27 July 2013

Bola Kampung(2013): Antara Filem Animasi Tempatan Menarik Tahun Ini

"Peepo Peepo" - Pee Poo/Makhluk Ganjil

"Oh, awak nak bagi daun special edition!" - Sabok

Aku rasa menyesal tak tonton filem animasi tempatan ini sewaktu di pawagam Mac lalu. Entah, masa tu
sibuk menyiapkan majalah ataupun waktu tu terlalu banyak filem nak ditonton (Oh oh), almaklum waktu tu cuti sekolah.

Dan kepada mak bapak pula, shame on you tak bawak mereka tonton filem ni masa tu.

Selepas Geng Pengembaraan Bermula, filem animasi ini merupakan filem terbaik tempatan yang pernah dibikin setakat ini. Filem ini turut mengambil acuan yang mendekati francais Upin & Ipin yakni "dunia berlainan" dan di sini mainan komputer (memang tak dapat disangkal gaya ini diambil apabila penulis skripnya tiga orang jantan Malaya, Fairul Nizam Ablah, Chu Chong Tee, dan Ah Loong) diangkat sebagai ruang eskapis anak-anak ini bermain.

Sebenarnya agak susah hendak menyukai tema "bola" dalam geng Bola Kampung. Secara harfiahnya, seperti yang dinyatakan oleh penerbit eksekutifnya, francais ini membawa semangat muhibah-persahabatan-gila bola. Aku bukan peminat bola jadi aku tidak berapa, namun dua tema awal itu sudah melingkungi kartun Kampung Boy dan Usop Santorian. Silap aku, Bola Kampung yang mungkin tidak asli, mempunyai sesuatu. Bagi aku, memang idea asal Lat dan Ujang sudah pada tahap klasik, namun budak-budak gila dan suka main bola ini mempunyai metafora menarik: padang merupakan tempat mainan yang menyatu dan menyampaikan kejuaran tersendiri.

Mungkin ini masalahnya kerana "bola" itu merupakan satu ruang yang terikat dengan satu persekitaran tertentu. Bandingkan dengan Upin & Ipin, filemnya (the movie, boleh tak kalian dapatkan nama yang lebih sesuai untuk bahasa kebangsaan?) bergerak dengan advencer, maka senang untuk kita sama-sama bergerak. Bagi aku, percubaan penulis skrip dan pengarahnya (Ah Loong dan Chong Tee, juga menulis skrip) bolehlah tahan.

Pada 10 minit awal, kita dapat feel sebuah filem, kerana keadaannya stagnant, seakan-akan kita menonton animasi televisyen ini di layar luas. Hanya apabila plot Puteri Amanda yang dijumpai dalam tandas(! - yeap, there's a toilet joke in a kid's movie!) dan hanya apabila "raksaksa robot gila" itu datang mencari Puteri, filem ini mula bergerak dan bergerak ia dengan pelbagai gila-gila yang menarik.

Sememangnya, ini filem budak-budak. Budak-budak lelaki khususnya boleh layan sangat filem ini. Tiga tema besar yang tampak, yakni kawan untuk selama-lamanya (friends are forever), mengambil semangat muhibah dan perpaduan yang dinyatakan, dan dari titik ini, banyak plot, sebab-akibat dan penerusan babak digerak. Dengan "kawna-kawan"lah filem ini hidup dan dipercayai. Jadi filem ini "berkumpulan" suatu hal yang agak susah hendak difokus (menariknya, lihat perkembangan watak menarik dalam Geng). Setiap wataknya mempunyai peranan dan peranannya penting. Hanya jika sekurang-kurangnya Fairul dna kawan-kawan menarik satu watak dan berikan suatu kelangsungan awal-tengah-akhir yang baik untuk seorang penonton "root for" mungkin lebih menarik, dan hal ini biasa dalam mana-mana animasi Disney ataupun Pixar. Ini tidak, kita dikenalkan dengan tiga sahabat baik, ketiga-tiganya teraju utama (walaupun Iwan dikenali sebagai ketua pasukan) Iwan-Sabok-Zul yang tampak dinamis dan realisme perwatakan sebagai kawan-kawan, hanya amat-amat memerlukan seorang watak untuk diperkembangkan dengan baik.

Dengan kekuatan kawan-kawan ini, suatu lagi tema diangkat, yakni "pertolongan". Pertolongan ini menarik kerana terdapat beberapa detik "kelabu" kerana kita menyedari pertolongan juga bermakna "tipu" (cheat code, contohnya "menolong" kita dalam mainan) dan kronisme. Namun semangat nilai murni ini dipaparkan dengan baik apabila Iwan-Sabok-Zul dan kawan-kawan lain sanggup menolong Amanda, walaupun pertolongan itu melangkaui logik (hal ini dimaafkan kerana ini animasi, berapa jauh kau memberi logik terhadap latar itu penting dan filem ini, walaupun pada awalnya dipersoalkan, mula menampakkan makna dan jawapan pada pertengahan filem). Pertolongan ini juga menjadikan Iwan-Sabok-Zul kawan-kawan yang setia, walaupun mereka kadang-kadang tidak berpendirian sama. Hal ini dengan jelas ditampakkan dalam babak Sabok membantu Iwan-Zul dalam dunia permainan Kingdom Hill, yang mana kita menyedari merupakan nilai yang mereka akan gunakan dalam bermain bola dengan sang jahat Lord Vilus (suara Aznil Nawawi yang mengagumkan).

Ha, di sini aku terhenti sebentar. Mesti kalian bertanya, apa benda ni, Lord Vilus? Kingdom Hill? Apa kena-mengena dunia "permainan" ini dalam latar "realiti" budak-budak kampung itu? Ini kerana filem ini mendekati semangat The Last Strafighter, yakni seorang manusia biasa yang juara main satu permainan arked, dipilih oleh makhluk asing sebagai "perwira terakhir" untuk melawan sang jahat. Kemudian, kita juga dikenalikan dengan dunia Tron Kingdom Hill, yang mana kod dalam permainan boleh masuk ke alam kita, dan sebaliknya!

Jangan tak percaya!

Konsep fiksyen sains ini menarik (diambil dengan penyimpangan plot si Penggodam/Hacker) kerana ia juga berkaitan dengan makna diri budak-budak sebaya Iwan-Sabok-Zul dan juga makna "main bola". Di sini suatu falsafah tercipta dan agak subversif: kanak-kanak bermain kerana mereka bermain. Usah dikacau kanak-kanak bermain kerana main mereka dapat "membantu" orang lain dan "menyelamatkan negara". Main di sini menjadi seakan jawapan eskapis tinggi penciptanya dalam menyatakan "Its ok to play games, video games for that matter." Kerana bermain juga membuat kita "berkawan" dan saling mengenal dunia/orang lain.

Hal ini dengan tidak sengaja berkaitan juga dengan makna permainan bola. Sukan itu sudah diberikan "makna" yang melangkau daripada padang dan dua gol. Menariknya, ada satu lagi "mainan subversif" yang aku rasa biasa dilakukan dalam francais ini. Suatu "pertaruhan" dilakukan dan keputusannya di buat di atas padang bola antara kalangan belia dan kanak-kanak ini. Bayangkan kanak-kanak bertaruh? Tetapi jangan cepat meloncat, idea ini menarik kerana pembikin hendak menampilkan, bagaimana kanak-kanak juga menjadi seseorang di padang bola, kadang-kadang juga juara, dan kadang-kadang dapat menakluk dunia.

Semangat inilah yang cuba dibawa oleh para pembikinnya. Bagi aku, ada bahagian yang berjaya, namun ada juga bahagian yang bagi aku terlalu panjang dan kelihatan melewah. Namun hal itu dimaafkan kerana percubaan gerakan cerita dan syot cerita yang amat menarik dan asli buat sesebuah filem tempatan.

Aku amat menyukai perwatakan Sabok yang dijayakan suaranya oleh Afdlin Shauki. Detik komiknya menarik dan banyak dialog-dialog spontan(?) yang membuat aku ketawa. Wataknya juga ada makna berkenaan anak-anak kampung yang melangkaui stereotaip yang kita tahu. Sememangnya watak ini diadakan untuk penonton dewasa, malah watak inilah yang paling menyeluruh dan menyerronokkan untuk diikuti.

Teknologi animasi ini TIP TOP dan sungguh di luar dugaan. Aku bangga dengan pencapaiannya, baik suara, terutamanya kemahiran motion caputre, ekspresi, efek 3D, pencahayan, dan lain-lain. Ada bahagian "potongan" yakni pertandingan mainan yang perlu dilalui Iwan-Sabok-Zul. Kalaulah babak itu dimasukkan, tentu lebih menarik.

Ada beberapa bahagian yang buat aku mengangkat kening, khusus dalam sisipan produk (product placement) yang dilakukan yang aku faham merupakan percubaan "menggerakkan" filem ini, namun ia tidaklah begitu mengacau bagi penonton antarabangsa. 

Sari kata bahasa Inggeris DVD ini bermasalah pada pertengahan, ada tulisan "BUT!" sampai mengambil 20 minit filem. Aku amat menyanjung penggunana bahasa Melayu dalam DVD ini, baik dalam dan luar.

Filem yang menyeronokkan, sempoi, dan elok buat kanak-kanak yang suka dan kenal mainan.

Klasifikasi Bola Kampung The Movie: U, sesuai bagi semua penonton.
DITONTON DI DVD asli.

5 comments:

Aieda Adnan said...

Ow.. So. Aku pon akan cari filem ni utk dtonton.. Hehe

zulazahari said...

The Last Starfighter, filem lama tu, masa aku darjah empat, hehehe....tapi aku rasa Tron pun ada semangat yang sama. Siri animasi Bola Kampung pada mulanya bertujuan untuk mencetuskan minat di kalangan kanak-kanak terhadap bolasepak tempatan. Tak silap aku siri ini bermula apabila pasukan bolasepak Malaysia mencapai kegemilangannya sekitar tahun 2011 dulu, tak sangka pulak ia boleh berkembang menjadi sebuah filem sains fiksyen fantasi.

PerangFilem said...

Yeay Fadz pun suka jugak!

Anonymous said...

Nak tanya, produk placement dlm Bola Kampung kat mana? Brand apa? I tengah buat kajian.

fadz said...

Anon, cari sendiri. Aku bagi klu: berkenaan ayam goreng dan kasut sukan.