasuki bilik bosnya yang dilakonkan oleh Susan Lancanster, babak itu terasa seperti satu babak panjang Televisyen Pendidikan subjek Bahasa Inggeris yang aku selalu tonton di RTM2 (orang sekarang panggil TV2). Kemudian "bang" secara tiba-tiba bila Susan dengan muka selamba memberi petikan kata-kata Gavin yang mempersendanya di dalam blog. Ini menunjukkan, skripnya sudah begitu pasti menyeronokkan, bijak dan tahu ia hendak ke mana, hanya pelakon dan sedikit keupayaan pengarahan memerlukannya untuk menongkah daripada terperangkap dalam situasi amatur.

Kerana sedikit sebanyak, terdapat beberapa momen yang indah yang berjaya diungkap oleh filem ini berkenaan emosi manusia dan bagaimana manusia menghadapinya, yang buat aku menjauhi melodrama hindustani ala Cinta dan menangkap kesanggupan sepenuhnya untuk menunjukkan "apa yang benar-benar terjadi di depan muka". Kita tidak banyak filem sejujur dan berusaha sebegini. Hal ini amat aku puji.

Ya, dunia ini satu dunia manusia yang kompleks, dipenuhi dengan manusia yang susah hendak diagak. Facebook yang merupakan tema utama filem ini (lantas membuat punggung Mark Zuckenberg lebih besar kerana setakat ini, media sosial sarwajagatnya sudah berjaya dibikinkan filem oleh kebanyakan pembikin filem dunia termasuk sebuah negara kecil di Eropah) merupakan kosmetik dan kadang-kala "satu lagi isu" untuk diperkatakan oleh manusia ini. Semangat manusia tetap manusia tampak begitu optimis dan begitu diraikan. Aku tidak berapa suka dengan pengakhiran filem ini menjelaskan "kerja rumahnya" kepada penonton dengan tidak banyak hal-hal yang ruwet, tetapi perjalanan yang diberikan, emosi-emosi yang dinamis, hal-hal kecil yang kita jumpa dalam watak-watak dengan pilihan dan reaksi mereka, itulah yang membuat "isi" filem ini jauh lebih berharga, kompleks dan mendalam daripada tesis "tugas pertama" Gavin Yap untuk bosnya (sebuah artikel tentang media sosial). Dan hal inilah yang amat-amat aku sanjungi.

Tontonlah lakonan pelakon filem ini, yang walaupun sudah diketahui tidak akan memenangi anugerah pelakon terbaik FFM kerana kuatnya Akmal Abdullah dan Dr. Naim menjaganya, inilah contoh baik untuk melihat lakonan yang tidak dibuat-buat dalam dunia sehari-hari. Aku menyukai Gavin Yap, Davina Goh, Tony Eusoff, Baki Zainal, Ruzana Ibrahim, dan Benji Lim. Aku agak kecewa dengan pelakon yang pernah memenangi FFM, Susan kerana beliau boleh buat "lebih dari itu" tetapi semacam beliau amat mengawali lakonannya untuk benar-benar mengeluarkan jiwanya. Daphne Iking adalah contoh pemenang FFM yang berwibawa dan membawa "nilai" dalam filem ini.

Ada beberapa babak dalam filem ini kita tidak dapat mendengar kata-kata wataknya kerana teknikal suara yang agak lemah, yang aku agak adalah semangat realisme yang hendak dibawa oleh pengarahnya (dan pernah dilakukan dengan lebih ekstrem dalam Heaven's Gate). Runut bunyinya menarik dan membantu mood, khusus pemilihan lagu babak Daphne Iking mendepani bekas suaminya.

Sebuah filem bebas yang baik kerana usahanya dan perlu ditonton kerana sejarahnya (filem pertama Facebook kita!) Bodohlah korang kalau korang tak mahu menontonnya (haha, ini kali pertama aku IKLAN dan PROMO sebuah filem tempatan, yang selalunya aku tak buat), hanya kerana kebanyakan wataknya bercakap Inggeris (jangan libatkan PPSMI dalam hal ini sudah) dan penggayaannya yang lari daripada menyucuk setiap babaknya dengan lagu-lagu-lagu seperti yang dibuat oleh Metrowealth, KRU dan Skop Productions. Sebab percayalah, Khairil M. Bahar adalah antara pengarah muda yang perlu diikuti dan akan disegani pada masa-masa depan nanti.

klasifikasi: PG-13 dan sepatutnya kerana beberapa kata kesat yang tidak melampau, bicara seks dan memaparkan gaya hidup "luar nikah" yang tidak sesuai bagi orang Islam/ketimuran.

nota fadz: filem ini akan mula ditayangkan pada 5 Januari 2011 di TGV yang terpilih serata Malaysia (5 tak silap aku).


10 comments:

Ajami Hashim said...

amboi! cepatnyaaa!

AbduL QaDir said...

ada subtitle tak?

fadz said...

sarikata bahasa Melayu tak ada..

Anonymous said...

ni kena tapais LPF tak?

fadz said...

tapis dah, takde adegan Maya gomol-gomol dengan Aaron Aziz atau Jue Aziz buat nasi kangkang.

AbduL QaDir said...

asalkan ada sarikata English pun dah cukup utk mereka yg ada masalah hearing impaired. Kalau takda tak boleh tengok la.

zubin said...

I don't think this is the first you promote people to go and watch a movie. May be first tine this month or this year. To to reexamine what you write!

I&a said...

smlm nampak awk di cloud tv

Catatan si playboy said...

Dah tayang ke?

fadz said...

alah kesiannya, dah lama tayang bro..