Showing posts with label fantasi. Show all posts
Showing posts with label fantasi. Show all posts

31 October 2007

Stardust- Filem Fantasi Mempesona

fadz: Saya menonton filem ini semalam bersama Azlina dengan tiket percuma pemberian Aliah. Terima kasih Aliah.


"You are the star? Oh, you are the star!"
Tristan terhadap 'Star girl'

Sebenarnya, pada mula-mulanya saya agak kurang pasti jika filem ini bagus. Menonton gezet filem ini di pawagam beberapa bulan lepas, saya ingat filem ini satu 'joke' Hollywood (gezetnya sangat murahan dengan memaparkan gaya Hollywood ala 80-an dengan ensemble cast besar, yang semacam mahu menyuntik para pelakon bintangnya kerana tahu, ia takde apa-apa). Oh, boy was I wrong! Inilah filem di mana filem tayangannya 100 kali lebih baik daripada filem gezetnya! Inilah sebuah filem fantasi yang sudah jarang-jarang dibikin Hollywood. Ya, mungkin pernah dan selalu dicuba tetapi tidak pernah menjadi (tahun ini, sebuah lagi, "Enchanted" dari Disney mungkin dalam sepatu yang sama). Antara filem yang seakan sama dengan filem ini ialah The Princess Bride(1987) yang punya semangat, kelajuan, keseronokan dan hiburan yang sama seperti filem ini (sebuah lagi, Labyrinth(1986) punya gaya ini, tetapi filem itu sedikit 'dark' dan agak mengambil dirinya serius dalam beberapa babak, yang memang saya mengaku, lebih sesuai dengan diri saya).

Tetapi buat saya, mungkin filem ini lebih baik, malah lebih menyeronokkan. Semua ini kerana kebagusan penulis skripnya, Jane Goldman dan Matthew Vaughn mengadaptasi sebuah novel fantasi (modern-adult fairy tale actually) Neil Gaiman dan mencampakkan segalanya yang kena, lawak, mendebarkan, formulaik dan mencuitkan, di mana Speilberg di dalam Hook gagal mencapainya. Saya mengaku, dari awal filem ini sehinggalah akhirnya, tidak ada satu saat pun saya menguap dan rasa penat dan bosan. Ia bergerak dan bergerak cepat, membina antisipasi penonton dan terus membawa kita terpesona dengan budaya, watak dan gila-gila dunianya.

Paling baik, kesemua pelakon dalam filem ini berjaya membawa eksentrik, kebiasaan dan keseronokan yang diingini oleh roh filem ini. Setiap watak adalah 'memorable' dan bukan dipacak main-main sahaja, walaupun mereka terpampang di skrin hanya untuk beberapa saat. Karisma mereka kuat, dan lakonan mereka, sekali masuk sahaja sudah memberi penampilan dan tarikan yang kuat. Ini juga dibantu dengan skrip yang pedas-sejuk yang sangat menyeronokkan (pendek kata, doesn't take the story seriously and all for the fun). Lihat sahaja pada awal cerita bila watak seperti raja yang gering lakonan Peter O' Toole atau putera bodoh seperti Rupert Evert. Watak mereka 'kecil' tetapi memberi warna terhadap latar dan keseluruhan filem ini. Ini sesuatu yang jarang-jarang boleh dibuat (Scrooged pernah melakukannya tetapi tidak sehebat yang ini di mana plot dan struktur cerita terjaga kemas) dalam sebuah filem 'kemasukan pelbagai pelakon'. Jangan ceritalah, seronoknya main-main Robert De Niro sebagai Kapten Shakespeare(!), Michelle Priffier sebagai ahli sihir, Ricky Gervais sebagai pemborong, Kate Magowan, Sienna Miller, Nathaniel Parker, Melanie Hill, Mark Strong dan lain-lain punya kegilaan dan semangat mereka sendiri membawa watak gila-gila mereka di skrin.

Tetapi semua itu sudah tentu tidak cukup dengan keserasian dan 'kemistri' yang sangat memikat di antara Charlie Cox sebagai 'si pemuda yang akan mengembara sebuah pengembaraan yang tidak boleh dilupakan' dengan si gadis Claire Danes yang jatuh dari langit. Ini adalah antara 'kemistri' cinta yang pendek, kena dan seronok pernah saya tonton untuk tahun ini. Dialog, mainan mata dan keserasian di antara watak ini semacam menjadi 'pusat' terhadap filem ini di mana, jika mereka gagal, seluruh filem ini gagal, dan filem ini memaparkan gandingan mereka adalah ciptaan syurga. Menyeronokkan sekali gus menyentuh perasaan. Saya hampir-hampir menangis bila Charlie meluahkan perasaanya dan mengatakan apa yang kapten lanun sudah membisiknya. Walaupun ia formulaik dan pernah dibikin banyak kali oleh Hollywood, mereka, Charlie dan Claire memaparkan 'magis' begini boleh berlaku lagi jika ia dibuat dengan betul, jujur dan penuh semangat cinta.

Saya suka pengarah seni dalam filem ini berserta pengarah fotografinya yang tidak segan-segan membesarkan 'lensa' dan dunia filem ini (ada beberapa babak mengikut gaya LOTR Peter Jackson iaitu melompat ke sebuah wilayah ke sebuah wilayah di atas angin dengan laju). Wajah filem ini kadang-kadang 'grand' dengan pengambilan lanskap yang luas (gaya ini penting dalam filem fantasi) tetapi tidak melupakan 'detail' sesebuah budaya 'gila-gila fusion' penduduk alam fantasinya. Pencipta muzik Ilan Eshkeri, walaupun kedengaran seperti campuran lagu-lagu Alan Silvestri dan Danny Elfman, telah berjaya mengimbangkan dan memberi suara tanah, angin serta rasa perasaan watak-wataknya.

Ya, memang filem ini tidak seserius The Neverending Story (kegemaran saya!), Narnia, Harry Potter, Dark Crystal, Pan's Labyrinth, LOTR, Krull dan pelbagai lagi filem fantasi, ia banyak sangat 'poking fun on a situation and moment' malah seakan sebuah filem Monthy Phyton yang sedikit jinak dengan plot. Tetapi itulah yang baik tentang Stardust, ia sangat 'charming' dan dipersembahkan dengan kemahuan yang tidak masuk akal tetapi sungguh mempesona (enchanting) dan dipercayai (believable), ia tidak perlu mendabik dadanya ia perlu serius dan diambil secara serius. Ia sebuah filem penuh hiburan yang sangat mencuit dan menyeronokkan. Semacam sebuah kartun Disney yang sedikit 'zany' tetapi dibuat untuk orang besar. Yang paling baik, ia tidak menyuap dalam engkau bahawa 'magic do exist' sepertimana beberapa filem fantasi sebelum ini tetapi 'magic exist, so?', satu penggayaan yang sememangnya segar dan 'about time', ia telah meletakkan dirinya sebagai sebuah filem yang unik dengan filem fantasi yang lain. Dengan itu sahaja, filem ini adalah antara filem yang memuaskan saya sepanjang tahun ini, dan boleh ditonton dengan banyak kali kerana keseronokan dan gila-gilanya.

04 April 2007

Chermin (2007)


Selepas merasa dukacita apabila Dukun tidak dapat ditayangkan, sekurang-kurangnya tahun ini, filem sebegini ada dalam pasaran.

Filem ini bukan sebuah filem seram, ia lebih kepada filem fantasi-ngeri atau 'supernatural thriller'. Filem ini juga bukan yang terbaik di dalam genrenya, tetapi sebagai sebuah filem sulung sutradaranya, filem ini bolehlah dibanggakan.

Yang paling penting, filem ini ada jiwa. Malah, 'hantu' di dalam filem ini (Deanna Yusof) mempunyai kewujudan tiga dimensi (ditolong juga dengan kekuatan lakonan Deanna), malah kadang-kala 'kemanusiaan' (mempunyai kelemahan diri, sedar dirinya juga mahu dicintai). Idea seorang perempuan yang sangat cantik menandingi wanita-wanita cantik yang lain serta berperadaban tinggi yang ditakuti adalah idea tradisi yang disulami feminisme (Deanna ditakuti bukan sebenarnya kerana kuasa sihirnya, tetapi kuasa kecantikannya dan peradabannya). Malah, Deanna sebenarnya mengajar (walaupun terpesong) Natasha untuk menjadi seorang wanita yang lebih kuat, feminis. Dan Deanna berjaya dalam ini.

Simbol feminisme dalam filem ini kuat, dan menariknya membawa juga maksud-maksud Melayu tradisi (andartu, janda muda, perempuan buruk, perempuan gila royan, perempuan mengumpat, ibu penyayang). Beberapa simbol kewanitaan dibawa cantik dalam filem ini, malah simbol-simbol ini menandingi lelaki (ayam dibunuh), dan membunuh perempuan yang 'lemah'. Maka itu lelaki dalam filem ini disengajakan 'lemah', malah tidak ada kuasa mempengaruh (kecuali sheikh di akhir cerita, yang sememangnya seksualitinya neutral). Perempuan adalah pembuat pilihan, yang kadang-kala dalam dunia mereka, mereka 'terperangkap' (yang mengumpat, yang terikut-ikutkan hati yang lara) dan kadang-kala juga, mereka boleh menghancur kehidupan orang lain dengan kuasa mereka.

Filem ini juga mempunyai persoalan tentang mitos feminisme. Secara prasedar, filem ini memaparkan bagaimana mitos 'kuasa' tercipta dari cakap-cakap orang, yang selalu menjadi fungsi utamanya ialah perempuan (kerana perempuan suka buat cerita, mengumpat). Perempuan yang mencipta mitos, tentang lelaki (bagaimana sempurnanya lelaki atau perempuan dalam cerita mereka, atau sebaliknya), tentang perempuan. Mungkin merekalah agen sosial sebenar dalam masyarakat Melayu yang mendefinasikan nilai atau kewujudan manusia-manusia disekelilingnya (pengertian mandul dalam masyarakat, pengertian ahli sihir). Di dalam filem ini, terdapat dua bentuk mitos yang diceritakan, memberi dua pandangan terhadap penonton. Satunya dibuat oleh sekumpulan perempuan 'penyibuk', mitos yang 'samar-samar' (tiba-tiba apabila bercakap, suasana jadi hitam) terhadap Deanna dan kuasanya. Kedua ialah mitos yang diceritakan oleh seorang wanita alim kepada Khatijah Tan, mitos yang 'kuat' tentang Deanna. Kita sebagai penontonlah yang akan memperlihatkan kebenarannya. Adakah kita akan menyalahi Deanna atau syaitan yang membelenggunya (kita sedar akhirnya, syaitan itu yang membelenggu, kerana Deanna akhirnya sedar, dia telah melampaui batas). Untuk 'cerita' pertama, dengan kuasa perempuan-perempuan ini 'membawa mulut', ia hampir-hampir membinasakan keharmonian penduduk kampung (sehingga ketua kampung dibawa masuk campur), sedang 'cerita' kedua yang lebih dijaga, akhirnya dapat membantu keluarga yang tersiksa itu. Perbezaan 'cerita' ini menarik untuk diperlihatkan dalam konteks fungsi media dalam masyarakat Melayu dalam penciptaan mitos 'baik' atau 'jahat' (kita juga banyak mitos yang tercipta dalam medan media, terutamanya hal-hal politik dan perkauman).

Penulis skrip filem ini juga sangat baik dalam membawa 'psikologi' yang menyeluruh, malah 'intact' terhadap mitos yang tercipta tentang Deanna. Natasha mungkin melalui depresi, dan kita dapat sedar ini dalam gaya dan sikapnya yang berubah setiap masa. Ini disulam pula dengan pengaruh Deanna terhadapnya, yang mahu 'jiwa'nya dirasa (empati). Kadang-kala, kita sedar akan sentuhan lesbianisme dalam penyantuman ini.

Lagu dalam filem ini 'top class', juga dengan penataan seninya yang bagi aku, walaupun ada yang merintih tidak masuk akal (dunia fantasi mana yang tidak), mencantikkan filem ini. Natasha seorang pelakon baru yang tidak boleh dibawa main-main, dia seorang pakar, dan filem ini membuktikannya.

Walaupun begitu, filem ini ada cacat-celanya. Ini terdapat dalam efek CGInya yang sangat memalukan. Ia bukan menakutkan, malah memberi efek 'kelakar' terhadap filem ini. Bagi filem-filem seram, eloklah CGInya dikurangkan, melainkan anda Peter Jackson dan anda tahu bagaimana mahu menyeramkan penonton. Lihat sahaja pengakhiran filem ini bila hantu keluar dari mulut Natasha, sangat memalukan, dan hampir-hampir anti klimaks. Keduanya ialah, serpihan cermin pada akhir filem. Tak mungkin pengarahnya mahu memberi kunci bahawa kita akan melihat sebuah lagi sekuel (atau memang menjadi kebiasaan dalam filem-filem seram, kejahatan/iblis tidak pernah mati) dan menampangkan seserpih cermin yang agak besar dan sudah tentu dapat dilihat oleh pembantu rumahnya. Ini yang menjengkelkan filem ini.

Walau apa pun, filem ini satu suntikan segar dalam perfileman Malaysia tahun ini, walaupun ia jauh bagi menandingi mana-mana filem Thai atau Indonesia.