30 January 2012

Jalan Ke Oscar III 2012: Moneyball, The Artist

Moneyball(2011)
Filem ini adalah antara sebuah filem yang tidak menjemukan seorang yang tidak suka dengan sukan untuk menyukai sukan. Sukan filem ini adalah bola lisut. Brad Pitt mengambil tampuk watak yang dibiografikan, seorang perengus (Brad Pitt), mulut celupar (Brad Pitt) dan susah hendak dikawal (Brad Pitt, kecuali Angie Jolie saja yang dapat mengawalnya) yang mempunyai rancangan dan wawasan tersendiri (serta falsafah) tentang bola lisut dan bagaimana untuk mengurusnya (Brad Pitt, tetapi sudut filem, aku tak tipu). Inilah dunia jatuh bangun Billy Beane yang "lari" daripada sifat "komikal" buku yang diadaptasi Steve Zallian dan Aaron Sorkin, mewarnakannya dengan hakikat drama, getir, tragedi dan sifat kehidupan yang sepatutnya berkenaan seorang pemain bola lisut profesional yang gagal dan kemudian cuba mengurus sebuah pasukan liga bola lisut yang gagal, yang kemudiannya, cuba membawa "makna" lain terhadap permainannya tersendiri.

Filem ini menyumbangkan semangat kelelakian yang benar, jauh daripada sofistikasi Jerry McGuirre yang mengarah ke romantisme, filem ini lebih geitr dan individualistik dalam melakarkan watak Brad Pitt dan "rakan bantu"nya Jonah Hill dalam menyelesaikan "matematik" kegagalan mereka untuk mencapai kecemerlangan pengurusan pasukannya untuk menang.

Semuanya sempurna dalam filem ini, khusus suntingan mantap dan paparan kamera yang meyakinkan dan penceritaan yang bagus dan dramatik, digunakan oleh pengarah seboleh-bolehnya, walaupun klise, dalam memberikan momen-momen perlahan yang menguja dan mendebarkan, detik "jadi tak jadi" apabila kita menonton sebuah siaran langsung sukan. Secara rumusan, filem ini juga adalah mesin bintang Brad Bitt untuk menandingi (sebelum ini, Tom Cruise yang mula kembali dengan filem-filem aksi) George Clooney yang kini hendak mencapai tahap Robert Redford (tapi belum lagi Clint Eastwood). Menontonnya, kita terlihat sisi wajah Robert Redford yang mula berumur, dan Brad matang dengan selesa dan kelas dalam filem ini. Antara filem terbaik tahun lepas.

The Artist(2011)
Ah, sebuah filem untuk sinema. Hanya mereka yang meraikan "sinema" dan apa "sinema" berikan dapat melayani filem ini sepenuhnya, arahan Michel Hazanavicius. Filem ini jika diberikan kepada orang biasa, mereka akan kata filem ini menghiburkan, menarik dan mengapa perlu buat filem bisu lagi.

Filem ini sebetul-betulnya cuba mengembalikan rasa dan semangat Hollywood lama. Jika kalian sedar, Oscar tahun ini banyak meneliti kembali Hollywood "emas" atau lama, filem ini, filem Woody Allen (kembali ke dunia keemasannya), filem Hugo (juga berkenaan keemasan filem bisu dan perayaan sinema), Warhorse (menggunapakai unsur epik Hollywood dan western 50-an), The Help (Hollywood 60-an) dan Terrence Mallick (sinema Fantasia Walt Disney). Sebagai melihat hal itu, filem ini dan Hugo jauh ke hadapan dalam benar-benar merealisasi semangat dan dunia Hollywood tersebut, menarik lagi kerana pembikin, pelakon filem ini adalah Peranchis (rujuk beberapa pembikin Amerika yang bikin filem bisu sekarang, yang kebanyakannya tidak diendahkan) dan sememangnya suatu perayaan sinema yang meyakinkan.

Kisahnya senang dan selalu kita turuti, tetapi mempunyai dua tema gelap yang menarik. Satunya adalah sikap melihat "perubahan", khusus dalam seni sinema apabila filem bisu diubah kepada bercakap (filem ini tidak memenangkan yang mana-mana tetapi berunsur mesin nostalgia, ini wujud dan difahami apabila ada suara yang berlaku pada akhir filem), yang mana kita tahu filem ini amat merujuk Singin' In the Rain (watak Jean Dujardin amat mendekati Grace Kelly dan manerisme Rudolph Valentino), Sunset Blvd, dan termasuk Silent Movie arahan Mel Brooks! Menarik untuk diperkatakan di sini, Silent Movie merupakan filem yang jauh memahami cenderung "jatuh" Hollywood sekarang (kerana semua cerita sudah diceritakan) lantas mengambil sikap radikal membisukan filem. Ini seakan reaksi terhadap kemandulan Hollywood untuk progresif dan mencernakan karya-karya kilang (Midnight In Paris turut menyatakan hal ini).

Justeru dengan ini, filem ini tampak gah sebagai suatu pusat perayaan filem itu filem. Malah segalanya berkenaan filem dirayakan dalam filem ini, sehingga ke massa dan medianya, sehingga ke peminat dan kegelapan hidup "artis" (seniman). Babak gelap merupakan suatu tema menarik yang diangkat, runut bunyi Vertigo digunakan, misteri dan babak ngeri kejutan disusun berkenaan si watak bintang lelaki mendepani kebenaran "untuk bercakap". Metafora keseluruhan filem ini adalah sifat keterbukaan untuk menerima pembaharuan yang secara sinikalnya dialanskap dalam hitam putih serba kebisuan.

Arahan, cerita, lakonan dan suntingan adalah kuasanya, serta seni pengarahan yang benar-benar membawa kembali Hollywood yang kita kenal pada awal 30-an. Jean Dujardin mungkin menjadi pelakon bisu pertama moden yang memenangi Oscar dan hal itu sendiri begitu pelik tetapi menarik. Berenice Bejo juga menakjubkan. Kehadiran John Goodman, James Cromwell dan Malcolm McDowell lebih membawa makna jungkal balik pascamoden berkenaan "homaj" dan tersisip indah di dalam filem ini. Uggie si anjing comel turut mengambil tempat, seperti mana-mana haiwan Hollywood yang pernah menempa nama.

Filem ini kemungkinan ada sekuelnya, dalam bentuk dan hala yang lain pula. Antara filem terbaik tahun lepas.

No comments: