Showing posts with label ngeri. Show all posts
Showing posts with label ngeri. Show all posts

04 April 2007

Chermin (2007)


Selepas merasa dukacita apabila Dukun tidak dapat ditayangkan, sekurang-kurangnya tahun ini, filem sebegini ada dalam pasaran.

Filem ini bukan sebuah filem seram, ia lebih kepada filem fantasi-ngeri atau 'supernatural thriller'. Filem ini juga bukan yang terbaik di dalam genrenya, tetapi sebagai sebuah filem sulung sutradaranya, filem ini bolehlah dibanggakan.

Yang paling penting, filem ini ada jiwa. Malah, 'hantu' di dalam filem ini (Deanna Yusof) mempunyai kewujudan tiga dimensi (ditolong juga dengan kekuatan lakonan Deanna), malah kadang-kala 'kemanusiaan' (mempunyai kelemahan diri, sedar dirinya juga mahu dicintai). Idea seorang perempuan yang sangat cantik menandingi wanita-wanita cantik yang lain serta berperadaban tinggi yang ditakuti adalah idea tradisi yang disulami feminisme (Deanna ditakuti bukan sebenarnya kerana kuasa sihirnya, tetapi kuasa kecantikannya dan peradabannya). Malah, Deanna sebenarnya mengajar (walaupun terpesong) Natasha untuk menjadi seorang wanita yang lebih kuat, feminis. Dan Deanna berjaya dalam ini.

Simbol feminisme dalam filem ini kuat, dan menariknya membawa juga maksud-maksud Melayu tradisi (andartu, janda muda, perempuan buruk, perempuan gila royan, perempuan mengumpat, ibu penyayang). Beberapa simbol kewanitaan dibawa cantik dalam filem ini, malah simbol-simbol ini menandingi lelaki (ayam dibunuh), dan membunuh perempuan yang 'lemah'. Maka itu lelaki dalam filem ini disengajakan 'lemah', malah tidak ada kuasa mempengaruh (kecuali sheikh di akhir cerita, yang sememangnya seksualitinya neutral). Perempuan adalah pembuat pilihan, yang kadang-kala dalam dunia mereka, mereka 'terperangkap' (yang mengumpat, yang terikut-ikutkan hati yang lara) dan kadang-kala juga, mereka boleh menghancur kehidupan orang lain dengan kuasa mereka.

Filem ini juga mempunyai persoalan tentang mitos feminisme. Secara prasedar, filem ini memaparkan bagaimana mitos 'kuasa' tercipta dari cakap-cakap orang, yang selalu menjadi fungsi utamanya ialah perempuan (kerana perempuan suka buat cerita, mengumpat). Perempuan yang mencipta mitos, tentang lelaki (bagaimana sempurnanya lelaki atau perempuan dalam cerita mereka, atau sebaliknya), tentang perempuan. Mungkin merekalah agen sosial sebenar dalam masyarakat Melayu yang mendefinasikan nilai atau kewujudan manusia-manusia disekelilingnya (pengertian mandul dalam masyarakat, pengertian ahli sihir). Di dalam filem ini, terdapat dua bentuk mitos yang diceritakan, memberi dua pandangan terhadap penonton. Satunya dibuat oleh sekumpulan perempuan 'penyibuk', mitos yang 'samar-samar' (tiba-tiba apabila bercakap, suasana jadi hitam) terhadap Deanna dan kuasanya. Kedua ialah mitos yang diceritakan oleh seorang wanita alim kepada Khatijah Tan, mitos yang 'kuat' tentang Deanna. Kita sebagai penontonlah yang akan memperlihatkan kebenarannya. Adakah kita akan menyalahi Deanna atau syaitan yang membelenggunya (kita sedar akhirnya, syaitan itu yang membelenggu, kerana Deanna akhirnya sedar, dia telah melampaui batas). Untuk 'cerita' pertama, dengan kuasa perempuan-perempuan ini 'membawa mulut', ia hampir-hampir membinasakan keharmonian penduduk kampung (sehingga ketua kampung dibawa masuk campur), sedang 'cerita' kedua yang lebih dijaga, akhirnya dapat membantu keluarga yang tersiksa itu. Perbezaan 'cerita' ini menarik untuk diperlihatkan dalam konteks fungsi media dalam masyarakat Melayu dalam penciptaan mitos 'baik' atau 'jahat' (kita juga banyak mitos yang tercipta dalam medan media, terutamanya hal-hal politik dan perkauman).

Penulis skrip filem ini juga sangat baik dalam membawa 'psikologi' yang menyeluruh, malah 'intact' terhadap mitos yang tercipta tentang Deanna. Natasha mungkin melalui depresi, dan kita dapat sedar ini dalam gaya dan sikapnya yang berubah setiap masa. Ini disulam pula dengan pengaruh Deanna terhadapnya, yang mahu 'jiwa'nya dirasa (empati). Kadang-kala, kita sedar akan sentuhan lesbianisme dalam penyantuman ini.

Lagu dalam filem ini 'top class', juga dengan penataan seninya yang bagi aku, walaupun ada yang merintih tidak masuk akal (dunia fantasi mana yang tidak), mencantikkan filem ini. Natasha seorang pelakon baru yang tidak boleh dibawa main-main, dia seorang pakar, dan filem ini membuktikannya.

Walaupun begitu, filem ini ada cacat-celanya. Ini terdapat dalam efek CGInya yang sangat memalukan. Ia bukan menakutkan, malah memberi efek 'kelakar' terhadap filem ini. Bagi filem-filem seram, eloklah CGInya dikurangkan, melainkan anda Peter Jackson dan anda tahu bagaimana mahu menyeramkan penonton. Lihat sahaja pengakhiran filem ini bila hantu keluar dari mulut Natasha, sangat memalukan, dan hampir-hampir anti klimaks. Keduanya ialah, serpihan cermin pada akhir filem. Tak mungkin pengarahnya mahu memberi kunci bahawa kita akan melihat sebuah lagi sekuel (atau memang menjadi kebiasaan dalam filem-filem seram, kejahatan/iblis tidak pernah mati) dan menampangkan seserpih cermin yang agak besar dan sudah tentu dapat dilihat oleh pembantu rumahnya. Ini yang menjengkelkan filem ini.

Walau apa pun, filem ini satu suntikan segar dalam perfileman Malaysia tahun ini, walaupun ia jauh bagi menandingi mana-mana filem Thai atau Indonesia.