03 October 2011

Mereka Sebenarnya Takut dengan Bayang-bayang Hantu Mereka Sendiri


Ini adalah maklumbalas kepada bekas Perdana Menteri kita Tun Mahathir apabila beliau menganggap filem "hantu" mengakibatkan histeria berleluasa dalam kalangan anak gadis kita (Melayu sahajakah?), serta maklumbalas terhadap rencana kembar aku Lyn berkenaan sokongannya terhadap kenyataan Tun.

Sesungguhnya, kenyataan sebegini merbahaya dan merupakan sebuah polemik yang akan membuka generalisasi yang bukan-bukan terhadap kemajuan perfileman kita.

Ya, sebab masyarakat kita jenis paranoia dan atas sebab mereka cepat bersyakwasangka tanpa usul, mereka cepat pula melatah. Witch trial dan sikap angguk-angguk geleng-geleng akan berleluasa tanpa penelitian yang rasional (rujuk sikap beberapa orang agama mula cuba menggunakan kuasa "Majlis Fatwa Kebangsaan" untuk bertemu dengan PM Najib untuk membincangkan "pengharaman" semua jenis filem seram dan tahyul. Ingat zaman 90-an yang mundur atas kekerasan syarat-syarat LPF atas kerana segolongan mereka ini?) Walaupun "mungkin" Tun Mahathir membantai "filem hantu berdasarkan tahyul dan mitos", kesannya akan merangkumi filem-filem seram lain, termasuk gaya moden ala urban yang akan dibawa oleh Lyn (sikap pukul rata itu tipikal dalam dasar orang-orang atas yang kita undi, baik Kerajaan atau Pembangkang). Ini adalah kebiasaan perangai masyarakat kita khususnya Melayu. Rujuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (yang sarat dengan sindiran sosial dan bukan hanya sebuah filem seram komedi yang "sampah" buat golongan berpengaruh ini) yang menyindir orang Melayu yang bersikap "kita bakor jelah" yang mana kelihatan jelas "membakor jiwa kecil" Melayu sekarang "membakor" segala polis Bukit Kepong, Najib, Bersih, Mat Sabu, Rosma, hudud dan homoseksualiti Anwar. Ingat, Tun Mahathir berkali-kali menyatakan "kesan imej" terhadap psikologi penonton, dan ini merangkumi kesan-kesan seram atau ganas (hantu atau tidak ada hantu, contoh seperti kemunculan pembunuh yang menakutkan dalam filem slasher).

Hal ini sudah lama, dan sudah naik penat rasanya, didebatkan oleh Pak Hassan Muthalib dan pemikir filem lain, bahawa filem tidak "mempengaruh" (atau yang selalu digunakan, "mengajar"). Yang mencetuskan "mangkin" pengaruh itu adalah diri kita sendiri, daripada pengalaman kita, persekitaran kita selama kita membesar. Jika ibu bapa dan institusi sosial (seperti kawan, saudara, orang dekat, sekolah, guru) yang lainnya sudah kuat menekankan pengaruh yang betul, menulis (merencanakan) superego, pemahaman aqidah, keimanan dan moral yang betul dan mengikut konsesi (mengikut pegangan agama masing-masing), tidaklah akan berlaku hal sedemikian (histeria bila melihat hantu tipu). Filem seram tidak akan dikambing hitamkan.

Cotohnya seperti aku. Masa aku kecil, aku takut tonton filem seram. Tetapi ibu aku selalu kata, "Takut dengan hantu takpe, jangan takut dengan hantu betul. Sebab takut tu hanya untuk Allah." (ini tak bermakna mak aku membiarkan aku tonton filem seram. Waktu tu aku takut sewaktu menonton hantu Jepun dalam Pendekar Bujang Lapok. Kami, sebagai anak-anak kecil memang suka curi-curi menonton filem seram Barat, seperti biasa, barang "haram" yang selalu dicari oleh kanak-kanak belakang ibu bapa. Adik perempuan aku sampai dewasa tak pula histeria sebab dia tahu membandingkan "hantu betul" dan "hantu tipu") Falsafah kata-kata ini aku gunakan, dan aku kenal, ramai kenalan yang begitu juga tidak ada masalah menonton filem seram tanpa mengakibatkan kami histeria atau mencari bomoh untuk menang pilihanraya. Contohnya, sewaktu kemunculan Nosferatu FW Marnau, The Cabinet Case of Dr. Caligari, tidak pernah pula kita dengar golongan barat "histeria" (ya, aku tahu budaya histeria itu unik dalam masyarakat Melayu). Dalam sejarah pun, hanya Jaws merupakan filem yang menyebabkan fobia berleluasa masyarakat Barat dengan ikan jerung. Malah The Exorcist menyebabkan nausea dan pitam (poinnya, berikut adalah filem seram yang berkesan waktu itu). Pernahkah kalian lihat hal-hal sebegitu berlaku terhadap filem-filem seram yang lain? Lebih-lebih lagi filem seram Melayu? Apabila kanak-kanak menonton filem Rahsia tahun 1987, berapa ramaikah dilaporkan sang gadis jatuh histeria selepas menonton filem itu?

Ambil contoh seorang budak yang terlalu berimaginasi tinggi, melompat dari pangsapurinya selepas menonton Superman. Apakah kerana tragedi sebegini Superman bertanggungjawab? Tidak. Filem Superman hanya "mangkin". Kajilah sejarah sifat dan perangai psikologi budak itu, mesti ada kecenderungan anti-sosial, merasa tiada sekatan moral, merasa ingin menjadi sesuatu "yang lain" daripada diri sendiri yang akut, dan percaya kepada ketahyulan. Ibu bapalah yang perlu memupuk (dan tidak membiarkan!) anak mereka agar bersikap rasional dan taakul kepada persekitaran. Memberitahu yang benar dan salah, yang realiti dan fantasi. Maka bawalah persoalan ini kembali kepada kenyataan Tun Mahathir itu. Apakah maksudnya, masyarakat kita terlalu bodoh dan lemah psikologinya, ibu bapa tidak tahu memupuk aqidah, menyatakan apa yang real dan imaginasi, sehingga anak-anak perempuan terkinja-kinja menjerit bila teringatkan mata merah Maya Karin dan bibir muncung Mak Mah? Ya, sememangnya Tun Mahathir mempersendakan masyarakat kita kerana ingin mengatakan kita perlu dikondisi kerana boleh diperbodoh-bodohkan dengan imej-imej hantu palsu. Dengan kondisi sahaja boleh menyelesaikan masalah kita (ingat kata kunci tadi, "pukul rata"). Oh, dengan kondisi sahaja, kita akan diselamatkan daripada cengkaman fantastikal hantu merobek aqidah dan keimanan kita. Sebenarnya, dengan kondisi sahajalah, kita dapat mengikut "kata telunjuk" orang berpengaruh. Itulah mainan psikologi Tun Mahathir. Dah dekat PRU katanya.

Sebenarnya ia adalah salah kita juga. Dah tahu filem seram, kenapa tak kawal anak-anak daripada menonton? (inilah poin aku menunjukkan Tun Mahathir tidak percaya kepada kebolehan masyarakatnya yang boleh berfikir dengan rasional untuk diri sendiri dan keluarganya sehingga perlu memberi laluan institusi sosial yang berpengaruh untuk mengkondisi mereka seperti robot!) Contohnya filem Geng: Pengembaraan Bermula yang aku perhatikan dalam pawagam, budak-budak kecil menangis takut melihat babak ular besar dalam filem itu. Ya, ianya sebuah imej seram yang efektif (khusus kanak-kanak di bawah 10 tahun) tersimpan elok dalam filem animasi kanak-kanak itu. LPF seharusnya menyatakan para penerbit untuk menampal kenyataan kawalan seperti: "filem ini menyelitkan sedikit imej seram tidak melampau yang mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak bawah 10 tahun." Lihat contoh negeri Barat (yang Tun Mahathir suka sangat kondem tu) apabila pihak LPF mereka memohon filem Lord of the Rings: The Two Towers mengeluarkan kenyataan kawalan seperti di atas untuk babak lebah-lebah di dalam gua untuk filem tersebut.

Ya, jawapan untuk masalah ini ialah kawalan (mengawal dan klasifikasi bukan bermakna menapis atau melarang), yang sebenarnya perlu dipupuk oleh ibu bapa dan LPF, serta golongan dewasa sendiri. Kawallah mereka (yang takut histeria dan terikut-ikut nak berbomoh sampai ke Phuket itu) dan kenalilah dan kemudiannya tentukan tahap "kematangan" mereka. Usah dipersoalkan filem seram, bila bayang-bayang sendiri yang sebenarnya menakutkan kita untuk berjalan.

8 comments:

Lyn said...

Masalahnya fadz, tak semua orang ada mak macam kau, segelintir je macam tu yg mendidik anak dari segi mental dan akidah..mcmana pulak dengan anak2 yang tiada ibu bapa yg mcm tu? yang tidak mengajar anak tentang fantasi, akidah dan kepercayaan serta iman? itu yg aku maksudkan dengan segelintir golongan yang mudah dimanipulasi mindanya dengan apa yang ditonton..

TMBF said...

Saya tak setuju jawapannya ialah kawalan - samada LPF nak melarang pembikinan filem-filem seram ataupun menapis adegan-adegan yang dianggapnya "tidak sesuai". Saya anti-censorship sepenuh-penuhnya.

Saya sokong kebebasan bersuara, i.e. kalau tak suka dengan sesuatu, suarakan. Makin ramai yang bersuara, makin adanya perubahan. Saya setuju setiap penonton perlu membuat keputusan untuk diri sendiri mahupun untuk anak-anak, tapi saya rasa perlu juga bagi kita yang kuat pendapat cuba mempengaruhi mereka yang tidak tahu-menahu. Jangan biar orang lain yang kawal.

akitiano said...

ada sebuah kaedah "Kalau tidak dapat ditemukan semua maka jangan tolak semuanya"...Kalau ada mak bapak yang tak dapat mendidik macam tu, bukan berarti kita nak haramkan citer hantu pada semua... Kalau macam tu, bahaya laa dgn F1, sebab ada orang suka sgt F1 nak jadi pelumba haram..Kalau orang suka sangat dgn MotoGP tapi tak dapat ikut GP, jadi mat rempit...lepas tu kita nak haramkan GP?? Tun Mahathir bawa F1 dtg Malaysia ada laa...

fadz said...

TMBF, itulah poin saya, filem2 seram Malaysia pun x sepatutnya dapat rating 18 (kecuali yg ada sensitiviti tertentu) TETAPI perlu ada kenyataan kawalan.. terletak kepada kemahuan diri dan keluarga itulah untuk melihat kewajarannya, inilah alternatif daripada MEMOTONG sehendak hati.. LPF aku maklum sudah mula "tenang" dan tidak PMS macam dulu, maka ini (memberi rating yg sepatutnya dan kenyataan, bukan memotong) adalah anjakan seterusnya yg perlu dilakukan, itulah makna saya ttg "kawalan" tersebut.

sidoel said...

ayuh, kita zila bakarin!!!

Anonymous said...

mahathir ni ada juga pendek akalnya..

afzan said...

mmg tak sokong ucapan Dr M!

Anonymous said...

kita bakor, kita bakor Dr M!