06 January 2010

Haxan: Witchcraft Through The Ages (1922) - Relevan, Saintifik, Fantasmaorgasma, Menakutkan


"I also confess that I went to the Sabbath on Trina's broomstick"
Perempuan tua.

Ini sebuah filem yang wajib ditonton oleh semua peminat filem seram, walaupun kalian tidak suka menonton dokumentari.

Haxan, merupakan satu dokumentari pengkajian tentang dunia yang tidak difahami oleh manusia rasional, syaitan dan ahli sihir - persoalan yang dibawa: adakah syaitan benar-benar wujud, dan jika ia wujud, untuk apa dan siapakah pengikutnya?

Filem ini sebenarnya sebuah esei Christensen, seorang "pengkaji" tentang dunia ahli sihir. Christensen cuba untuk membawa penyelidikan sains, sekurang-kurangnya dunia perubatan dan psikologi dalam memberi "jawapan" atau keputusan terhadap fenomena ahli sihir: kenapa ia tampak "menjadi" walaupun tahyul, kenapa ia ditakuti, sampai dijalankan "witchhunt", dan kenapa manusia mempercayainya.

Pandangan Christensen senang: kerana manusia pada zaman pra sains (sebelum orang Barat menemui rasionalisme dan bergerak ke arah pengkajian saintifik secara kuantitatif) tidak boleh atau tidak dapat membayangi kebesaran alam, lalu daripada situ, "ciptaan-ciptaan" ditemukan untuk mencorakkan satu realiti, bahawa Syaitan wujud untuk menyusahkan manusia.

Ini merupakan poin rasional Christensen. Memang hal ini amat "letih" untuk difikirkan, malah bukan itu yang diberi oleh Christensen pada awal filem ini. Pada awalnya, kita lihat seorang paderi tua sedang menulis satu kertas ceramah(?) Tiba-tiba, dari belakang meja itu, muncul seekor Iblis (lakonan pengarah sendiri) yang menjelir lidahnya, gelap, bogel, bertanduk, cuba menerkam paderi itu. Babak ini mempunyai kuasa sejarahnya yang tersendiri:

1. Untuk pertama kalinya, kita lihat sesuatu yang mencabar minda kita. Sesuatu yang "tak wujud" pada mata kasar "diwujudkan" atas skrin. "Syaitan itu benar". Ini sebenarnya tujuan Christensen untuk menggambarkan "fantasi" para paderi zaman itu. Hal yang saintifik dan pengkajian yang berjela-jela tiba-tiba merubah ke fantasi. Realiti jadi fantasi, atau fantasi yang kita tonton itu "benar" tiba-tiba (maka kita menerima kata-kata yang dituduh ahli sihir, walaupun kita tahu secara harfiah ini satu pembohongan). Bukan, ini bukan sahaja fantasi, tapi fantastikal, juga menjurus ke seram. Kewujudan syaitan ini memaparkan, dalam mana-mana filem Barat, syaitan itu perlu "muncul" melebarkan tujuan kejahatannya.

2. Dalam sejarah, babak ini memaparkan undang-undang mengejutkan penonton; kejutkan penonton dengan nano saat, tanpa diduga, dengan paparkan "hantunya" secara tiba-tiba. Hal ini sekarang, dengan keberkesanan teknologi suara dinaik taraf lagi untuk menakutkan penonton, malah telah diterajui dengan kelas sekali oleh William Friendkin dalam The Exorcist (babak wajah Captain Howdy sewaktu Reagen diexorsist) dengan efek super imposednya yang sampai kini tidak siapa dapat mempakarinya. Pengarah filem Malaysia sekarang perlu belajar daripada Christensen apa yang membuatkan babak kejutannya ini tetap mengejutkan orang, walaupun tanpa suara!

Apabila hal ini berlaku, bermulalah satu pengembaraan yang mistik, dan fantastikal tentang dunia ahli sihir. Filem ini sebenarnya terbahagi kepada empat. Pertama, pembukaan tentang etimologi syaitan, kedua, tentang dunia ahli sihir, ketiga, tentang "witchhunt" dan "sabbath" ahli sihir, dan keempat, resolusi dan hasil penemuan Christensen.

Bahagian keempat, walaupun merupakan resolusi, turut memberi makna yang kuat: kita takutkan perkara yang kita tidak faham. Hal inilah, seperti histeria dikaitkan dalam sains memahami ahli sihir dan penyihiran, malah ianya amat penting, ia sekali gus menjawab persoalan: kenapa kita masih menonton filem seram dari sudut prasedar psikologi kita (kita yang membentuk "takut" kita).

Dalam satu tontonan, anda mungkin akan merasa letih menonton filem ini, tetapi serius, anda perlu sedar bahawa kalau mahu menonton filem ini, tontonilah secara berpecah, kerana setiap perpecahan memberi makna emosi dan kuasa imej yang berlainan (babak kedua babak paling menyeronokkan). Malah bahagian ketiga dan keempat sangat menyakitkan, anda akan merasakan kekerasan paderi kristian sewaktu pembunuhan orang awam beramai-ramai atas tuduhan ahli sihir merupakan tragedi yang lebih menakutkan dan menyeramkan daripada syaitan itu sendiri.

Hal ini berikutan pemakluman sihir dalam fatwa dan perundangan Islam Malaysia baru-baru ini. Aku begitu menyokong hal ini digerakkan (menghapuskan sepenuhnya pengamal sihir, serta mereka yang memohon daripada mereka), tetapi persoalannya, bagaimana hendak menyukat "sihir", dan adakah Malaysia akan melakukan penyiasatan "witchhunt" sekejam zaman pra sains Barat, bagaimana pula jika bomoh itu sendiri menggunakan sihir terhadap hakim untuk menyongsang mereka? Hal-hal inilah yang dipersoalkan dan amat masih samar untuk diaplikasikan, memandangkan, penyihiran (orang yang menggunakannya, sampai mati tidak akan mengaku dia sudah syirik) itu sesuatu yang amat bifizikal, seperti yang dipaparkan dalam filem ini.

Filem ini tetap boleh ditonton atas kuasa imej Christensen dalam membayangkan, daripada buku-buku lama, bagaimana bentuk dan cara pemujaan dilakukan pada zaman dahulu, bagaimana rasa fantastikalnya ahli-ahli sihir atas penyapu mereka, serta bagaimana proses "witchhunt" dengan semberono atas kuasa politik gereja untuk menjaga institusi mereka. Imej-imej ini amat menggegarkan, malah antara yang termoden dari segi penceritaan dalam sebuah filem bisu. Filem ini merupakan filem penting dalam rak filem-filem seram.


2 comments:

Dude said...

saya dah tonton filem ni.
menarik.
part kelakat: masa witch2 cium bontot setan. hahahaha.

fadz said...

Dude, hang mmg suka filem2 puja syaitan eh?

dah cuba Witchfinder's General? Dah cuba filem2 Argento, trilogi 3 mothers? Dah cuba Rosemary's Baby?