28 December 2010

Janin(2010): Semuanya Kerana Eja

Aku respek kat Hitler Zami. Filem pertamanya, Dunia Baru bagi aku seronok dan ada semangat anak-anak muda Melayu, walaupun mungkin, hal ini tidak mungkin akan dipersetujui oleh Ridhwan Saidi.

Hitler sendiri pernah mengarah beberapa telefilem seram, yang bagi aku, segar dalam mengikat watak muda dalam latar kampung dengan hantu-hantu tradisi zaman berzaman. Aku tak ingat, tapi kalau aku tak silap, Godoruwo lakonan Diana Danielle merupakan sebuah contoh yang baik. Aku suka dengan temponya, latarnya, suara malamnya, lakonan cerita itu, detik ngeri sehingga kepada menakutkan, semuanya terjaga dengan baik sebagai sebuah telefilem.

Hitler juga pernah membikin filem VCD berdasarkan majalah Mastika (di dalam filem ini, hal ini dijadikan rujukan dalam sebuah babak) yang bagi aku ada potensi, tetapi hancus dengan sebuah babak drama radio yang teramat panjang.

Janin kali ini nampaknya mengembalikan kembali kesemua yang bagus tentang Hitler dan kumpulan produksinya, serta kecacatannya.

Aku mulakan yang cacat.

Ada tiga perkara yang menyebabkan filem ini CACAT.

Pertama, mahu tidak mahu, walaupun intrig dan beberapa drama dalam filem ini menarik, kita seakan menonton sebuah cerita pendek yang diperpanjang-panjangkan. Kisah filem ini sangat lurus dan terang, jadi adalah menggusarkan apabila kita diperlahankan dengan beberapa babak yang terlalu tampak dilewah-lewahkan. Aku tidak kata konsep dan drama dalam keluarga Eja-Hairi tidak menarik, atau watak-watak orang kampung tidak menarik, hanya, pembinaannya terlalu mengambil masa, semacam sebuah drama Stephen King yang "membina watak" yang agak lama.

Sebenarnya, aku setuju dengan cara Hitler memilih untuk memperbanyakkan watak dalam kampung, dan hal ini, semacam sedikit Dickensian, semacam novel Stephen King, juga Shanon Ahmad dan Keris Mas, menampakkan dunia "kampung" itu hidup dengan sebuah komuniti (orang kampung tidak pernah individualis, sepertimana yang dipaparkan secara didaktik terhadap orang jahat dalam filem ini). Masalahnya, penjelasan kepada matlamat (dalam filem ini, menangkap si pencuri) tampak lemah, dan hal ini boleh diperkuatkan lagi dengan reaksi dan aksi orang kampung. Aku kira, beberapa filem seram Indonesia lama pernah melakukan hal ini dengan baik sekali pada 80-an.

Kedua, ada beberapa teknik suara dalam filem ini yang lemah, kadang-kadang kita tidak dengar suara si pengucap (seakan-akan boom suaranya dihala tempat salah!). Ini membuakkan memori aku terhadap babak-babak Heaven's Gate tanpa suara yang membunuh kerjaya Michael Cimono sebagai pengarah yang boleh bekerja dengan Hollywood.

Ketiga, aksi seramnya. Serius, Ahmad Idham, walaupun menggunakan aksi seram klise dalam Damping Malamnya, aksi-aksi itu "memeranjatkan". Hitler mempunyai beberapa babak yang tampak kuat untuk melakukan hal ini, tetapi tidak dimaksimumkan sebaiknya. Ada tiga babak yang tampak tidak dipergunakan dengan baik dalam filem ini. Satu, bagaimana tangan isteri Zami Ismail "dimakan". Kedua, babak tuan punya hantu janin dibaham oleh hantu janin (adakah kerana LPF babak ini tiba-tiba fade out??) Ketiga, babak Munah digilis batu.

Serius, adakah kita tidak ada kareograf dan tukang aksi seram yang betul-betul memahami "detik", ruang, jeda untuk membuakkan tempo seram? Sampai hari ini, tidak ada satu filem seram Malaysia yang boleh aku rasa seram dan takut dan merasakan efeknya berkesan, serius masih belum ada. Selalunya, antisipasi sudah terbina baik, tetapi hasil akhirnya tentu mengecewakan. Mungkin kita hanya boleh mencapai tahap renungan bulat mata Kak Limah sahaja (kerana itu aku ketawa setiap kali Kak Limah muncul, ia begitu mencuitkan) atau seperti filem ini, si penakut terkencing melihat si hantu bertenggek di pokok.

Dalam kecacatan ini, filem ini mempunyai jiwa yang indah, yang sudah lama aku tak jumpa. Aku teringat akan filem-filem "seram" moden Robert Aldrich yang mencampur-baur kehidupan semasa perempuan ala melodrama-noir untuk menampakkan kesuraman dan kegelapan jiwa manusia (hal ini lain dengan ejekan Roman Polanski yang lebih tajam dalam filem-filem seram urbannya). Hal ini, diletakkan di atas bahu si wanita Eja untuk mengangkatnya, dan bahu Eja agak berjaya menanggung beban ini.

Menariknya, filem ini bukan sahaja berkenaan alam ghaib (rujukan ghaib filem ini, berkaitan dengan bunyi dalam laut bila hantu itu muncul, juga memberi klu kewujudan hantu itu, yang juga berkait dengan simbolisme kuat, bagaimana LAUT meliputi bumi. Rujuk babak awal yang mana laut memenuhi skrin dan hanya sebuah rumah kayu tercacak di tengah laut - survival manusia terhadap alam yang dia tidak kenal begitu membahayakan, juga begitu simbiosis terhadapnya. Ini suatu penanda yang amat indah diluahkan Hitler) tetapi berkenaan lelaki dan wanita yang wujud di dunia. Kita dapat lihat bagaimana dinamisme sosial, juga psikoseksual yang berlaku di antara golongan tua dan golongan muda, yang terikat dengan tanggungjawab (golongan tua) dan mempunyai keinginan dan nafsu (golongan muda), dan bagaimana kalangan bodoh (atau diumpamakan bodoh walaupun mereka tidaklah begitu, ini satu pandangan menarik Hitler terhadap anak muda kampung, nilai ini sangat positif) dan pandai menjadi penentu dalam dinamisme lelaki-wanita, tua-muda ini.

Dalam segala tanda sosial, pecahan strata sosial, peranan jantina, Eja, di sini, berada di tengah-tengah komuniti patriaki dan mendepaninya dengan sifat wanitanya yang benar. Hal ini berkait kembali dengan "laut" tadi (atau air, yang mana simbolnya selalu negatif, di sini juga). Laut ini, mahu tidak mahu, seakan mempersonafikasikan Eja, dalam segala keghaiban dan misteri (laut ialah misteri! itulah ikatannya yang indah dengan alam ghaib!), wanita lebih menjadi "misteri" yang masih tidak dapat dikenali oleh lelaki atau masyarakat. Jiwa wanita yang dalam tidak boleh disangka, seperti dalamnya laut. Sebab itu, dalam pengakhiran filem ini yang mengejutkan, orang tidak dapat "memahami" tujuan Eja melindungi "anak"nya. Hal ini jauh "dalam" untuk diselami. Babak akhir itu, sekali gus sedih dan juga menakutkan, mencapai aras-aras emansipasi jiwa gelap wanita, sepertimana filem-filem Robert Aldrich. Malah, aku merasakan, Hitler dan penulis skrip filem ini, Wan Hasliza sengaja membikin filem ini untuk berdakwah secara senyap kepada para pasangan muda belum nikah: JANGAN BUANG BAYI! Malah, itulah rentak yang dimainkan oleh Hasliza dan Hitler dalam membandingkan pasangan golongan muda (yang tidak ada tanggungjawab berat) dengan golongan tua (keluarga membawa tanggungjawab). Dan hal ini diikat, sepertimana tanah dan laut diikat sebagai alam yang diperlukan, dengan indah sekali.

Hanya aku tak sedikit setuju, apabila Eja diberi RUANG sebagai wanita yang meletakkan keputusannya (dia merangkul hantu itu), dipujuk-pujuk oleh Harith Othman. Mungkin, Hitler menyatakan dengan kebenaran sosial, bahawa sang lelaki tetapi membenamkan ruang para wanita berperanan. Tetapi, secara sinema, aku menyukai jika pada masa ini sahaja (dan sememangnya ini masa Eja!) diberikan kepada Eja dan Eja seorang (meratap atau menyatakan apa dia rasa).

Lakonan filem ini baik, khusus Eja sebagai wanita kampung. Aku amat menyukai lakonannya. Beberapa pelakon muda juga tidak mengecewakan. Bunyi dan runut bunyi filem ini juga menarik. Tangkapan kamera filem ini juga menarik, walaupun aku tidak berapa setuju dengan terlalu banyak sorotan layar (panning) yang dilakukan. Aku harap Hitler tidak terlalu masyhuk dengan gaya ini seakan raja panning si Rashid Sibir. Lagipun, filem seram banyak memerlukan syot fokus dan suntingan satu-dua saat, dan bukan lenggok kamera yang beralun ke kiri dan ke kanan. Efek filem ini masih lemah, lebih-lebih lagi dalam jelma-hilang si hantu, tetapi solekannya agak cun, walaupun tidak seram, ia membawa detik hantu-hantu Indonesia zaman 80-an yang mengkagumkan.

Filem ini ditonton untuk melihat kehebatan Eja, mainan dinamisme komuniti (yang aku lebih setuju dalam Hantu Kak Limah Mamat Khalid yang lebih seimbang dan tampak peranan-peranannya mengikut gerakan plot) kampung, serta panas dingin masyarakat terhadap sesuatu yang pelik. Filem seram ini sudah dekat mengena sasaran, tapi terkandas dek beberapa hal yang boleh dibaiki jika diberi masa yang lebih panjang untuk menggulatinya.

7 comments:

Anonymous said...

abaikan je golongan penyadur macam blogger penipu tu. kerja mereka cuma menghisap dan terus menghisap sampai kurus kering mati kau jadinya.

saat omar said...

babak akhir mengingatkan aku pada Dark Water...

ZAM SHAH RIZAL said...

bro,vcd keris dari mustika tu bukan yob hitler yg direct tapi opie zami...yob hitler cuma berlakon dalam vcd tu...

fadz said...

ye ke? hahahaha, shoot! tapi awat gayanya sama cam dalam mustika yg aku tgk tu?

fadz said...

sori, mastika..

Nazim Masnawi said...

"Hanya aku tak sedikit setuju, apabila Eja diberi RUANG sebagai wanita yang meletakkan keputusannyeri RUANG sebagai wanita yang meletakkan keputusannya (dia merangkul hantu itu), dipujuk-pujuk oleh Harith Othman."

Aku rasa tak. Dia langsung tak nampak keliru dekat situ. I think by the time dia rangkul that kid, she knows exactly what she wants to do. She's just taking her time. Harith never talked her into anything. It's clear dia tak nak just "let go" of anak dia lagi. As orang yang lahirkan dia, she realised yang dia is the right person untuk bawak budak tu keluar dari dunia ni.

fadz said...

i mean babak lepas Eja bunuh anak dia, masa Hairie Othman pujuk2, ini bukan anak kamu and stuffs.. masa tu bagi aku sepatutnya biarkan eja saja tapi mungkin direktor nak tunjuk, ini dunia Melayu, sang lelaki masih perlu bersuara.