12 January 2012

Jalan Ke Oscar 2012 I: The Help, Drive

Aku sedang cari senarai filem yang dicalonkan dalam SAG, BAFTA dan Golden Globes 2012, yang mana menjadi penanda untuk memasuki Academy Awards (walaupun betapa ramai pengkritik tidak bersetuju dengan majlis anugerah ini). Buat masa ini hingga Oscar, aku cuba tonton kesemua yang aku jumpa.

The Help(2011)
Panggillah aku "not edgy" tetapi filem ini, setakat ini apabila menontonnya merupakan pemilihan aku untuk menang filem terbaik pada malam Oscar nanti. Filem ini mengikut penggayaan yang pernah dibikin dengan dasar drama-komedi yang enak berkenaan orang gaji kulit hitam di Jacksonville pada zaman Martin Luther King Jr. sedang perjuangkan hak kebebasan orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Dua kehidupan diambil, lakonan Viola Davis yang mengancam (siapa kata Meryll seorang sahaja boleh menang?) dan yang aku suka, Octavia Spencer sebagai kawannya. Mereka ditemukan dengan Emma Stone (ok, aku tonton filem ini kerana Emma awalnya) yang ingin menulis tentang riwayat hidup mereka. Maka segala konflik dan kesusahan, serta keindahan yang mereka lalui diperturunkan kepada Emma. Mereka yang tidak bersuara akhirnya dapat bersuara. Kisah ini bukan kisah benar, walaupun kemungkinan kisah ornag kulit hitam dan fakta peristiwa yang berlaku adalah benar. Secara keseluruhan, filem ini amat "well cast" dengan sebuah cerita yang anggun berkenaan orang-orang kecil yang tertindas dan kelemahan sosial yang melanda Amerika waktu itu. Roh emosi yang mengaitkan hal ini ialah Emma yang memerlukan "perhubungan cerita" ini atas hal yang amat peribadi buatnya. Dan ini membawa kepada satu perjuangan. Walaupun nampak "pernah buat", ini sebuah sinema melodrama wanita yang penuh air mata yang cukup manis buat aku (kalau dibandingkan dengan Ombak Rindu), ia masih melingkar persoalan keadilan perkauman putih-hitam To Kill A Mocking Bird dengan sentuhan ala Desperate "Maid" Housewives dan bumbu "self teraphy" (khusus babak-babak penceritaan, inilah bumbu terindah filem ini) yang memberi kita satu ketenangan dan kemenangan seperti mana yang pernah Ordinary People (antara filem peribadi terbaik buat aku) pernah lakukan buat aku. Sangat mengkagumkan.

Drive(2011)
Kalau kalian pernah menonton Le Samourai yang dilakonkan oleh ikon seks Alain Delon, inilah contoh filem bergaya itu dengan semangat abad ke-21. Yep, aku nasranikan filem ini sebagai The Samurai abad ke-21. Pengarahnya, Nicolas menyatakan filem ini ditujukan kepada Sang Pujangga Cult Alejandro Jodorowsky, tetapi secara menariknya, filem ini turut mengimbau penggayaan indah dalam imej keganasan yang wujud sedari Sam Peckinpah lagi (yang mana turut mempengaruh kebanyakan pembikin yang mementingkan gaya dalam filem mereka). Aku suka, bila setiap detik yang lembut, perlahan, senyap dan kadang-kadang tidak disedari ditemukan dengan imej atau aksi yang melantun hiperbola emosi (macam lah hal ini tidak pernah dibikin), membuak ganas dan kadang-kala, mengimbau keganasan secara sedak. Babak-babak ini (khusus babak lif) termasuk dengan pencahayaan sengaja neo-noir dan amat Lynchian. Walaupun filem ini mempunyai kandungan - pentingnya ialah penggayaan, melodinya yang dimainkan, wujud dalam metafora pemanduan laju itu sendiri. Malah inilah yang dipaparkan betapa "sunyi"nya jiwa si Ryan Gosling tetapi betapa fahamnya dia akan "sebab akibat" sekeliling - dia merupakan antara watak psiko paling menarik yang pernah dipaparkan dalam sinema. Seperti filem (dan mengambil semangat Sam, pembawa "kuda", koboi yang melalui dataran ke dataran lain), keseluruhan filem seperti suatu perjalanan, laju atau lembap, menghala ke suatu titik. Ryan mengintepretasi gaya itu dalam pemanduan dan perwatakannya, dan cerita dihidangkan dalam filem ini, hanya untuk melembapkan perjalannya atau mengujanya untuk memecut. Antara filem Amerika terbaik tahun ini.

1 comment:

adib said...

aku suka Drive, dan barangkali baru satu filem oscar-worthy yang aku dah tengok untuk 2011. Mengingatkan aku pada History of Violence. ada gaya-gaya Cronenberg.