15 June 2026

Khadam (2026) Sebuah Gothik Melayu yang Bagus


Selain folk horror (seram desa? Seram cerita rakyat?) yang nampaknya mula menunjukkan taringnya dalam pembikinan filem di Malaysia, ada suatu subgenre seram yang aku kira kini muncul menunjukkan belangnya yang cukup baik apabila Khadam muncul di pawagam baru-baru ini, iaitu Gothik Melayu (Malay Gothic). 

Terma baharu ini (che wah) aku munculkan setelah menyedari dua filem tahun lepas yang cukup rencah bentuk atau ciri-cirinya yang memang ada dalam Gothik Melayu (istilah ini aku ambil daripada istilah Southern Gothic, filem/karya/sastera yang berpremiskan dunia seram Selatan Amerika Syarikat). Dua filem tersebut ialah Malam Terlarang dan Limbungan: Tragedi Hitam 1975.

Terdapat ciri-ciri yang jelas dalam Gothik Melayu yang terikat dengan makna diri dan budaya Melayu, khusus pada landskap kampung Melayu (sebagai bandingan kepada Southern Gothic), iaitu:

Ruang Berhantu: Jika gothik asal berlegar di agam besar atau istana lama ala Eropah, gothik Melayu berlegar pada ruang terperuk di hutan, rumah-rumah kampung lama yang hendak roboh, rumah-rumah kolonial tidak berpenghuni (Kellie's Castle), juga rumah agam lama di dalam estet.

Cerita Hantu Rakyat: Sepertimana Roh (tetapi filem itu mempunyai keistimewaan sendiri kerana hantunya lebih universal dan seakan-akan tidak terikat dengan makna diri Melayu), kisah hantu yang diceritakan oleh nenek pada waktu malam di bawah kelambu cukup menyeramkan. Hal ini ditambah lagi dengan ikatan yang cukup kuat antara orang tradisional Melayu dengan hal tahyul/hantu/semangat. Hantu polong, pontianak, toyol, pelesit, penanggal, hantu galah, dan pelbagai lagi menjadi cerita-cerita menyeramkan anak-anak kecil. Saka menjadi antara satu-satu jambatan jelas bahawa kisah hantu rakyat ini tidak wujud hanya sebagai cerita, tetapi amalan, malah budaya yang terbawa-bawa sampai ke era moden/bandar. Hal ini pernah ditimbulkan dalam dua filem seram MiG, Jangan Pandang Belakang (2007) dan Congkak (2008).

Sempadan Dua Alam: Dalam kisah-kisah ini, berlakunya perbandingan jelas antara kota dengan desa, antara kemodenan dengan kemunduran tradisional, atau antara ruang kampung bermanusia dengan ruang hutan tidak berpenghuni. Berlaku perbandingan dan hasrat bertukar tempat.perpindahan/melangkah sempadan.

Motif "Saka": Dalam ruang penuh rahsia yang gelap (rujuk filem Pusaka), dengan pelbagai amalan ilmu, lama/warisan (hitam atau putih) dan hafalan mantera, berkali-kali, makhluk/jin yang membantu manusia era tradisi ialah saka, suatu bentuk "pembantu" dari alam ghaib yang membantu orang dulu membuka tanah, dan pelbagai lagi usaha kerja, semata-mata untuk orang lama mampu melangsungkan hidup. Hal ini yang membezakan citra Barat yang melihat hal ini sebagai "ilmu purba", tetapi bagi ornag Islam, kita menolaknya kerana sifat khurafatnya. Sikap kita ini berbeza dengan Southern Gothic dalam kalangan waris kulit hitam Amerika yang menerimanya sebagaii warisan magis/agama tuk nenek mereka, khususnya voodoo, atau dalam kalangan kulit putih yang turut percaya pada kekuatan sakti ahli sihir (witch) yang kononnya lebih mendekati alam.

Keempat-empat ciri ini bukan sahaja tertusuk cukup dalam di dalam filem Khadam, tetapi disusun dan diceritakan dengan cukup baik sekali.

Khadam seperti sebuah filem "lama" yang timbul segar, tiba-tiba pada alaf baharu 2026. Kita nampak motif lazim (trope) yang ada dalam Khadam, ada dalam beberapa filem seram terdahulu, tetapi Khadam semacam membuat "ulang kaji", penilaian dan mengemas kini motif-motif itu pada tempat dan letaknya yang lebih sesuai, memunculkan sebuah alam keluarga dan watak yang hidup dengan sebab-akibatnya yang cukup terjalin lekap. 

Sifat watak tradisi (Melor dan anaknya Puteh si kakak dan Hitam si adik hidup pada era Malaya baru mencapai kemerdekaan, tahun 1957) itu sedang berdiri betul-betul pada persimpangan zaman. Ini suatu kenyataan kuat penulis lakon layarnya, Fariza Azlina Isahak yang memohon watak/kita untuk memilih sikap yang lebih maju/mulia terhadap sifat lama (duduk terperuk di kampung, terikat dengan SPOILER saka maknya). Hal ini cukup indah kerana Fariza memahami sejarah kerana memang zaman itu, selain dakwah ASAS50 dalam tulisan sastera mereka, Pendeta Za'ba dan kebanyakan ilmuwan Melayu era itu memohon agar orang Melayu berubah sikap, meninggalkan "sifat lapuk tradisi" yang tidak membawa kepada kemajuan diri dan berubah, melalui ilmu, untuk hidup pada masa hadapan yang lebih cerah. 

Sifat buruk lama/lapuk inilah motif besar atau citra SAKA filem ini, yang dengan sengaja, sentiasa dijadikan bayang-bayang kembar si tuan pemakainya. Jelas, SAKA ini hanyalah bayang-bayang semata-mata, bukan figura nyata(!) yang mengheret kita ke Melaka (eh tak, neraka), atau dalam bahasa filem ini, ke GUA (satu lagi motf jelas, dengan peribahasa: masuk ke gua - kembali hidup melarat). Hal ini sungguh menyentak dan cukup teradun. Malah Melor, seorang mangsa warisan saka itu, diberikan babak dia berhadapan dengan cermin! Alangkah menarik! Jadi motif lama ini turut diikat dengan bahasa filem yang moden - menjadikan naratif dan imejan filem ini sungguh sofistikated.

Aku juga merasakan, antara banyak-banyak filem Shamyl Othman, ini filem Shamyl yang paling matang dan cukup berkesan. Shamyl berjaya mengembalikan penjiwaan nafas alam kampung filem seram hitam putih Pontianak dengan nada dan sentimen moden. Shamyl cukup kental mengikat peran wataknya, yang hanya lima-enam orang sahaja dalam ruang yang minimal dan terperuk, seperti Roh. Pengarahan Shamyl memberikan nafas, perangai dan tingkah laku bagi setiap satu wataknya untuk menjadi hidup di layar. 

Jika hendak dibandingkan dengan Roh, memang suasana seram dan serba dread Roh lebih menyeramkan. Tetapi Khadam (walaupun mempunyai beberapa babak mengejutkan yang tersendiri, tetapi maaf, hihi, takde satu babak buat aku tutup mata, hanya seronok) mempunyai tujuan lain, yang berjaya dilangsaikan oleh Shamyl. Dalam skrip ketat dan bijak Fariza, Shamyl tahu bahawa inti penting yang perlu dijaga dalam Khadam ialah psikologi setiap watak. Jika unsur ini tidak dijaga, keinginan, sebab-akibat dan tujuan peran setiap watak akan hancur. Perkembangan watak akan hilang. Dan inilah yang dijaga dengan cukup intim dan halus oleh Shamyl (Shamyl berjaya memalukan kebanyakan pengarah filem seram tempatan dalam hal ini). Dengan kekuatan ini, Shamyl kemudian memberikan kita ton saspens atau debar yang cukup memikat untuk babak-babak yang memerlukannya, membuatkan degup jantung dan getar hati kita juga berdebar-debar. Satu daripada babak itu, cukup, dalam satu syot, ialah babak Melor dengan pisau cukup dan jambang Awang, suaminya, cukup tegang dan merisaukan. Hal ini juga dibantu oleh suntingan baik John Hafiz untuk setiap syot dijalin baik.

Satu lagi ialah ton saspens panjang yang terbina baik untuk mengisi rasa terdesak wataknya. Misalnya babak awal Melor yang ditampilkan, pelbagai "ujian" atau dalam bahasa kampung, "malapetaka/benda sial" yang berlaku terhadap Melor dan anak-anaknya (jatuh bumbung, tanaman diserang babi, ayam pelihara mati). Setiap syot itu membina suatu rasa terdesak sebab-akibat Melor, yang awalnya tegas tidak akan mengambil saka ibunya, akhirnya menyerahkan diri di hujung gua dengan barang hidangan untuk si saka.

Hal inilah yang berjaya diikat-jalin oleh Shamyl dengan baik sekali, mengikat kita untuk bersimpati pada Melor dan anak-anaknya beberapa kali. Dan, ikatan-ikatan babak ini pula mempunyai subplot-subplot lain, yang turut mengguna pakai urusan saspens bijak Shamyl (antara yang baik dan cukup berlapisan ialah persoalan memenuhkan batin sang suami, yang juga merupakan hal yang selalu diceritakan pada era 50-an dan 60-an dalam sastera kita) agar membuat para penonton terasa at the edge of their seat.

Hal ini juga dibantu dnegan cukup baik dengan sinematografi indah dan cukup fungsional Haris Hue Abdullah untuk memggerakkan watak dalam bingkai yang betul, baik untuk babak saspens, tenang, drama, sedih, termasuk tragis (mayhem).

Efek suara filem ini juga cukup terasa kuatnya, membantu lagi filem ini apabila melekap skop ngeri dan debar. Hal ini turut dibantu oleh skor lagu Rendra Zawawi, dengan bunyi hentakan (seperti debar jantung) dan alunan tali, mengembalikan kita pada skor muzik era filem seram hitam putih yang cukup gempar membunyikan hentakan kayu, tetapi dengan rasa yang lebih moden, segar, mengikut alaf dan nadi sekarang.

Beberapa hal lain seperti seni pengarahan, tata rias, busana, solekan, dan prop mencapai kecemerlangannya yang tersendiri kerana kita terasa hidup dan menghirup udara era 1950-an di sebuah rumah kampung yang terperuk di pedalaman.

Barisan pelakonnya juga cukup mencengkam, baik daripada kedua-dua budak, iaitu Zarra Zaff sebagai Puteh dan Karl El (mak ai, nama budak alfa sekarang ke?) sebagai Hitam. Juga June Lojong sebagai Nek Mak, Siti Khadijah Halim sebagai Manis (watak pemberi ilmu ala Melati Kota Bharu dalam filem ini) dan Remy Ishak sebagai Awang cukup memukau. Namun begitu, pujian besar haruslah diberikan kepada Aghniny Haque sebagai Melor, yang berjaya membulatkan watak dan perwatakannya dalam ruang lakonan tiga dimensi, tanpa dia perlu berkata-kata lalu berlakon sebagai si ibu bisu dengan cukup berkesan sekali. 

Ini suatu tanda yang baik untuk filem kita, bahawa ada pembikin filem kita yang peduli untuk membikin sebuah filem yang baik, yang cukup serba-serbinya terjaga, dan tetap mempunyai lapisan-lapisan, baik emosi juga akli yang lunak untuk direnungkan oleh penontonnya.

Antara filem terbaik kita tahun ini.

Klasifikasi 16 - Ada babak imbauan seksual yang mungkin kurang sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, juga dua babak ganas yang mungkin menakutkan kanak-kanak.

No comments: