14 October 2011

2 Filem Bertih Jagung: The Three Musketeers(2011) dan The Thing(2011)

The Three Musketeers(2011)

Kadang-kadang kita menonton untuk berhibur. Itu aku tidak dapat sangkal, lagi-lagi jika mahu meninggalkan stres dalam kepala. Filem ini, daripada pengarah (yang aku agak suka sebagai pembawa filem-filem hiburan) Paul W.S. Anderson membawa sebuah filem yang berlapis satu yang menghiburkan. OK, ya, aku agak stres dan tertekan dan filem ini amat membantu. Seronok. Sekurang-kurangnya, dengan penggayaan gajet Sherlock Holmes dan advencer Pirates of the Carribean, filem ini tidak menipu dan berkata jujur bahawa ia adalah alat hiburan semata-mata. Ya, aku mengaku, kadang-kadang, ada juga filem yang aku tonton hanya untuk lepaskan stres, dan ia selalunya bukan filem Micheal Bay, tetapi Anderson, entahlah, sedari Event Horizon, aku tidak pernah merasa benci terhadap pengarah filem ini. Lagipun ada Ray Stevenson, pelakon yang aku gemari dari siri TV HBO Rome, yang memang tidak pernah memberikan aku masalah. Dan filem ini juga seronok dengan maksud "The Five Musketeers" sebenarnya daripada "tiga" (rakyat marhaen pun boleh jadi orang hebat, ini sebelum semua kerabat Raja Peranchis dipotong dengan guillotine). Aku suka dengan filem ni. Macam kartun yang seronok.

The Thing(2011)

Walaupun mungkin filem ini tidak akan dapat menyerupai filem adikarya John Carpenter, ia merupakan sebuah filem "origin" atau prekuel yang menarik. Aku tidak berapa meminati 10 minit awal filem ini kerana mengambil masa yang agak terlalu lama memperkenalkan dan memasuki perwatakan setiap watak, yang tidak pun mengujakan. Kemudian, bila berlakunya "penyerangan" makluk asing paling Lovecraft tersebut dalam dunia fiksyen sains, filem ini bergerak "terlalu laju", malah semacam gaya "sunyi yang menyakitkan" dalam filem John Carpenter itu ditiadakan, perasaan paranoia menjadi minima. Pun begitu, ada dua babak yang membuatnya "diingati", segala yang kita kenal dan lihat, tahu wujud dalam filem John Carpenter, di susun dalam filem ini sebagai "pembuka tirai" filem tersebut. Ya, inilah "masalah terbesar" filem ini apabila kita sudah mengetahui "semua orang yang duduk di kem Norway itu akan mati pun." (maknanya, mahu tak mahu sahaja kau menonton untuk melihat orang mati satu persatu tanpa apa-apa perasaan kasihan) Tetapi, Heijingen sekurang-kurangnya memberi beberapa babak dramatik dalam filem seram dengan latar yang sama yang agak memberi semangat "ngeri" yang sudah lama kita tidak rasakan (walaupun ada satu babak klimaks Alien yang membuat kening aku menyoal, "Perlukah?"). Contoh terbaik wujud dalam babak "ujian darah" yang berlaku, walaupun tidak segertak John Carpenter, sekurang-kurangnya ia mempunyai gerakan menakutkan yang tersendiri. Tetapi kesemua ini dihargai atas satu babak ikonik (spoiler) waktu akhir yang berkaitan dengan heroin filem ini dan si pemandu helikopter. Buat aku, atas sebab babak itu, "kitaran" filem ini sudah cukup untuk memahami betapa "kemahuan hidup"nya makhluk itu (serta melihat sisi vunerablenya). Tentu John Carpenter pun setuju dengan itu, dan menghargainya. Lagu Ennio Morricone yang asal tetap lebih baik daripada versi prekuel ini.

2 comments:

Hans Hanis said...

The Three Musketeers memang menghiburkan :-)

Review The Three Musketeers Disini

The Thing aku tak tengok sebab panggung sini tak tayang..hohoho

Anonymous said...

der, lu takder twit ke? tu pun bagus jugak boleh bagi kurang tension.