Aku rasa sedikit pelik apabila ramai pengkritik yang menonton filem terbaharu Almodovar ini menyatakan Almodovar yang mereka kenali tidak ada lagi dan lebih bersongkol terhadap idea fiksyen pula atau filem seram bajet rendah dalam pengalaman sinema terbaharunya. Aku tak faham, kerana bukankah hal itu yang terbiasa dalam dunia sinema Almodovar dahulu yang kita kenal dalam romantik gelap Matador atau gilanya dunia glamour Kiki dan obsesi seksual dalam Tie Me Up, Tie Me Down?
Tulisan pendek ini mungkin bukan mempertahankan Almodovar memandang aku peminatnya, tetapi melihat Almodovar secara objektif dalam pengalaman dan rasa aku sebagai penonton.
Dua perkara yang berlaku sewaktu aku menonton filem ini, yang mungkin boleh dibuat kajian mendalam. Filem ini secara dasar (dan tidaklah begitu susah hendak ditilik) SPOILER menceritakan seorang doktor pakar bedah plastik yang menyimpan sebuah "eksperimen" di dalam rumahnya, seorang "lelaki" yang dituduh merogol anaknya (yang sudah tidak siuman) yang ditukar jantinanya menjadi "wanita" bernama Vera, yang kini menyerupai mendiang isterinya (hal ini amat berpaut dengan tema noir serta tema obsesi kepada mangsa mati dan kembar seiras dalam filem Hitchcock). Dua emosi berlaku;
(1)
Walaupun proses rekonstruksi vagina itu tidaklah ditunjukkan secara eksplisit seperti filem-filem seram yang aku tonton (ingat Anti-Christ?), tetapi perjalanan "menyedari" hal itu akan berlaku dan menyelami hal itu membuat aku tidak senang duduk, "disturbed" kata orang puteh, tetapi hal ini agak "seronok" buat isteri aku.
(2)
Apabila babak "rahsia Vera" dibuka, dan kita faham saat itu kenapa Vera mencari jalan untuk membunuh diri dan mengapa watak doktor Antonio Banderas menyimpannya seperti burung dalam sangkar, dan saat babak ketiga di mana Antonio dan Vera "bersatu", setiap saat dan babak mereka bersama, dengan mata di pistol, ketidakkepercayaan dan lakonan "topeng" Vera menaikkan adrenalin aku, suspens yang mencengkam tanpa perlu memaparkan aksi mengejutkan, sudah lama sinema ngeri tidak melakukan hal ini, sebaik Hitchcock.
Filem ini, walaupun aku merasa pelik, seakan-akan sebuah filem paling moralis oleh Almodovar (dan ini berkemungkinan membuatkan ramai yang kata Almodovar meninggalkan krafnya) dengan penghukuman tipikal (dan ini kaitan amat dekat dengan filem seram bajet rendah) balasan jahat kepada jahat, masih menyimpan kesempurnaan manusiawi. Almodovar seakan memilih. Di sini, dia menyampaikan simpatinya terhadap Vera/Vicente (selalunya, sifat manusia ini lebih luas, khusus kepada watak-watak utama) yang akan dibawa masuk dalam dunia istana gothik moden yang menakutkannya. Tema yang dikaitkan dengan reaksi emosi ini adalah sifat kejantinaan dan bagaimana kita menghadapi perubahan (mahu atau tidak mahu, berkait juga dengan pendekatan Almodovar kepada Mak Nyah dalam mana-mana filemnya). Jika dalam Talk To Her Almodovar membisukan suara wanitanya dan memberi suara feminiti dan manusiawi watak lelakinya, filem ini khusus mewanitakan suara lelakinya (Vicente) dalam suatu plot yang hanya berlaku dalam dunia seram.
Apabila hal ini berlaku, Almodovar bukan sahaja menyelami dunia seksualiti dan pemahaman jati diri, tetapi (secara mengejut) pengkritikan kelas yang jelas tampak. Vicente diwakili dunia kelas mengengah bawah dan Antonio dunia kelas atasan (tetapi dirinya sendiri asasnya bawah, ini sindiran sosialis Almodovar). Dunia Antonio hancur dan dekaden (juga dekat dengan tema gothik, pengakhiran dunia bangsawan), isterinya yang berselingkuh mati apabila melihat wajah "hantu"nya, anaknya dirogol kerana hidup dalam ketidaksiuman selepas melihat ibunya meloncat dari tingkap. Antonia yang "sudah hilang segalanya" mencari "moral" sendiri dengan penguasaan dirinya terhadap "golongan rendah", si Vicente yang "agak bersalah tetapi tidak sedar apa yang dibuatnya", menyimpannya, dan mengubahnya sedikit demi sedikit. Rujukan paling dekat filem ini adalah filem seram ala kisah pari-pari, Eyes Without Faces.
Kondisi mengawal ini menarik. Secara estetika dan pemahaman sastera, Almodovar menyatakan bagaimana kita boleh mengawal karya kita, tetapi bukan rohnya (di sini bersamaan dengan pemahaman penulis mati apabila karyanya sampai kepada pembaca, hanya suara pembaca yang hidup, ini berkait dengan karya filem yang mana pengarah mati dan penonton hidup). Rohnya hidup sendiri, dalam suatu ruang yang si pengkarya pun tidak tahu, walaupun selalu memerhatikannya di CCTV (voyeur), seperti Tuhan melihat ciptaannya. Sekali gus, perkaitan ini juga memberi makna pengkajian sosial: si penguasa, walaupun bagaimana berkuasanya dia ke atas mangsanya (pihak bawahan), tidak akan dapat mengawal "jiwa" mereka. Jiwa itu sentiasa "merdeka". Khusus anak-anak golongan bawahan (ini dapat dibandingkan dengan jiwa terperangkap dan menuju kemusnahan golongan atasan, sifat dekaden yang jelas).
Seperti biasa, semua tentang imej adalah indah dalam filem Almodovar. Runut bunyinya juga menyerlah, dengan beberapa tempo rock dan tekno yang memikat. Semua lakonan menarik, khusus anak muda Elena Anaya (sebagai Vera) dan Ana Mena (sebagai Norma, anak Antonio). Antonio Banderas menyeronokkan, seorang watak "jahat" yang boleh kita senangi (tetapi watak psikonya dalam Law of Desires bagi aku lebih kompleks dan kuat, simpatiknya lebih terasa, di sini dia lebih seperti mesin yang kehilangan jiwa dan cinta, dan cuba mencarinya dalam Vera, suatu transisi yang kurang berimpak). Ada satu babak "seram" sewaktu lampu merah mengena wajah Antonio bertopeng menangkap Vicente (Jan Cornet). Ah, Marisa Peredes si wanita Joan Crowford Sepanyol itu amat sempurna dalam filem ini. Kemudian beberapa pelakon biasa dalam dunia Almodovar seperti Jose Gomez. Er, dan bukankah seorang daripada orang gaji itu Pedro sendiri? (jika benar, lebih kuatnya pendirian aku bahawa filem ini mengkritik sosial kerana Hitchcock tidak pernah menampilkan imej dirinya "kelas bawahan" dalam filem-filemnya).
Suatu jiwa gelap Pedro yang amat menarik dan wajib disimpan.
No comments:
Post a Comment