Tahun 2012 dan berikutnya merupakan tahun kebangkitan "elevated horror" nukilan beberapa pengkritik filem Barat tentang kemunculan filem-filem seram yang berbeza, "melangkaui tujuan" genre (tidak semata-mata bertujuan untuk "menakutkan"), hibrid (berkait juga dengan seram hibrid, yakni campuran beberapa genre dan subgenre, yakni campur aduk syarat dan atur turutan bentuk), cerebral (menuntut penonton merenung fikir) dan berpenampilan art-house, selepas Under the Skin (2013) karya Jonathan Glazer, The Witch karya Robert Eggers (seperti yang ditulis oleh Andy Crump dalam Hollywood Reporter), karya Ari Aster (Hereditary, Midsommar), karya Jordan Peele (Get Out, Us), Oz Perkins (The Blackcoat's Daughter, I am the Pretty Thing that Lives in the House), Personal Shopper karya Olivier Assayas dan A Ghost Story karya David Lowery.
Kalau diteliti susur galur filem-filem seram, subgenre yang "problematik" tetapi makin menyerlah ini pun sebenarnya bukannya baharu. Kita boleh menemui unsur-unsurnya sedari awal, dilaksanakan oleh beberapa auteur besar, seperti Mullholland Drive (2001) dan Lost Highway (1997) karya David Lynch, Jacob's Ladder (1990) karya Adrian Lyne, The Shinning (1980) karya Stanley Kubrick dan antara yang terbaik tetapi dilupai, Carnival of Souls (1962) karya Herk Harvey. Terdapat inti pati yang jelas dalam filem-filem ini, yang selain mengambil masa untuk membuat perasaan takut dan selalunya mempunyai sudut untuk membuat penontonnya berfikir, kebanyakannya, cuba mengupas tentang persoalan hidup-mati dan hakikat kesementaraan-keabadian. Seram menjadi genre paling lunak untuk mengupas hal ini kerana seram menimbulkan "ketakutan", dan selalunya, persoalan-persoalan mati atau "adakah ada alam selepas kematian" merupakan soalan-soalan falsafah yang menggerunkan dan masih berbolak-balik meracau dalam pemikiran kalangan manusia. Proto antara kesemua ini muncul daripada filem bisu klasik yang besar, Faust (1926) karya FW Murnau.
Roh ialah satu revelasi bahawa pembikin filem tempatan kita (dan syukur, lahir daripada seorang pengarah muda, Emir Ezwan) mampu meniti jalan-jalan segar dan baharu, membangkitkan kembali suatu gelombang pembikinan yang bukan sahaja sebelah-menyebelah dengan filem-filem bikinan para pembikin berbudaya negara maju tetapi mampu berdiri sendiri sebagai penyuluh untuk kita membina genre-genre dan alur bentuk sinema kita yang seterusnya.
Dengan cerita-himpunan watak yang minimalis (di sini Emir mengatakan beliau mengambil semangat Onibaba, klasik seram Jepun yang diadaptasi daripada dongeng rakyat, lantas seram folklor atau seram cerita rakyat kerana set lokasinya yang mudah [1-2 lokasi secara eksterior], ceritanya yang ringkas dan wataknya yang minimal, namun hal ini lebih membantu mendefinisikan dasar-dasar penerbitan Kuman Pictures, membikin filem seram yang murah tetapi efektif, menyerupai semangat impian penerbit filem berjaya tetapi juga murah, Blumhouse Productions) dan bersifat cerita rakyat, terdapat pembuakan rasa "suatu masa dahulu" yang jelas, yang boleh sahaja bersifat berlaku pada bila-bila masa rakyat yang terlalu "terikat" dengan alam dan semangat (pra-Islam) tetapi terikat juga dengan kefahaman era "biblical" yakni era manusia menghadapi antara kebenaran utusan nabi (untuk membawa kita ke jalan benar dan mengetahui kebenaran tujuan hidup kita di dunia) dengan kepalsuan bisikan iblis (untuk membawa kita jauh ke dalam kesesatan). Di sini, Emir sebenarnya membina suatu alegori: sang keluarga ibu (Farah Ahmad) dan anak-beranak (Mhia Farhana dan Harith Haziq) terdampar jauh di dalam hutan, meraih rezeki dari alamnya, menghadapi persoalan sumpahan atau "kesialan" apabila seorang anak perempuna kecil (Putri Qaseh) entah dari mana datang menghampiri mereka. Jika sesiapa yang menontonnya hanya untuk cerita, mereka perlu bersabar sedikit dengan mood (yang sebenarnya buat aku cukup terkawal dan lancar) yang mengambil masa, tetapi yang sebenarnya setiap gerak ceritanya terbina intrig dan gerak laku yang memunculkan rasa ingin tahu. Suatu tragedi akan berlaku, menimbulkan rasa bersalah dan kebingungan, membawa kita memahami kembali aura tahayul tentang "sial" dalam pegangan primitif masyarakat kita (namun ini menarik: adakah kita masih terperangkap dengan kepercayaan ini?).
Di sini juga, Emir dan sinematografi cemerlang Saifuddin Musa dan latar seni hidup Taufiq Kamal Abd Rahman memainkan peranan untuk membina imej fitrah manusia dengan empat unsur alam Melayu - air, tanah, api, angin. Secara simbolisme, kita sudah dapat mengagak, tanah mewakili manusia/jasad/sangkar, api mewakili jin (atau syaitan)/penghancur/penipu/pembawa jalan yang salah (sila lihat bagaimana objek lampu gas dimainkan dalam filem ini), air mewakili kehidupan/darah, dan angin mewakili roh/perasaan/suasana. Dalam unsur-unsur ini yang akan dimainkan, terdapat juga keberadaan lokasi hutan yang sentiasa mencengkam dan menutup "ruang" cahaya para manusianya untuk melihat "hakikat kebenaran kewujudan", terperosok dan terperangkap, makin lama makin sesak, oleh "sial" atau "sumpahan" tragis, atau mungkin, lebih licik (sinister) dari itu (aku tidak akan kupaskan kerana membawa spoiler) - hanya untuk manusia memahami hakikat sebenarnya, bahawa dunia ini sementara, seperti mana tubuhnya, yang kekal dan miliknya yang paling abadi ialah roh, yang dimiliki oleh Tuhan yang abadi. Di sini, terdapat "perlawanan wacana" antara manusia yang cekal dan manusia yang jahil/dibutakan, yang tampil secara alegorikal sebagai suatu "perlawanan abad-berabad" antara manusia dengan iblis tentang maksud hidupnya dalam mencari keabadian dalam kesementaraan, disentuh lagi dengan fitrah manusia yang lemah jika ia tidak menggunakan akal yang waras dalam hal ini (aku berdialog dengan Za'im, terdapat satu kritikan feminis yang menarik, yang jika dibaca, mungkin membuat beberapa ahli feminis marah, kerana terdapat persimbolan jelas tentang kehilangan patriaki dalam filem ini, menyebabkan kaum matriakinya merana hidup, yang sebenarnya berkait rapat dengan susunan keturunan nabi/rasul sebagai pengutus, yakni kaum lelaki/patriach, yang sangat berkait dengan bisikan tidur seorang anak dalam filem ini: "Datuk membawa hati" - yakni sikap rasul/nabi yang pergi meninggalkan umatnya kembali dalam kegelapan apabila utusannya tidak diendah oleh umatnya itu).
Himpunan lakonan filem ini juga segak, terkawal dan hidup dalam keselambaan lakonan. Pujian harus dititipkan buat Farah Ahmad, si ibu dan matriakh utama yang sedang melindungi anaknya daripada "bencana". Terdapat momen-momen yang makin lama makin meragut Farah untuk berdepan bahawa dia dan keluarganya sedang meniti jalan edan. Takut dan hiba yang ditampilkannya mempuyai lapisan-lapisan kuat dan lemah yang jelas, kebingungan dan rasa terdesak untuk mencari pertolongan. Suatu kelas dalam lakonan. Nam Ron dan isteri June Lojong tampil memberi sokongan, walaupun pipih dari segi latar cerita tetapi membentuk arah tuju moral dan penentuan wacana filem ini. Daripada watak mereka, kita diberikan banyak titipan persoalan akan erti hidup Farah Ahmad dan anak-anaknya. Lakonan kanak-kanak filem ini juga mencapai mercu tinggi, sangat selamba dan hidup oleh Mhia Farhana, Harith Haziq dan Puteri Qaseh. Merekalah "kaca mata" penonton yang sebenar, yang datang memasuki dewan panggung duduk berselang-seli tanpa faham atau tahu what to expect, dengan innocence, dan mencari-cari jawapan dalam kesamaran hutan, rasa terpinggir dan seklusi dunia ibu dan anak-anaknya.
Alur filem ini juga menjadi berjaya dengan runut bunyi kelas Reinchez Ng, dengan efek bunyi dan pilihan/suntingan baik oleh kumpulan ahli teknik suaranya. Begitu juga dengan suntingan kemas Safwan Salleh. Semua ini telah menimbulkan suatu imej gerak yang meyakinkan dan hidup dalam dunia yang telah dibina dan diaspirasi oleh pengarahnya. Kemungkinan aku tidak terasa takut pun dalam momen-momen seram filem ini, tetapi ia mempunyai hidangan yang jauh lebih enak (sepertimana kebanyakan filem elevated horror sebegini) yakni muncul emosi sesak yang menakutkan (dread) dan hiba. Malah, muncul perasaan indah dan puitis dalam paparan dan cara Emir melangsungkan imej gerak, awal-akhir dan sebab-akibat. Inilah perasaan yang timbul sewaktu aku menonton babak akhir "yang indah" dalam Hereditary, rasa sesak takut itu disulam sesuatu yang merangkul jiwa aku sehingga membuatnya menangis, suatu rasa yang transendental, melangkaui hanya takut-takut biasa atau persoalan baik-jahat yang tipikal. Ya, hati aku menangis kerana keindahan yang berjaya diungkapkan oleh Emir dan kalangan krunya. Suatu seram yang transendental.
No comments:
Post a Comment