05 April 2009

Bila Hati Telah Retak(1982) Melodrama Klise Melayu Yang Mengkagumkan

Beberapa tahun lepas, berlaku satu pendebatan antara Faisal Tehrani bersama-sama dengan beberapa blogger filem (tentang godaman filem Gubra). Aku mengikut serta perbualan yang berlaku dalam blog Faisal, dan aku tertarik dengan pendapat Faisal bahawa terdapat dua filem yang menjadi kegemarannya dan menjadi sebuah filem Melayu CONTOH buatnya; filem Bukit Kepong dan filem ini. Buat Bukit Kepong, aku belum betul-betul teliti lagi (propagandanya terlalu dan peminjaman runut bunyi First Blood mengurangkan sedikit semangat aku meneruskannya, walaupun aku masih ingat lagi sewaktu kecil, aku mengalami mimpi ngeri setiap kali aku selesai menontonnya) tetapi aku bertuah dapat menonton filem terbitan Filem Negara ini Jumaat lepas.

Ada kebenaran dalam pandangan Faisal apabila memilih filem ini. Dari segi logik dan suara sinema, filem ini sememangnya patut diteliti semula oleh sebab beberapa perkara, dan paling meyakinkan, ia penuh dengan semangat sebuah filem sepatutnya ada.

Contohnya terletak dalam babak Abu Bakar Omar yang bercakap-cakap dengan Bidan Tua lakonan stereotaip tetapi berkesan Rokiah Shafie. Ruang antara mereka sangat berkesan. Bidan Tua "sedang" mempengaruhi Abu Bakar Omar dengan kata-kata "fitnah"nya tentang si Misi Muda (lakonan sangat berkesan Rubiah Suparman, malah beliau memenangi pelakon wanita terbaik buat FFM tahun berikutnya untuk filem ini). Rumah itu milik Bidan Tua. Hanya dengan suntingan berkesan dan pergerakan kamera serta tangkapan ibu rumah kemudian kita masuk (secara intimate) dan masuk ke dalam ruang rumah (berakhir di dapur, ruang dominan wanita - kuasa wanita dikatakan di sini). Sampai di depan ruang dapur, kita bertemu dengan anak buah Bidan Tua yang menekankan lagi pengaruh terhadap Abu Bakar untuk "membenci" Misi Muda itu. Abu Bakar Omar (walaupun beliau kiranya protagonis) menolak celaan Bidan Tua dan anak buahnya, walaupun bila sudah sampai di luar rumah. Tetapi "separuh" daripada kesedaran kita sudah menangkap bahawa Abu Bakar Omar "sudah terpengaruh" dengan kata-kata Bidan Tua. Memang satu kebenaran, Abu Bakar Omar ialah tali barut yang menghasut kawan-kawannya untuk mengacau Misi Muda yang datang ke kampung itu dalam 40 minit seterusnya.

Filem ini ada dua perspektif, satu tentang kuasa pengaruh wanita Melayu terhadap kaum lelakinya (mempersoal kajian deduktif moden tentang ketiadaan feminiti dalam dunia Melayu tradisional), dan keduanya tentang jiwa dan rahsia yang hanya dapat dibuka dengan melalui peleraian ruang dan masa (ini tipikal dalam mana-mana filem melodrama, dan banyak digunakan dalam filem-filem noir Hollywood dalam membuka rahsia gelap watak-wataknya).

Sebenarnya aku lebih tertarik dengan perspektif pertama, kerana hal ini diseimbangkan dengan baik oleh pengarahnya, serta bantuan suntingan serta penggambaran yang baik. Sebenarnya bukan sahaja Bidan Tua (yang ditampilkan sebagai "una madre" atau Ibu Pertama yang mana semua lelaki dan wanita akan datang kepadanya, secara berkias, Bidan Tua ialah simbolisme pemimpin berpengaruh buat wanita dalam dunia tradisi kampung Melayu) yang menampilkan pengaruh terhadap masyarakat kampung itu, tetapi Misi Muda lakonan Rubiah, sebagai simbolisme "pemimpin baru wanita" (malah disalah tanggap datang dari kota) yang mengancam kedudukan dan status "Ibu Pertama" Bidan Tua (dan benar pun, kini bidan tradisi sudah berkurang, dan ini amat menyedihkan buat zaman sekarang). Masing-masing sedang mengganggu ruang dan psiki masyarakat yang mereka dekati. Bidan Tua terpaksa, dengan tempatnya (rumahnya sebagai institusi "zaman berzaman" - seakan menunjukkan tempat dan statusnya sudah lama dengan para kampung) mencari pengaruh, menarik ruang para kampung. Dalam satu babak, Bidan Tua sendiri terpaksa keluar daripada "ruang kuasa"nya untuk menarik seorang wanita ke ruang Misi Muda untuk tujuan menghasut. Itulah senjata "pengaruh" wanita yang dipaparkan.

Kenapa Bidan Tua diancam? Kerana Bidan Tua selalunya dipanggil daripada rumahnya. Seperti seorang raja, Bidan Tua dari rumah/istana akan di"tanjak/usung/tumpang/bawa" ke rumah seorang yang sakit/sarat mengandung. Itu status Bidan Tua. Itu adabnya (orang Melayu dulu tinggi dengan adab, oleh sebab itu, mempersilakan atau mengambil tumpang seorang yang berkepentingan ke rumahnya itu satu "penghargaan" yang boleh ditunjukkan kepada orang berkepentingan itu). Sedang Misi Muda boleh BERGERAK SENDIRI dengan motorsikalnya, bebas menyelusuri mana-mana rumah (ruang intimasi penduduk kampung), tanpa "dipanggil" pun oleh para penduduk. Ini mengancam tradisi. Ini mengancam adab buat perspektif Bidan Tua (malah, buat Bidan Tua, ini memaparkan Misi Muda "murahan").
Kita diperlihatkan akhirnya, kedua-dua "Ibu Pertama" ini bertemu di sebuah rumah, rumah Abu Bakar Omar bila isterinya sarat mahu melahirkan anak (sila fahami ruang di sini: kedua-dua manusia berkepentingan ini dibawa masuk dalam bilik paling peribadi buat isi rumah itu, iaitu di kamar tidur, menampilkan kedua-dua kuasa ini akan bermain politik yang sengit mempengaruh isi rumah itu). Di sini, walaupun berlaku konflik, tetapi pengarah filem Rahman B serta penulis skrip menampilkan bagaimana pertentangan kedua-dua tokoh wanita itu diselesaikan dengan halus dan muafakat antara Bidan Tua dan Misi Muda, tanpa gangguan para wanita termasuk "pemimpin lelaki" (Abu Bakar Omar serta ayahnya) dalam rumah itu yang secara simbolis, disenyapkan, malah mengikuti "kuasa" dua wanita itu, malah Abu Bakar Omar menyampaikan pengaruh ini kepada ruang luar rumah, iaitu di perkarangan rumahnya, meminta anak dan kawan-kawan anaknya untuk "main jauh-jauh", kerana ritual wanita (melahirkan anak) yang penting sedang berlaku.

Sebenarnya, kalau dilihat daripada babak-babak berkuasa ini, ia tidaklah satu babak yang boleh dikatakan original komposisinya. Sebenarnya, kalau dilihat secara teliti, anda akan menyedari bahawa mainan ruang rumah, ruang kosong serta kedudukan antara wataknya antara ruang adalah peminjaman teknik ruang yang banyak digunakan dalam filem melodrama-keluarga Jepun pada 50-60an. Memang, permainan kedudukan ruang ini susah untuk mencapai ketulenan (hanya mungkin filem-filem Husin Hanif, Jamil Sulong atau filem Pendekar Bujang Lapok P. Ramlee), tetapi cukuplah dikatakan bahawa penggunaan ruang seperti filem Jepun ini (babak klimaks sewaktu Misi Muda menolak lamaran bekas suaminya adalah paling tampak) digunakan dengan sebaiknya oleh pengarah.



Buat perspektif kedua pula, gaya ini sebenarnya sudah banyak dilaksanakan dalam filem melodrama Melayu, malah kemungkinan filem yang baik ini tidak mendapat sambutan pada zaman itu oleh sebab Jins Shamsudin sudah melakukannya dengan banyak kali (francais filem Esok), malah filem-filem pada zaman itu, seperti Ceritaku Ceritamu, Abang, Permintaan Terakhir, Dia Ibuku sudah banyak mempermainkan klise dosa/kotor dunia kota lwn. suci/bersih dunia kampung, maka ulangan terpaksa berlaku return of the native untuk "membersihkan" apa yang terkalut, atau peleraian mesti berlaku di kampung sudah banyak kali dibuat, menyebabkan filem-filem seperti ini dipanggil filem bertemakan "balik kampung buka rahsia".

Antara perkara yang boleh dibanggakan dengan filem ini ialah runut bunyi okestra yang segar dan bertenaga, walaupun kadang-kala terlalu mengambil tempat dalam filem sebagai "alat hias". Penggambaran dalam filem ini juga "monumental" (lebih-lebih lagi shot lebar luasnya menangkap dunia kampungnya, antara yang paling cantik pernah diambil), walaupun tidak bergerak dan tidak banyak shot yang dilakukan (seperti gaya filem Yasmin Ahmad). Paling membanggakan ialah lakonan Rubiah Suparman sebagai Misi Muda, beliaulah penggerak utama filem ini. Sekarang baru aku faham dengan kelembutan dalam kekerasan dan adab Melayu yang bersungguh yang dikatakan oleh Faisal Tehrani dalam lakonan Rubiah Suparman. Sememangnya, Rubiah Suparman dalam filem ini ialah Perempuan Melayu Terakhir yang sebenarnya (Faisal menolak ketidaklogikan Embun, walaupun buat aku, watak Embun Umi Aida lebih sebagai simbolisme ikon satu sisi daripada satu watak dinamis yang menyeluruh), mengimbangi adab Islam-Melayu, intelektual Melayu serta kekerasan egonya sebagai seorang wanita Melayu yang pernah dianiaya. Antara lakonan yang sepatutnya ditonton sekali lagi hanya kerana Rubiah Suparman.

Sememangnya filem ini sebuah gem yang patut dicari oleh penonton filem Melayu. Walaupun ia bertujuan propaganda (kemodenan dan khidmat masyarakat kerajaan itu baik buat penduduk kampung), ia berjaya melintasi propagandanya dengan jiwa yang betul serta lakonan yang mantap para pelakonnya.

12 comments:

zubin said...

Suka makan makanan Melayu di Restoran Puteri, terasa macam makan masakan mak, sambil tuh boleh berjumpa dengan Kak Rubiah yang begitu peramah dan sentiasa tersenyum.......pelakon Melayu yang luar biasa, tiada tandingan

Nazim Masnawi said...

Restoran Puteri mahal nak mampus! Restoran harga patut my ass!!

deennasour said...

tak lama lagik filem negara buat filem cereka baru. jgn lupe komen eh.

berpeluh.

Anonymous said...

cayalah fadz dah jadi pakar ruang.

faris said...

aku suka rubiah dalam potret maria.. dia ucap dialog macam berhati2... lakonan dia bagus.. tapi jgn lupa rokiah shafie dalam potret maria jadi mak sidek hussein... menjadi sungguh..hehehe..lakonan yg bagus untuk zaman tersebut dan gaya filem time tu

ryann said...

teringat pula beberapa adegan dlm filem dendam dari pusara

fadz said...

zubin, aku belum cuba..

deen, saya menunggu.. tok sah berpeluh, kalau bagus, baguslah ia..

anon, cam menyindir je, haha

faris, nak jugha cuba tonton filem tu

ryann, dendam dari pusara? mengapa aku tak pernah dgr filem2 ni?

Edd Vedder said...

ok.. lepas ni aku nak kau ulas drama Maria (1984) pula. Arahan Shuhaimi Baba, lakonan Fatimah Abu Bakar. Aku tersangat-sangat suka drama tu dan aku rasa sehingga sekarang tidak ada pelakon Melayu yang boleh kalahkan lakonan Fatimah dan Allahyarham Mustaffa Noor dalam drama tu. Remember?

Rewan Ishak said...

AKu tgk filem ni lagi skali kat TV1 last week. Dulu masa aku sekolah aku pernah tgk. Memang antara filem melayu terbaik. Filem propaganda yang bagus dari segi penceritaannya. Aku dapat rasa jiwa kemelayuan & semangat kampung yg nostalgik mcm mana aku tengok foto2 lama koleksi mak & nenek aku.

Mus_Astley said...

Hmm... good review.
From your own perspectives. But, simplify please.

I was there while the movie was shown on cinema. Thought that it was just another piece of Filem Negara Malaysia self-promoted product. Ok laa, not that bad.
Story telling is a little bit slow la bang;.. compare to Abang or Terbang Bangau for instance.

But, bravo. Good review.

fadz said...

edd, aku sangat2 mencari Maria..

rewan, wah, sampai begitu..

mus, simplify? maap kata, tapi begitulah aku bertutur.. tak mahu, ludah aja.. aku tak de masalah..

Unknown said...

maaf... ader drama maria.. arahan suhaimi baba, lakonan mutaffa noor .. treingin sgt nak tgk..