29 August 2013

Paku Pontianak(2013): Jari Tengah Buat Anti-Tahyul

Tentu filem ini klise bagi peminat yang sudah menelusuri filem Thailand, Nang Nak (yang kemudian diberikan spoof yang baik, Pee Mak). Tetapi aku berharap hal itu tidak atas nama idea sebalik filem ini (yang juga berkaitan dengan Pontianak Harum Sundal Malam) yang cukup dekat dengan kefahaman tahyul-hantu nusantara.

Suatu yang menarik, nuansa dan "cara" keleteh dan gerak perilaku watak-watak kampung yang dikhuatiri di utara Perak (kerana watak Adam lakonan Pekin Ibrahim seorang usahawan industri kecil yang menghasilkan labu sayong) amat kemelayuan dan mengikut jejak-langkah dan sikap kekampungan. Sesiapa sahaja yang pernah membaca siri novel misteri-seram popular Bercakap Dengan Jin oleh Tamar Jalis (yang juga berdasarkan latar sekitar Perak) akan mendapati nuansa-nuansa ini ditimbulkan dalam filem ini dengan baik sekali. Sikap busuk hati dan keberanian, "tak manis orang nampak", dan tipikal "orang kampung dah mula bising" merupakan kebiasaan dalam dunia hal orang kampung. Hal ini penting dalam memahami, sekurang-kurangnya buat aku, mengapa filem ini, walaupun tidak mungkin memenangi apa-apa anugerah mempunyai kepentingan dalam leksologi sejarah filem seram Malaysia.

Memang alur dan jalur konvensional lelaki patriaki ke arah kelemahan wanita akan difahami daripada tujuan "memaku" pontianak, suatu bayangan yang kemungkinan amat menyinggung perasaan para feminis (wanita ditindas secara imej fizikal, bahawa untuk "menjinakkan" keliaran pontianak/wanita itu, paku yakni simbol lelaki ditusuk, lalu wanita itu menunduk dengan keinginan sang lelaki). Hal ini juga berkaitan dengan sikap pihak manusia yang ingin "mengamilasi" pihak hantu (yang dibuang/marginal!) memasuki komunitinya. Filem ini dengan plot senang, membina premis itu daripada pertemuan Adam dengan Melati di tengah-tengah jalan raya pada tengah malam (persis plot dalam kisah Tamar Jalis mahupun Tok Awang Ngah). 

Konflik berlaku apabila perhubungan Suraya (Adiba Yunus) dengan Adma kelihatan terlerai atas kemunculan Melati dalam hidup keluarga Fatimah (Ruminah Sidek), ibu Adam dan Farid. Kisah seorang wanita yang hilang ingatan dan dijumpai di tengah-tengah hutan membawa enigma. Enigma itulah yang merunsingkan orang kampung. Hal ini menarik. Kita tidak lihat imej "orang kampung bercakap-cakap" fasal kehadiran Melati dalam keluarga Fatimah. Kita hanya lihat Fatimah yang mula "runsing" dengan cakap-cakap orang kampung (dan hal ini juga membawa kehadiran Pak Leh, pak cik dan adik arwah ayah Adam dan Farid). Cakap-bercakap ini menjadi mesin sosial yang amat ampuh menentukan nilai sosial tertentu. Kehadiran Melati dianggap "risque" kerana bukan muhrim (walaupun yang tinggal bersama-sama Fatimah hanya Farid dan isterinya, Adam sekali-sekala menjenguk) terhadap Adam dan Farid. Hal kecil diperbesarkan dalam tetangga sebuah kampung Melayu.

Lihat dasar luas tempatan apabila kemunculan filem-filem seram yang sejak Pontianak Harum Sundal Malam cuba "berasimilasi" dalam kesedaran budaya wayang Melayu-Malaysia. Ada yang membincangkan hal estetika. Namun yang lebih jelas ialah omong-omongan "kerisauan" kehadiran filem tahyul ini "memendekkan akal orang Melayu", merosakkan nilai murni Melayu, mengurangkan daya intelektual Melayu dan bermacam-macam lagi lemparan, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir berkenaannya. Hal "takut" ini mencapai sikap fanatik apabila dapat dilihat dalam komen dan perbincangan yang dibuat dalam media sosial beberapa menteri secara umum.

Dalam keadaan "krisis" ini, dalam keadaan filem ini apabila Adam yang kemudian "mengikut" tekanan sosial, mengahwini Melati. Pada masa sama, Melati mula menunjukkan sifat pelik ala Kuntilanak (trilogi filem pontianak Indonesia menarik itu) dengan menari-nari dengan nyanyian pelik (aku gerenti suara nyanyian itu diambil daripada filem Indonesia tersebut!). Gayanya begitu misterius dan mengasyikkan. Suatu yang jelas: Melati/Pontianak tidak peduli pun tentang apa-apa yang diperkatakan oleh orang berkenaannya! Melati seakan-akan suatu enigma yang tetap berdiri dan hadir di situ tanpa memohon apa-apa. Hanya orang yang bercakap tentangnya, hanya orang yang takut-benci dengannya, sama seperti alegori filem seram yang hadir dalam realiti wayang kita sekarang.

Hal ini menjadi lebih menarik lagi apabila kita diberikan satu klimaks falasi (spoiler!) pada akhir filem apabilaMind f***! Di luar, pontianak berbuaian (rujuk Seru. Kini ciri buaian difahami, yakni "ruang hantu bermain-main". Filem seram MiG banyak menampilkan imej ini, dan jelas di sini menimbulkan simbolisme hantu itu sudah menyesuaikan diri dengan tempat tinggal manusia tersebut) Kini, mainan filem seram MiG naik satu tangga. Ismail Bob Hashim dan penulis skrip, Pierre Andre (serta entah sesiapa dalam panel skrip MiG) meletakkan jari tengah besar-besar kepada semua pencaci dan pembenci filem seram-tahyul: Hey, kami di sini dan kami tetap di sini! Malah ilusi paku itu dimusnahkan (dan undang-undang dilanggar). Segalanya berkemungkinan. Melati/hantu tidak dapat dijinak lagi. Melati yang memilih siapa yang dia inginkan, dan dia akan sentiasa bersama-sama orang yang dia sayang. Subversif dan sekali gus radikal.
kononnya, penyeleraian berlaku apabila Pak Leh membuka kisah sejarah "Melati" kepada Adam. Adam "membuka paku" di belakang tengkuk Melati. Melati berubah menjadi pontianak semula, dengan sayu meninggalkan Adam yang hiba. Filem seram (rupa-rupanya) tidak sesuai duduk bersama manusia Melayu, terbanglah, pergilah tinggalkan kami, usah ganggu kami lagi, kata Pak Leh. Adam hiba dan terus hiba. Kemudian: jeng jeng jeng, Adam terbangun daripada mimpi ngeri! Melati tetap di sisinya! Adam melihat tengkuk Melati dan tidak ada paku!

Pergerakan filem lemah-lembut dan kadang-kala terlalu lambat, sengaja dilengah-lengahkan oleh Ismail Bob Hashim dan penyunting. Hal ini kadang-kala memeritkan namun membawa semangat gaya lambat yang tipikal dalam filem seram Eropah era 1930-an (rujuk homaj yang dibikin Werner Herzog dalam Nosferatu the Vampyre). Runut bunyinya walaupun diketahui dicedok daripada beberapa filem seram lama, memberi impak menarik walaupun ada yang terlalu. Mainan muzik tradisionalnya tampak menarik dan misterius. Suntingannya buat aku baik dengan beberapa posisi penceritaan yang bergerak menarik, juga terdapat beberapa babak yang agak menyeramkan. Hal ini dibantu dengan sinematografi dan pencahayaan Mohd Shahreel Abu Bakar yang jelas amat baik dan melangkaui filem-filem buruk MiG yang sebelumnya. Terdapat satu babak kereta waktu malam pada awal filem yang berjaya menjelmakan semangat yang begitu jelas memahami ruang memomokkan (creepy), sesuatu yang tidak kelihatan berjaya dicipta oleh ramai pembikin filem tempatan. Babak itu, aku ingat, menunjukkan keadaan Pekin yang tidak keruan. Seakan-akan malam yang statik itu menyerangnya (walaupun tidak ada hantu yang perlu timbul). Suatu pujian. Hanya terdapat efek-efek suara yang melampau-lampau, walaupun ianya satu peningkatan (terdapat beberapa babak yang sunyi dan diam, bikinan yang menarik kerana dibuat dalam filem seram MiG yang selalunya bising dengan bunyi-bunyi).

Kebanyakan lakonan semua pelakon baik dan menarik, walaupun terdapat beberapa canggungan. Pekin kiranya agak menarik membawa seorang lelaki yang tidak tahu-menahu, "dipilih" oleh takdir untuk melalui suatu perjalanan yang mungkin akan mengganggu kesiumannya (dan secara menyindir, intelektualnya, hahaha!) dalam hidup. Yang lain-lain memberi sokongan yang termampu. Walaupun Uqasha Senrose ini baharu, dia mempunyai sesuatu. Ya, lakonannya mungkin tidak perlu mencabar dan tidak pun mencabar dalam filem ini (dia hanya perlu tersenyum dan berdiri masuk kamera kadang-kadang), namun wajah dan bentuknya, matanya cukup memberi pesona misteri yang diperlukan, menyampaikan maksud yang tidak akan disedari Adam.

Antara filem terbaik MiG setakat ini, walaupun mereka menggunakan asap klise pada waktu malam.

Klasifikasi Paku Pontianak: PG-13, terdapat beberapa adegan mengejut, seram dan sikap seksual yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, memerlukan kawalan penjaga.
DITONTON DI GSC Berjaya Time Square.

1 comment:

Anonymous said...

Saya suka review awak.