20 May 2014

Perca Mei 2014: Hantu dan Cannes

Aku memulakan kembali tradisi "perca-perca" ini kerana beberapa sebab, selain daripada menyedari tidak ada apa-apa yang menarik lagi berlaku dalam wayang kita, namun sebab walidnya adalah kerana cadangan pengkritik filem tersohor, Nazim Masnawi, agar aku himpunkan apa-apa sahaja yang aku tonton dalam bulan Mei (atau sebelumnya) sebagai catitian dan perkembangan filem tempatan (atau sedikit dari luar). Aku menolak mengulas sangat filem Hollywood kerana sudah berjuta ulasan di luar sana yang ditulis oleh pengkritik pakar atau amatur dalam pelbagai bahasa, baik dalam bahasa kita ataupun luar, dan ia tetap gergasi (seperti Godzilla) yang walaupun bodoh, lemah, dna membosankan, mempunyai lebihan lemak dan "kondisioner makanan yang dibenarkan" dan terus ditunggu-tunggu dengan rakusnya oleh para penonton (aku tidak menolak ada yang bagus, aku suka Captain America II yang membantai Robert Redford lambang hero Amerika era konspirasi 1970-an). Hanya jika, ada filem tempatan/luar yang tampak jelas (aku sebenarnya mahu sangat menulis tentang filem terakhir Hayao Miyazaki, tapi sekarang sudah malas) perlu aku rekomendasikan untuk tontonan, akan adalah satu ruangan khas biasa untuk filem tersebut.


Judul filem "usahasama" pelakon Vietnam dan Adam AF arahan Yusof Kelana itu pun sudah aku lupai. Yang aku tidak dapat lupa ialah lakonan kaku, suara berdenting, dan ombak menghempas pantai yang membosankan, dan sebutir kalung berkilauan. Kemudian Kita ada Cara Mengundang Hantu(2014) yang diarahkan oleh pengarah yang kita amat berharap sebagai pengarah harapan negara tapi jadi hampa berkali-kali setelah kegagalan beliau mendekati kehebatan filem pertamanya, Pensel, M. Subash. Dalam filem ini, penyelamatnya hanya lakonan Mariani dan Ruminah Sidek yang dimasukkan untuk mereka bercakap tentang dunia muda sekarang yang hancur dan individualistik. Selain itu, kita disogokkan kembali dengan sikap Weird Tales dengan tebaran didaktik dan moralis yang mana, si hantulah petunjuk jalan/penghukum moral kepada kepincangan masyarakat sekarang, kononnya. M. Subash menarik hanya kerana satu perkara: kisah-kisah beliau, semuanya diambil daripada dunia marhaen, terpinggir, dan orang miskin kalangan luar dan dalam urban. Jika gerak M. Subash betul, dengan penulisan plot dan cerita yang teliti (dan berhenti menyuapkan dua tiga cerita dan memanjangkannya dengan alasan kononnya ini filem seni) M. Subash akan menjadi suara "sinema orang miskin" kita yang tersendiri, namun, alas, nama tinggal nama, sikap kritikan malah kemarahan Subash dalam filem ini (terhadap songsang sosial dan kelas atasan) dirasakan dibuat-buat dan membosankan, walaupun terdapat satu dua babak seram yang menarik dalam bajet rumah setinggan.



Metrowealth, aku rasa telah mencipta anak syarikat, Mangkin Prestij, kerana Ia Wujud(2014) jelas mempunyai kapasiti dan pembawaan "lahir" daripada rahim MiG. Mungkin penciptaan anak syarikat ini menarik, seperti Alaf21 dengan Buku Prima, atau Fixi dengan Lejen. Maka, mereka akan membikin filem "amatur" atau "bebas" (indie) yang lebih bersifat eksperimental dan terkeluar daripada cengkaman kapitalis MiG (harap-harapnya). Aku kirakan hal ini menarik. Memang, babak 10 minit awal filem ini menjanjikan hal itu, berpura-pura kepada kita bahawa "ini sebuah lagi filem kamera goncang" yang kelihatan amatur tetapi terasa babak "realis" yang hendak dibawa. Ada satu dua bahagian yang penting menunjukkan/menyatakan dengan sedar akan hal ini, seperti si Mat menjerit sambil kameranya zoom in, "Ha, kau nak sangat fokus, meh sini aku fokus .." yang menjadi in-joke filem ini sendiri (kerana mereka terkinja mahu melihat hantu). Kemudian terdapat lawak seks secara kias yang berlaku kerana tiadanya watak seks atau jantina wanita sebagai objek seks, maka si gay/pondan Anam berceloteh terhadap budak Sabah, Tom, "Dia nak bagi ikan terubuk masin kot .." pada satu babak, yang jelas, kod-kod seksual yang berterabur dalam filem ini (dan aku agak tak faham mengapa filem ini lepas P13). Ironinya, sikap found footage itu melepas hilang apabila di tengah-tengah filem kita hilang rasa peduli terhadap watak, yang pada waktu itu kita bermain teka-teki jika mereka hanya pelakon amatur atau benar-benar melalui hal ini (yang pada masa itu kita sudah pun tidak peduli). Terdapat tiga pekerjaan khurafat yang dilakukan oleh lima budak biol (5 idiots) untuk melihat hantu, cari fasal, dan kena rasuk (tau takpe). Sebenarnya, awal filem ini, dengan celoteh lima budak bodoh tanpa haluan hidup ini (membayangkan wayang kita sekarang) sungguh melucukan, mengingatkan aku pada layar Mystery Science Theatre 3000, dengan mencemuh perkara yang mereka buat dengan sendiri tanpa perlu bantuan penonton. Namun janji tinggal janji, filem ini tidaklah seseram mana, hanya kekuatan berlaku kerana suara kesan khas yang kuat dan tersusun tapi tanpa apa-apa maksud yang lain.

Awak Nak Kahwin dengan Saya? (2014) = Awak Nak Tengok Filem Saya? No!



Begitulah. Hanya mungkin, eloklah aku sentuh sedikit tentang The Wind Rises(2014), filem yang disalahertikan oleh kebanyakan pengkritik di Hollywood, sampaikan pelobian filem ini pada anugerah Oscar kalah dengan filem lembik seperti Frozen (Frozen menarik tapi bukan terbaik, dan lagu itu, menjengkelkan). Filem ini dengan jelas merupakan filem peribadi Miyazaki dan apa yang Miyazaki hendak jelaskan tentang animasi, lebih daripada filem. Jiro Horikoshi dalam filem ini (tokoh sejarah yang mencipta kapal terbang perang, Zero) merupakan ciptaan fiksyen Miyazaki dalam menyampaikan maksud bagaimana mimpi/imaginasi/angan-angan diciptakan menjadi suatu karya yang indah, dan ini menggolongkan bahawa karya ciptaan inilah citra jati diri estetika Jepun yang paling tinggi. Persoalan ini dapat ditangkap dalam bayangan bunga sakura yang dipandang sebagai "keindahan tertinggi" dalam budaya Jepun. Fenomena sakura, bunga yang mekar dan gugur pada musim bunga itu mempunyai jangka hidup yang amat pendek, jadi pemerhatian masa itu dianggap "bernilai" bagi orang Jepun untuk melihat karya alam yang tumbuh dan gugur dalam masa yang tertentu (yang dapat juga membawa nasib baik). Hal ini dibayangkan dalam tekal dan cita-cita Jiro, daripada inspirasi tokoh kapal terbang Barat, Caproni (kita juga tahu Miyazaki terpengaruh kuat dengan Disney) untuk mencipta kapal terbang perang Zero. Zero dicipta dalam keadaan yang begitu genting, sewaktu kekasih Jiro sendiri (dalam riwayat sebenar, isteri yang dikahwini tidak meninggal) sedang tenat sakit dan Jepun di ambang Perang Dunia Kedua. Zero yang dicipta memang begitu indah, bukan sahaja menjadi wadah kebanggaan orang Jepun dalam bidang kapal terbang/peperangan tetapi alusi kapal terbang itu merealisasikan "lakaran" Jiro kepada sesuatu yang sungguh indah, yang menyamai maksud animasi yang dilakarkan atas kertas yang kemudiannya dikembangkan dalam bentuk layar yang indah. Kemudian, dengan sedikit sombong, Miyazaki dengan jelas menyatakan hasil karya ini (dan sejarah filem animasinya) sememangnya suatu "seni" yang menyamai kekejapan masa sakura yang kembang lalu gugur dari pokoknya. Ini jelas apabila kita sedar Zero yang dicipta cantik benar itu menjadi luput (obsolete) selepas Perang Dunia Kedua, yang jelas disampaikan oleh Miyazaki pada babak akhir filem ini apabila Jiro memasuki semula alam mimpi bertemu Caproni untuk melihat Zeronya terbang kali terakhir setelah terkubur bersama-sama barang perang lain di suatu ruang dalam mimpi. Lalu Jiro menyatakan, "Saya berharap ini (Zero/karya ini) memuaskan .." lalu berlalu pergi, yang kita dengar, suara Miyazaki berkata, sebelum dia juga memasuki alam "mimpi"nya, bahawa segala yang dia sudah lakukan untuk Jepun/dunia, semoga ia memuaskan, dan alangkah terpuasnya kita akan detik seni yang diatur oleh sang animasi besar Jepun ini.

Selain daripada itu, aku menyedari bahawa kita di Malaysia kekurangan kuasa peranan pengkritik kerana pihak yang sepatutnya meraikan pengkritik tidak meraikannya, ini bukan fasal aku dan kawan-kawan. Aku menyedari ini apabila melihat kawan Thai aku, Kong Rithdee yang merupakan pengkritik filem tersohor dari Bangkok yang menulis dalam The Bangkok Post yang kadang-kadang diundang untuk menulis dalam beberapa projek khas himpunan ulasan filem, dan khususnya majalah terkemuka BFI, Sound and Sight. Kong pun bermula hanya sebagai wartawan yang diberikan ruang biasiswa bengkel kritikan filem dan kini, antara pengkritik filem tersohor dunia. Ini kerana The Bangkok Post memberikannya ruang, dan terdapat dana khas(?) yang melayangkan Kong ke Cannes, setiap tahun agar Kong membuat laporan berkenaan tayangan filem di sana. Apa-apa yang ditulis oleh Kong, setiap hari akan tersiar dalam web akhbar Inggeris milik Thailand itu. Kadangkala Kong akan rekomenkan filem asing untuk dibawa masuk ke Thailand, walaupun mungkin pihak pengedar/kerajaan tidak peduli pun untuk membawanya, Kong sudah pun menyatakan dua patah katanya. INIlah kerja pengkritik filem sebenar-benarnya. Aku tertanya-tanya, adakah pihak media massa kita melakukan hal yang sama? Adakah pihak tertentu mempunyai dana untuk menjalankan kerja sebegini, jika pun bukan Cannes, bagaimana pula dengan festival filem dalam rantau ini seperti yang dibuat dengan baik di Jogjakarta, Jakarta, Bangkok, kalau tidak pun, Singapura. Tapi jangan terkejut, apabila terdapat festival filem "antarabangsa" yang pernah dibikin di Malaysia Barat sendiri yang langsung ditutup sebelah mata oleh media massa perdana kita! Inilah masalah kita sekarang, kita benar-benar tidak memahami apakah itu peranan "pengkritik filem". Ya, bukan menghentam filem sesedap rasa, tetapi memilih beberapa judul filem dalam tahun itu, baik dalam himpunan tayangan (hanya di Hollywood dapat lakukan ini) untuk pengkritik ataupun dalam festival, buat pengkritik mengulas dan menyatakan haknya, filem apa yang dipilihnya dan filem apa yang dia minta "dijauhi". Inilah lempangan terbesar untuk Festival Filem Malaysia yang merupakan acara temasya besar-besaran yang kosong tanpa suatu tujuan menyemarakkannya untuk tontonan/pasaran luar. Di sinilah, kita fahami, mengapa artis Bollywood yang berbau dan hidung tinggi itu datang ke Genting, contohnya untuk suatu majlis "festival filem" Filmfare Awards, dan entah berapa negara lagi, sudah tentu agar merakyatkan filem mereka dan menyatakan "filem ini untuk anda juga". Tapi aku faham, berkatalah kita macam-macam untuk masa hadapan wayang kita, namun sosok seperti Jurey Latiff masih bergaduh tentang hak si penganjur dan merajuk kalau tidak dipujuk. Entah ke mana wayang kita dengan keadaan "nak jaga hati" kumpulan para pemain industri sebegini.

14 May 2014

Drama Siri Kekasihku Seru: Menyeru Kembali

"Ke mari, Mas!" - Waris

Yeap, kalau kalian yang mengikuti blog aku, kau tahu betapa frantiknya aku dengan drama siri ini (aku lagi suka panggil istilah drama siri daripada drama rantaian), yang juga telah memenangi "drama rantaian terbaik" pada malam Anugerah Skrin 2009.

Minggu lepas, aku terjumpa dengan DVDnya di Speedys dan aku tak ambil masa untuk terus mencekup dan membelinya. Segila itu (walaupun ada kawan dah tolong muat turun dan salinkan dalam CD). Memang sedikit kecewa apabila mendapat tahu DVD ini tidak memotong bahagian awal (maklumat teknikal episod), tidak membubuh sari kata, dan tiadanya "bikin drama" francais ini seperti dalam versi DVD Singapura (jika aku tidak silap). Tapi cukuplah mengujakan apabila aku dapat kembali menonton drama pasangan Kabir-Mira yang baik ini. Aku juga mendapati, beberapa episod telah ditulis dengan baik oleh Nik Naemah Najad (aku harus ikuti penulis ini) dan episod terakhir musim ini (drama siri ini mempunyai dua musim, keduanya dijudulkan sebagai Waris, yang aku tunggu juga DVDnya) turut ditulis oleh Kabir sendiri.

Memang biasa, terdapat beberapa kekurangan jika ditonton beberapa kali, terdapat suntingan yang keras, runut bunyi yang terlalu, suara yang pudar, pencahayaan yang kadang-kadnag samar dan terlalu gelap, namun secara keseluruhan, produksi dan pembawaan drama siri ini merupakan antara yang terbaik, dan seperti yang aku kata, berjaya melanggar beberapa garis panduan yang pernah dinyatakan oleh Lembaga Penapis Filem Negara, dan aku gembira mereka menutup sebelah mata kerana ini. Terdapat yang jelas: hantu keluar dari kubur dan penggunaan azimat/tangkal pemberian ustaz. Kemudian ada yang samar-samar tapi sangat intrig dalam hal agama: orang alim agama meminta nasihat bomoh ilmu hitam untuk mencari cara menyelesaikan masalah saka, penggunaan jawi dalam penglibatan ilmu hitam (!), perlakuan watak yang jelas tidak solat dalam adegan, hantu (roh?) tidak tenteram yang mengganggu. Namun inilah kehebatan drama siri ini, melengkuk dan menyusur masuk ke dalam beberapa ruang tabu dan menjadikannya "perdana" tanpa disedari penonton/KDN. Dan ini dilakukan dengan amat kreatif dan kena sekali oleh penciptanya.

Penggambaran oleh Mohd. Nor Kassim juga jelas memperlihatkan percubaan yang bersungguh dalam mengulit gerak arah Kabir dan pancacerita Mira Mustaffa. Segalanya mempunyai maksud dan segalanya menyampaikan cerita dan debaran.

Ceritanya tidak sahaja sebuah cerita saka yang biasa (seperti yang terdapat dalam beberapa slot Seram lain yang entah apa-apa kadang-kadang) tetapi mempunyai perkara lain yang menjadikannya sesuatu yang amat elok dikupas dan dinilai dalam beberapa disiplin, malah dapat dilakukan suatu kajian, dan bagi aku, inilah kekuatan Kekasihku Seru


(yeap, aku buat sendiri, meneliti pertalian dua keluarga, satu yang disumpah dengan saka, satu yang menjaganya)

Jelas, kisah Marisa yang mencari "asal usul"nya mempunyai pertinjauan panjang dengan maksud "asal usul" dalam kebiasaan kisah dan sastera orang Melayu, malah asal usul merupakan antara citra jati diri penting (dan oleh sebab hal ini juga berkaitan dengan maksud bumiputera dan tanah tumpah asal) yang membayangkan suatu sejarah yang panjang dalam keperibadian orang Melayu terhadap tanahnya. Asal usul ini pula amat berkaitan dengan hal keturunan yang juga dalam hal ini, berkenaan sumpahan, atau dalam maksud drama sini ini, saka. Saka itu sendiri suatu "diwariskan turun temurun", yakni suatu kuasa ghaib yang terikat dengan perjanjian hitam keluarga itu, dalam kira melindungi dan memberikan apa yang diperlukan oleh keluarga itu. Marissa membuka kotak, membaca buku peninggalan Mas Suri, membuka sejarah dan sekali gus "asal usul"nya (Marissa mulanya hanya mahu mengenali siapa ibu sebenarnya sahaja) sebagai suatu rentetan peristiwa yang panjang dalam hal "kepunyaan" (Waris memegang pada janji bahawa kekasihnya, Mastura miliknya sampai mati/kiamat, alegori ini menyerupai perjanjian setan ala filem Barat atau "contract with the devil"), melepaskan (keturunan Marissa banyak menonjolkan sikap melepaskan ini, yang bukan sahaja membayangkan harta, tetapi nyawa dan kasih sayang, yakni terhadap anak) dan pengorbanan (arkataip Mas Suri yang dilakonkan dengan sungguh berkesan sekali oleh Umie Aida melakukan pengorbanan tertinggi dalam strata keluarganya atas beberapa sisi yang amat menarik dan menyoal ruang lingkup feminismenya).

Memang, dalam segala permulaan, seperti Adam dan Hawa, ia bermula dengan selembar kain putih (innocence), dan drama siri ini dengan sejarah panjang keturunan Marissa juga begitu. Mastura (moyang tertua Marissa yang memulakan sumpahan Waris) tanpa dia sedari, menayangkan campuran sikap nafsunya dalam maksud yang dia fikirkan "cinta"nya kepada Waris. Atas dasar nafsu dia membunuh ayahnya (adakah juga atas dasar cinta hal ini?). Apakah maksud dan ruang lingkup cinta dan bagaimana bila ia bercampur nafsu? Mira dan Nik Naemah berjaya menayangkan hal ini dengan teliti dan halus mengikut pemahaman Islam, yakni cinta sebenar terkawal dan menyeluruhi sesuatu yang tidak membelakangkan Tuhan/Rasul/Agama/Ibu bapa, sedangkan apabila termasuknya nafsu, segala batasan dan halangan daripada agama/institusi sosial akan dilanggar. Marissa membunuh ayahnya kerana itu demi menjadikan mayat ayahnya sebagai galang ganti jelmaan Waris si kekasihnya. Tidak mengetahui, jelmaan itu hanya jelmaan, bukan kekasih manusianya yang sebenar (sesungguhnya roh itu milik Allah jua). Ayahnya, Mas Sohor juga mengungkapkan, "Ayah sudah silap membesarkan kamu dengan kemanjaan, ini rupanya balasan Mas
kepada ayah," sebagai maksud halangan itu yang dilanggar oleh Marissa atas dasar cinta/nafsu. Ini menarik dari segi suatu lagi lingkungan, yakni perbezaan sosial.

Dengan jelas, drama ini mendefinisikan perbezaan sosial yang jelas pada awal masa Mastura-Waris. Ayah Mastura melihat "buruk"nya Waris kerana status sosialnya. Waris anak kepada seorang alim yang miskin - ulama pada masa itu merupakan suatu status yang tidak dipandang jika tiada harta atau tiada berkedudukan bersama raja/pembesar, maka boleh disedari, zaman itu dikonsepkan oleh Mira/Kabir bahawa masyarakat melihat harta dan kedudukan sebagai berstatus, bukan orang berilmu. Mengikut sejarah, hal ini sedikit demi sedikit berubah jika dilihat pada cara siapa anak cucu Mastura berkahwin. Namun paling jelas, setiapnya masih menjaga "nama baik", seperti bagaimana Mas Juita (lakonan berkuasa Betty Benafe) yang berkahwin dengan seorang pemimpin/pejuang politik kampung itu, Syed Ali pada waktu itu (era 1930-an) yang mana golongan itu merupakan golongan yang "terhormat". Hal ini disamarkan pada era Mas Suri (Mas Suri melakukannya atas dasar yang lain, bukan kerana cinta) dan dengan lebih jelas pada masa Marissa yang mengahwini Rashad, cicit piut Waris. Keadaan moden ini menunjukkan bagaimana maksud "status" tadi sudah berubah dari zaman ke zaman, malah bukan lagi maksud ilmu/harta/kedudukan dilihat tetapi pengisian emosi untuk kepuasan/ketenangan watak wanitanya. Dengan menarik lagi, pada zaman moden pula, status kedudukan/harta keluarga Mas Suri dibentak sebagai "buruk" kerana ketiadamahu keluarga itu bercampur dengan orang kampung. Agama menjadi dasar yang menambahkan lagi kesamaran identiti keluarga Mas Suri: lebih-lebih adegan tragedi dan kematian di kampung dilihat sebagai petanda "sial" dan "ilmu hitam" keluarga Mas Suri. Malah berlaku beberapa kali (lebih-lebih lagi watak Murad) yang menerpa masuk dan mengacau ruang Highland Estate keluarga Mas Suri. Sistem zaman itu diikat dengan undang-undang (seperti yang dijelaskan oleh si polis), tetapi dengan selamba dihentak oleh Murad dan orang kampung. Kedudukan dan harta sudah menjadi persoalan kedua (peralihan era feudal ke era demokrasi moden).

Hal ini dengan lebih menarik jika kita renungi maksud feminisme dengan citra watak wanita beberapa keturunan Marissa, yang kesemuanya secara tidak sengaja menonjokan watak-watak wanita yang kuat, yang bermula dengan Mastura yang jelas melanggar "adat" zaman itu dengan "berkahwin lari" dengan Waris. Sifat menyampaikan emansipasi dan keinginan wanita ini jelas dalam Mastura, walaupun tindakannya negatif. Masita (lakonan mengagumkan daripada Dira Abu Zahar), anak Mastura juga menampilkan watak wanita yang kuat walaupun terlingkup dalam pengaruh negatif Waris. Mas Juita merupakan antara watak yang terkuat kerana pada masa dialah, pencarian cara membunuh Waris diteliti. Mas Juita menonjolkan bukan sahaja pendirian yang dapat menentang lelaki (Waris) tetapi terikat dengan maksud agama. Anak Mas Juita, Mas Dahlia (Raja Ilya) pula jelas sebagai seorang feminis (tidak memerlukan lelaki) yang mementingkan harta sebagai maksud status wanita yang sebenar. Dia sanggup berkahwin hanya kerana memenuhi syarat Waris (untuk kekalkan milikan harta) malah Mas Dahlialah yang telah membelanjakan harta pusaka ibunya dan membesarkan empayar ekonominya dengan membina Highland Estate. Dan sudah tentu, citra Mas Suri merupakan watak srikandi yang diidam-idamkan, mendekati suatu gambaran watak wanita Melayu yang sempurna dalam segala maksud agama, adab, dan bijak. Marissa mengambil kebanyakan nilai ibu kandungnya dalam dirinya.     

Dalam persoalan besar cinta dan nafsu, drama siri ini dapat membayangkan maksud ini dengan subtle yang indah sekali, yakni perubahan dan sikap wanita terhadap lelaki dan perlakuan ini berubah apabila terdapat konotasi "anak". Di sinilah persoalan feminisme tadi dimasukkan. Watak seperti Mas Lela dan Mas Ayu pula ialah contoh yang menyerupai sedikit seperti Mastura dan kemudian, Masita (yang benar-benar mencintai Waris sampai mati), mereka diperlakukan sebagai watak yang lemah kerana mudah dipengaruhi Waris, malah menyatakan dengan jelas beberapa sikap nafsu yang melampaui batas agama (hedonis, zina, membunuh).

Dengan sendirinya, drama siri ini sudah membentuk suatu bulatan analogi tentang maksud feminis kuat yang merangkul nilai cinta yang sebenar dan pencampuran, atau kekeruhan suatu maksud cinta itu apabila dilempiaskan dengan nafsu. Menariknya, Kabir tidak menyalahkan, contohnya, mengapa Mastura atau Masita melakukan apa yang mereka lakukan kerana nafsu, tetapi menjelaskannya kerana mereka manusia, dan ini membuatkan gambaran watak mereka kuat dan membumi.

Menariknya, Mira dan Naemah menyentuh hal-hal yang tersalut diam dalam budaya, sastera, falsafah, dan cara hidup Melayu dengan begitu berkesan sekali, lebih-lebih lagi dengan ruang samar antara realiti dengan ghaib (kita tidak gunakan maksud fantasi kerana dalam ilmu Melayu, hal ghaib ini benar, sepertimana dalam Islam yang mewajibkan kita mempercayai fenomena ghaib), malah di sinilah kekuatan drama siri ini berbanding dengan slot drama seram yang lain (mungkin kecuali Tower 13 yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri). Persoalan seperti "tujuh keturunan" terselit indah dalam maksud tujuh keturunan Marissa (sebab itu wujud sekuel drama ini, Waris, jika dilihat bila sumpahan saka itu bermula), yang kepercayaan Melayu bahawa dalam keturunan ketujuhlah di mana suatu perkitaran akan berubah atau sumpahan hilang atau diminta kekal semua (contohnya, dalam sumpahan Mahsuri yang berakhir pada keturunan ketujuh). Kemudian, terdapat banyak lingkungan mainan budi yang dimainkan, suatu maksud adab yang lembut dan halus dalam falsafah Melayu, dengan keadaan ruang lingkup dan ruang tempat yang jelas berlaku antara Mas Suri dengan Marissa. Dengan jelas, konsep kurang ajar banyak kali dimainkan, yakni antitesis terhadap kurang adab. Adab merupakan suatu "ketertiban" yang sudah tersua dalam falsafah Melayu yang diikuti (jika tidak diikuti, padah), dan ia terpancar dalam muamalat, niat, pekerjaan, ilmu dan pelbagai hal bangun tidur orang Mekayu. Dengan jelas, Mira bermain dengan maksud adab yang dikacau seawal Mastura mengacau maksud adab dengan kelakuan melampau batas. Adab inilah yang dijaga dengan begitu teliti oleh Mas Suri dari sisi keluarganya, agama, ilmu, dan masyarakat (walaupun watak ini dengan sengaja dibayangkan hitam pada awal filem: semacam ahli sihir). Ini membuka persoalan menarik yang jelas dalam perumpamaan Melayu: lagi dikenal lagi cinta, yang membuka ruang humanis dalam adab Melayu yang berhati-hati dalam menilai seseorang tanpa usul periksa yang menyeluruh.

Memanglah, dalam mana-mana kisah hikayat pun, cerita yang baik lawan jahat akan berkumandang, dan dalam drama siri ini juga, walaupun terdapat sisi-sisi kelabu yang bagus, ruangnya tetap antara perlawanan ilmu Allah (Ustaz Abdul Qodir) dengan ilmu syaitan (Waris). Pertelingkahan ini tidak akan berubah selagi, seperti yang Mira jelaskan, manusia yang bersifat kelabu masih terpaut dalam maksud nafsu, tidak dapat mencari jalan yang telah disusun elok oleh agama dan adab. Dan sebab itu, hal ini dimainkan dalam sambungannya (terletak pada pendirian Maisara yang kecil) dengan cabaran yang lebih memeritkan: bagaimanakah seorang anak kecil menilai sesuatu itu baik dan jahat? 

Drama siri inilah yang membuatkan aku terpesona dengan Emelda Rosmila. Aku masih teringat sewaktu 2008, menontonnya pada awal itu membuat aku tertanya-tanya siapa wanita muda ini yang berjaya memaut hati aku untuk meneruskan odisinya dalam dunia pelik Mas Ayu (kepelikan dan misteri alam Highland Estatelah yang mencipta ruang dunia yang tersendiri dan unik). Aku juga kagum dengan Fizz Fairuz (ini sebelum Nur Kasih) dan deretan pelakon wanitanya yang hebar-hebat, khususnya Rose Iskandar (yang sangat berkuasa dalam perwatakannya), pelakon memegang watak Cik Wan (aku tak tahu namanya), dan Tengku Sariza (Kuza). Namun memang, drama siri ini bertiangkan Umie Aida dalam pelbagai pesona yang dia bawa. Dan sudah tentu Hairie Othman sebagai Waris yang mencengkam.

Suatu drama siri yang sememangnya diraikan dan seeloknya dijadikan rujukan pada masa-masa hadapan.

29 April 2014

Sniper(2014): Syot Tembak


"Kau nak jadi merpati atau kau nak mati macam babi?" - Pembunuh

Pierre nampaknya sedang mula memberi beberapa landasan dan percubaan baharu yang sedikit segar. Memang ngeri dan aksi bukan forte Malaysia. Namun dalam filem kecil dengan cubaan beberapa para pelakon (ingat bagaimana Syafiq Yusof melakukannya?) Pierre mula membentuk suara yang menarik. Mungkin filem ini ada kebosanan serta beberapa logika tertentu yang perlu dibaiki, namun premis keseluruhannya menarik.

Aku teringat filem Phone Booth, Scream, The Game dan Saw, bilamana kita bayangkan diri kita dipaksa masuk ke dalam satu mainan yang kita tidak mahu. Kita bangun, tiba-tiba dalam satu pemandangan asing, terasing. Kita celaru sebentar. Telefon bimbit berdering (kita punya? Persoalan inilah yang bikin filem ini disoal jika telefon itu kita punya, kenapa kita tak hubungi polis terus?), kita angkat. Suatu suara memaksa kita main dengan "menjadi pembunuh", "Nyawa kau atau nyawa mereka," kata si pemanggil. Apa yang akan kita lakukan?

Filem ini bergerak dalam satu percubaan mencipta keadaan latar yang celaru. Apa-apa dapat menjadi kemungkinan, pembunuhan boleh berlaku bila-bila terhadap si pemain/mangsa kerana mata pemangsa yang memanggil itu tidak kelihatan, mangsanya terasa terkapai-kapai. Integriti dan pendirian mereka dipersoal, diuji, dipermainkan. Dalam keadaan itu, adakah kita akan berjalan pergi dan melihat perkara itu palsu, atau betul-betul bermain dengan mainan "hidup mati" itu?

Mungkin penonton yang menonton akan kata filem ini ialah filem gaya melebihi isi (dan sememangnya pun), tapi lihat coraknya: pemangsa yang halimunan memilih mangsa tertentu - selalunya pemuda yang kelihatan berjaya dalam hidup dan mewah dalam material. Aku tidak dapat menyatakan siapa pembunuhnya, tapi dengan jelas suatu penentangan kelas (kelas mewah/berjaya dalam hidup fizikal/material) antara berjaya dalam masyarakat dengan tidak. Kemudian, latar flat perkeliling sengaja dipilih sebagai latar jiwa pembunuh (terlalu sedar), walaupun ini naif, namun ia menyampaikan kritikan: Pierre sedang bertanya jika mangsa-mangsa berkerjaya baik ini, adakah jiwa mereka juga dipenuhi kemewahan atau buruk dan sekosong ruang flat Perkeliling itu? Strategi pemilihan ini bukan sahaja baik buat Pierre kerana ruang ini akan dirobohkan, tapi maksud ruang yang akan dirobohkan itu sendiri menampilkan jeritan Pierre terhadap kekosongan jiwa masyarakat urban sekarang, perit hidup, dan kehilangan arah tuju anak Melayu. Seorang mangsa dengan jelas, dalam cabaran hidup tetapi mewah, dia sanggup berselingkuh. Entah berapa lagi yang hilang pedoman dan terperangkap dalam neon indah bandar dan materialnya.

Namun di sinilah masalah filem Pierre ini, hanya jikalaulah kita dapatkan lagi kedalaman perwatakan, lebih-lebih lagi dalam perjalanan "rohaniah" dan emosi Fadlan Hazim, mangsa utama si pembunuh agar dia tersiksa (kerana tidak ada sisi yang mengapa dia diuji dalam mainan ini kecuali satu maksud berkenaan dia sebagai seorang jaguh sukan penembak negara, dan hal ini akan membuka spoiler kalau aku bagitau) secara batiniah, kita hanya lihat percubaan gangguan emosi terhadap Fadlan yang sehala dan selapis, Pierre tidak minat untuk pergi lebih dalam seperti mana Collin Farrel disiksa dalam Phone Booth.

Rata-rata, walaupun baharu, Fadlan Hazim menunjukkan kemampuan yang positif, lebih-lebih lagi pada babak pertengahan, walaupun pada babak-babak awal Fadlan dan aweknya, Nina Iskandar begitu kaku. Fadlan tampak boleh menjadi sesuatu dalam dunia wayang jika dibimbing dengan baik. Iyelah, sampaikan babak-babak dia berjoging tanpa baju, minah sebelah tempat duduk aku dengan selamba, walaupun balaknya ada di sebelah memanculkan kata-kata: "Eh cantiknya mamat ni, siapa eh?" Namun kehadiran Pablo Amirul lebih membuka sesuatu walaupun Pablo tidak ada satu dialog pun, kehadiran dan cengkaman terhadap tanahnya benar-benar membawa ketegangan penonton. Mikael Andre, memang agak menarik.

Syot hutan dan kawasan usang diambil dengan menarik, walaupun terdapat beberapa babak gelap dan samar. Beberapa babak membangunkan sikap voyeur yang sememangnya merupakan tujuan pembunuh, yakni menyelami hidup mangsa/orang lain. Walaupun percubaan ini menarik namun kalaulah Pierre mempunyai maksud dalam hal ini, ia akan menjadi menarik, selain daripada persoalan takdir dan pilihan yang dimainkan dalam filem ini. Ada percubaan dalam membawa satu metafora yang menarik: sang lelaki dengan senapang(!) mereka berlatarkan hutan banat - manusia kembali pada alam secara asasnya, jadi adakah mereka akan jadi manusia atau berubah jadi haiwan? (kalaulah Pierre berikan sedikit klu mengapa metafora ini disengaja masukkan). Runut bunyinya walaupun perlu ada pembaikian masih OKlah dalam peredaran kemajuan muzik MiG. Suara dubbing dan suara langsung yang ditangkap dengan bising mengacau penonton. Ada penonton yang merasakan babak-babak tengah sedikit bosan, ini mungkin kekurangan kuasa Pierre untuk memberikan selang-seli kejutan walaupun keadaan ini sebenarnya menyerupai percubaan rasa manusia-hutan-alam Joko Anwar dalam Modus Operandi.  Terdapat juga suntingan yang amat terjaga, dengan percubaan menjalinkan pembagai sudut pandangan yang menarik, namun kadang-kadang ada babak terasa panjang dan boleh dsunting dengan lebih kemas. 

Suatu filem ngeri biasa yang menghiburkan.


25 April 2014

Oh Tuhan Sakit Perut Dah

Lepas ni boleh tak mereka panggil mahaguru Hassan Muthalib je, ni dah ulser perut dah ..

Yang ini panel Muz Amer pun ada. Dan Hani Salwah jadi moderator.


Matilah, orang kuat FINAS ada ... Aduh, aduh...

20 April 2014

Pintu Neraka(2014): Napoleon ialah Iblis

"Sampai hati Dato' permainkan persahabatan yang kita jalinkan ..." - Vida, wartawan yang baru dua kali bertemu Dato' Kamsani yang "berkawan" dengan Dato' untuk penyiasatan laporan beritanya.

Memasuki filem ini, dengan memakai topi yang dipakai oleh Hassan Muthalib, kita mungkin akan terbaca dengan imej realiti industri perfileman kita sekarang dengan watak Dato' yang sakit barah dan akan mati (kelesuan dan nyawa ikan filem Melayu sekarang) yang mendapatkan "rawatan alternatif" (strategi membaiki industri) dengan pertemuan bersama seorang "bomoh moden" (membikin filem tahyul/hantu gaya baharu).

OK, aku biarkan yang itu diisi oleh anak muridnya, para semiotik atau Pak Hassan sendiri untuk selesaikan.

Filem ini pelik. Pengarahnya bernama CKW, mungkin seorang Cina atau singkatan penerbit filem ini, Cahaya Karya Warna. Seperti Apokalips X, filem ini juga mempunyai kesan efek CGI yang menarik dan "above par" (setakat ini, KRU masih menjadi jaguh dalam teknik perfileman campuran CGI) daripada kebiasaan filem Melayu yang lain. Kisahnya bercampur unsur melodrama (ada ruang orang nak mati, tangisan dan sepakan pipi wanita), ngeri (dan tahyul/supernatural) dan Bront Palarae dengan suatu lakonan si penyiasat yang licik, yang jauh lebih efektif dan menyeronokkan datang daripadanya sedari Psiko Pencuri Hati

Dialognya panjang-panjang, kadang-kadang memenatkan (bosan) namun ada yang dibikin untuk membina mood drama yang hendak disampaikan, dengan bantuan suntingan dan syot, dan hal ini dilakukan dengan baik oleh pelakon Singapuranya, Raffi Khan dengan gandingan baik Sherie Merlis untuk menyelesaikan suatu garapan. Memang terdapat beberapa bahagian yang mengulangi kebosanan dunia Cerekarama TV3 yang kita tonton setiap Sabtu malam. Lagi-lagi dengan percubaan runut bunyinya (yang asli) untuk membina mood mendayu-dayu. Ada satu babak yang panjang yang mengikat Raffi (sebagai Dato' Kamsani yang terkena barah tahap keempat) untuk memujuk Sherie (isterinya), mula-mula klise, tetapi apabila Raffi melepaskan suatu nyanyian ala Lionel Richie, kita mempercayai kasih-sayang sang suami kepada isterinya, walaupun kita terasa agak gelik-gelaman melihat Dato'-dato' kaya bercinta dengan isteri separuh umur mereka. Mungkin ini pencapaian fantasi sang pemberi duit filem ini.

Suatu ruang yang amat aku puji ialah ciptaan "alam bomoh" yang Dato' Kamsani hinggapi untuk mengubat penyakit kroniknya yang sudah amat mendesak. Mungkin lakonan "ketua bomoh", Mahabub (Jefri Jefrizal) itu tidak sehebat Al Pacino, namun dunia pengarahan seni, gerak-geri, mood, latar dan semacam kultus kelas enam bintang yang dihinggapi oleh "para menteri, orang penting, dan peniaga terkenal Malaysia" untuk mendapatkan khidmatnya membuka banyak persoalan menarik (sekali lagi, memperlihatkan hipokrisi golongan atasan yang jelas berkurafat dengan Tuhan) dalam gaya Timur tentang "menjual roh sendiri untuk Iblis". Gaya ini mengingatkan aku dengan sofistikasi imej latar peguaman The Devil's Advocate, dan lebih-lebih lagi penjelmaan kumpulan penyembah syaitan novel-novel Dennis Wheatley. Hal ini jadi canggung apabila ada wartawan naif dan bodoh menyebut "Konspirasi!" (like, hello!) namun bibit-bibit babak antara orang-orang "above the law" ini yang mempesonakan dan menyeronokkan. Imej dan watak yang menyelubunginya membuka suatu dunia yang tersendiri, seperti kembali ke dalam suatu Black Lodge Twin Peaks. Ada si kerdil di sebelah sang bomoh. Ada potret Nepoleon Bonaparte (ini jelas mengambil suara Nostradamus, dan secara in-joke menyatakan *spoiler* setan berada dalam Napoleon untuk berjaya dalam kempen perangnya), ada dialog "tubuh yang aku duduk dulu lagi sedap dan kacak." Aku tak tipu.

Terdapat percubaan menyampaikan seram. Ada yang agak menjadi dan bolehlah membuat seorang yang tidak biasa, meloncat dari tempat duduknya, namun kadang-kadang hal ini tidak dibantu oleh para pelakon yang seharusnya memberi penonton rasa kerisauan itu. Namun CGI Dato' melihat cermin itu agak cool.

Macam biasa, filem ini tidak hebat mana, terdapat dialog yang begitu clunky diutarakan di hadapan orang-orang hebat seperti Shahronizam, Bront, dan Sherlie, terdapat bahagian yang begitu longgar, khususnya ruang, perwatakan, tindakan, dan lakonan si wartawan Vida itu, malah terdapat babak yang terlalu dipentaskan, terlalu bercakap dan bercakap tanpa gerakan imej (kalau ia bercakap sesuatu yang mendalami maksud drama dan perwatakan itu lain, seperti Lincoln), ditambah dengan banyak hantu yang keluar dari filem Ghostbuster di klimaks filem, tetapi buat mereka yang melayan filem tentang genre syaitan, cult, filem ini mungkin memberikan sesuatu untuk mereka kerana sudah lama tidak dibuat pun (sebelum ini kebanyakannya parodi, kecuali mungkin Susuk), sesuatu yang kita tunggu-tunggu daripada Dukun dengan perlahan dan sabar. Banyak tertawa dan terhibur menontonnya.

Klasifikasi: P-13, beberapa perilaku seks, ganas, dan seram yang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI TGV Wangsa Walk. 


07 April 2014

Apokalips X(2014): Farid ada Sayap

"Sape suruh masuk kelas gua?" - Pemukul

Hanya ada satu imej sahaja yang aku suka dan aku setuju dalam filem pascaapokalips Malaysia yang pertama ini daripada tangan bang Mamat kita, yakni pada bahagian akhir, Pendita ala Obi wan Kenobi (lakonan Pyanhabib) berjalan di tengah padang jarak berpuing bangunan kosong, diikuti Adam AF dan sekumpulan anak muda yang lain.

Menonton imej babak itu sahaja kita terasa suatu pengalaman memuaskan dalam perjalanan wayang kita, suatu pemaparan "epik" yang betul dan memahami maksud ruang dan bentuknya. Terasa harapan dan terasa momen baharu yang lebih menjanjikan dalam keadaan penuh fatalis dan mati (sinema kita sekarang). Ironinya, imej itu ialah imej (dekat) terakhir yang kita tonton, sebelum segalanya dilakukan dengan bayang dan ruang hitam dan kelabu berlatar bangunan DBKL di Titiwangsa. Nanti buat peminat kecil filem ini, bolehlah buat rombongan Aman Chai dan Qi Qi secara gerila di Flat DBKL tu untuk meraikan kembali grafiti dan contengan bajet rendah yang dibuat oleh produksi filem ini sebelum flat itu betul-betul diruntuhkan. Mungkin sempat juga peminatnya buat parti segempak festival asia yang lima remaja kita gol tu atas nama matahari Barat ke Timur.

Dunia filem pascaapokalips ini mempunyai beberapa ruang apokalips yang menarik, terdapat percubaan campuran lima bahasa "rojak", udara sudah toksik dan ada masa-masa tertentu, manusia yang masih hidup terpaksa hidup dengan topeng. Manusia yang sudah hilang pedoman hanya tinggal dalam puak-puak tertentu yang mendefinisikan mereka, sampai agama, bahasa dan bangsa hilang, hanya tinggal subbudaya dan anarkis, dan secara pelik, silat cekak. Manusia juga mengambil semacam suatu dadah untuk memperkasakan lagi tubuh fizikal mereka, sampai ada yang terbang dan menjadi selagak dewa.

Semua ini cantik, tapi mana ceritanya? Ceritanya terikat dalam empat puak terbesar, yang jelas kelihatan puak X (Farid Kamil) Merah Putih yang semacam menjaga minyak (peranan ini tidak dijustifikasikan dengan kuat) dan elektrik (perkara ini paling membingungkan aku), kemudian ada puak Sri Gala (Peter Davis) yang suka gaduh-gaduh dan perasaan dengki terutamanya Iqram Dinzly, kumpulan Flora yang penuh perempuan dan jaga tumbuhan (yakni punca makanan), dan akhirnya puak Kala (Jehan Miskin) Jengking yang selalu buat konsert Black Metal depan rumah mereka tanpa apa-apa maksud sebenar.

OK, pergerakan plot filem ini amatlah lembap dan bosan, malah bila ia berlaku, aku tidak sedar pun ia berlaku. Skrip tulisan Mamat ini, melihat pada bertahun filem ini dibikin, merupakan antara filem-filem terawal Mamat yang tidak disiapkan sampailah dapat buat bajet CGI yang dia perlukan. Tulisannya di sini amat didaktif yang naif, melakarkan kisah "sini adik-adik biar abang ajar sikit adik-adik fasal kontrak sosial" politik yang sedang membelenggu UMNO. Malah, ada bahagian yang kita terasa seakan-akan ditulis oleh budak tadika. Seorang budak tadika yang baru sahaja menonton Sembilu, dan mendapati Sembilu merupakan filem terbesar Malaysia untuk dipinjam dan diulang guna lalu ambillah plot serta dialognya di tengah-tengah landskap pascaapokalips. Aku serius takde hal kalau Mamat nak mengajar orang Malaysia, ahh, terus-terang sajalah, orang Melayu kita tentang kerosakan perpaduan yang amat sangat dalam kalangan kita, tapi jelaskan dahulu potensi dunianya. Persoalan kenapa berpuak dan tiba-tiba Iqram asyik panas bila tengok Adam (aku sure dalam diam dia gay dan nak Adam), apa tujuan dan peranan setiap satu puak ini? Kenapa awalnya mereka bergaduh ala Street Fighter? Untuk apa? Mainlah dengan ruang ini dahulu, yakni bagaimana setiap puak ini sebenarnya memerlukan antara satu sama lain, barulah ianya jelas hidup dan menjalar dalam dunia apokalips, ini tidak, jelas filem ini mengulangi Senario Lang Buana yang pernah Mamat tulis. Ini jelas, Mamat tak pernah baca Frank Herbet ataupun David Brin (aku rasa aku dah dapat detect seorang lagi mamat yang tak faham perbezaan fantasi dengan fiksyen sains, tapi fantasi pun ada undang-undangnya). Lagi sekali, kita buat skrip filem kena study dulu, kena faham latar ruang sai-fainya betul-betul, kita dah tak boleh sandarkan kepada "sebab idea ni best" semata-mata, kalau nak bandingkan filem ni dengan adaptasi Divergent, macam filem tadika dengan universiti.   

Ya, filem fiksyen sains mementingkan "sistem" dan "fenomena" yang dicipta. Dalam filem ini jelas fenomena sosialnya yang hancur. Kenapa hancur dan berpuak? Hal itu masih samar-samar. Dan apa kerja Pyanhabib? Aku rasakan, ini sengaja memalukan beliau, seakan-akan menyatakan: inilah yang kau dapat bila bagi si sengau memerintah. Hal ini sengaja aku bangkitkan kerana (yang aku dah dapat baca dari awal pun) terdapat babak imbas apa kerja Pendita sebenarnya pada awal filem, yang sepatutnya memberi ruang kejutan dan sentuhan emosional, tetapi jika disedari sepenuhnya bentuk filem ini, ....

Kalau pun Mamat hanya gunakan latar apokalips ini sebagai ruang untuk dia berdakwah fasal agenda politiknya (aku boleh dengar Mamat berucap, Bersatulah bangsaku!), fine, takde hal, tapi dia kena make sure gaya yang dia gunakan (sebab dengan jelas filem ini dibikin dalam style over form) setaraf bentuk dunianya. Hanya imej terakhir yang aku akur indah. Bagaimana dengan kisah topeng dan udara toksik, kenapa tidak diperdalami lagi? Ada banyak babak yang aku tahu merupakan cita-cita besar Mamat tapi dilaksanakan dengan begitu amatur sekali. Sekurang-kurangnya terdapat juga bahagian sedap seperti klimaks Farid yang mengamuk di pangsapuri dan final fight. Tetapi semuanya tidak dapat menyampaikan suatu kepuasan yang sepatutnya.

Filem ini aku percaya dibikin sebelum nama Pekin Ibrahim naik. Ada percubaan yang baik dari segi lakonan tapi masih dalam gaya yang amatur. Jehan menyambung tradisi Prof. Klon yang biol dan satu dimensi. Farid mencuba tapi dia bukan Superman. Adam tak bermaya. Peter Davis pandai tayang puting. Oh ya, dalam dunia pascaapokalips Mamat, si wanita macam bebudak Jepun Gothik dan si lelaki suka tunjuk puting dada, mungkin ini sahaja jawapan Mamat kepada penonton wanita yang mahu membanding dada sasa dan puting pelakon lelaki mana yang paling menarik. Selamat menonton puting.

Klasifikasi: P-13, beberapa perilaku yang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak, namun beberapa kata kesatnya sudah dipotong LPF, lagi menambahkan kesima mengapa perlunya LPF mendidaktikkan kehidupan harian kita. F*** LPF. 
MENONTON DI GSC Berjaya Time Square. 

Nota Tambahan (berserta spoiler):
Aku sepatutnya sudah berhenti, namun aku tersinggung apabila ulasan poyo aku ini dijadikan cerita berkenaan agenda aku menjatuhkan Melayu (nauzubillah) dan entah apa-apa lagi kecaman. Beginilah, sarkastik aku menulis berkenaan puting itu adalah perasaan sangat marah dan tersinggung aku bila aku membayar menonton filem ini dan itu sahaja yang aku dapat, hal ini amat mengguris perasaan aku, bayangkan, harga tiket sekarang bukan macam dahulu, dan ini hak aku sebagai penonton, tapi mereka peduli apa kan? Jadi mahu lagi? Mahu lagi apa yang aku tidak puas hati? Ini merupakan nota-nota ringkas dalam perbincangan dengan seorang pengkritik tersohor berkenaan masalah filem ini:

Begini:
then i would like to know, what was the point they created the gelanggang lawan? Why was there so many "puak" .. i understand the "idea" of its creation semantically, but what about the execution of the story that moves the character? Who created this puak-puak? Was it Pendita? Why Pendita let it (pergaduhan ala Street Fighter) happen then made a decision to make a pact (perjanjian) after a tragedy?

Some even said: if you can have time in grooming your hair, can't you built a better world, like in Divergent?

Kalau benarlah Pendita melakukan "konspirasi", yakni membenarkan Kala secara senyap utk membunuh semua orang lalu diri Kala sendiri juga atas utk membebaskan golongan muda itu untuk "berhijrah", mengapa tidak ada babak yg menayangkan initial scene kenapa hal berhijrah ini tidak dapat dilakukan kerana terikat dengan puak yang diketuai oleh otai-otai? Tidak ada satu babak pun menunjukkan mereka melarangnya. Tidak ada logik dunia yang konkrit apa yang akan berlaku jika mereka berhijrah (cth: ada puak kanibal/orang makan orang di suatu ruang tertentu, contohnya)

Perwatakan yg dicipta terlalu satu hala, satu dimensi utk melihat sisi-sisi lain. Ada satu babak yg amat menyakitkan apabila ruang tidak dimainkan, ketika Qiqi dirodok hanya di sebelah abangnya (Iqram), tidak ada isolasi ruang atau mainan ruang, semuanya mcm dibikin dalam satu bajet tertentu. Jika pun ianya chaos, tangkapan imej tidak memberi kepercayaan kepada penonton logik itu. Hanya jika Qiqi pergi ke satu ruang lain, lalu Pekin mengikut lalu merodok, mungkin itu dapat diraikan. Masalahnya, kareografi dan mainan ruang tidak dititik beratkan dan jelas "asal jadi".

Dan jika watak dibangunkan hanya sebagai karikatur dalam membayangkan representasi sketsa atau farsa (seperti filem-filem Monty Phyton, tapi lihat, ini bukan filem komedi, ini drama-aksi), bgmn dengan penonton yg mahu "root" untuk watak tersebut, tidak ada "kasih sayang" atau memberikan wajah utk penonton peduli atau "care", ini jelas dlm setiap watak Apokalips X kerana tiada percubaan memberikan watak suatu "perjalanan emosi", seperti jelas yang kita lihat wujud dalam filem apokalips seperti Mad Max, The Running Man, Snowpiercer, Water World, Book of Eli. Teliti dengan betul, selalunya kebanyakan filem apokalips akan mengangkat satu watak dalam satu "perjalanan", lalu penonton akan terikat dengan jalan cerita kerana perjalanan emosi watak tersebut, perkembangan apa yang akan berlaku dengan watak. Hanya beberapa filem, seperti Delicatessan yang mempunyai pelbagai watak, namun jelas filem itu sebuah filem "komedi-farsa" tentang kritikan sosial masyarakat Perancis, dan setiap imej melakarkan watak karikaturnya dengan jelas.

Dan dialognya, saya benar-benar terkejut ... beberapa babak Amanchai-Qiqi membuka kembali babak-babak Sembilu, dan ini amat menyakitkan, babak cinta Awie-Ummi dalam Hantu Kak Limah lebih jelas dan berchemistry. Babak-babak cinta Amanchai-Qiqi amat kaku dan hanya menghamburkan dialog atas dasar menghamburkan dialog.

Saya faham Mamat ingin mengkritik sosiopolitik yang bobrok dalam dunia sekarang, tetapi yang lebih penting ialah memberikan cerita. Jelas, 10 minit awal kita tidak jumpa ke mana filem itu hendak dibawa, tidak ada quest, matlamat dan konflik yang berkesan, sampailah kepada percubaan yang kononnya kisah cinta amanchai terhalang, dan imej yg diberikan terlalu poyo utk kita mahu amanchai dan qiqi utk berjaya dalam percintaan. Ini masalah yg Mamat perlu sedari. Sebab at stake, he has good ideas but if he cant execute it, cakaplah apa-apa pun, penonton takkan percaya.

Snowpiercer bagi saya menjadi kerana konfliknya jelas, ada matlamat dlm sisi pembongkaran konspirasi - jelas golongan kelas rendah merancang hendak "take over" kereta api terakhir dunia untuk membebaskan diri drpd penindasan kelas atas. Jelas, sgt jelas. Lalu mainan konspirasinya akan dibuka sedikit demi sedikit sampai pada akhir filem. Bagaimana Apokalips X menggerakkan konfliknya? Matlamatnya? Cth jelas: utk apa Pendita ke ruang/tempat baharu apabila tempat itu tidak dikecam/tindas oleh mana-mana kuasa luar lain malah tidak dikecam dari segi alam sekitar (penjagaan toksik tempat itu terkawal, bersistem dan ada tanaman/makanan dan elektrik wujud, tiada tanda ia akan lenyap atau habis, tidak ada babak contohnya bahawa minyak makin menyusut), jadi ambiguiti ini kita tidak terima kerana ketiadaan matlamat yg langka. Tujuan Amanchai hendak keluar dr tempat itu jelas kerana dia mahu "kahin lari" dan keluar drpd sistem undang-undang X dan puak lain, yakni suatu alam yg lebih bersatu padu, tapi itu masih pendirian peribadi dan tidak terangkai kepada komuniti. Anak muda lain tidak sibuk pun terasa mahu "kahwin lari" sepertinya. Maka tujuan tinggal tujuan, konflik tinggal konflik. Ini masalah filem ini, tidak disemak betul-betul sebelum produksi.

Permainan ruang dengan fungsi burung suatu lagi contoh (hal ini sedikit menganggu dari segi logik kerana adakah burung itu dijaga dan dimanakah mereka dapatkan burung-burung itu apabila udara dunia sudah toksik?). Ada satu babak dengan naifnya menunjukkan si pemberitahu bahawa "Burung sudah mati" maka toksik akan berlaku. Dalam erti kata logik, jika lelaki itu duduk di luar kawasan bangunan, suatu tempat sedikit jauh dan melihat sahaja burung mati (babak ini menggunakan unsur daripada Close Encounters of the Third Kind) lalu cepat-cepat pakai topeng lalu berlari ke ruang komuniti, mungkin imejnya lebih diterima. Hal ini kerana angin yang membawa udara "toksik" bukan turun dari atas ke bawah (seperti banyangan filem ini sebab itu lelaki itu di kawasan atas) tetapi dari Barat ke Timur atau apa-apa bentuk horizontal. Hal inilah, jika dibawa kepada tontonan umum orang luar, tentu memalukan kerana melewakan logik.

28 March 2014

The Fight Goes On

Terdapat suatu esei menarik oleh Amir Hafizi tentang sikap "sense of belonging" yang tiada dalam diri orang Malaysia. Dalam bikinan atau budaya menonton filem tempatan.

Hal ini berkenaan kejutan The Journey yang melepasi garisan tamat pecah panggung.

Baru-baru ini, filem Indonesia yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan peminat filem dan filem aksi, The Raid 2: Berandal diharamkan di Malaysia. 

Seorang pengkritik memberikan kenyataan yang sedikit "panas", tentang penjajahan psikologi dan sikap pascakolonial dan teori Huntington.

Ini pula merupakan kenyataan seorang kawan pengkritik di FB:

Malaysia's cinema 'experts' or whoever responsible for selecting the movies that get a go in the local cinemas have decided to ban 'The Raid 2: Berandal'. This is probably due to the fact that 'The Raid 2' is an awesome movie. As we already know, most of Malaysian filmmakers don't really believe in the idea of making a decent movie, which explains why most of their movies are so crappy and embarrassing that I wouldn't dream of watching them even if my life depended on it. And please don't say "Inilah orang kita (Melayu), bukan nak sokong filem sendiri." If the movie is crappy and people don't wanna watch it, that's because it's crappy and people don't wanna watch it. Race or patriotism has got nothing to do with it.

26 March 2014

Zombi Kilang Biskut(2014): Biskut!


"Buat apa nak takut ngan zombi, otak pun takde." - Ucop Wilca

"Isyk, tak logik!" - Ucop Wilca

Ulasan ini pendek sahaja. Tak perlu otak sangat untuk mengulasnya.

Memang, awal-awalnya, apabila filem ini AKHIRNYA dibikin, aku menggeleng, melihat pada judul ini pernah menghiasi kredit akhir Hantu Kak Limah, aku melihat cubaan Mamat itu untuk mencuit para penonton agar "tidak meneruskan nafsu untuk melihat sambungannya" atas dengan sengaja betapa cheesy judul itu. Kemudian, filem itu menjadi (antara) filem pecah panggung tertinggi, lalu segalanya sejarah. Penonton yang terbau bacangnya, tentu akan terus mengikuti sambungannya, seperti mana-mana strategi filem luar (filem "kampung pisang" ini sudah masuk empat siri, walaupun Mamat memecahkan filem ini sebagai sekuel kepada Zombi Kampung Pisang, akan ada penyudah trilogi filem ini, yakni Zombi Ultimatum).

Dengan mengikut jiwa, dan mengejutkan aku juga (kerana aku peminat filem zombi), aku seronok menonton Zombi Kilang Biskut.

Ya, aku tak tipu.

Kau tahu, aku pernah bengang dengan Mamat kan? Dengan ejekan mamat terhadap wajah, tingkah laku, dan cara zombi dalam filem asalnya, kali ini, semuanya jelas (Mamat takde Tom Savini, bayangkan zombi-zombi Fulci yang tak kuat bergerak tapi penuh gore), darah terpacul, tangan dada tengkuk dikekah, zombi terhencut-hencut, kereta diterkam, zombi disula. Aku macam, "Wow..!" OK, baru-baru ni kita ada KL Zombi. Tahap gore dan sedap zombi Mamat mengalahkan KL Zombi pada tahap Awie menendang pondan.

Cerita? Pergi mampus dengan cerita. Dialog? Macam Ki***. Ada plot menyimpang yang tak masuk akal, tak logik (yang berkali disuarkan oleh Ucop dengan sengaja) berkenaan seekor pontianak merah. Tapi showdown pontianak itu amatlah geli hati nak mampus dalam erti trash semata-mata.

Syot kamera? Ada bahagian menarik, tapi ada bahagian hancur, suntingan juga bergetar. Kareografi macam setan tapi ada juga yang syok. Ada zombi tak tahu tugas zombi (tapi aku maafkan sebab aku peminat Fulci). Syot malam cantik, macam biasa. Pelakon macam biasa, tapi aku terkejut dengan kehadiran mamat gemuk selalu berlakon filem MiG tu yang bagi aku boleh tahan lawaknya dalam filem Mamat ni.

Ya, ini filem trash yang benar-benar sampah seperti filem awal John Waters, sekali lagi, yang tak perlu banyak berfikir dan meneliti untuk memahami bajet rendah, tiada babak seram mengejutkan, dan sekali lagi anak Mamat Khalid tidak boleh berlakon, dan bagainama babak aksi dalam filemnya masih tahap kecundang.

Dan Mamat Khalid dengan kiut berkeroncong macam kutu lepak kampung dengan budak-budak muda!

Ini ialah filem kartun Mamat -

- Tapi ia benar-benar menyeronokkan sampai menjilat buku lali. Otak sampah aku terhibur menontonnya.

ps: Jangan lupa runut bunyi best Awie yang selamba nak mati.

Klasifikasi: U, tetapi perlu berjaga-jaga dengan darah dan ganas zombi dan ponti di layar. 

MENONTON DI GSC Berjaya Time Square. 

14 March 2014

Laga(2014): Politik Lelaki

"Sampai kiamat pun perempuan takkan faham rahsia lelaki." - Sabri


Aku rasa menyesal tidak menonton filem ini di pawagam. Aku kiranya tertipu apabila seorang kawan dari Pulau Mutiara sudah menonton filem ini dan menyatakan filem ini hancur dan membuang masa, malah dia menyatakan bahawa filem ini disadur daripada filem Tamil yang baik, Aadukalam (2011). Aku mempunyai pandangan bahawa jika sesebuah filem saduran itu diadaptasi dalam bentuk yang tempatan, yang sesuai dengan budaya kita dan tidak terlihat kecanggungan budaya luar yang disadur itu, itu tidak apa (walaupun hal ini tidak asli lagi), tetapi jika ia disadur dengan adaptasi yang lemah dan masih terkongkong dalam nilai dan cerita filem asalnya, filem itu mempunyai masalah.

Laga merupakan contoh yang terdahulu, suatu filem yang disadur, jika bukan kemas dari segi susunan cerita dan pembikinan, mempunyai bentuk dan nilai yang jelas memberikan kepuasan dalam tontonan wayang Melayu. Aku tercari-cari jika wujud lagi Rahim Razali atau terkemudian (dan ini lebih jelas) gaya Isteri, Perempuan & ..., dan hal itu dapatlah ditemui dalam percubaan Ismail Yaacob ini.

Dengan mengambil latar sabungan ayam (dalam sebuah kampung yang tidak dinamakan), kita sudah menyedari kondisi ini menyerupai ruang Jogho, lantas gelanggang sabung ayam itu juga seperti bong kelahi kerbau, menjadi latar luas pertelingkahan politik dua pakatan sebuah kampung (negara). Dua pakatan ini diterajui satunya, seorang pejuang sabung ayam "asli", Hassan "Laga" (Wan Hanafi Su), dan di satu pakatan lagi orang kaya Dasuki (Nasir Bilal Khan). Hassan diperlihatkan sebagai jujur berjuang dan merupakan jaguh laga. Namanya masyhur dalam kampung itu sebagai seorang lelaki sejati yang sejati. Dasuki pula asyik kalah dalam lagaan secara tradisi dengan Hassan, makan pertelinghakannya dengan Hassan bukan lagi kerana wang tetapi maruah. Dasuki saling mencabar Hassan. Hassan dipaparkan banyak diam tetapi tersusun kata untuk diluahkan, bertindak apabila perlu bertindak. Dari jauh sahaja, susuk Hassan jelas seorang pemimpin yang berkarisma, yang bijak. Dasuki juga bijak, hanya mungkin tidak bernasib baik, lalu atas desakan ingin menang, menggunakan pelbagai kerja kotor untuk melangsaikan keinginannya.

Keinginan ini boleh sahaja dilempiaskan sebagai maksud nafsu. Menariknya, nafsu ini berkaitan dengan seks (politik dan seks sentiasa seiringan). Menarik lagi, mungkin dengan sengaja, Hassan dan Dasuki dipaparkan tidak mempunyai anak - petanda masalah dalam kelakian, juga maksud kekontangan isi juang. Maka perjuangan/kelelakian/kaliber mereka tentu "mandul" atau tidak sempurna. Dasuki mempunyai seorang isteri kaya yang cantik walaupun sudah meningkat tua. Hassan pula mempunyai seorang isteri muda, Ayu (Marsha Londoh) yang memberahikan. Mungkin atas kehadiran Ayu, Hassan sanggup bersabung dengan Dasuki setelah lima tahun tidak bertanding, atas maksud Ayu sebagai piala kehebatan/ketokohan Hassan, yang juga nanti kita akan tahu, juga bersikap material terhadap Hassan.

Dunia sabung judi ayam Hassan-Dasuki ialah dunia politik yang mencari pengaruh atas maksud kehebatan suara/nama (Hassan) dan harta/strategi (Dasuki). Kedua-duanya kotor dan lincah, dan dinyatakan dengan seksis, sang wanita tidak akan memahami mengapa mereka tetap berlumuran dengannya. Sang polis pun, walaupun kadang-kadang mengganggu ruang "haram" ini, tidak dapat berbuat apa-apa. Rujukan ini jelas mengkritik kuat lapangan politik Anwar-Mahathir yang masih bergelodak sekarang: kedua-duanya kotor, haram, penuh penipuan, dan melampaui kuasa yang ada dalam negara tersebut. Pengikut terus mengikut membuta tuli, seperti yang dibayangkan dalam Sabri (Syazwan Zulkifli), Seman (Eman Manan) yang menyokong  Hassan, dan Along Eyzendy yang menyokong Dasuki.



Separuh awal filem ini seperti memberi ruang perwatakan dan konflik Hassan-Dasuki. Secara pelik walaupun menarik, separuh lagi tiba-tiba membawa kita pada kaca mata Sabri yang dalam lamunan bercinta dengan Maya (Tyas Mirasih), seorang gadis Jakarta yang tinggal sekejap dalam rumah ibu saudaranya (Ruminah Sidek). Mungkin jika penulis skrip Jamal Ismail dan Ismail Yaacob lebih menumpukan suatu tumpuan lengkap dalam perwatakan Sabri sedari awal dalam ruang pertama, hal itu mungkin menjadi lebih sempurna.

Namun begitu, kisah Sabri ini menarik untuk dilihat dalam kelangsungan dan betapa jauh tokoh patriakhnya, Hassan (yang dia panggil Pak Cu) boleh pergi dalam hal maruah dan maksud "perjuangan". Dan hal inilah yang cuba ditampilkan oleh Jamal dan Ismail dengan tekun pada bahagian kedua.

Secara sinikal juga, ada suatu bahagian yang amat menarik berlaku dalam babak hospital apabila Sabri setelah dipukul dan berdarah mendepani Maya. Dialog Sabri dalam Melayu dan Maya, Indonesia. Aku tahu hal ini disengajakan oleh Ismail, secara sinema, konfrontasi filem Melayu yang diwakili Ismail menghadapani filem Indonesia bawaan Maya (filem romantik remaja setentunya). Dan, dengan jelas, walaupun mereka "jatuh cinta", Sabri menunjukkan sifatnya, Sabri tetap Sabri: filem Melayu tetap filem Melayu, begitulah bentuk dan rupanya, walaupun mereka boleh berkahwin (usahasama) dengan Indonesia.

Ada beberapa momen yang begitu mengasyikkan, dan keadaan Ayu yang memahami bahawa dia hanya bermain sebagai simbol seks semata-mata telah menggunakan ruang ini dengan baik sekali, sebagai suatu simbol pertarungan antara Hassan-Dasuki. Ismail sengaja mensenyapkan suara feminis untuk dilepaskan dalam filem ini, malah wanita dalam filem ini lebih celaka daripada wanita dalam Jogho. Wanita dalam pandangan orang kampung seperti Hassan, dan kemudian Sabri (kecuali jika Sabri keluar daripada pandangan itu) hanya objek semata-mata. Hal ini menghina namun berlaku dalam realiti masyarakat dan maksud penyampaian kritikan politik Ismail. Kerana itu apabila Ayu menunjukkan reaksi rusuhannya dengan membanting pinggan, hal itu terasa. Suatu imej menjelaskan dengan baik apabila Hassan mencari suara tangisan isterinya, lalu Ayu mendepani kamera dengan ruang yang begitu kecil dan terperosok tetapi memandang penonton dengan sayu, sedangkan Hassan mempunyai ruang legar yang lebih luas. Ayu sebagai objek menyampaikan ketidakpuas hatinya dalam keadaan yang begitu genting dan ditindas oleh patriaki Hassan, atau juga budaya buruk masyarakat itu yang melebihi ego lelaki terhadap kemahuan kaum hawanya. Hal inilah yang menjadi perkara ironi terhadap Maya yang jelas modenis dan sedikit liberal (wanita dari bandar, malah dari ruang Indonesia yang lebih terbuka dan berani jati wanitanya) yang sanggup mencintai Sabri. Mungkin, dalam diam, Maya melihat perubahan dalam Sabri (yang akan memahami kebobrokan budaya dan nilai kampungnya), dan hal ini yang diharapkan olehnya.

Suntingan filem ini boleh dibaiki, namun tetap mempunyai suatu kebaikan dalam sejumlah filem Melayu yang ditayangkan. Terdapat satu babak eksposisi untuk menerangkan watak Maya oleh Yus Jambu si badut kampung yang ditinggalkan seperti nasi basi dalam kawah. Gerak dan aksi laku sabungan ayam dirasai dan intrig, kengeriannya terasa, dibantu dengan percubaan memasukkan efek bunyi khas pada setiap perlawanan. Gerakan silat dan pertarungan dalam filem ini juga menarik, walaupun tidak menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu. Kekuatan sebenar ialah percubaan syot pelbagai oleh Indera Che Muda yang berjaya menangkap beberapa momen sinematik yang unggul, walaupun mungkin dalam kamera digital. Ada beberapa bahagian jelas kelihatan ketelitian Indera dalam menangkap mis en scene terbaik untuk menangkap emosi dan maksud babak. Dan hal ini jelas berjaya dalam ruang gelanggang dan mainan ruang dalam rumah kampung, dibantu dengan pengarahan seni yang baik juga. 

Lakonan anggota filem ini berpadu dan mengikut peranan yang diperlukan dalam sorotan cerita. Aku tertarik dengan lakonan muda Syazwan Zulkifli yang jelas matang dan menyampaikan perannya dengan baik. Syazwan mempunyai beberapa detik yang menggiurkan sebagai seorang jantan, dan paling padu adalah babak dia bertentang mata marah dengan Eman Manan, klasik! Beliau merupakan antara pelakon wibawa yang baru dan patut diangkat. Wan Hanafi Su menunjukkan sekali lagi dengan kuasa minimalisnya menyampaikan banyak perkara. Wan Hanafi patut dicalonkan sebagai pelakon lelaki terbaik sekali lagi untuk ini. Eman Manan, Nasir, Zaidi Omar, Along dan Rosyam Nor memainkan peranan mereka dengan sederhana, dan hal ini tahu disengajakan, namun tetap berfungsi untuk gerakan cerita. Marsha dan Tyas juga memainkan peranan yang baik dan bersungguh dalam penggambaran watak mereka. 

Kelemahan sebenar filem ini adalah runut bunyinya. Beberapa saduran lagu luar dimasukkan untuk mencapai efek Tamilwood yang diingini. Namun Ismail ada juga memberi ruang sunyi untuk watak bercakap. Aku suka lagu debaran (menyerupai lagu filem U-Wei) awal pembukaan filem ini. Bukankah elok jika Ismail terus meminta pembikin lagunya untuk menyampaikan emosi sama dalam babak-babak yang dia ingini agar lebih mencengkam dan asli maksudnya. Lagu pop dan saduran yang dimasukkan kadang-kala membingitkan dan mengganggu kekuatan layar imej yang sudah dipersembahkan.

Laga merupakan suatu kejutan, suatu harta yang tidak didendang dalam wayang Malaysia. Seharusnya filem ini diberikan peluang sekali lagi untuk tontonan semua.

Klasifikasi Laga: 18, Terdapat babak erotik, bayangan lucah, dan keganasan yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

13 March 2014

Vennira Iravuggal(2014): Malam Putih Perakas Rajaram


Filem ini direkomendasi oleh Hassan Mutahlib.

Ada sesuatu yang tercapai dalam cara yang begitu amatur dan tidak terkesan oleh pembikin muda (ini filem kedua beliau?) Perakas Rajaram. Namun dari sudut itu, pelancaran Perakas untuk membina penceritaan ini dalam dua set masa yang berbeza, yakni perjalanan fizikal Megala (Sangeeta Krishnasamy) ke Myanmar mencari Ramesh (Magen Raman) dan perhubungan awal Megala dengan Ramesh sewaktu belajar di Universiti Sains Malaysia dipuji. Perakas mengambil masanya, membuka selapis demi selapis kulit bawang, yakni wajah-wajah yang kita tidak kenali tentang Ramesh (keadaan ini sama seperti gaya cerita wayang kulit dan makyung kita) dengan pelbagai topeng yang dipakainya, membuka setiap sudut yang sedikit demi sedikit kita akan menemui wajah "perwira" Ramesh supaya "hutang budi"nya terhadap Megala akan terlangsai, atau membawa pada suatu jalan yang lain.

Filem ini sebuah komedi romantik, tidak perlulah kita gusar tentang itu, yang memberi peluang Sangeeta untuk bersinar sebagai mata kepala kita untuk mengenal "si lelaki bedebah" yang dia cari di Myanmar. Sangeeta sebagai pelakon Tamil tempatan elok dipuji, seorang primadona muda yang akan bergerak indah jika diberikan peluang. Dari sisi matanya dengan segala reaksinya, kita mempercayai kejujuran dan kelantangannnya. Dia akan menemui Ramesh, yang berlagak jelas seperti Hanuman yang bermain-main namun mungkin, dalam segala topengan itu, seorang Arjuna yang tetap pada dirinya.

Filem romantik ini kembali dan berbolak-balik dari status masa sekarang (Megala mengejar Ramesh di Myanmar) ke status masa lampau, yang bermula seperti sebuah salinan Ali Setan. Ramesh yang berperwatakan Ali Setan dengan menjelikkan, mempermainkan para junior, dan antaranya ialah Megala. Bahagian ini mungkin menjadi kesukaan anak muda India yang terkinja dengan buah dan bunga zaman muda-mudi. Keadaan dan persembahan jelas stereotaip (malah apa lagi yang baharu jika cerita ini diulang-ulang?) antara percubaan Ramesh menyunting Megala. Dan pada bahagian-bahagian ini, mungkin ia lebih dekat dengan lidah Tamil kerana komedi lisan yang disampaikan tentu sesuatu yang menggelikan hati.

Namun keadaan menjadi lebih menarik untuk filem ini apabila sepertiga filem ini sudah dilalui, yakni keadaan Megala yang mula menyedari Ramesh "indah khabar daripada rupa". Penyimpangan ini yang menyelamatkan filem ini, dengan beberapa lagi penyudahan secara masa lampau yang membuka lagi latar cerita Ramesh dan motivasi yang dia lakukan (poin terpenting, mengapa dia menghilang di Myanmar). Keadaan ini membuatkan kita, setelah apa yang kita dihidangkan untuk memberikan suatu harapan baharu buat Megala-Ramesh, dan ini yang penting dalam mana-mana kisah cinta: harapan kedua.

Percubaan Perakas melatarkan orang Melayu dan orang Myanmar sebagai watak pacak menarik, dengan menyampaikan bagaimana luasnya diaspora dan keberadaan orang India dalam tanah air Asia Tenggara, dan secara langsung menyerap dan menyumbangkan budaya mereka dan berkongsi budaya dengan budaya besar Asia Tenggara. Hal ini menjadi suatu penelitian yang menarik tentang suara India Selatan di tanah Nusantara dan sekitarnya.

Secara teknik, beberapa babak Myanmar sengaja diperluaskan latar syot untuk bukan sahaja menangkap keadaan "luar negara lebih cantik daripada negara sendiri" tetapi menjadi suatu latar enigma cinta-tragedi antara Megala dengan Ramesh. Keadaan ini dipuji walaupun beberapa bahagiannya kelihatan canggung. Babak di Malaysia merupakan antara babak yang melemaskan, dengan beberapa klise yang memenatkan, malah lazim dan terlalu biasa. Babak ini tidak dibantu dengan percubaan Perakas memasukkan percubaan memperolokkan pensyarah, babak MTV, dan babak pijak kasut. Mungkin ini kelaziman yang berlaku dalam sebuah filem Tamil komersial namun hal ini janggal dan terlalu dapat diramalkan. Pertembungan watak Ramesh dan ayahnya dikelilingi pencakar langit di Singapura (dengan jelas Ramesh mengkritik watak ayahnya yang "tidak kenang budi", yakni tidak kenang tanah air sendiri) dengan jelas meletakkan suatu latar yang terlalu jelas dan cengeng, walaupun ia menyampaikan maksud. Secara logik, ia begitu cengeng untuk si kaya bertemu anak berlatarkan durian gergasi Singapura (dan aku terasa semacam terlalu romantis pula).

Runut bunyi filem ini dalam jaluran lemah, dengan beberapa salinan runut bunyi, walaupun melodi balada yang akan dimainkan amat menarik. Rata-rata lakonan para pelakonnya biasa, yang terkesan sekali sudah tentu lakonan Sangeeta yang membawakan wataknya dengan selamba sekali. Magen mempunyai sesuatu namun mungkin hilang buat penonton bukan India.

Suatu percubaan menarik dan komersial.

Klasifikasi Vennira Iravuggal: U, Terdapat babak minum arak, sabung ayam, dan telatah negatif Ramesh yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.