25 September 2013

Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013. Penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2013. Setakat ini, kami mendapati terdapat 73 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2012 hingga Ogos 2013, tidak menolak beberapa filem terbitan tempatan bukan berbahasa kebangsaan, filem animasi, serta filem bebas yang tidak dimasukkan. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus.

Setakat pemerhatian kami, kuantiti tayangan filem tempatan mendadak naik daripada tahun lepas setelah penganjuran dua filem tayangan seminggu dijalankan. Banyak filem bergenre dalam landasan kotemporari menjadi pilihan para pembikin. Tema sihir, tahyul, dan gangsterisme mendapat tempat teratas, selain percintaan dan persoalan moral dalam Islam turut dicitrakan. Paling menarik, terdapat beberapa penampilan sarana kumpulan minoriti terhadap wahana sosial sekarang yang ditampilkan. Peningkatan penayangan filem tempatan berbahasa ibunda serta "percubaan" filem adaptasi karya kreatif pada tahun lepas dan tahun ini juga amat membanggakan. Percubaan penerbit terbesar negara, MiG untuk meneliti cerita melangkaui pembikinan harus diberi pujian kerana terdapat beberapa filem perdananya yang mempunyai penceritaan yang baik dan tersusun, walaupun bukan terbaik dari segi inti pati (substance). 

Dalam pemerhatian kami pada tahun ini, kebanyakan filem yang diharapkan dapat merentasi suatu mutu dan kekuatan yang boleh diiktiraf menjadi suatu permintaan yang sia-sia. Indah khabar daripada rupa. Perkara ini suatu sesalan dalam kumpulan filem yang banyak pada tahun ini. Kami turut mendapati bahawa kebanyakan filem membawakan idea dan cerita asal yang menarik, namun tidak mampu digarap dengan betul dalam beberapa perkara yang jelas, mengganggu pelancaran bentuk hasil akhir sesebuah filem. Mise-en-scène yang sepatutnya tidak dapat dirasai. Masalah ini ditambah dengan kekurangan fahaman tentang bentuk (form) filem, yang tidak menyampaikan jiwa dan kesinambungan teknik terhadap kandungan, menyebabkan inti patinya tidak begitu baik (mediocre). Masalah ini mencacatkan pencitraan filem berkenaan. Hal ini tampak jelas dalam beberapa filem adaptasi, yang jelas mempunyai idea asal yang menarik dan dapat diperkembangkan dengan intepretasi lakon layar baharu namun menjadi sebaliknya.

Atas sebab ini, dari segi mutu, kami merasakan kekuatan filem mutakhir ini agak merosot. Senarai filem yang keluar pada tahun ini antara yang terlemah dalam sejarah filem Malaysia. Tidak ada yang "stand out" dan dapat dibanggakan, sampaikan kami terpaksa menimbangi perkara yang sekurang-kurangnya kecil dan khusus sebagai merit terhadap kepentingan wayang dan pengalaman wayang.

Kami juga amat terganggu dengan suara penguasa dan pencatur politik yang cuba "masuk campur" dalam pengalaman pewayangan tempatan dengan alasan tetek-bengek yang tidak munasabah. Kami ingin menyuarakan pandangan mutlak, bahawa suara penguatkuasa dan politik perlu berada di luar budaya pembikinan dan apresiasi wayang. Filem ialah filem, karya yang memberikan reaksi, renungan, dan intepretasi terhadap sesiapa yang menonton layar tebarannya. Malang untuk filem seperti Tanda Putera dan Kampung Baharu/The New Village dipaksa masuk ke dalam kancah pempolitikan oleh mana-mana pihak dan dihakimi dengan pelbagai label dan kenistaan. Masyarakat perlu bergerak ke luar dan maju. Menuduh sesebuah filem "berdosa" sebelum menontonnya, seperti kes yang berlaku terhadap filem dokumentari, Lelaki Komunis Terakhir (2006) menampilakan kematangan sebenar penonton tempatan sekarang. Filem hanya dinilai atas baik atau buruknya, tidak ada cara lain lagi.

Di sini, kami sertakan senarai pencalonan seperti yang berikut:

Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013

Pengarah Terbaik
Nik Amir Mustapha untuk KIL
Bernard Chauly untuk Istanbul, Aku Datang! 
Mamat Khalid untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
M. Subash Abdullah untuk Misteri Bisikan Pontianak
Esma Daniel untuk Zaiton, Ceritaku

Pelakon Lelaki Terbaik
Beto Kusyairi untuk Istanbul, Aku Datang!
Redza Minhat untuk KIL
Khir Rahman untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
Pekin Ibrahim untuk Cerita Kita
Farid Kamil untuk Lagenda Budak Setan 2

Pelakon Wanita Terbaik
Lisa Surihani untuk Istanbul, Aku Datang!
Vanida Imran untuk Untuk Tiga Hari 
Nadia Aqilah untuk Zaiton, Ceritaku 
Ruminah Sidek untuk Misteri Bisikan Pontianak
Fazleena Hishamuddin untuk Kontradiksi

Sinematografi Terbaik
Mohd Noor Kassim untuk Zaiton, Ceritaku 
Haris Hue Abdullah untuk Istanbul, Aku Datang!
Soon Yung Chong untuk Paper Moon
Soon Yung Chong untuk KIL
Norhanisham Muhamad untuk Sembunyi

Lakon Layar Terbaik
Rafidah Abdullah untuk Istanbul, Aku Datang!
Alfie Palermo untuk Sembunyi
Mamat Khalid untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
Nik Amir Mustapha untuk KIL
Rameesh Puncharatnam untuk Olli

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Adlin Aman Ramlie untuk Juvana
Afdlin Shauki untuk Untuk Tiga Hari
Sharnaaz Ahmad untuk Sembunyi
Hans Isaac untuk Langgar
Saiful Apek untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Umie Aida untuk Sembunyi
Anne James untuk KIL
Mislina Mustaffa untuk Misteri Bisikan Pontianak
Fynn Jamal untuk Kontradiksi
Faezah Elai untuk Tanda Putera

Filem Terbaik
Istanbul, Aku Datang! (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Lina Tan Suan Jeu sebagai penerbit)
KIL (Rewan Ishak, Nik Amir Mustapha, Jeremy Little, Anizan Sarif, Tengku Iesta Tengku Alaudin sebagai penerbit)
Rock Oo! Rimba Bara Kembali (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Mamat Khalid, Jalena Rejab sebagai penerbit)
Sembunyi (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Frank Lewis, Kabir Bhatia, Jalena Rejab sebagai penerbit)
Misteri Bisikan Pontianak (M. Suurya sebagai penerbit)

05 September 2013

Psiko Pencuri Hati(2013): Nam Ron Cuba Hitch-Cock

"Afasal merah kau ni macam tak merah?" - Man

Dialog kutipan di atas (lakonan pelik Amerul Affendi) sebenarnya secara ironi sudah pun merumuskan keseluruhan organisme bernama Psiko Pencuri Hati (The Thief of Hearts).

Psiko Pencuri Hati, betapa pelik dan romantis sakitnya judul itu dalam sebuah genre ngeri (thriller) ala Korea berkonsep psikoanalisis, homaj slasher, dan filem agung Hitchcock itu sendiri. 

Tiga perkara utama yang membawa filem ini, yang sepatutnya boleh dan dapat dihargai, merundum: 

1. Shamsul Cairel sebagai penyusun dan pengolah lagu runut filem telah menghancurkan keseluruhan struktur "ngeri" filem dengan detik degupan dan cubaan memelodramakan "Aldrich!" filem ini - emosi tidak kena. Bukti: pada babak saspens seorang mangsa dicekik dari belakang. Runut bunyinya berdetik macam kompang dikir barat naik meraban. Emosi suara (juga masalah filem ini) dan imejan terganggu. Ini bukan kerja pakar.

2. Sinematografi Jepon Helmizan malas (walaupun kita nampak beberapa rujukan filem noir 50-an yang diambil), tidak dinamis, tidak melucun suatu cerita dan seketul-seketul tanpa memahami turutan. Hal ini juga berkaitan dengan (3). Namun yang penting, walaupun fokus imej menampilkan emosi watak hadapan kamera kadang-kala berjaya, terdapat beberapa imejan dan letak imej yang janggal, khusus pada bahagian klimaks. Mungkin ini kesalahan ruang, namun suatu perancangan yang teliti dalam sudut syot sudah harus disusun teliti. Semua filem ngeri mementingkan syot untuk menyampaikan "semangat keterujaan". Syot filem jelas tidak memberi ini.

3. Penyuntingan Hafeez Mohd Noor. Jika ada seorang penyunting (dan pengarah) yang melakukan fade out dalam genre ngeri pada dua bahagian semata-mata menyusun gerak ke babak lain, pipi mereka sepatutnya ditampar. 

Terdapat banyak lagi persoalan teknik yang merumitkan penguasaan estetika filem, dan di atas merupakan perkara yang membuatkan kita tidak dapat menghargai pengalaman menonton sesebuah genre ngeri. Ya, Syafiq Yusof mempunyai premis yang lebih kecil (malah goyah) dalam S.A.M. (2012) namun hal-hal di atas "dijaga" sebaik mungkin. Kita tontonlah sebuah "ngeri". Adakah dengan itu, Nam Ron hendak menyatakan yang kita sebenarnya menonton sebuah filem yang "melangkaui" ngeri?

Hal ini mungkin sahaja dengan beberapa dialog berkenaan "fiksyen" yang "perlu ikut realiti" (lalu ditempelak oleh Man, sahabat baik penulis novel jenayah, O.Sidi lakonan Bront Palarae). Kata "realiti" ini banyak kali dicetus oleh watak. Kemudian, kita menyedari pembunuhan bersiri wanita yang berlaku (dan diikuti/ditiru dengan obsesifnya oleh O.Sidi atas nama kesempurnaan/estetika) masih menemui jalan buntu (pembunuh masih tidak ditemui ala Jack The Ripper). Ini persoalan yang amat menarik. Kemudian Man menyoal Sidi, "Bukankah fiksyen ini direka-reka, kenapa sibuk nak ikut realiti? Bodoh!" Subteks ini menempelak bukan sahaja pandangan "karya seni cerminan realiti" yang selalu sahaja kita dengar, khususnya berkait genre realisme (dan dalam bidang sastera, naturalisme) tetapi juga kes misteri pembunuhan negara yang sampai sekarang kita tidak ketemu-ketemu pembunuhnya: Altantuya.

Memang, aku sendiri terkejut dengan keberanian Amin Shakib (cerita asal), Ayam Fared dan Nam Ron selaku penulis skrip dengan kritikan ini (suatu tragedi realiti yang terjadi yang diselubungi dengan rekacipta fiksyen, get it?) dan menyedari, maaf cakap, mereka berkali-kali "berjaya" membunuh seorang wanita yang "lebih bossy daripada suaminya), you know what I mean?

Subtext aside, ada banyak pembunuhan wanita (baca: penindasan wanita) maka Wani (Sharifah Amani) dan O.Sidi yang di tengah-tengah hal ini, obsesif berkenaan siri pembunuhan tersebut dalam tujuan yang cukup menakutkan. Suatu penguasaan seks berlaku dalam jiwa-jiwa kacau ini. Dr. Khai (Syed Hussein) di tengah-tengah gelombang angin pasang Wani-O.Sidi ini memohon "pertalian". Tarik-menarik seks berlaku. Malah turut disampaikan dalam penanda pisau memotong lobak, tanduk, ombak menghempas batu, dan senapang (yang masih blur, alat-alat ini ada berkenaan objek kemaluan). Hal ini berlaku apabila (secara kebetulan, AKU BENCI filem kita yang asyik-asyik bermain dengan kebetulan, macam sudah biasa, filem ini secara geramnya, beberapa kebetulan dan polos yang buat aku geram. Sekurang-kurangnya penulis perlu menampilkan klu objek sebelum objek sebenar yang menjadi peranan dalam plot itu dikeluarkan dalam babak tersebut. Jangan letak barang-barang tersebut mengikut motto BN, endless possibilities) Wani-O.Sidi-Dr.Khai menghinggap di sebuah pulau pada satu masa yang sama!

Ada satu babak yang sungguh nikmat berkenaan "sexual tension" ini, berlaku di meja makan. Di sini kita akan lihat peran seksual ketiga-tiga watak ini menyatakan, dan dengan menariknya, membuatkan seorang watak yang bunting idea ini muntah. Banyak pelepasan libido turut dimainkan atas sebab fantasi yang tidak dapat dikecapi. Muntah itu merupakan antaranya. Ya, pembunuhan itu sendiri mengikut acuan genre slasher ialah "imejan" pelakuan klimaks seks (lihat Anthony Perkins "merogol" dalam Psycho). Filem ini "benar" dalam menyampaikan pelepasan hawa nafsu ini dalam bentuk yang begitu "jahat", tidak pernah dilakukan oleh mana-mana filem Melayu kecuali mungkin, Dr. Rushdi (namun itu dengan pistol).

Begini, ini kritikan sosial Nam Ron yang mencengkam. Masyarakat kita relatifnya sakit, dan jiwa-jiwa kacau ini melepaskan "fantasi"nya dengan pembacaan, penontonan, dan penulisan. Tanpa mencapai libido yang diinginkan, mereka rela dimanipulasi oleh fantasi-mesin sosial (ok, lagi satu klu, apakah dia yang berkenaan baca-tonton-tulis, ya betul: media!) yang "selamat" ini yang lantas terus memakan jiwa mereka (kerana persoalan psikologi mereka itu tidak pernah dipenuhi) melihat jalan "realiti" atau jalan penyelamat. Watak Dr.Khai bagi aku, jelas, menjadi penanda "Mata Tuhan" yang mempersoal kesakitan-kesakitan kronik masyarakat ini dan dia "membenci"nya, sambil mengelar O.Sidi, "Yang penting ialah hati yang sejati, kerana tu hati kena bersih". Sekurang-kurangnya dia berfalsafah dan tahu bahawa kekuatan jati diri (hati yang sejati) hal yang penting dalam menghadapani realiti mesin sosial (media).

Namun begitu, terdapat satu penyimpangan yang tidaklah dapat aku terangkan di sini (yang seperti Fasyali Fadzly nyatkan, "Nanti kau turun spoiler" dan apa-apa lah) yang bukan sahaja menyampaikan ketidak berjayanya (dan ramalan Dr.Khai akhirnya benar) masyarakat menemui jati diri dan hati sejati sebenar, tetapi kita memenuhinya dengan bentuk yang amat bahaya atau gila (ini berbalik dengan persoalan pembunuhan sebagai acara seks di atas).

Keberanian penulis skrip dan Nam Ron memasuki alam pelbagai lapis ini dapat dipuji, menampilkan suatu maksud yang turut berkait dengan cara dunia patriach kini menghadapani kelahiran feminisme kuat dalam makna diri wanita tempatan (dan secara subteks filem ini menyatakan, feminisme wanita tempatan sudah lama wujud dan bukannya perkara baharu). Lelaki yang tetap hendak mempertahankan status quo (Oh Oh, ahli politik ...) sudah tersudut dalam klausa minoriti. "Ini tidak adil," kata Dr.Khai, yang masih sabar (2 tahun) melayan emansipasi fantasi bobrok isterinya, walaupun dia terpinggir kerana cuba menjadi patriaki berkonvensi lama (dia memohon si isteri tidak bekerja dan duduk di rumah, menentukan ruang tempat sosial sang wanita dari sisi mata kelelakiannya).

Ciri ini menarik dan diangkat dengan baik oleh pembikin. Hanya yang paling kurang ialah penonjolan ciri voyeur (sebenarnya O.Sidi mengambil peranan ini, tetap skripnya tidak memberi ruang untuk hal ini ditimbangi dengan baik, dengan terlalu banyak bermain dengan montaj dan cadangan imaginasi) yang amat penting dalam mana-mana filem ngeri (Susuk Amir Muhammad dan Ghalili pun tahu kepentingannya). Hal ini amat dikesali. Sharifah Amani tetap Sharifah Amani. Kelangsungan pendalaman watak yang murung tidak dapat disampaikannya dengan sempurna. Watak ini terlalu gelap dan Amani berjaya menitip hanya sedikit psikosis itu. Babak awal filem ini menampilkan dengan jelas. Bront Palarae is just plain weird walaupun punya babak-babak kiut "aku gilakan?" tertentu mengikut pola watak Jack Nicholson dalam As Good As It Gets (Ops, ada sisi persona Bront dalam sebuah babak merujuk Johnny Depp u olls!). Amerul Affandi, weirder. Syed Hussein amat menarik walaupun memerlukan lebih banyak stamina. Dia membawa watak Dr.Khai dengan cukup dalam dan emosional, turut penting ialah aura seksualnya. Ada babak-babaknya aku gerenti penonton wanita mahu merobek-robek kemeja sendat berpeluhnya. Sexual feelnya kuat dan penting buat filem ngeri sebegini (dan dia tidak perlu pun buka baju untuk itu).

Filem ini juga tahu mencuit, dengan beberapa babak, dan sudah tentu dengan cuitan akhirnya yang baik, sekali lagi tentang jiwa sakit masyarakatnya. Usahlah kita tertipu dengan imejan akhir tersebut tentang sakit orang. Pengakhir filem dengan jelas memaparkan akan sakit jiwa kita sendiri yang terperangkap dan tidak kita sedari. Menarik.

Oh ya, ada satu babak Micheal Myers masa kecik yang buat aku terlopong dan suka. Tiba-tiba Haloween u olls!

Psiko Pencuri Hati hendak menayangkan merah yang merah itu, tetapi tidak cukup merah seperti kutipan kata di atas. LPF sekali lagi dipersalahkan? Mungkin, tetapi juga sikap "tidak apa" penulisnya yang terlepas beberapa perkara penting dalam genre begini. Walaupun demikian, sebagai sebuah filem ngeri gelap Malaysia dalam tahun ini, filem ini antara filem gelap yang dapat dirujuk dan menarik untuk ditonton.

Klasifikasi Psiko Pencuri Hati: 18, terdapat beberapa adegan ganas, darah, dan perilaku seks yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI Cineleisure@Curve. Pratonton.

29 August 2013

KL Zombi(2013):

Aku tak mahu tulis panjang-panjang.

Aku menganggap bahawa filem ini dibikin dengan sikap suka-suka dan enjoi tak hengat. Aku menganggap, kerana duit pun ciput, perkara yang kita nak buat pun tak sampai. Aku menganggap ini bukan filem seram. Aku menangis dalam hati menontonnya, menyedari pelbagai "kesusahan" yang ia perlu lalui. Entahlah, aku dah malas nak salahkan sesiapa. Aku tahu LPF punya fasal dan mungkin orang-orang tertentu yang menyebabkannya.

Sekurang-kurangnya aku nampak beberapa hal:

Ada darah (bukam macam Zombi Kampung Pisang)

Zombi datang gigit (bukam macam Zombi Kampung Pisang)

dan

Mata putih kematian (bukam macam Zombi Kampung Pisang).


Filem ini diadaptasi daripada skrip Adib Zaini dan Woo Ming Jin (dia meletakkan kredit namanya sebagai MJ Woo dan aku syak ini "Alan Smithee"nya) daripada novel Adib Zaini dengan cerita asal Woo Ming Jin, Zombijaya. Aku tak kata novelnya hebat tapi dunia apokalips yang mereka cipta menarik. Paling seronok ialah dialog-dialog celaka dalam novel itu. Kiranya, separuh daripada jalan cerita dan dialog celaka itu tersembul juga dalam KL Zombi. Di sini (spoiler) ada yang berlaku penyimpangan, terdapat suatu penyimpangan yang maha besar dan buat aku, sindiran sinikal sosial Adib terhadap MLM (berkait dengan kapitalisme cepat kaya dan struktur proses perniagaan yang juga berkait dengan pembiakan zombi) menjadi punah dan punah dan punah (aku tidak punya masalah dalam bentuk apa-apa pun suatu bahan hendak diadaptasi, menjauhi karya asal pun aku tidak ada masalah, tetapi logos dan rohnya kena betul dengan karya asalnya). Semacam, separuh awal plot yang penuh sinikal dan "hah, ambik kau Malaysia!" menjadi taman hiburan dan taman hiburan fun fair (runut bunyi filem pun macam satu sarkas yang tak tahu bila nak berhenti) yang akhirnya tidak dapat diselamatkan lagi. Pada babak apabila sang polis Azman melaung, "Aku dah dapat ubatnya, ubat dari turunan datuk nenek aku nak baikkan zombi." Aku hilang maksud. Dan aku menyedari, benda macam ni hanya boleh berlaku dalam filem Malaysia.

Namun begitu, raikanlah lakonan dan watak gila-gila Nipis lakonan Zizan Razak. Raikan dialog gila-gila yang di tut-tut-tut atas dasar "tontonan umum". Raikan Iedil Putra (entah, aku minat mamat ni). Raikan Izara berubah jadi zombi. Raikan mainan lawan-lawan mat rempit. Raikan imejan kiut ambil nombor ekor tapi keluar zombi (that one was seriously hilarious). Raikan banyak awek Melayu yang hot dalam filem ni. Sekurang-kurangnya wajah tidak ada tepung gomak dan menjerit, "Otaaak, otaaaak, otaaaak!"

Klasifikasi: U, tetapi perkara ini dipersoal dalam beberapa isu ganas dan moral buruk dalam filem ini. 

MENONTON DI GSC Berjaya Time Square.

Paku Pontianak(2013): Jari Tengah Buat Anti-Tahyul

Tentu filem ini klise bagi peminat yang sudah menelusuri filem Thailand, Nang Nak (yang kemudian diberikan spoof yang baik, Pee Mak). Tetapi aku berharap hal itu tidak atas nama idea sebalik filem ini (yang juga berkaitan dengan Pontianak Harum Sundal Malam) yang cukup dekat dengan kefahaman tahyul-hantu nusantara.

Suatu yang menarik, nuansa dan "cara" keleteh dan gerak perilaku watak-watak kampung yang dikhuatiri di utara Perak (kerana watak Adam lakonan Pekin Ibrahim seorang usahawan industri kecil yang menghasilkan labu sayong) amat kemelayuan dan mengikut jejak-langkah dan sikap kekampungan. Sesiapa sahaja yang pernah membaca siri novel misteri-seram popular Bercakap Dengan Jin oleh Tamar Jalis (yang juga berdasarkan latar sekitar Perak) akan mendapati nuansa-nuansa ini ditimbulkan dalam filem ini dengan baik sekali. Sikap busuk hati dan keberanian, "tak manis orang nampak", dan tipikal "orang kampung dah mula bising" merupakan kebiasaan dalam dunia hal orang kampung. Hal ini penting dalam memahami, sekurang-kurangnya buat aku, mengapa filem ini, walaupun tidak mungkin memenangi apa-apa anugerah mempunyai kepentingan dalam leksologi sejarah filem seram Malaysia.

Memang alur dan jalur konvensional lelaki patriaki ke arah kelemahan wanita akan difahami daripada tujuan "memaku" pontianak, suatu bayangan yang kemungkinan amat menyinggung perasaan para feminis (wanita ditindas secara imej fizikal, bahawa untuk "menjinakkan" keliaran pontianak/wanita itu, paku yakni simbol lelaki ditusuk, lalu wanita itu menunduk dengan keinginan sang lelaki). Hal ini juga berkaitan dengan sikap pihak manusia yang ingin "mengamilasi" pihak hantu (yang dibuang/marginal!) memasuki komunitinya. Filem ini dengan plot senang, membina premis itu daripada pertemuan Adam dengan Melati di tengah-tengah jalan raya pada tengah malam (persis plot dalam kisah Tamar Jalis mahupun Tok Awang Ngah). 

Konflik berlaku apabila perhubungan Suraya (Adiba Yunus) dengan Adma kelihatan terlerai atas kemunculan Melati dalam hidup keluarga Fatimah (Ruminah Sidek), ibu Adam dan Farid. Kisah seorang wanita yang hilang ingatan dan dijumpai di tengah-tengah hutan membawa enigma. Enigma itulah yang merunsingkan orang kampung. Hal ini menarik. Kita tidak lihat imej "orang kampung bercakap-cakap" fasal kehadiran Melati dalam keluarga Fatimah. Kita hanya lihat Fatimah yang mula "runsing" dengan cakap-cakap orang kampung (dan hal ini juga membawa kehadiran Pak Leh, pak cik dan adik arwah ayah Adam dan Farid). Cakap-bercakap ini menjadi mesin sosial yang amat ampuh menentukan nilai sosial tertentu. Kehadiran Melati dianggap "risque" kerana bukan muhrim (walaupun yang tinggal bersama-sama Fatimah hanya Farid dan isterinya, Adam sekali-sekala menjenguk) terhadap Adam dan Farid. Hal kecil diperbesarkan dalam tetangga sebuah kampung Melayu.

Lihat dasar luas tempatan apabila kemunculan filem-filem seram yang sejak Pontianak Harum Sundal Malam cuba "berasimilasi" dalam kesedaran budaya wayang Melayu-Malaysia. Ada yang membincangkan hal estetika. Namun yang lebih jelas ialah omong-omongan "kerisauan" kehadiran filem tahyul ini "memendekkan akal orang Melayu", merosakkan nilai murni Melayu, mengurangkan daya intelektual Melayu dan bermacam-macam lagi lemparan, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir berkenaannya. Hal "takut" ini mencapai sikap fanatik apabila dapat dilihat dalam komen dan perbincangan yang dibuat dalam media sosial beberapa menteri secara umum.

Dalam keadaan "krisis" ini, dalam keadaan filem ini apabila Adam yang kemudian "mengikut" tekanan sosial, mengahwini Melati. Pada masa sama, Melati mula menunjukkan sifat pelik ala Kuntilanak (trilogi filem pontianak Indonesia menarik itu) dengan menari-nari dengan nyanyian pelik (aku gerenti suara nyanyian itu diambil daripada filem Indonesia tersebut!). Gayanya begitu misterius dan mengasyikkan. Suatu yang jelas: Melati/Pontianak tidak peduli pun tentang apa-apa yang diperkatakan oleh orang berkenaannya! Melati seakan-akan suatu enigma yang tetap berdiri dan hadir di situ tanpa memohon apa-apa. Hanya orang yang bercakap tentangnya, hanya orang yang takut-benci dengannya, sama seperti alegori filem seram yang hadir dalam realiti wayang kita sekarang.

Hal ini menjadi lebih menarik lagi apabila kita diberikan satu klimaks falasi (spoiler!) pada akhir filem apabilaMind f***! Di luar, pontianak berbuaian (rujuk Seru. Kini ciri buaian difahami, yakni "ruang hantu bermain-main". Filem seram MiG banyak menampilkan imej ini, dan jelas di sini menimbulkan simbolisme hantu itu sudah menyesuaikan diri dengan tempat tinggal manusia tersebut) Kini, mainan filem seram MiG naik satu tangga. Ismail Bob Hashim dan penulis skrip, Pierre Andre (serta entah sesiapa dalam panel skrip MiG) meletakkan jari tengah besar-besar kepada semua pencaci dan pembenci filem seram-tahyul: Hey, kami di sini dan kami tetap di sini! Malah ilusi paku itu dimusnahkan (dan undang-undang dilanggar). Segalanya berkemungkinan. Melati/hantu tidak dapat dijinak lagi. Melati yang memilih siapa yang dia inginkan, dan dia akan sentiasa bersama-sama orang yang dia sayang. Subversif dan sekali gus radikal.
kononnya, penyeleraian berlaku apabila Pak Leh membuka kisah sejarah "Melati" kepada Adam. Adam "membuka paku" di belakang tengkuk Melati. Melati berubah menjadi pontianak semula, dengan sayu meninggalkan Adam yang hiba. Filem seram (rupa-rupanya) tidak sesuai duduk bersama manusia Melayu, terbanglah, pergilah tinggalkan kami, usah ganggu kami lagi, kata Pak Leh. Adam hiba dan terus hiba. Kemudian: jeng jeng jeng, Adam terbangun daripada mimpi ngeri! Melati tetap di sisinya! Adam melihat tengkuk Melati dan tidak ada paku!

Pergerakan filem lemah-lembut dan kadang-kala terlalu lambat, sengaja dilengah-lengahkan oleh Ismail Bob Hashim dan penyunting. Hal ini kadang-kala memeritkan namun membawa semangat gaya lambat yang tipikal dalam filem seram Eropah era 1930-an (rujuk homaj yang dibikin Werner Herzog dalam Nosferatu the Vampyre). Runut bunyinya walaupun diketahui dicedok daripada beberapa filem seram lama, memberi impak menarik walaupun ada yang terlalu. Mainan muzik tradisionalnya tampak menarik dan misterius. Suntingannya buat aku baik dengan beberapa posisi penceritaan yang bergerak menarik, juga terdapat beberapa babak yang agak menyeramkan. Hal ini dibantu dengan sinematografi dan pencahayaan Mohd Shahreel Abu Bakar yang jelas amat baik dan melangkaui filem-filem buruk MiG yang sebelumnya. Terdapat satu babak kereta waktu malam pada awal filem yang berjaya menjelmakan semangat yang begitu jelas memahami ruang memomokkan (creepy), sesuatu yang tidak kelihatan berjaya dicipta oleh ramai pembikin filem tempatan. Babak itu, aku ingat, menunjukkan keadaan Pekin yang tidak keruan. Seakan-akan malam yang statik itu menyerangnya (walaupun tidak ada hantu yang perlu timbul). Suatu pujian. Hanya terdapat efek-efek suara yang melampau-lampau, walaupun ianya satu peningkatan (terdapat beberapa babak yang sunyi dan diam, bikinan yang menarik kerana dibuat dalam filem seram MiG yang selalunya bising dengan bunyi-bunyi).

Kebanyakan lakonan semua pelakon baik dan menarik, walaupun terdapat beberapa canggungan. Pekin kiranya agak menarik membawa seorang lelaki yang tidak tahu-menahu, "dipilih" oleh takdir untuk melalui suatu perjalanan yang mungkin akan mengganggu kesiumannya (dan secara menyindir, intelektualnya, hahaha!) dalam hidup. Yang lain-lain memberi sokongan yang termampu. Walaupun Uqasha Senrose ini baharu, dia mempunyai sesuatu. Ya, lakonannya mungkin tidak perlu mencabar dan tidak pun mencabar dalam filem ini (dia hanya perlu tersenyum dan berdiri masuk kamera kadang-kadang), namun wajah dan bentuknya, matanya cukup memberi pesona misteri yang diperlukan, menyampaikan maksud yang tidak akan disedari Adam.

Antara filem terbaik MiG setakat ini, walaupun mereka menggunakan asap klise pada waktu malam.

Klasifikasi Paku Pontianak: PG-13, terdapat beberapa adegan mengejut, seram dan sikap seksual yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, memerlukan kawalan penjaga.
DITONTON DI GSC Berjaya Time Square.

28 August 2013

Khayalan Labu & Labi (1962)

Bayangkan kau sekarang bersama-sama lelaki kerdil dalam Twin Peaks di Black Lodge. Tirainya merah dengan lantai kayu zig-zag. Lantas lelaki kerdil memetik jarinya, dan bertutur, "Jom menari."

Imej ini akan hancur jika kita tidak mempercayai jelmaan surealnya. Kali ini, aku juga ingin memetik jari, dan bertutur, "Jom berbincang." Perbincangan ini surreal namun perlu.

Jika kita tidak mempercayainya. Segalanya akan hancur luluh. Dale Cooper menghentak dan menghentak kepalanya di cermin berkali-kali. Realiti dan khayalan terus terputus.

Perbincangan ini bermula pun kerana perbualan aku bersama-sama Raihani (penulis terkenal anak penyair Zurinah Hassan) berkenaan trivia Labu dan Labi. Setakat ini, filem ini dikondem sebagai antara filem terburuk P. Ramlee era Jalan Ampas, dinyatakan dalam buku Filem-filem P. Ramlee dan turut dipersetujui oleh Amir Muhammad dalam 120 Malay Movies. Raihani pernah mewawancara Aziz Sattar berkenaan filem Labu & Labi. Ini yang menarik: keseluruhan filem ini dibuat oleh P. Ramlee atas dasar mengenakan adik-beradik Shaw, penerbit filem besar Malay Filem Productions (MFP) yang menaungi P. Ramlee dan keluarga besar karyawan tempatan masa itu (sebuah lagi yang besar, Cathay Keris milik keluarga Ah Loke(?) 

Apa? Mengenakan?

Di manakah tempat yang lebih sesuai sebagai seorang pengkarya mengenakan majikannya jika bukan dalam karya (di bawah hidung duit majikannya sendiri).

Sesuatu perlu diketahui sebelum perbincangan ini diteruskan. Waktu itu, badan pekerja MFP sedang meminta kenaikan gaji serta beberapa tuntutan sosial lain, ini baru selepas kemerdekaan (hal ini pula berkait dengan sifat badan pekerja yang boleh dirujuk dalam dokumentari baik, 10 Tahun Sebelum Merdeka). Zaman itu juga zaman keemasan filem P. Ramlee. P. Ramlee secara jelas ialah "anak emas" adik-beradik Shaw waktu itu. Isu ini pula berkait dua tahun kemudian setelah Madu Tiga ditayangkan. Fasa sewaktu P. Ramlee mengambil tindakan drastik meninggalkan MFP. Mengetahui hal ini, kita dapat memahami apa maksud Aziz Sattar, jika benarlah pandangannya (kerana kita tidak mendengar hal ini daripada lidah seniman agung itu sendiri) bahawa Labu dan Labi dibikin atas dasar protes P. Ramlee terhadap adik-beradik Shaw.

Perspektif ini dapat ditambah dengan kefahaman beberapa filem Cathay Keris (berkenaan kemelaratan khusus bangsa Melayu di Singapura. Rujuk Salina) dan sudah tentu cetusan Seniman Bujang Lapok berkenaan bagaimana anak Melayu (aku syak mana-mana kaum pun yang bekerja bawah MFP masa itu, hanya ramainya ialah orang Melayu) yang bekerja bawah "syarikat felem" sentiasa tidak cukup duit (untuk kahwin, contohnya, suatu matlamat penting dalam filem Melayu) dan cuba meminta hutang dengan majikannya (lihat betapa susah hal ini tercapai kalangan kru). Kita tahu, secara tersurat, realiti ini berlaku kalangan kru filem (rujuk memoir Pak Hamzah), dan hal ini berkenaan, sekali lagi tuntutan persatuan pekerja yang tidak diendahkan oleh adik-beradik Shaw.

Di sini, pandangan Amir bahawa filem Labu dan Labi, sebuah "existentialist nightmare about capitalism" tampak benar dan terbukti jika mengikut kata Aziz Sattar. Filem ini sebuah farsa kutukan yang besar berkenaan sikap "terkutuk" sang majikan terhadap "hamba"nya. Ya, sikap ini semacam satu sandiwara sosialis.

Majikan MFP itu Haji Bakhil. Mahu tidak mahu dengan kondisi stereotaip murahannya ("Bodoh! Kutuk! Ketuk ketampi!"), P. Ramlee menyampaikan sindiran dan sikap ini dalam layar. Terdapat dua hamba, Labu dna Labi yang terus-terusan sahaja, seperti kata Amir, misgonis, sanggup terus bekerja di bawah Haji Bakhil. Ah, di sini ada satu pencerahan. Mengapa? Amir juga menyatakan, mereka sanggup kerana berangan-angan dapat kahwin dengan Manisa anak tuan rumah kedekut ikan masin itu. Kahwin, seperti yang sudah dijelaskan (dan berjaya dicapai dengan tinggi dalam Masam Masam Manis) merupakan matlamat terunggul. Menkonstruksikan perbincangan ini, dapatlah kita memahami, bahawa walaupun kelihatan "leceh", dengan sikap naluri murni, kalangan pekerja Melayu di MFP ini masih "sanggup" dikulikan oleh adik-beradik
Shaw yang kedekut (tak mahu naikkan gaji) kerana membayang-bayangkan, bukan sahaja akan terkenal dalam dunia filem tetapi berjaya mencipta "karya terunggul" untuk bangsa Melayu! Matlamat kahwin ini tercapai (yang nampaknya susah dan hanya akan berlaku dalam mimpi, hah!) lalu "semuanya akan berbahagia akhirnya".

Hal ini menjadi lebih menarik lagi apabila kita meneliti konsep fungsional mimpi dalam Labu dan Labi. Secara teks, aku melihat hal ini semata-mata hanya suatu mimpi basah pasangan lelaki ini (ini yang menarik, siapa yang bermimpi? Kedua-duanya? Seorang?) untuk mendapatkan Manisa dalam libido mereka. Malah secara licik, babak akhir pukul-memukul menunjukkan sikap kejantanan sambil peluk-memeluk tentu akan membuka konteks teori queer berkenaan nada homoseksual halus (suka-benci) antara Labu dengan Labi (kalau dah tak dapat si wanita, lelaki pun jadilah dalam sedar). Namun, jika dilihat dari segi "menyindir majikan", dengan jelas tujuan P. Ramlee lebih licik. 

P. Ramlee seakan-akan menyuarakan, dengan filem (mimpi) lah, tujuan dan matlamat mereka ini dapat dipenuhi, dan secara langsung turut berkait juga dengan penonton yang ditujukan, para pekerja MFP. Dalam eskapis, sikap drakonian-feudal adik-beradik Shaw dibayangkan sebagai tiga bentuk kutukan: pencacai jaga bar (hah, tangkap tak? Penjual arak!) haiwan, dan pencacai pelayan (sekali lagi, jual arak!). Malah dengan penyindiran yang amat sangat, P. Ramlee sekali lagi mengutuk adik-beradik Shaw dengan menyatakan: kita boleh buat apa-apa dengan filem, dengan meletakkan satu peragaan peragawai fesyen yang tidak berkenaan dengan naratif besar filem di tengah-tengah filem (mimpi). Apa peragawati buat? Memperaga. Apa maksud memperaga? Hal ini perlulah dikorek sikap peribadi adik-beradik Shaw yang mungkin P. Ramlee hendak perkenakan. Malah, dalam dunia filem ini (secara ironi, mimpi ini) sahaja si Haji Bakhil boleh dikutuk! Mahu tidak mahu adik-beradik Shaw menyedarinya, dan dengan kesedaran realiti yang pesimis (dan akhirnya satu ramalan sebenar realiti detik filem Melayu selepas itu) bahawa matlamat hanya tinggal matlamat, filem hanya filem, adik-beradik Shaw tetap dapat menurunkan denda terakhir. Ketuk ketampi!

Namun yang menariknya, P. Ramlee turut menampilkan ramalan tentang dirinya sendiri! Kita sudah tahu bahawa P. Ramlee anak emas Shaw. Hal ini didengkikan oleh kalangan karyawan di MFP (gaji P. Ramlee antara yang tertinggi masa itu). Dalam filem ini, ada mimpi keempat (nak cari kayu-nak cari kayu-nak cari kayu) yang mana Labu (golongan yang mendengki kejayaan P. Ramlee) memipikan bagaimaan Labi (P. Ramlee) berjaya mengahwini Manisa. Ini berkaitan pula dengan dialog tidak semena-mena Labi dalam alam mimpi (filem), yakni kisah sebelum, "Kalau P. Ramlee mati aku nak kahwin dengan Saloma.": menjawab persoalan besar bahawa harapan kalangan karyawan itu juga berlumba-lumba untuk mencipta "karya terbaik" yang mencapai matlamat jika anak emas adik-beradik Shaw ini "mampus". Aku tidak melihat bahawa matlamat ini yang dibayangkan mendapat Manisa, walaupun sungguh dekat dengan materi dan satu kedudukan status sosial yang lebih baik (yang P. Ramlee dapat masa itu), tetapi tetap matlamat sejati untuk wayang: filem yang dapat dibanggakan. Hal inilah yang kononnya diteruskan obornya oleh Jins Shamsudin apabila mendapat PERFIMA.

Memang perbincangan ini seakan-akan satu khayalan (malah kutukan berbisa ini mendapat sekuel pula kerana pecah panggung!), kata-kata kosong seorang penonton yang melihat dari jauh. Tetapi khayalan ini membentuk sendiri tirai merah dan lantai kayu berzig-zag, merenung masa hadapan filem Malaysia jika hasad dengki, sikap tidak percaya dengan pekerja bawahan, bakhil untuk mengangkat status sosial karyawan (gaji/royalti), sistem kerja dengan filem masih dipaksa gaya lama, harapan mencapai matlamat untuk filem Malaysia masih panjang, atau mula menjadi kenyataan seperti yang dikatakan oleh Saloma dengan wajah Mariani: "Yang mana satu idaman kalbu, tidak tertahan menanggung rindu, mungkinkah jauh berbatu-batu, atau di balik awan yang biru."

14 August 2013

Lemak Kampung Santan(2013): Takkan Hilang Balinan di Dunia!

Selalunya dalam menjak semenjak dua tahun lalu, bila dua filem raya ditayangkan, satu tu akan riuh, satu lagi akan suam-suam kuku, dan tahun ini kita tahu sangatlah Adnan Sempit 3 riuh (sampai bini aku pun mengajak tonton, apa ke jadah) dan filem Hans Isaac ini ... Hal ini sangatlah menghibakan bukan sahaja Lemak Kampung Santan sekurang-kurangnya lebih segar daripada mesin Saheizy Sam itu tetapi kita sedarlah dengan mentaliti penonton kita (yang suka menonton filem kita, bukan yang jenis tunggu tayangan raya di TV) yang usah dicebik lagi. Kalian yang mahu mengangkat isu fasal kandungan hantu siaran raya tu, sudah-sudah lah. Itulah "hasil" sekelumit penonton tegar dan tekun ke pawagam kita, jadi salahkan diri kita sendiri yang tahu mengutuk diri kita tapi tak pernah nak buat sesuatu untuk membantu diri kita sendiri (yup, aku tak guna istilah "filem" pun, kau faham tak?). 

Aku serius pesimis industri kita tidak ke mana-mana pun selagi:

1. Kita tak mahu ramai-ramai ke panggung menonton filem tempatan kita.
2. Kita masih terperangkap dengan ramalan "ingat betul" apa penonton "kita" nak.
3. Kita tidak membaca (buku, bukan FB).

Dalam merayakan dunia apokalips filem kita, terjelmalah filem "pelik" dalam susun kata komersial 1990-an ini daripada buah tangan Hans Isaac, Harith Iskandar dan seorang lagi aku tak kenal nama tapi web Sinema Malaysia kita teramatlah poyo sampai maklumat kredit pun tak cukup.

Ya, filem ini amat pelik, dan sudah ada yang kata klise. Sebagai aku yang sedikit murtad Melayu ni aku terbayangkan hasil sastera kebangsaan 1980-an (yang sasterawan kita era tu tak habis-habis cerita fasal tanah yang hendak dibangunkan pasca  Langit Petang sampailah jadi subplot Layar Lara), sedikit acuan Sembilu 1990-an (cinta terlarang, antara dua darjat) dan Twilight.

Ha-ah, Twilight kau!

Ada satu babak akhir, Neelofa cakap begini: "Whatever it is I came from, does it really matter (if you fall in love with me)?" Ah, gitu-gitu lah.

Menariknya, Hans dalam filem ni menaiki kereta MERAH (=UMNO) dan pakai baju HIJAU (=PAS) yang jelas-jelas kita faham merupakan arkataip "si Melayu moden pasca DEB generasi Y" (jangan nak tipu, UMNO dan PAS itu memang Melayu), yang jenis "Melayu dah lupa u olls..." Apa yang dia dah lupa? Sejarah u olls. Ironinya, ada satu babak si budak kampung ni "menyindir" Hans (dia Muslim Melayu dalam felem ni u olls), "Hidung macam Sweetenham." (korek sejarah kenapa hal ni sginifikan), ironi sebab filem ini ingin kita kembali pada sejarah kita dalam mata-hidung mat salleh.

Ingat isu tak habis-habis Kg. Baru? Isu ini amatlah relevan dan filem ni dengan agenda optimis "ingin mengingatkan" orang Melayu dan Bumiputera, khususnya para ahli politik dan golongan bangsawan raja berkenaan pertimbangan kebendaan (pembangunan) dan pengekalan sejarah-tradisi (dan kita terdengar isu lukisan 5000 tahun dahulu yang amat berharga di Gua Tambun, Perak tidak diambil peduli dan terbiar). Bagi aku, filem ini dari segi membuat "Melayu tidak lupa" dan ahli UMNO yang hantar anak ke luar negara minum champegne lebih baik ditekuni daripada Tanda Putera yang "uhuk uhuk", hanya mengangkat suatu imej perjuangan luaran yang tidak berjiwa.

Tema menarik ini pula diberi beberapa penyimpangan menarik berkenaan keturunan Melayu Balinan. Kalau aku masuk lagi, akan pudarlah kejutan yang agak mengejutkan, tapi hal ni menarik kerana mistik-keramat dimasukkan walaupun berupa Hollywood memberi rekayasa terhadap alam Melayu yang tidak terbuang daripada ikatan alam dan dunia "sebelah sana"nya (walaupun hal ini diremehkan oleh kalangan rasionalis-liberal Melayu sekarang).

Dalam membaca ni, kau tentu dapat tangkap dah, tentulah Hans Isaac yang "lupa" tu telah "berkawan baik" (mengambil istilah popular yang digunakan oleh wartawan BiPop dan Pancaindera bila nak bayangkan si artis A tergila-gilakan artis B) dengan Neelofa budak kampung keturunan Balinan. Di sinilah imej-imej Sembilu berlaku. AKU TAK TIPU! Siap ada babak upgrade berasmaradana atas pencakar langit sambil tengok KL (dulu kat Bukit Antarabangsa je). Aku sengaja gunakan rujukan filem itu juga kerana "cara" Hans menulis babak dna dialognya, teramatlah terencat dan gian Sembilu. Dialog-dialog yang teramatlah corny, kau rasa macam Maya Karin dan Aaron Aziz dalam Ombak Rindu tengah berlakon atas pentas Nordin Hassan!

Hal ini dilemahkan lagi dengan Neelofa. Dia cantik, serius. Dan aku sayang dia dalam Azura. Tapi dalam filem ni, Tuhan, dia kaku bak buluh betong. Hanya babak-babak dia curah air mata macam betul-betul dia tensen sebab "persahabatan"nya dengan Hans dikhianati. Malah Hans juga "macam pelik" sebagai mamat Kelate belajar luar negara jadi pengurus projek yang syok makan nasi lemak Neelofa (opps!). Yang menarik dalam ini hanya Awie, Natasha Hudson, dan lakonan dalam botol Khir Rahman yang amat menjadi. Harun Salim Bachik pula just plain weird aku susah nak cakap macam mana.

Ini belum masuk lagi pada bab-bab plot berlubang filem ni (apa ke jadah kayu tu tiba-tiba dikenali?) dan babak cepat masuk-keluar (patut ada lagi babak) si Sultan (walaupun ini kejutan menarik tapi cara syot membuka babak makan pagi tu terlalulah lemah) yang menampakkan sultan-ex-machine yang sangat jelas untuk mengikat plot cerita.

Syotnya ya Tuhan. Hans!! Aku tak percaya, kawan-kawan "pandai" daripada kalangan kawan-kawan Afdlin ni (Hans memberi kita Lawak Ke Der yang sangat omph dalam sinema kita tempoh yang lalu) masih lemah dari segi tangkapan syot dan suntingan. Adakah kita kekurangan tenaga kerja jurugambar? Hey, tontonlah filem Cina tempatan dan tergamamlah keindahan syot mereka, boleh tak kalian pinjam mereka sekejap?

Dalam teruk-teruk tu, adalah sesuatu yang hendak disampaikan Hans si Serani itu tentang bangsa kita. Bayangkanlah tadi, si mamat Melayu kaya pakai Mercedes 645(?) merah buat niaga dalam tandas?! Progresif dan beraninya babak itu (perniagaan dunia kita sekarang = politik kita sekarang cukup kotor) dalam menyampaikan maksud "kesucian" (berkali-kali filem ini bercakap fasal "cinta sejati", get it?), yang Hans akan jumpa dalam nasi lemak Neelofa, senyuman dan jelingan. 

Klasifikasi Lemak Kampung Santan: PG-13, terdapat beberapa adegan seram(!) dan nuansa lawak seks yang tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, memerlukan kawalan penjaga.
DITONTON DI TGV KLCC.

30 July 2013

The Conjuring(2013): Begini Kalau Nak Buat Filem Hantu

James Wan, anak kelahiran Malaysia yang sudah jadi pembikin filem di Amerika mengamuk lagi.

Aku tonton filem ini dengan Lyn dan Reza, kalangan kawan peminat seram tegar aku. B***. Masa dalam tayangan, hanya aku terjerit-jerit, tutup mata, tutup telinga. Lyn dan Reza tonton dengan kool aje. B*** betul! Hahaha.

Ya, aku dah lama tak menjerit menonton filem seram Hollywood. Paling akhir, Sinister (2012) kalau tak silap. Ya, Evil Dead (terkini) atau Cabin in the Woods pun aku tak menjerit. Ah lantaklah, vektor takut kalian punya tahap masing-masing. Yang penting, adakah The Conjuring bagus?

The Conjuring mempunyai satu tujuan penting. Filem ini dibikin oleh seorang pembikin yang percaya dan sayang pada filem seram. Dia juga, James Wan, percaya pada dunia tahyul. Maka dia mengambil filem ini dengan serius (bandingkan dengan Mamat Khalid yang tidak percaya tahyul). Dia mengambil serius (walaupun kita diberikan ruang untuk berintepretasi) dengan pasangan Warren menyiasat sesebuah kes seram. Ed dan Loraine Warren benar-benar wujud. Francais Amytaville tidak akan ada jika mereka tidak ada (dan kerana itu juga dianggap kontroversi dan mereka dituduh menipu kerana penduduk rumah itu sekarang menyatakan tidak ada hantu), filem bodoh The Haunting of Conneticut tidak akan ada (buku yang didasari oleh filem itu lebih menakutkan, serius), serta Poltergeist yang Zelda Rubinstein merupakan watak "medium" (pembicara: bomoh) yang berdasarkan kepada Lorraine Warren. Mereka demologis, pengkaji dunia tahyul dan hantu syaitan.

Filem ini terpecah kepada dua, kita akan mengikuti keluarga Warren dan Perron (rujuk memoir House of Darkness House of Light) yang tipikal dalam mana-mana filem rumah berhantu. Konsep yang digunakan  ialah gaya 1970-an, jadi mereka yang biasa dengan Repulsion, Rosemary's Baby, dan The Exorcist seakan-akan berasa dibawa kembali rasa itu, khususnya dalam sorotan kamera ke hadapan dan belakang (sebenarnya, Ti West sudah jauh ke hadapan dengan sikap menghomaj filem seram era ini dengan filem klasiknya, The House of the Devil yang sangat baik). Kemudian, James dan John Leonetti membawa suatu lagi hal menarik dalam syot apabila menggunakan gaya tunjang terbalik dalam beberapa bahagian syot, seakan-akan, bukan sahaja perspektif kepala kita mendongak terbalik (ingat Pee Mak, Pontianak Harum Sundal Malam?) memerhatikan perspektif yang melanggar bilazim (hal ini menarik kerana James seakan-akan mengutip semangat Nusantara-Asia Tenggara melihat "hantu" bilamana kita perlu mendongak untuk melihat "hantu") terhadap realiti hidup yang dipaparkan, juga menjadi kefahaman tersirat mengenai alam hantu/setan yang melanggar konvensional pegangan Warren (mereka Kristian Katolik).

Hal ini diikatkan lagi dengan objek yang sengaja memainkan corak "pusingan". Di sini, James Wan, mungkin masih belum dapat mencipta sesuatu yang asli, namun berjaya menampakkan, setelah Jacques Tourneur, Alfred Hitchcock, Robert Wise, Mario Bava, Alejandro Amenabar, dia juga tahu bermain "silap mata" dalam mainan bayangan, gerak syot, detik untuk kejutan, tempo dan pembinaan suspens yang adipakar. Semua ini dimainkan dengan cantuman imej-suara-suntingan yang persis dan setajam pisau. Menariknya, kresendo ngerinya terbina dan terbina, makin lama menghimpit dan menyesakkan, tidak memberi penontonnya masa untuk menghela nafas sehingga akhir, mahupun pada detik kredit akhir hendak dimainkan. Memang, kita tidak akan tertakut dalam beberapa babak jika sudah biasa dengan filem seram. Aku khususnya dalam bahagian "pengacauan" detik tiga pagi apabila pintu terbuka dan lain-lain. Namun, setelah segala "ketakutan" yang diberikan oleh pengarah, kini, dalam satu babak apabila si polis hendak mengambil air di dapur, kita diperlihatkan dengan syot si polis mendepani tingkap kosong yang di hadapannya hanya hitam. Cue lagu mengacau. Kita sudah mula resah di tempat duduk. Ini babak seram yang seram tanpa perlu melibatkan kejutan, hantu, ataupun pembunuh berpisau.

Filem ini juga digerakkan dengan semangat "main sorok-sorok" dan "tepuk". Bahagian ini penting. Filem ini bukan sahaja menggerakkan cerita dengan mainan kanak-kanak (yang menakutkan) ini sebagai plot (untuk menjumpai sesuatu) tetapi menjalar pada jalinan teknik "menyorok" dan "tepuk" yang akan digunakan sekali lagi dan sekali lagi sebagai bahan pengajian "untuk menakutkan penonton" dan juga tersirat sebagai naratif besar filem berkenaan "pencarian" dan "sorok". Manusia "mencari" sedangkan hantu/setan "menyorok". Wan mahu kita sama-sama "bermain sorok-sorok" dengannya, sama-sama menjadi "pencari" seperti Ed dan Lorraine Warren mencari "sorokan" hantu, yang juga akhirnya akan sampai pada tahap "sorok jiwa", segalanya menjelaskan kefahaman yang makin lama makin besar jalinannya. Malah, klimaks filem ini turut menampilkan hal ini secara fizikal dan juga "spiritual", memberikan suatu peleraian yang begitu kompleks susunannya dan puas akhirnya.

Sorok ini juga terikat dengan "barang simpanan" dalam rumah Warren sebagai "muzium puaka" mereka "menyimpan segalanya yang berpuaka". Hal yang sekecil dan biasa-biasa ini akhirnya menyampaikan suatu yang besar juga jika diteliti: Warren, walaupun mereka pelik dan melakukan kerja pelik, mereka melakukan kerja mereka mengikut penentuan sekular, dunia "puaka" disorokkan (apabila penjelasan sorokan berkenaannya selesai) daripada anak mereka (dia tidak perlu tahu) dan sepatutnya disimpan begitu. Mereka hidup dalam keadaan "normal". Hantu-hantu tidak disebut, menjadi "barang" tersimpan dan "dilupakan".

Segala ini terikat cantik sebagai sebuah filem "hantu" dan "berhantu". Memang, terletak pada penghakiman
penonton untuk mempercayainya, dan tidak salah jika mereka masih tidak terbuka daripada sorokan seram itu.

Aku tidak berapa dengan gaya runut bunyi filem ini, walaupun terdapat momen-momen magik yang mengikut perut kita dengan drama takutnya, ia terlalu merebak pada setiap babak, seakan-akan kita menonton sebuah melodrama seram (dan sememangnya pun!). Terdapat satu babak akhir mana, dengan bantunan muziknya, meningkatkan emosi "sedih", satu-satunya yang berlaku dalam filem seram, dan hal ini menarik berlaku dalam sebuah filem seram. Para pelakonnya juga hebat. Aku mengagumi Vera Faminga dan Lili Taylor dalam filem ini, menampilkan peranan mereka sebaiknya sebagai si "pencari" dan si "penyorok" yang menarik. Terdapat beberapa homaj tinggi terhadap beberapa filem rumah hantu, namun jelas, Wan juga tidak melupakan tanda tangan patung puakanya pada beberapa bahagian penting filem.

Manusia dalam filem ini penting, dan kemanusiaan yang diberikan oleh penulis skrip Chad dan Carey Hayes cukup memikat, mengikat para pelaku dalam filem sebagai manusia biasa yang dikejutkan dengan sesuatu yang mereka tidak dapat fahami. Mereka hanya ada "kasih-sayang" dan ini unsur penting, seperti yang disampaikan dalam Poltergeist. Kesemua pelakon kanak-kanaknya terbaik, dan takut dan sedih, celoteh mereka jujur. Mereka menjadikan penonton turut takut dan bersimpati, sekali lagi, mengikat diri dengan The Exorcist.

Filem ini ada semuanya, humor, seram, drama dan suspens. Memang ia tidak dapatlah menyampaikan makna falsafah tinggi seperti The Exorcist, namun dengan penelitian teknik dan jiwa berkenaan makna rumah berhantu, menghantui dan ditakutkan dalam kotak, bilik, dan almari, ia menyampaikan jiwa seram yang terpencil namun jelas: setiap ruang dan objek mempunyai jiwa, kita, manusia membinanya. 

Wan seorang ahli silap mata yang juga tidak takut untuk menonjolkan arnab sebalik topi, tetapi memberi makna kenapa arnab dikeluarkan dan kenapa disorokkan dalam topi.

Antara filem seram terbaik tahun ini dan dijangka menjadi klasik.

Misteri Bisikan Pontianak(2013): Mak Nyah Pontianak

M. Subash datang lagi.

Kau kenal pengarah Pensil ni?

Aku sekarang sudah memahami "dunia" Subash. Subash mengutip ceritanya daripada golongan marhaen, golongan marginal, golongan terbuang. Kisah-kisahnya kisah "benar" yang berlaku, lalu dia titipkan dan sampaikan dalam bentuk filem. Alam ini penting untuknya, seperti mana alam white trash begitu penting buat John Waters pada dunia awalnya.

Namun, kadang-kadang Subash terlalu bertelus dalam bercerita. Pensil merupakan kerja baiknya yang boleh dirujuk. Terdapat "kepandaian"nya bermain dengan puisi filem, meletakkan apa yang perlu di hadapan dan belakang dan mencuit emosi penonton. Kekuatan Subash sememangnya dalam emosi, bermaksud, dia layak mengerjakan filem-filem bergenre melodrama.

Seperti filem "seram" ini. Tujuannya amat menarik: Golongan mak nyah juga mempunyai hak dalam hidup. Hal ini amat berisiko tetapi disentuh oleh Subash dengan begitu jujur. Kalian perlu menontonnya sebelum mengelar dan menuduh Subash bukan-bukan kerana Subash mengambil pendirian wasatiyah, kesederhanaan, jauh sekali hendak menyamai Bukak Api yang lebih risque.

Filemnya senang: seorang lelaki dikacau "pontianak", dan kisah ini dijusktaposisi dengan kisah "imbas kembali" yang panjang, yakni Ruminah Sidek yang kehilangan cucu dan "imbas kembali" lagi berkenaan mak nyah lakonan Zakri Rozaini. Penonton akan cepat terkesan bahawa pontianak yang selalu mengganggu lelaki itu berkenaan dengan kematian mak nyah itu. Hal ini membuka pekungan persoalan menarik tentang makna pontianak. Kita sudah sedia faham bahawa pontianak merupakan aspek simbolisme dalam sedar para wanita yang "keluar mencari dendam" terhadap sistem patriaki lelaki yang menindas. Di sini, dengan "berani"nya para pembikin seakan-akan "menyetujui" kewujudan watak Zakri Rozaini ialah "perempuan" yang ditindas. Hal ini menarik tetapi terdapat satu penyimpangan (twist) yang dilakukan ala Scooby Doo bagi menjawab beberapa persoalan. Menonton ini membayangkan aku pada Jack Water yang menerima hidayah suci Islam (dan aku bayangkan arwah Divine sebagai terajunya, bertudung segala).

Beberapa bahagian melodrama, khusus pada babak klimaks amat menjadi. Ada satu babak Mislina Mustafa yang amat kuat emosinya tanpa perlu mengeluarkan air mata. Aku terkejut, berlaku dalam filem sekecil ini.

Namun begitu, keseluruhan teknik dan pembawaan filem ini lemah, walaupun mungkin pengarah akan menyatakan alasan rawness, namun jiwa yang hendak disampaikan tidak sampai dengan pengolahan yang dilakukan, khususnya dengan babak-babak kejutan (ada satu kejutan yang menarik berlaku dalam tandas) apabila bayangan "bisikan" pontianak itu mengganggu lelaki itu. Lelaki itu ialah Haqim, lelaki yang dikacau, dan lakonannya amat amatur, walaupun aku puji Subash kerana "mengutip" kalangan pelakon tidak profesional sebagai pelakonnya. Runut bunyi, pencahayaan, gerakan, suntingan, semuanya punya masalahnya yang tersendiri untuk menimbulkan satu "karangan" yang lengkap.

Akhirnya, filem ini terikat dengan tujuan moralis, sesuatu yang filem "balas dendam" seram tidak dapat lari. Namun tidaklah ia dapat memberi suara atau satu puitis seperti yang kita dapat makan dalam Pensil. Namun terdapat beberapa gambaran syot yang menarik, khususnya dnegan tradisi Subash menangkap alam setinggan dan rumah buruk di tepi kota yang cukup membawa nafasnya tersendiri, golongan-golongan yang ingin berkata-kata tetapi tidak dipedulikan. Menunjukkan jiwa dan semangat mereka seadanya.

Aku sebenarnya kasihankan Subash. Aku mohon sangat dia mendapat dana yang lebih tinggi kerana jelas, dia punya kreativiti untuk membuat sesuatu dengan dunia yang disenanginya ini (rujuk zaman kegemilangan John Waters disunting oleh pihak studio, lalu lihat apa filem yang dia buat! Menarik bukan?). Dan aku harap dia dapat memberikan satu drama-melodrama kuat selepas ini, dengan jalur plot yang lebih mendalam dan kompleks untuk menyampaikan satu lagi filem kisah orang gelandangan dan marhaen yang punya jiwa dan penyampaian yang lebih teratur dan profesional.

Klasifikasi Misteri Bisikan Pontiana: PG-13, terdapat beberapa adegan kata kesat, buruk akhlak dan percubaan rogol yang tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, memerlukan kawalan penjaga.
DITONTON DI GSC MId Valley.

27 July 2013

Bola Kampung(2013): Antara Filem Animasi Tempatan Menarik Tahun Ini

"Peepo Peepo" - Pee Poo/Makhluk Ganjil

"Oh, awak nak bagi daun special edition!" - Sabok

Aku rasa menyesal tak tonton filem animasi tempatan ini sewaktu di pawagam Mac lalu. Entah, masa tu
sibuk menyiapkan majalah ataupun waktu tu terlalu banyak filem nak ditonton (Oh oh), almaklum waktu tu cuti sekolah.

Dan kepada mak bapak pula, shame on you tak bawak mereka tonton filem ni masa tu.

Selepas Geng Pengembaraan Bermula, filem animasi ini merupakan filem terbaik tempatan yang pernah dibikin setakat ini. Filem ini turut mengambil acuan yang mendekati francais Upin & Ipin yakni "dunia berlainan" dan di sini mainan komputer (memang tak dapat disangkal gaya ini diambil apabila penulis skripnya tiga orang jantan Malaya, Fairul Nizam Ablah, Chu Chong Tee, dan Ah Loong) diangkat sebagai ruang eskapis anak-anak ini bermain.

Sebenarnya agak susah hendak menyukai tema "bola" dalam geng Bola Kampung. Secara harfiahnya, seperti yang dinyatakan oleh penerbit eksekutifnya, francais ini membawa semangat muhibah-persahabatan-gila bola. Aku bukan peminat bola jadi aku tidak berapa, namun dua tema awal itu sudah melingkungi kartun Kampung Boy dan Usop Santorian. Silap aku, Bola Kampung yang mungkin tidak asli, mempunyai sesuatu. Bagi aku, memang idea asal Lat dan Ujang sudah pada tahap klasik, namun budak-budak gila dan suka main bola ini mempunyai metafora menarik: padang merupakan tempat mainan yang menyatu dan menyampaikan kejuaran tersendiri.

Mungkin ini masalahnya kerana "bola" itu merupakan satu ruang yang terikat dengan satu persekitaran tertentu. Bandingkan dengan Upin & Ipin, filemnya (the movie, boleh tak kalian dapatkan nama yang lebih sesuai untuk bahasa kebangsaan?) bergerak dengan advencer, maka senang untuk kita sama-sama bergerak. Bagi aku, percubaan penulis skrip dan pengarahnya (Ah Loong dan Chong Tee, juga menulis skrip) bolehlah tahan.

Pada 10 minit awal, kita dapat feel sebuah filem, kerana keadaannya stagnant, seakan-akan kita menonton animasi televisyen ini di layar luas. Hanya apabila plot Puteri Amanda yang dijumpai dalam tandas(! - yeap, there's a toilet joke in a kid's movie!) dan hanya apabila "raksaksa robot gila" itu datang mencari Puteri, filem ini mula bergerak dan bergerak ia dengan pelbagai gila-gila yang menarik.

Sememangnya, ini filem budak-budak. Budak-budak lelaki khususnya boleh layan sangat filem ini. Tiga tema besar yang tampak, yakni kawan untuk selama-lamanya (friends are forever), mengambil semangat muhibah dan perpaduan yang dinyatakan, dan dari titik ini, banyak plot, sebab-akibat dan penerusan babak digerak. Dengan "kawna-kawan"lah filem ini hidup dan dipercayai. Jadi filem ini "berkumpulan" suatu hal yang agak susah hendak difokus (menariknya, lihat perkembangan watak menarik dalam Geng). Setiap wataknya mempunyai peranan dan peranannya penting. Hanya jika sekurang-kurangnya Fairul dna kawan-kawan menarik satu watak dan berikan suatu kelangsungan awal-tengah-akhir yang baik untuk seorang penonton "root for" mungkin lebih menarik, dan hal ini biasa dalam mana-mana animasi Disney ataupun Pixar. Ini tidak, kita dikenalkan dengan tiga sahabat baik, ketiga-tiganya teraju utama (walaupun Iwan dikenali sebagai ketua pasukan) Iwan-Sabok-Zul yang tampak dinamis dan realisme perwatakan sebagai kawan-kawan, hanya amat-amat memerlukan seorang watak untuk diperkembangkan dengan baik.

Dengan kekuatan kawan-kawan ini, suatu lagi tema diangkat, yakni "pertolongan". Pertolongan ini menarik kerana terdapat beberapa detik "kelabu" kerana kita menyedari pertolongan juga bermakna "tipu" (cheat code, contohnya "menolong" kita dalam mainan) dan kronisme. Namun semangat nilai murni ini dipaparkan dengan baik apabila Iwan-Sabok-Zul dan kawan-kawan lain sanggup menolong Amanda, walaupun pertolongan itu melangkaui logik (hal ini dimaafkan kerana ini animasi, berapa jauh kau memberi logik terhadap latar itu penting dan filem ini, walaupun pada awalnya dipersoalkan, mula menampakkan makna dan jawapan pada pertengahan filem). Pertolongan ini juga menjadikan Iwan-Sabok-Zul kawan-kawan yang setia, walaupun mereka kadang-kadang tidak berpendirian sama. Hal ini dengan jelas ditampakkan dalam babak Sabok membantu Iwan-Zul dalam dunia permainan Kingdom Hill, yang mana kita menyedari merupakan nilai yang mereka akan gunakan dalam bermain bola dengan sang jahat Lord Vilus (suara Aznil Nawawi yang mengagumkan).

Ha, di sini aku terhenti sebentar. Mesti kalian bertanya, apa benda ni, Lord Vilus? Kingdom Hill? Apa kena-mengena dunia "permainan" ini dalam latar "realiti" budak-budak kampung itu? Ini kerana filem ini mendekati semangat The Last Strafighter, yakni seorang manusia biasa yang juara main satu permainan arked, dipilih oleh makhluk asing sebagai "perwira terakhir" untuk melawan sang jahat. Kemudian, kita juga dikenalikan dengan dunia Tron Kingdom Hill, yang mana kod dalam permainan boleh masuk ke alam kita, dan sebaliknya!

Jangan tak percaya!

Konsep fiksyen sains ini menarik (diambil dengan penyimpangan plot si Penggodam/Hacker) kerana ia juga berkaitan dengan makna diri budak-budak sebaya Iwan-Sabok-Zul dan juga makna "main bola". Di sini suatu falsafah tercipta dan agak subversif: kanak-kanak bermain kerana mereka bermain. Usah dikacau kanak-kanak bermain kerana main mereka dapat "membantu" orang lain dan "menyelamatkan negara". Main di sini menjadi seakan jawapan eskapis tinggi penciptanya dalam menyatakan "Its ok to play games, video games for that matter." Kerana bermain juga membuat kita "berkawan" dan saling mengenal dunia/orang lain.

Hal ini dengan tidak sengaja berkaitan juga dengan makna permainan bola. Sukan itu sudah diberikan "makna" yang melangkau daripada padang dan dua gol. Menariknya, ada satu lagi "mainan subversif" yang aku rasa biasa dilakukan dalam francais ini. Suatu "pertaruhan" dilakukan dan keputusannya di buat di atas padang bola antara kalangan belia dan kanak-kanak ini. Bayangkan kanak-kanak bertaruh? Tetapi jangan cepat meloncat, idea ini menarik kerana pembikin hendak menampilkan, bagaimana kanak-kanak juga menjadi seseorang di padang bola, kadang-kadang juga juara, dan kadang-kadang dapat menakluk dunia.

Semangat inilah yang cuba dibawa oleh para pembikinnya. Bagi aku, ada bahagian yang berjaya, namun ada juga bahagian yang bagi aku terlalu panjang dan kelihatan melewah. Namun hal itu dimaafkan kerana percubaan gerakan cerita dan syot cerita yang amat menarik dan asli buat sesebuah filem tempatan.

Aku amat menyukai perwatakan Sabok yang dijayakan suaranya oleh Afdlin Shauki. Detik komiknya menarik dan banyak dialog-dialog spontan(?) yang membuat aku ketawa. Wataknya juga ada makna berkenaan anak-anak kampung yang melangkaui stereotaip yang kita tahu. Sememangnya watak ini diadakan untuk penonton dewasa, malah watak inilah yang paling menyeluruh dan menyerronokkan untuk diikuti.

Teknologi animasi ini TIP TOP dan sungguh di luar dugaan. Aku bangga dengan pencapaiannya, baik suara, terutamanya kemahiran motion caputre, ekspresi, efek 3D, pencahayan, dan lain-lain. Ada bahagian "potongan" yakni pertandingan mainan yang perlu dilalui Iwan-Sabok-Zul. Kalaulah babak itu dimasukkan, tentu lebih menarik.

Ada beberapa bahagian yang buat aku mengangkat kening, khusus dalam sisipan produk (product placement) yang dilakukan yang aku faham merupakan percubaan "menggerakkan" filem ini, namun ia tidaklah begitu mengacau bagi penonton antarabangsa. 

Sari kata bahasa Inggeris DVD ini bermasalah pada pertengahan, ada tulisan "BUT!" sampai mengambil 20 minit filem. Aku amat menyanjung penggunana bahasa Melayu dalam DVD ini, baik dalam dan luar.

Filem yang menyeronokkan, sempoi, dan elok buat kanak-kanak yang suka dan kenal mainan.

Klasifikasi Bola Kampung The Movie: U, sesuai bagi semua penonton.
DITONTON DI DVD asli.