05 December 2013

Papadom 2: Farsa Untuk Diraikan

Selepas menonton filem genre komedi keluarga ini, aku keluar dari pawagam dengan tersenyum. Yang lebih menarik, cerita dan imej-imej dalam filem ini masih terngiang-ngiang dalam kepala aku. Aku cuba nak dissect filem ini seperti filem-filem sebelum, aku rasa macam aku tidak mahu, sebab rasa dan perasaan yang aku dapat itu, sudah cukup untuk aku buat masa ini, aku tak mahu analisa dalam-dalam.

Kerana aku suka, amat-amat suka dengan filem Afdlin yang satu ini.

Aku rasa, Afdlin sudah mencapai suatu fasa yang matang dalam cara pembikinan filemnya.

Aku dah maklum, ya aku cepat menangis, tapi untuk filem ini, pengalamannya lain. Memang Afdlin pernah cuba melakukan cantuman unsur tawa-tangis, kalau tidak silap dalam Buli Balik, serta filem asal ini, Papadom (2009). Namun untuk filem ini aku dapat ketawa dan menangis sekali dalam sesebuah adegan, dan pengalaman begini jarang-jarang berlaku dalam wayang. Afdlin sudah mencapai takat ahli dalam penyampai emosi dan suasana.

Filem sekuel ini menyambung kisah Miasara (Liyana Jasmay) yang sedang berjuang dalam industri perfileman di bawah pengerjaan bikinan pengarah Jay Rahman (Khir Rahman) di Kuala Lumpur. Saadom (Afdlin Shauki) pula masih di Pulau Pinang, kesunyian dan merindui anaknya, berjaya dalam bisnes. Cerita muncul apabila Saadom mendapat tahu (melalui kawan baik Mia secara tidak sengaja) Mia hendak kahwin, dan hal ini membuatkan Saadom "menjelmakan kembali" arwah isterinya, mencetuskan tindakan egonya untuk melawat anaknya di KL.

Cerita ini hidup sememangnya daripada penelitian dan kepandaian Afdlin dan penulis skrip, Haris M. Nor dan Nurul Akmar Salajudin. Dialognya terasa cepat dan tertuju, situasinya jelas, kena, dan terkena batang hidung, dengan penyimpangan-penyimpangan yang memancutkan gelak ketawa. Ini sebuah farsa keluarga dan masyarakat semasa yang amat menjadi. Suatu komedi tentang pembikin filem kita, tentang khalayaknya, dan mereka yang inginkan lebih daripada itu. Paling berani ialah Afdlin menjugel unsur kelakar dan serius dalam satu babak dengan lancar sekali. Beberapa isu dan situasi yang disampaikan sememangnya serius, dan Afdlin dapat sampaikan dengan pengimbangan yang begitu sesuai dengan gerakan babak dan gerak jalan cerita, menyampaikan komedi yang sekali gus dramatik.

Banyak babak yang membuatkan aku terkucil ketawa. Antara yang aku suka ialah pembongkaran Saadom terhadap seorang daripada "pakwe" Mia, suatu kultus mamat motor besar (wow, menyindir habis ni!) yang kita tergelak melihat bagaimana Afdlin menyindir golongan ini "ah, inilah bapak-bapak mat rempit". Sudah tentu, jus terbesar filem ini adalah "filem dalam filem", yakni pandangan kritikal Afdlin tentang keadaan industri perfileman kita sekarang. Dengan jelas, Afdlin terasa risau tentangnya, dan Afdlin ingin menyampaikan kritikannya (dengan menjentik FDAM itu sudah cukup menggelikan hati) atas nama sayang terhadap mediumnya. Setiap entiti dalam perfileman itu ditegur, dicubit dan ditertawakan. Babak-babak ini seakan farsa terbesar selepas Layar Lara terhadap latar filem tempatan.

Roh filem ini sudah tentulah tentang penjalinan Afdlin-Lyana yang masih ampuh dan feeling-feeling. Afdlin dan Lyana menyampaikan lakonan mereka dengan berkesan dan jalinan ayah-anak yang amat menjadi, penuh dengan kekalutan dan kerisauan mereka. Vanide Imran yang jelas "membantu" di sini turut ditampilkan dengan berkesan sekali, dengan pemberian ruang yang begitu ampuh, menjadi kunci pada semua maksud perhubungan Afdlin-Lyana. Dan yang mengejutkan ialah kehadiran Khir Rahman sebagai pengarah veteran yang cepat marah dan "penuh seni". Beliau bakal menang pelakon pembantu lelaki terbaik untuk FFM. 

Aku juga suka bagaimana Afdlin kali ini menggunakan unsur arwah isteri dengan betul dan berada pada ruang-ruang yang betul. Hal ini menimbulkan kembali persoalan psikologi yang jelas berkenaan tekanan dan kekhuatiran dalam diri Saadom, malah penimbulan babak-babak ini yang mengangkat sekali gus memberikan kesinambungan yang terurus cantik dalam filem ini.

Ada yang menyatakan runut suara filem ini sedikit mengganggu, tanpa pengkhususan dalam kawalan. Syotnya juga tidak indah. Namun bagi aku, walaupun syotnya biasa (sebenarnya penuh subtle dan berlapis) tetapi ia tidak mengganggu penceritaan, malah hal ini pun wujud dalam mana-mana filem komedi baik, termasuk yang pernah dibikin oleh Billy Wilder (rujuk Some Like It Hot) ataupun Sidney Pollack (rujuk Tootsie). Yang lebih penting ialah detik gerak (pacing) filem ini terkawal dengan suntingan yang lawa dan cepat. Afdlin dan penyunting benar-benar memberikan suatu detik gerak yang terbaik dalam filem komedi Malaysia.

Aku cuba tidak mahu bersikap "intelektual" (dan sebenarnya boleh untuk analisa filem ini!) dalam membuka lagi persoalan dan kandungan filem ini. Cukuplah untuk aku katakan, aku terhibur, aku menangis, dan aku mendapat sesuatu daripada karya terbaharu Afdlin ini. Filem yang sememangnya dibuat sesuai sewaktu hantu dan gangster menyerang wayang kita, sesuatu yang memberi kisah yang kita sama-sama dapat rasai dan alami. Sesuatu yang mesti diraikan seisi keluarga. Ini suatu kemenangan buat Afdlin. Filem komedi terbaik Malaysia tahun ini.

Klasifikasi Papadom 2: U(?), Terdapat babak akhlak buruk dan arak yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI Cineleisure, Damansara Mutiara. (Tayangan Umum: 12.12.2013)

No comments: