Yeah folks, itulah Sini Ada Hantu, sebuah filem terbaru James Lee yang menurut main-main pastiche dengan komentar moral/sosial, berserta in-jokenya yang tersendiri (orang yang kenal lakonan Fasha Sandha, serta kaitkan hal ini dengan role-play Fasha Sandha dalam drama TV3 Chinta akan memahami lawak ini) yang ada babaknya memang memikat dan ada pula babak yang tidak memberi apa-apa impak yang memuaskan.
Tapi tak apalah, ia taklah seteruk mana, malah filem ini mengambil ideal mesin penayangan 3-5 filem pendek seram dalam sebuah filem perdana (ingat Twilight Zone: The Movie? Struktur cerita latarnya juga ada kena-mengena dengan dua lelaki di tengah-tengah jalan cuba bercerita kisah seram/tak masuk akal), yang mana formula old Hollywood ini sudah diguna berkali-kali, ianya akan nampak kusam jika tidak dikendalikan dengan betul (rujuk Momok: The Movie, Body Bags) tetapi jadi indah jika dijalin dengan baik (rujuk It, The Company of Wolves, 4Bia 2). Ideanya ialah, seperti 1001 Malam, kisah-kisah yang tidak berkaitan tampak “disatukan” dalam sebuah tema, dan selalunya, filem-filem ini menampilkan kehebatan pengarah menggemblengkan kekuatan teknik mereka memberi “seram”, malah, kebanyakan filem sebegini menjadi ruang medan para pengarah untuk menunjukkan kemahiran mereka mengarah sesebuah segmen filem (pokoknya, agar kita tidak bosan).
Aku boleh katakan, filem James Lee ini, walaupun banyak “main-main”nya jika dibanding dengan Histeria, bolehlah dikatakan sebuah filem seram-komedi menghiburkan yang mengikut trend Creepshow I dan II, yang sedikit-sebanyak juga berlingkar dengan hal moral dan sosial masyarakatnya.
Kalau kau tengok nanti, kau lihatlah sendiri mainan moral (semua filem sebegini berlingkar tentang hal moral, baik dan buruk serta hukum alam, atau “ghaib”) yang berlaku dalam filem segmen satu, Hantu Pokok Pisang (berkenaan tidak mengikut kata orang-orang tua, zina, dan dengki), segmen dua, Hantu Nombor Ekor (menggunakan kawan untuk kepentingan diri, membunuh), dan segmen ketiga, Hantu Jepun (ketiadaan adab dan sopan-santun dalam anak muda). Aku tidak berapa suka segmen ketiga (walaupun lakonan anak-anak mudanya paling menyeronokkan), dan segmen pertama dan kedua amat “mengikut formula” (kesemua kesudahan dan klimaks segmen tidak mengujakan aku sangat) filem-filem sebegini. Tetapi jika dilihat secara teliti, setiap segmen filem ini memaparkan pengisahan “cerita” oleh seseorang yang dewasa. Cerita ini mungkin memaparkan kod-kod dasar atau kisah-kisah yang dilupakan, yang mana memberi pemahaman dan penekanan baharu terhadap generasi muda (ini namanya penurunan tradisi, atau proses penerusan tradisi), menariknya, kod-kod cerita ini seakan-akan menurunkan kod moral dari generasi tua kepada generasi muda, dan dengan begini sahaja, masyarakat itu boleh memanggil masyarakat itu masyarakat beridentiti.
Inilah yang cuba disampaikan oleh James Lee sebenarnya, cuba menulis definisi identiti budaya masyarakat kita, mengikut kod, dasar dan perlakuan tatacara yang tertentu. Secara sinikal, James Lee menyatakan, sebagaimana mana-mana pengarah filem seram sebelumnya, mereka “yang tidak mengikut” tatacara yang ditentukan ini dinyatakan dalam filem ini sebagai “mendapat balasan yang setimpal” dengan pelakuan bimoral/bisosial yang mereka lakukan (sekarang kau akan faham, kenapa budak keras dalam segmen ketiga tu tak mati).
Aku agak menyukai “semangat” ini walaupun formulaik dan MURAH garapannya, kerana sejujurnya, James Lee ingin mengatakan, “Kitalah kita!” Hal ini dinyatakan dengan baik, dan bagi aku merupakan kekuatan sebenar filem ini, dalam cerita latar Alvin Wong dan Baki Zainal. Mula-mulanya, cerita ini terperangkap dalam ungkapan klise “filem 1 Malaysia” yang aku risau benar jika ia merundum ke arah banality. Malah pelaksanaannya membosankan. Kisah ini mula menarik apabila selesai segmen pertama, apabila Alvin dan Baki mula bertekak “hantu yang mana lagi hebat”. Secara menyindir, Alvin (Cina) dan Baki (Melayu) sedang membanding-bandingkan identiti dan ciri-ciri “filem” bikinan mereka (cerita ialah FILEM!), sampai Baki menyampuk cerita ketiga yang “ada hantu luar yang lagi hebat dari hantu kita”, yang kita fahami di sini sebagai “filem-filem luar” (menariknya, segmen inilah yang paling membosankan buat aku). Selepas semua ini berlaku, Alvin dan Baki akan melalui satu drama seram-komedi yang mengasyikkan, berkenaan dengan “keranda” yang mereka bawa (mungkin simbol kita, penonton). Kita akan lihat berlakunya konflik antara Baki dan Alvin, membuakkan tema keterasingan, kefahaman, was-was dan nilai persahabatan (secara individu atau antara kaum; aku tak tahu, kenapa babak bahagian ini mengingatkan aku kepada segmen "In the End" dalam 4Bia 2). Kita pula terperangkap dalam mainan James Lee. James Lee manyatakan, hal-hal itulah yang “mengidentitikan” Malaysia, lantas, kita akur.
Walaupun begitu, kebanyakan babak filem ini tidaklah menampilkan penceritaan imej yang impresif atau suntingan yang mantap, malah suara latar filem ini HANCUR bagi aku, dengan runut bunyi Shamsul Cairel yang begitu memekakkan telinga, seperti beberapa filem seram MIG, aku tonton filem seram ini dengan menutup telinga bukan kerana takut tetapi tak tahan dengan kesan suaranya dan lagunya yang memekakkan.
Sebuah mesin seram yang Oklah untuk James Lee, macam Temple of Doom kepada Raiders of the Lost Ark lah.
No comments:
Post a Comment