Warhorse(2011)
Hollywood dan Spielberg aku rasa sudah lama melakukan hal ini yang biasanya menjadi kepakaran mereka: mempesonakan objek dalam sinema. Zaman awal, kita selalu dipampangkan dengan pensonaan Lelaki, Wanita dan Kanak-kanak (pedofilia kalau kau di sini). Zaman
Spielberg, banyak hal ini berubah apabila makhluk asing, piring terbang, hantu, jerung, kapal terbang, dan dinasour dipesonakan. Dalam filem yang membawa "ahli keluarga" Spielberg kembali, Micheal Khan untuk suntingan, John Williams untuk lagu, Janunz Kaminski untuk sinematografi, mempesonakan tentang seekor kuda.
Filem ini menarik sebenarnya tetapi agak susah untuk disanggupi kepesonaan bestiality, lebih-lebih lagi buat penonton wayang tegar yang tidak dapat lupa dan akan kaitkan kepesonaan kuda dalam filem dengan babak Caligula dengan kuda, Elizabeth Taylor naik kuda atau babak terkenal kepala kuda dipotong dalam The Godfather. Malah filem "boy meets horse" ini sebuah cerita senang yang pernah dibikin, buat aku dengan lebih terfokus maknanya dalam The Red Violin, mengambil premis yang sama iaitu suatu objek yang bernilai yang akan dilelong dan diperlihatkan "nilai sebenar"nya atas makna "siapa yang layak memilikinya".
Aku suka sebenarnya metafora kuda dalam filem ini, mengangkat makna "jiwa muda" yang dipaksa masuk dalam kancah peperangan, tetapi atas kesabaran dan kekuatan diri, "jiwa muda" itu melepasi seram peperangan (ia khusus berkait dengan metafora Perang Dunia Pertama kerana zaman itu ramai remaja masuk perang, dan sebab itu filem ini memperlihatkan setiap lelaki yang ketemu si kuda "cantik" mesti muda, kacak dan berwajah licin) lantas boleh balik ke orang tersayang. Tetapi pemaknaan itu sendiri begitu pelik buat ramai penonton yang tidak peduli pun jika kuda itu akan hidup atau mati dalam perjalanan dan khusus babak perang yang sebenarnya ingin ditonton.
Ini adalah kerana gaya penceritaan Spielberg ini dibikin dengan gaya "road movie" sepertimana yang beliau gerakkan filem sulungnya Amblin. Spielberg hanya ada dua struktur gaya filem, pertama yang berbentuk naratif terkawal seperti yang dia tulis buat Close Encounters, Poltergeist dan beberapa filem adaptasinya. Struktur kedua adalah struktur sebenar Spielberg iaitu proses menggerakkan cerita dengan imej yang sentiasa menggerakkan pelakon, seakan
melalui satu advencer (inilah yang ditangkap oleh JJ Abrams dalam Super 8) yang mana hal ini wujud kuat zaman awalnya, Amblin, Sugarland Express, Duel semuanya bergerak dengan gaya itu, malah Raiders of the Lost Ark mengambil struktur ini. Kemudian datang filem-filem mencabarnya yang menggunakan gaya ini seperti Empire of The Sun, ET, Saving Private Ryan dan bagaimana ia gagal seperti War of the Worlds. Filem ini mengambil semangat itu, yang mana bagi aku, kekuatannya hilang pada masa tengah-tengah sewaktu POV kita dari si budak (yang tergila-gilakan kudanya) kepada kuda itu sendiri, walaupun sketsa setiap watak yang ditemui kuda itu (ini mengingatkan aku kepada Frankenstein yang bertemu pelbagai watak) menarik dalam penceritaannya sendiri.
Kekuatan sebenar filem ini hanya dua. Runut bunyi John Williams masih menyerlah berkuasa, walaupun pernah didengar dan mengambil banyak semangat western. Kedua adalah sinematografi luas dan homaj era tekninal epik Gone with The Wind dan filem-filem John Ford. Masalahnya, semua ini sudah dibikin dan apakah yang baharu? Ini membuat aku menyoal diri, kerana beberapa filem yang dinominasi filem terbaik juga muncul "mengitar semula" kehebatan zaman Hollywood dulu. Ini yang aku tak faham.
The Iron Lady(2011)
Whoah, aku tunduk hormat kepada wanita bernama Meryl Streep. Sememangnya kalau Meryl kalah dalam oscar, malu oh, sebab filem ini, yang mengangkat zaman muda-dewasa-tua Perdana Menteri paling lama UK, Margeret Tatcher, aku terpaksa mengaku, antara lakonan seorang bintang yang amat mengkagumkan dalam menyalin diri mereka terhadap seorang tokoh, sepertimana sehebat berlaku dalam
Downfall dan Gandhi.
Filem ini lebih banyak montaj dan suntingan daripada "hidup seharian" The Queen dan mempunyai intrig popular daripada The King's Speech. Ianya lebih "gelap" apabila cuba membuka labirin jungian Tatcher/Streep yang tua menghalunisasikan mendiang suaminya yang selalu mendampingnya. Ini yang mungkin agak "kabur" walaupun percubaan ini amat dibanggakan. Banyak suntingan dan imej babak yang berlaku pantas seakan kita menonton sebuah MTV rock, tetapi bukan lagu hanya suara latar Meryl yang kita sayangi, bermonolog dalam kecelaruan emosi dan psikologinya. Sememangnya, konflik dirinya nyata, rasa kesal dan dibuang sedari zaman-zaman akhirnya. Ini menarik, dan kekuatan ini sesungguhnya diangkat dengan usaha yang bukan calang-calang oleh Meryl. Tetapi struktur halunisasi-amnesia-memori ini juga "menakutkan" kerana kita susah mahu beremosi bersama dengan Tatcher, hanya dapat bersimpati dengan pecahan-pecahan psikosisnya, walaupun berintrig.
Buat peminat Meryl Streep, filem ini sebuah filem gula-gula anda kerana sudah lama kita tidak menonton wanita hebat ini menerusi lakonan yang kental dan ditunggu-tunggu. Tetapi untuk melepasi epikal dan kekuatan seperti Gandhi atau The Last Emperor, filem ini menarik sebagai filem biopik dan intepretasi menarik berkenaan hari-hari gelap Margeret Tatcher dan itu sahaja.
3 comments:
Dua-dua pun I belum tengok lagi, tengkiu for your timely reminder. Btw, Meryl Streep dieja satu L sahaja.
Filem Iron Lady tu ada tak dia sentuh 'perang dingin' antara Tatcher dgn Dr. M? Tak dak kot, no...hahaha
zul, tak dak laaa
Post a Comment