29 January 2012

Sumpahan Kum Kum(2012): Cermin Diri


Ah, ini suatu perubahan buat MiG.

Ulasan yang aku mahu tulis ini pendek. Pertamanya, aku sangat-sangat mahu mengucapkan syabas kepada Meor Shariman dan Bob kerana menulis skrip yang dibuat oleh produksi besar ini dengan elok, seperti yang aku nyatakan dalam Cik Sik aku, "it's a descent effort, well constructed".

Ada satu babak mengejutkan yang baik oleh Bob. Juga kerana suntingan yang mencuba dengan baik. Ini berkaitan dengan babak ambil telefon bimbit di tengah malam jalan raya. Secara keseluruhan, pengarahan yang sederhana oleh Bob.

Lakonan kesemuanya biasa, tetapi aku suka babak (spoiler) "rasuk" Fezrul. Maimon Mutalib menarik, tanpa perlu banyak berbicara, gerakan dan mimiknya cukup memberi makna kepada apa yang perlu diucap. Lydiawati sangat cantik dalam filem ini, memberi "nilai" kepada babak-babak "peristiwa sebelum" yang menarik. Aku memang menunggu pelakon yang selalu tidak diperlihatkan ini untuk berperanan utama dalam sebuah filem yang sesuai untuknya. Dia antara pelakon yang mempunyai pesona tersendiri.

Filem ini menarik dalam memperlihat kembali legenda 80-an berkenaan "hantu kum kum" yang waktu itu aku amat kecil dan cerita "hantu urban" ini diceritakan supaya anak sekolah, khusus perempuan untuk tidak "lepak di longkang atau masih di sekolah lepas habis sekolah". Filem ini memberi "riwayat legenda" tersendiri bagaimana "Kum kum" ini wujud dan menghantui kampung tempat duduk watak-watak filem ini (hanya ia berfokus kepada era 90-an ke alaf 21, bukan 80-an, hanya aku rasa pelik mendengar satu babak di mana Nurul menyatakan dia menunggu balaknya ke "Ziana Zain Live at Fun Fair" kalau aku tak silap). Kajian dan cara ia susun membuka misteri "ilmu hitam" dan kaitannya dengan "Kum kum" itu bagi aku menarik. Suatu perkara lagi adalah cara ia memberi debaran terhadap gaya montaj dalam beberapa babak (babak klimaks) serta bagaimana logika "Seram" itu dibawa, dari kampung ke kota.

Paling menarik adalah metafora cermin yang digerakkan dalam filem ini sebagai objek filem ini. Secara umum, cermin ini dikaitkan dengan pantang larang ilmu hitam untuk "memanis" atau susuk yang digunakan, tidak boleh seseorang itu melihat dirinya dalam masa 44 hari di cermin bila mengambil rawatan. Ada empat watak wanita yang sengaja melihat diri di cermin, seorang (budak kecik) sahaja yang tidak betul-betul memerhatikan, walaupun ada satu syot dia di depan cermin. Di sini sahaja kita sudah tahu fungsi cermin di sini sebagai "refleksi" watak. Satu lagi yang tampak, ketiga-tiga watak "mencantikkan wajah" sebelum bertemu dengan "kekasih hati". Wajah yang sempurna merupakan "pengisian estetika" yang dibuat dan diperlukan oleh watak wanita itu untuk di"sukai" oleh sama dan beza jantina (tetapi lebih khusus si lelaki, beza jantinanya). Masing-masing melihat hal "wajah perlu sempurna" ini perlu dicapai, entah mengapa aku melihat ini menandakan wanita-wanita ini sanggup "menurut" perciptaan sistem patriaki atau kelelakian yang ditentukan (seorang wanita yang tidak sempurna fizikal boleh sahaja membuat apa yang dia mahu jika dia percaya dia boleh). Ini menampakkan sifat kritikan Meor dan Bob terhadap kelemahan dan kedangkalan wanita. Ini satu kritikan sosial yang agak menarik dalam perkaitannya dengan ilmu hitam Melayu (mereka yang menduakan Tuhan dengan penggunaan ilmu sebenarnya tidak mempercayai diri sendiri, inilah sebenarnya).

Runut bunyi filem ini mencuba, dengan banyak bermain gendang dan rebana sepertimana Keramat. Solekan hantu yang menarik dan pernah dibuat. Fotografi filem ini lemah dan tidak berdaya benar-benar menangkap latar dan rasa filem, walaupun beberapa syot jauh dan sudut yang cantik dan terjaga. Rumah si keluarga itu adalah rumah sama aku kira untuk filem seram Azhari Zain, dan juga Ahmad Idham. Mereka tak malu pilih rumah yang sama buat semua filem seram mereka?

Kalau MiG meneruskan pembikinan sebegini, bolehlah MiG menjadi jaguh kilang seram sebaik Hammer Horror UK suatu hari dulu.

klasifikasi: PG-13, dengan beberapa babak seram dan kejutan yang tidak sesuai bagi kanak-kanak, serta babak tahyul yang perlu dimaklumkan dahulu kepada kanak-kanak, sebuah babak tulang mayat dan cacing makan mayat yang mungkin tidak sesuai bagi mereka yang takutkan mayat dan pereputan mayat.

5 comments:

Amy Ikram said...

Aku lebih suka klau filem ini dibuka dengan visual wanita cantik dihadapan cermin- memandang cermin (jgn pandang selagi belum 44 hari) dan cermin itu pecah. Baru la plot dia berkembang. Apa2 pun filem ini lagi better dari keramat ook. Nice review.

fadz said...

menarik benda yg hang nakkan amy, bagi aku dah cukup dah sebab jelas cerita ni lebih menyebelahi lelaki daripada wanita.

saat omar said...

hantu Kum Kum ini sebenarnya kisah benar yang berlaku di Perak ditahun awal 80an dulu.Urban Legend ni. bekas Ustazah katanya yang tak takut dengan bacaan Quran sebaliknya membetulkan bacaan orang. Dia dapat nama Hantu Kum Kum sebab dia bagi salam Assalamualaikum...kum.

Hantu Kum Kum lebih awal dari Hantu Susu.

Sejauh mana dekatnya filem ini dari urban legend ini?

fadz said...

agak jauh lah saat, tapi masa kecik, itulah yg aku dgr, fasal seorang minah (salah guna ilmu) yg colek budak perempuan (ada berita seorang mangsa budak sekolah terjumpa dlm longkang), dan dia "berpurdah".. aku ingat bagaimana gambar itu dilakar "berjaga2 dgn org begini" di depan surat khabar, tak silap aku, Utusan Malaysia. Dan org gajiaku heboh cerita fasal hantu kum kum dan bagaimana jgn lepak sekolah, dll tu.

Anonymous said...

bolehlah MiG menjadi jaguh kilang seram sebaik Hammer Horror UK suatu hari dulu. jawabnya, Mejar David dah seram dan keseramannya mengatasi Christoper Lee, Peter Chusing dan mungkin dia menyamai bella lugosi. Sebab orang tak pernah cuba dia main jadi dracula, ada berani?

Penchinta Ruang Gelap.