06 November 2008

Budak Kelantan(2008) - Realisme Getir


Budak Kelantan ialah sebuah filem yang meradang. Sebuah filem yang 'benar'. Dalam kasar dan marahnya, kita terjumpa manusianya - baik dalam watak yang berkaedahkan moral ataupun bimoral. Ceritanya bergerak apabila Buchek bertemu kawan lamanya, Jaha, kedua-duanya mempunyai jalan hidup yang berbeza. Buchek menjadi mata buat kita mengamati hidup Jaha. Pada akhirnya, Buchek membuat kesimpulan, satu 'pengorbanan' untuk menarik Jaha ke jalan yang benar.


Ia kedengaran seperti sebuah filem hindustan (kebiasaannya dua adik-beradik yang memilih jalan berlainan untuk berjuang dalam hidup yang tidak adil. Sila rujuk Mother India) atau filem dakwah bermoral, tetapi kesemua cambah ide ini disusun secara dramatik (pembukaan setiap perkembangan 'hidup samseng' Jaha), disampaikan 'erti' yang prasedar serta dialog-dialog memikat membuatkan Budak Kelantan, satu kerja yang setaraf filem-filem 'Pemuda Berontak' seperti Haru Biru, dan lebih baik daripada Anak Halal, Impak Maksima, Remp-It dan KAMI.

Satu lagi kekuatan filem ini terletak kepada runut bunyi yang kelam (tetap menggunakan organ tetapi efek yang minimalis) lalu ditambah dengan deringan dikir barat alunan getar Halim Yazid yang 'monumental'. Getaran suara Halim di sini mengimpakkan satu suasana 'Kelantan', mewarna palet-palet imej yang kita lihat di Kuala Lumpur dengan Kelantan- semangat meluah 'Kekelantan' ingin bertapak di tanah mereka berdagang (kita faham di sini bagaimana orang Kelantan berpegang teguh pada bahasa dan budaya mereka). Ini juga mencipta melankolik - apa yang 'hilang' oleh orang Kelantan kerana berdagang di negeri orang. Suara Halim Yazid berjaya menjelmakan keinginan 'kembali semula' serta 'rintih rindu' seseorang untuk mencapai gambaran tempat asal akar umbi. Pilihan Wan Azli ini benar lagi apabila kita menyelami lirik dikir barat yang dinyanyikan, memahami perih dan cita-cita sebenar jiwa orang Kelantan, dan kenapa mereka lakukan apa yang mereka lakukan (di sini boleh diambil konteks melihat pada perlakuan Buchek dan Jaha).


Apa yang sedikit mengganggu, tetapi perlu disampaikan oleh Wan Azli adalah kesedaran sifat cauvanis patriaki yang tersemat dalam jiwa orang lelaki Kelantan terhadap wanita. Terus terang, kesimpulan akhir Wan Azli sangat menyesakkan. Di sinilah yang dikatakan ide moral itu menjadi 'samar' dek perhitunagn yang dibuat Buchek. Kita sudah mengenali bahawa Jaha jahat (mengikut konsensus moral) dan Buchek baik. Ide baik dan jahat yang dikaitkan antara mereka ialah wanita. Wanita ialah objek 'kajian' yang memberi nilai moral kepada mereka. Jaha dipertunjukkan mempergunakan wanita buat barang dagangan. Ini menjadi kerisauan buat Buchek. Tetapi, dengan tersirat, Wan Azli menghitung bahawa sebenarnya Buchek juga seorang 'cauvanis' (malah secara peribadi buat aku, lebih terkutuk teruk dan bodoh daripada Jaha), memperlihatkan teman wanitanya di'perdagangkan' buat kawannya atas nama 'pengorbanan sahabat' dan 'mengembalikan ke jalan lurus'. Di sini, satu pendebatan berjaya dicanangkan oleh Wan Azli - sebenarnya yang mana lebih benar, yang mana lebih hipokrit? Di sinilah tuntutan yang dibuat oleh Wan Azli, menggegarkan ide 'penerus generasi' dan 'perjuangan anak bangsa' agar terus berkembang maju dan kekal dengan 'anak bumi'. Satu kecaman sosial dan politikal yang sangat provokatif!


Kekuatan Wan Azli banyak ditolong dengan skrip yang kental, permulaan-pertengahan-penghabisan yang baik, menghiburkan, malah terasa selang-seli cuit hati dan rentak kasar ganasnya tersulam selamba. Anda tidak perlu takut jika anda tidak kenal loghat Kelantan (walaupun sebenarnya, mengetahuinya lebih elok, kerana ia mempunyai witnya yang tersendiri) oleh sebab filemnya bersari kata Inggeris dan Melayu.


Aku juga suka gaya penggambaran yang bergoncang, melirik ke kiri kanan dan bergerak (track shot) Wan Azli. Warna imejnya mungkin rendah kualiti tetapi dek bajet yang kurang, neo-realismanya terserlah. Antara penggambaran realisme yang baik dalam filem-filem Malaysia.


Terdapat lakonan agak baik walaupun tanpa kemajuan daripada Danny X Factor sebagai Buchek. Babak-babak dia 'berdiam' bagus kerana kekagetan drama dan seram yang berlaku di depan kita melalui episod 'acah-acah' yang mengejutkan tidak kita sedar oleh sebab emotionless Buchek terhadap aksi gedebe Jaha. Maka ngerinya terasa real. Hanya babak-babak Buchek bersama Bienda sedikit tidak meyakinkan, maka peleraian keputusannya sedikit absurd (walaupun kita faham benar motifnya). Ini kekurangan Danny dalam memperlengkapkan sikap lurus bendul Buchek. Azrul sebagai Jaha satu fenomena, seangkatan lakonan debut Robert De Niro dalam Mean Streets atau Que Haidar dalam Haru Biru. Wataknya faham erti dunia jalan malam yang ganas, faham dosa pahalanya dan memilih apa yang dia pilih. Bagusnya, dia tidak pathetik, malah, pemilihannya untuk mendapatkan Cik Su masih mencurigakan (lagipun, kelangsungan persahabatan itu masih belum berlaku). Azrul akan menjadi angkatan pelakon baru yang menggegarkan.


Wan Azli juga seorang pengarah yang menyeronokkan, kerana beliau sudah berjaya memaparkan perbincangan atas subjek yang berat, tetapi menyelusuri isu kelamnya dalam garapan yang senang diikuti naratif yang mempamerkan ketelitian subjek, Wan Azli ialah pengarah harapan baru yang menarik untuk ditunggu karya hasilnya.

8 comments:

Anonymous said...

Nak tengok, nak tengok!

cappuccino said...

salam kenal Fadz..nice blog..mcm best jer filem ne..teringin sngt nk tengok tp apakan daya...agaknya berape bintang boleh bagi ne..

FarhanaLicious said...

cerita ni menakutkan saya. siriyesli!

SOnditX (Nahar) said...

ok, at the first sight kan, rase taknak tgk. sbb ye la kan, tgk poster je, rase mcm mesti ade unsur2 moral yang tinggi, that it's totally noooooottt me. tp bile bace your entry, rase mcm nk tgk. anyway, org baru disini!

Anonymous said...

aku suka filem budak kelantan ni.. cukup rempah ratus nya..
cerita yg ok.. banyak dialog yang akan di ingat.. dan some really good acting.. n camera work yang sesuai

fadz said...

mudin, pegi tgk, pegi tgk..

cuppocino, apakan daya? adakah anda akan melalui perkara yg sama dgn saya?

farhan, iye?

sondtix, ull be shock..

faris, thx

Anonymous said...

tengok trailer kat youtube, saya tertanya2, orang kelantan tak marah ker dengan filem ni? tapi tak apa mungkin saya akan pergi menonton..untuk tahu teruk sangatke apa yang dipaparkan.

Anonymous said...

amira, saya dah tanya ramai org kelantan, malah yg menonton bersama saya tu makcik dan pakcik kelantan, mereka kata: ini kebenaran org kelantan yg duduk merantau.. saya terkejut juga dengan penerimaan yg sangat terbuka oleh mereka.