01 June 2011

Let The Bullets Fly(2010)

Western Tofu yang tangkas, kelakar dan pilu dalam Let the Bullets Fly(2010).

Semalam aku tonton sebuah filem yang spetakular, panjang dan amat memuaskan. Aku tidak pernah tonton filem-filem Jiang Wen (yang juga berlakon sebagai ketua bandit, Pocky Zhang). Aku tahu, filem yang beliau bikin ini merupakan antara filem komersial (beliau selalu membikin filem seni) beliau, dengan pertolongan lakonan Chow Yun Fat yang hebat (sebagai ketua samseng di Pekan Angsa) dan bantuan Ge You (Gabenor yang terpaksa memberi tempatnya kepada Pocky Zhang) yang cukup berkaliber.

Aku tidak pernah mengikuti western Cina (genre kung fu sebenarnya banyak meminjam pergerakan dan bentuk formula filem-filem western) tetapi jika inilah filem pertama yang aku tonton, ianya begitu sempurna sebagai sebuah "wayang".

Filem ini bergerak pantas, dengan dialog wit indah Cina, yang saling cabar mencabar papar semangat anak jantan (ini berkenaan semangat filem-filem samseng Cina) juga mainan kata politik yang cukup menggelikan dan intrig. Aku tahu, separuh daripada pemahaman bahasa akan hilang jika kita tidak faham Mandarin, atau dialek Cina yang diutarakan, tetapi terjemahan Inggerisnya cukup menggelikan dalam beberapa tahap, khusus dalam memahami keinginan dan permainan yang diutarakan oleh setiap watak, khusus Chow, Jiang dan Ge terhadap antara satu sama lain. Hilang persona "seteru" di antara mereka dan wujud suatu pemahaman "persaudaraan dalam penipuan" sesuatu yang licik dan sekali gus indah dalam filem "komplot" sebegini.

Dalam satu babak, Jiang Wen mengucapkan kepada anak angkatnya, "Kau patut jauhkan diri kau menjadi seorang penjahat atau ahli politik", dua perkara yang memang, pada waktu itu merupakan peranan Jiang Wen. Kita faham, falsafah Jiang, politik itu sama "rendah" dengan seorang samseng (dan beliau sahaja yang boleh melakukannya), berseteru dengan "penjahat paling licik", Chow Yun Fat. Ini, kita faham, merupakan pergerakan cerita untuk Jiang Wen mendepani "hal ini" dan berkembang menjadi "lebih baik" daripada seorang penjahat/ahli politik.

Dan sesungguhnya begitu indahnya perjalanan itu! Plot cepat berubah, dengan Chow dan Jiang saling berseteru dan bermain api.. Penonton akan memerhatikan kelicikan aksi filem, tetapi yang lebih indah adalah "strategi" yang dimainkan Jiang Wen dalam melihat mainan catur beliau dan Chow yang saling hendak menjatuhkan. Mainan utama adalah maruah, dan ini dipermainkan secara getir dan seronok.

Ada beberapa unsur komik, yang aku kira disengajakan atas nama menghormati zaman 80-an di mana kebanyakan filem sebegini bermula (dengan komik sebegini). Tetapi itulah yang paling mengejutkan. Dalam satu babak, apabila Jiang Wen sudah mencapai atau melampaui pemahamannya terhadap "politik dan penjahat" dan mencapai ekstasi estetika, perasaan kagum terhadap kemanusiaan atau hidup mereka, tiba-tiba, seorang lelaki datang untuk mengambil kerusinya. Babak itu, sekali gus kelakar, dan memilukan. Kelakar kerana, seperti logik cerita, orang ramai hanya bidik catur sang penguasa, atau tidak kenal dengan "mainan" orang berkuasa, dan hanya bergerak memiliki (di sini, mengambil harta) sesuatu yang diberikan, yang juga mengeluarkan pilu, bahawa tidak ramai manusia di dunia dapat mencapai apa yang Jiang Wen, pada saat itu rasakan. Ini amat memilukan.

Filem ini, sememangnya harus ditonton.


4 comments:

zulazahari said...

Aku yakin filem ini akan menjadi mangsa remake oleh Hollywood.

TMBF said...

Great minds think alike. :)

AbduL QaDir said...

semacam Pupl Fiction, filem ni absurd, ada banyak cakap dan ada banyak darah....

P/S: menurut Wikipedia, hollywood dah pun beli copyright untuk remake!

Anonymous said...

betullah bro, cerita ni memang best lah! thx for introducing!