06 January 2011

The Last Exorcism(2010): Seram Yang Menghiburkan


Mengaku ajelah, sekarang mana ada kesan dan gaya yang tulen. Dalam masa 5 tahun, terutama dengan genre diguna dan diguna sekali lagi untuk kesan menakutkan, susah kita nak jumpa dengan sebuah filem seram yang ori, yang membawa bar baru. Dalam selang 5 tahun, barulah kita akan bertemu.

Jadi, hal yang klise dan stereotaip tak semestinya bosan, lagi-lagi jika disusun dan dipakai dengan betul.

Seperti filem ini.

Serius, aku jadi tak menentu semalam lepas tonton filem ni. Lampu bukak, pintu bilik air aku kunci, layar Internet kejap sebelum tidur nak buang rasa Abalom mengintai aku.

Orang akan kata, yeap, filem ini mengikut/meniru dua tema yang kuat, iaitu The Exorcist (ritual mengeluarkan hantu bagi agama Nasrani) dan Cannibal Holocaust atau The Blair Witch Project (fotaj yang dijumpai, saksi utama melihat sesuatu yang menyeramkan sebelum dibunuh), malah ada "perasaan" filem ini turut mengikut semangat Cloverfield, di mana emosi dan drama watak dalam filem dibuat-buat mengalami suatu drama yang bertahap, seakan-akan sebuah filem Hollywood yang Hollywood.

Meletak semua itu ditepi, filem ini memang banyak jasanya, lebih-lebih lagi dalam babak seram yang menghiburkan (ertinya, ia menguja kita dengan rentak susunan babak dan persembahannya mengikut genre seram). Unsurnya dipecah kepada tiga bahagian yang bagi aku, genius. Pertama dari segi penggunaan tidak banyak kesan khas (bukan seperti kesan terlalu dalam Paranormal Activity) CGI dan lebih menekankan kepada kesan fizikal/biasa. Mainan mata, suara yang perlahan dan tiba-tiba mendentum serta babak yang memeranjatkan merupakan kekuatannya. Lihat sahaja dua babak yang tidak banyak berkata dan bermain dengan imej sahaja, babak abang (Caleb Landry Jones) Nell (Ashley Bell) dikelar pipinya serta babak Nell yang di"rasuk" berlegar-legar di luar rumah. Mata Ashley Bell dalam beberapa babak juga amat menggoyah, buat penonton yang biasa, babak-babak ini menaikkan rasa takut yang tulen. Juga lihat bagaimana gerakan kamera dalam bilik sewaktu Ashley tiba-tiba "hilang", dan kemudian sewaktu Ashley berlari ke bawah dan kelibatnya tidak ada. Kamera berpusing kiri dan kanan, mula-mula perlahan dan kemudian laju. Babak ini, dengan kesna yang diberikan membentuk suatu kegerunan yang terasa.

Kedua ialah eksplotasi. Dua eksplotasi yang tampak berjaya. Pertama, sifat fizikal Ashley Bell meliuk badannya, dan satu lagi merupakan sebuah babak ganas yang agak gore. Kita dipertunjukkan, sekali lagi dan sekali lagi berkenaan gambar kucing putih berdarah. Kemudian, dalam satu babak, kita dapat melihat (dengan gaya steadycam) si Ahsley berbogel kemudian bergerak ke kandang rumahnya, terjumpa seekor kucing, dan tanpa amaran, menghentak kucing itu sehingga mati! Kta diperlihatkan kucing itu yang mati berdarah (sepertimana dalam gambar) dengan lensa yang berkeriuk darah. Ashley kemudian bergerak masuk ke rumah, kamera dalam tangannya dan bergerak ke Father Cotton Marcus (Patrick Fabian) yang tidur di sofa, lalu menghayun kamera itu ke kepalanya (ahh, aku tak mahu cerita apa jadi selepas itu).

Apa yang menarik di sini, pengarah dan penulis skrip tidak sahaja bermain dengan detik gerun, dan membinanya ke satu tahap kegerunan dan kemudian kegerunan lagi (gambar-aksi yang menjustifikasi gambar-aksi yang berkait dengan justifikasi gambar) tetapi memberi makna kepada cerita (hantu/syaitan/Ashley hendak membunuh Patrick) dan sekali gus bentuk sebab-akibat filem ini secara keseluruhan (syaitan yang mencari mangsa kecil hendak mencari mangsa besar). Hal ini menarik kerana ia berkaitan juga dengan sifat dan perwatakan Patrick, yang bagi aku, dalam sebuah filem mockumentary, dijalankan dan diperwatakkan dengan sebuah watak psikologi yang menarik sekali, walaupun kelihatan seakan-akan "bigger than real life".

Ketiga merupakan cara pengarah, memahami "thrill" saspens yang seangkatan mazhab Hitchcock. Ini dibuat dengan "kejutan" perlahan, pertamanya, sewaktu Patrick dan rakan-rakan tidur di motel setelah mereka membuat rakaman exorcisme terhadap Ashley. Tiba-tiba, malam itu, Ashley muncul dalam bilik motel mereka! Keadaan kejutan yang tidak terduga ini genius dan tersusun elok, malah terbawa ke berapa tempat dalam filem ini, juga terhadap klimaks cerita ini yang kelihatan seperti satu siri daripada X-Files (tetapi buat filem ini, babaka akhirnya juga memberi satu penipuan yang nakal sesakit pengakhiran The Wicker Man, suatu jenaka seram yang amat menghiburkan bagi penggemar filem seram). Hal ini juga berkenaan dengan kepandaian pengarah dan penulis skrip bermain dengan wujud atau tidak wujudnya rasukan dalam Ashley.

Filem ini merupakan filem HIBURAN buat penggemar filem seram, malah tidak susah untuk mereka tahu apa yang akan berlaku selepas itu (malah, ada beberapa babak lawak yang boleh ditangkap oleh hanya golongan mereka, sepertimana si produser doku menambat kehamilan Ashley sebagai incest, thats so indie filmaking of her). Buat mereka yang tidak pernah menonton The Blair Witch, filem ini lebih senang diikuti dan lebih bergerak cepat, dan mungkin akan memaut mereka jika mereka minat dengan subjek yang diperkatakan (kewujudan syaitan). Filem ini antara filem seram terbaik tahun lepas buat aku. Filem yang memahami klisenya dan menggunakannya dengan baik sekali.



3 comments:

Anonymous said...

"aku jadi tak menentu semalam lepas tonton filem ni. Lampu bukak, pintu bilik air aku kunci "

ahahaha aku pon weih!

Hanafi said...

ada satu "error" yang mengganggu aku sepanjang filem ni ialah seolah di rakam kan dengan 2 kamera sebab ada 2 view dalam satu scene.. aku rasa kau faham maksud aku..

fadz said...

hehe, yeap..