Showing posts with label Yusry Abdul Halim. Show all posts
Showing posts with label Yusry Abdul Halim. Show all posts

18 March 2015

Cicakman 3: Kemas Kini Adiwira Luput


Pertama-tamanya, kalau nak buat filem untuk keluarga, para pembikin kita harus belajar untuk bersopan, minum air Disney (ya, aku muntah juga kalau minum air ni banyak-banyak), dan bikin filem yang sesuai untuk KELUARGA. Aku faham penulis skrip Nizam Zakaria, dengan penulis lakon layar (aku masih tak faham menatang ni untuk apa) dan pengarah, Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar inginkan "edge" dengan filem yang cuba menghidupkan kembali Cicakman (rujuk cara Ghostbuster dikemas kini dalam sekuel), tetapi anak-anak tetap anak-anak, ada garisan yang mungkin tidak sesuai untuk mereka, dan mungkin agak canggung untuk mak ayahnya menerangkan segala "adik-adik", "lucah", "dinoda" di atas layar.

Cicakman 3 memang ada kerimasannya. Mungkin kerana skalanya kali ini lebih besar dan berisiko (dan mereka berani mengambil risiko tersebut). Pertama ialah sikap karya ini masih ingin menimbulkan kesinambungan camp Prof. Klon lakonan buruk Aznil daripada bahagian pertama. Sikap penjelmaan bad taste (kita panggil lawak kekampungan, setakat ini, hanya beberapa karya kita yang menampilkan lawak sofistikated, khususnya dalam tangan Afdlin) ini muncul awal-awal lagi, dengan penampilan "adik-adik" kumpulan Semut Merah yang datang menyeludup senjata tercanggih Metrofulus. Bukan sahaja para pelakon mak nyah itu tidak boleh berlakon (pelakon mak nyah tempatan terbaik masih lagi si pelakon dalam Mat Gelap dan Bukak Api) tetapi sikap dan cara penggambaran, dialog yang disemburkan, menampilkan satu tempelan John Waters sesat masuk Melayu. "Dah lama tak kencing berdiri." Begitulah dialog yang disampaikan oleh seorang mak nyah lalu diketawakan oleh penonton yang rata-ratanya kanak-kanak. Beberapa sentuhan camp ini diteruskan dalam beberapa babak yang berkait dengan Man AKA Cicakman (Zizan Razak) dan Bell Ngasri, khususnya yang menyentuh "dinoda" (hal ini mengkarikaturkan kes Saiful).

Kedua ialah tempelan jenama, khususnya Kit Kat yang berkali-kali ditampilkan dengan menyakitkan sekali. Paling aku menyumpah ialah waktu Man yang cuba menghubungi isteri dan anaknya, terdamparkan Kit Kat tanpa maksud di atas meja (dalam sejarah perfileman, tempelan jenama yang paling baik pernah dilakukan ialah dalam E.T. apabila bijian Hersheys itu dimasukkan dalam cerita, juga piza Pizza Hut yang dilenyekkan pada awal filem. Ini maksudnya, kalau hendak product placement, pastikan barangan tersebut mempunyai fungsi kuat dalam plot dan penceritaan, dan jangan takut dibuang atau disepak). 

Ketiga ialah syot and koordinasi. Ya ini kelemahan kita. Walaupun aku memberikan tunduk hormat aku kepada pengarah fotografi filem ini yang agak berjaya menampilkan beberapa syot luas (babak tangkapan CGI Universiti SEGI pada awal itu contohnya), syot julang ke atas, malah terdapat beberapa syot awal dan syot aksi pukul yang agak fluid, terdapat juga syot yang kelihatan menipu, artifisial dan tiada kesinambungan yang baik. Khususnya pada babak klimaks yang sepatutnya menjadi babak aksi terbesar filem ini. Suntingan dan koodinasi gerak aksinya sedikit kekok (rujuk babak Cicakman dilastik, babak wanita di atas Ferris Wheel). Suntingan filem ini juga tidak membantu apabila terdapat beberapa syot yang terlalu "mengelamun" dan sepatutnya boleh dipotong awal atau memberikan syot perspektif lain untuk menghabiskan satu-satu adegan. Kesinambungan daripada satu babak kepada satu babak lain, juga kelihatan kekok dan tidak bernafas baik (kerana tiada suntingan kemas dan syot yang memberi petanda sambungan), rujuk sahaja babak jukstaposisi antara tembakan kepada Cicakman dengan syot tembakan permulaan perlumbaan anak Man. Contoh satu lagi apabila Zizan menyedari dia perlu menjadi Cicakman, syot kotak terbakar dibuat dengan syot luas tanpa memberikan satu lagi syot wajah bengang Man dengan api yang sedang membakar kotak itu. Semua ini menarik dalam skrip tetapi dibiarkan atau dijalankan secara lalu tanpa kefahaman maksud. Hal ini berbeza dengan babak awal potongan syot antara dialog Zizan-Bell dengan Lisa-Fizz, cara babak ini digarap sangat bijak sekali, dengan pembinaan momen dan pembukaan maksud dan latar watak, walaupun sebenarnya hal ini dilakukan dengan terlalu panjang, seperti sebuah soap dalam sebuah filem adiwira-aksi (tetapi bentuk sebegini memang biasa dalam filem Bollywood dan peminat Bollywood pun tidak sedar akan hal ini). 

Keempat ialah cerita. Walaupun mungkin tidaklah seburuk mana, terdapat cacat-cela dan lubang plot. Pertamanya, kita terasa bahawa penceritaan cerita atau apa yang hendak disampaikan itu terlalu panjaaaaaang dan membosankan, walaupun penulis menjaga babak demi babak tersebut, dan hal ini dapat dirasakan dengan jelas daripada perhubungan Zizan dengan Lisa. Cerita perhubungan menanti belah itu boleh diikat dengan tegang lagi, dan mungkin memerlukan sikap detektif dan penyiasatan lagi daripada sisi pandangan Zizan untuk menusuk intrig demi intrig atau pembongkaran rahsia, dan bukannya dilakukan secara kebetulan berkali-kali. Aku tidak suka, contohnya, dengan babak "bayangan" pada awak filem antara Zizan dengan Bell tentang Lisa. Babak itu boleh dibuang terus.

Dalam buruk-buruk filem ketiga adiwira KRU ini, filem ini merupakan yang terbaik dan mempunyai "cerita" daripada filem pertama yang sangat buruk dan kedua yang alangkah buruknya setakat ini. Ah, takpelah, impian aku untuk menonton sebuah filem adiwira Malaysia masih belum tertunai (Indonesia, Filipina, dan Thailand setakat ini pun belum ada yang bagus). Mungkin ini akan berlaku pada era cucu aku, atau cicit aku (masalah kita yang utama: kita tidak ada komik adiwira yang dapat diingati, yang ikonik, kedua, kita memperlekehkan adiwira era hikayat kita, tanyalah, berapa ramai penerbit dan penulis di luar sana yang membaca hikayat kita). Dan filem ini sekurang-kurangnya menyampaikan sesuatu walaupun tidak hebat.

Tema yang menarik, yang berjaya disampaikan oleh karyawan filem ini ialah "penyelindungan" wajah, siapa sebenarnya hero, siapa sebenarnya penjahat (tema ini agak berani jika kita kaitkan hal ini dengan layar politik kita, dengan imejan tokoh yang menghiasinya). Hal ini dipaparkan awal lagi, apabila kita tangkap, bahawa kenapa Semut Merah meletakkan "adik-adik" sebagai tukang rampas senjata kerajaan? Kita menyedari lagi hal ini apabila, dengan sengaja, terdapat paparan Jalan Ampas yang menjadi Jalan HAmpas (aku faham hal ini mencuit keadaan industri kita sekarang). Kita menyedari suatu perkara: adik-adik yang lemah digunakan untuk suatu misi yang amat merbahaya. Kita menyedari, Hollywood era 50-an dan filem Melayu sedari P. Ramlee lagi, memperlekehkah spesies adik-adik (gay). Golongan ini ditolak/dicemuh oleh masyarakat (mereka selalu dijadikan simbol negatif dalam filem, ditolak oleh masyarakat), malah dalam filem ini, dikutuk, dipermainkan, dilawakkan, malah, ditendang pukul (kerana mereka dipaparkan sangat bodoh dan tidak sofistikated). Hal ini menolak teori "gay agenda" yang hendak disampaikan oleh tukang skrip, tetapi menunjukkan bahawa keadaan jenayah Metrofulus (Malaysia!) sudah terlalu teruk, sehingga adik-adik yang lemah dan bodoh boleh melalui premis kerajaan dengan begitu mudah sekali! (sebagai pengarah yang sedikit rajin, perlulah ditonjolkan bagaimana mereka merempuh sekuriti tempat itu, tak mungkin begitu mudah!)

Ah, berkenaan hal ini, datang pula satu laungan si samseng kepada Man dalam satu babak, dia mengejek dengan jelas kepada Man, "Adik-adik!" Kini, kita jelas faham, Man ialah loser besar filem ini, loser terhadap keluarga (dipermainkan dengan satu lawak gay sekali lagi), kawan, gadis tepi jalan, dan, dirinya. Orang seperti Man, apa saja yang kita boleh dapat dalam keadaan bandar serba korup penuh jenayah ini?

Kemudian, kita ditampilkan dengan (spoiler besar) kehadiran Fizz sebagai penampilan polis bersih dan tangkas, yang sebenarnya korup. Hal ini membuatkan kening aku terangkat. Polis korup? Eh, biar betul LPF kali ini terlepas pandang?? Ya, kini tema itu mencapai sesuatu: alam Metrofulus yang buruk dengan jenayah dan kejahatan dapat berlaku kerana penjaga keselamatannya kotor. Kotor itu dengan jelas berlaku dalam mainan gerakan samseng, pembunuhan seorang ketua polis, dan lebih teruk lagi, penguasaan kota Metrofulus. Hal ini menjadi kerana mainan watak (rujuk babak ketua polis dibunuh dengan babak klimaks akhir, hal ini dalam pembukaan topeng dan pendedahan rahsia watak sebenar) yang menutup si jahat kepada si baik dan si baik kepada si jahat. Terdapat dua adiwira sekarang, yang kini diminati oleh rakyat dan adiwira yang hendak bertapak kembali. Adiwira ini, tidak seperti filem lain, berbaik dan menubuhkan kumpulan, tetapi terpaksa bersaing untuk mendapat perhatian rakyat. Maka motif dan agenda setiap adiwira itu diselidiki, menampilkan sisi baik/jahat sebenarnya terhadap rakyat. Walaupun tanggapan ini sudah klise (jika kita bandingkan dengan pendedahan penjahat dalam Iron Man 3, yang jauh lebih kuat kritikannya), hal ini agak memadai untuk si anak kecil menyedari, dunia ini bukan hitam dan putih seperti yang diajar oleh televisyen dan orang politik.  

Tatarias filem ini bolehlah dipuji, dengan "memburukkan" latar Metrofulus yang moden maju dalam filem awal kepada bandar yang mula merongak dan meniti ke arah kemerosotan. Ya, aku tahu terdapat beberapa babak tempel New York yang mengada-ngada dan kadang-kadang keluar skop, tetapi terdapat beberapa latar dan pemilihan ruang yang baik dan hidup, tidak statik seperti filem awal, walaupun ada yang superfisial.

Lakonan para pelakonnya biasa, memadai, tiada lebih tiada kurang. Hanya sekumpulan pelakon tambahannya agak buruk walaupun hanya tempelan kadbod.

Runut bunyinya mengikut gaya synthesizer yang cuba menangkap emosi watak di layar, yang amat sesuai, malah sudah berkali-kali dilakukan dalam filem Bollywood dan Kollywood, bukan asli, dan kadang-kadang melantun tiba-tiba.

Kostum Cicakman Zizan mewajarkan Zizan menjadi Cicakman terhodoh dalam sejarah filem adiwira (adakah ini inside joke pembikinnya terhadap Zizan?). Kostum tekno moden  Superbro mengingatkan aku kepada Rick Moranis "Dark Helmet" dalam Spaceballs. Kepala besar, leher pendek, badan budak kecik. Alahai.

Suatu percubaan yang menghiburkan, walaupun sedikit lewah, lucah, dan tidak sempurna.

Klasifikasi Cicakman 3: P13, terdapat penyampaian perlakuan, aksi, dialog, dan watak lucah yang tidak sesuai disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.

26 May 2011

Karak(2011)

Karak(2011): Lagenda urban tengah jalan raya paling menakutkan di Malaysia diberi peluang persembahan roller coaster yang terperangkap dalam ruang dan masa.

"Suka hati dialah nak buat apa..."
Tok Malam

Dah lama kita dengar tentang Karak. Mungkin orang Sabah dan Sarawak tak tahu, tetapi lama-kelamaan, mereka akan tahu juga dengan cerita seram ini, yang kini sudah menjadi legenda, bagaimana si suami yang membaiki kereta (cerita yang aku dengar, cari minyak petrol tengah malam) lantas si isteri duduk diam dalam kereta, kemudian ada sesuatu di atas atap kereta, menghentak bumbung kereta, dan polis sampai suluh lampu, minta si isteri keluar dengan senyap tanpa menoleh ke belakang. Mereka kata, cerita tersebut benar-benar terjadi. Wallahu-alam.

Cerita legenda tersebut mendapat suntikan KRU dengan penulisan skrip Norman dan pengarahan Yusry. Secara jujur, aku mendapati cara gerak, solekan seram, suara dan kejutan hantunya suatu yang menghiburkan dalam genre seram buat kali ini. Ya, filem ini sebenar-benarnya dibikin dalam salutan gaya William Castle dan sekumpulan filem "B" yang popular pada zaman 60-an di Amerika (Zemeckis pernah meneruskan ideal ini dengan penerbitan filem seperti The House on Haunted Hill dan The Thirteenth Ghost). Filem-filem tersebut dibikin untuk penonton remaja, plot nipis, punya seram dan hiburan yang berselang-seli formulaik, dialog yang bergerak mengikut rentas ruangnya dan tidak bermakna ia realiti, dan dibikin untuk menakut-nakutkan mereka di panggung. Sebagai suatu "ikutan", bolehlah kiranya filem ini diletakkan pada bahu filem-filem tersebut, dan aku mengaku, ada juga momen yang menakutkan sekali gus menghiburkan. Suatu yang paling menarik adalah bagaimana penggunaan efek khas yang aku kira berjaya mencipta, mungkin bukanlah hantu yang paling menakutkan dalam sejarah filem tempatan, tetapi yang paling menarik setakat ini. Kesan khas filem ini agak baik, dengan pencampuran kesan tradisi dan CGI. Paling baik, filem ini dibikin dengan semangat seronok-seronok, dan ianya terpampang baik, dengan susunan dan kawalannya, ia memang seram seronok.

Memang ada beberapa bahagian yang membosankan, tetapi aku kira ia tidaklah mencemarkan filem ini. Lakonan keseluruhan para pelakon mudanya suam-suam kuku (kebiasaan dalam mana-mana filem seram menggunakan pelakon baru seperti filem ini, mesinnya dibikin untuk menghiburkan, itu sahaja) dengan dialog yang jengkel ("kenapa kita macam ni?" yang juga mempunyai resolusi jawapan yang menarik di akhir cerita.

Paling aku setuju dan suka adalah mainan "perangkap" ruang dan masa, yang akan berlaku terhadap keempat-empat watak remaja dalam filem ini (kiranya macam jalan gerak ke Twilight Zone lah). Ini adalah rahsia seram yang paling seronok jika dikendalikan dengan betul, dan percubaan KRU haruslah dipuji. Mereka membuat watak (penonton) terpinga-pinga jika keadaan ketika mereka itu adalah waktu real atau mainan fikiran, terperangkap dalam ruang dan masa "panggung" yang dicipta untuknya (penggayaan ini mencapai tahap yang terbaik dalam dunia layar Syaitan arahan Bade Hj. Azmi). Inilah "trick" yang menarik, yang memberi makna mengapa mereka semua dalam keadaan "mimpi". Usikan ini menjadi rujukan "in joke" lagi bila Tok Malam menyatakan, "suka hati dialah nak buat apa", menandakan gaya "main-main" si pembikin untuk buat "apa-apa" terhadap empat watak tersebut dalam ruang dan masa "mainan" mereka. KRU pastikan bahawa ruang eksperimen seram hiburan mereka ini tidak terlalu menjurus kompleks, dan tidak pula jatuh dalam perangkap Razak Mohaideen. Cukup-cukup sahaja. Dan ini memberi kebaikan untuk mereka.

Maka bermainlah Yusry dalam padang mainan takut, yang aku setuju, penuh warna-warna dan imaginatif setakat ini (tetapi belum lagi mencapai tahap dewa sentuhan Tsui Hark seperti A Chinese Ghost Story). Hanya bahagian klimaks, walaupun menarik, tidak memberi impak grandeur yang sebenar, walaupun idea atas kertasnya menarik. Filem ini agak berbaloi untuk menonton sekali duduk, khusus jika anda mahu ditakutkan dan dihiburkan, ringan tetapi tidak pula membodohkan penontonnya. Jadi kiranya, suatu mitos juga agak berjaya dicipta (dengan pembikinan filem ini), dan aku dapat rasakan akan menjadi sebuah francais seram jalan raya yang menarik untuk disambungkan, sudah tentu dengan kesan khas dan cerita yang lebih ditingkatkan daripada ini.


08 March 2011

Hikayat Merong Mahawangsa(2011): Antara jerat epik dan harapan bangsa

"1"

Ok, ego check!

Semalam aku mendapat peluang (aku tidak dijemput) menghadiri Press Preview filem yang dinanti-nantikan ini. Yeap, banyak kawan aku yang bengang gila aku dapat gi. Aku faham, antisipasi untuk menonton filem ini begitu tinggi, dan aku berharap, atas dasar cinta terhadap filem Malaysia, aku utuskan di sini agar kawan-kawan aku tu pegilah tonton filem ni. Hah, see, free marketing lagi!

Ok, tujuan entri "1" ini adalah kerana, sewaktu aku beratur di luar (dengan banyak kali dihalau oleh PR KRU yang profesional sebab aku pariah buat mereka), aku nampak lah kelibat para pelakon, artis kita melalui karpet merah memasuki dewan pawagam, di sinilah pemerhatian aku:

Craig Fong - Pendek
Anuar Zain - Pendek
Norman KRU - Pendek
Yusry KRU - Pendek
Syahir AF - Pendek
Stephen Rahman Hughes - Pendek(!)

Kesimpulannya, bolehlah aku berbangga dengan darah Arab-Acheh-Bugis-Patani aku bahawa sekurang-kurangnya aku lebih tinggi daripada kebanyakan artis Malaysia yang aku selalu nampak gah dan tinggi di dalam majalah hiburan (yep, aku baca juga kadang-kadang, aww), filem serta Melodi itew. (Optical Illusion beb!)

Pengajarannya ya anak-anak, anda tidak perlu ketinggian yang tinggi untuk menjadi artis Malaysia.

"2"

Aku sudah meroyan bahawa aku tidak dijemput. Kiranya aku macam wedding crasherlah (aku dapat rasa sangat, awek Yanie malam tu rasa aku janggal untuk berada di situ, tapi dia betul-betul bersikap profesional dan memberi juga aku tiket), ha ha, muka tak malu. Lagipun Syazwan GalaTV membantu aku (memaklumkan tarikh). Kiranya, aku macam terkedu jugaklah, depan kaunter tiket, meminta macam minta sedekah untuk tiket, walaupun ada kaunter BLOGGER di situ (aku sepatutnya masuk bawah Media). Boleh tahan jugalah PR dan protokol KRU ni, kiranya, kalau kau rasa kau bukan groupie mereka, kau akan rasa terbiar. Tapi aku rasa, pak cik ni lebih teruk daripada aku, sebab, aku walaupun tak dijemput, aku redah aje kerana berbangga untuk menonton filem yang Malaysia tunggu-tunggu ini (semuanya atas kerana filem, dan bukan lain), tetapi pak cik diva ni, menyatakan pendiriannya yang tidak dijemput bagaikan ratu yang dihalang memasuki parti terpenting tahun itu. Hebatkan Harian Metro?

Aku pun sedar aku ni siapa. Blogger yang tiada apa-apa selain hebat mencarut. Bila Syazwan tanya kenapa aku tak masuk pawagam lagi, aku jawab, "Aku tahu, aku ni pariah." Serius, ini pertama kalilah dan kali terakhirlah aku "cuba" datang menghadiri pratonton filem-filem KRU, aku faham tahap dan penghormatan aku buat kalian, terima kasih kerana beri aku peluang.

"3"

OK, now the review of the film.

Korang sedar atau tak, aku campur-aduk bahasa dalam entri kali ni,? Yeap, sebab itulah semangat filem ini, yang Bissme nyatakan sebagai "1 Malaysia". Syazwan menyatakan filem ini "commendable", dengan skrip yang begitu ketat. Kawan yang aku bawa dari ofis menyatakan filem ini MANTAP dan tidak rasa bosan, malah mengujakannya dari awal hingga akhir.

Bagi aku?

Ini verdict aku selepas menontonnya:

Agak menghiburkan dalam beberapa momen, kejantanan yang bermain dalam dunia plastik (same goes to 300 what!), talky, kelam-kabut dan tidak terkawal. Secara keseluruhan, perasaan aku berbaur, tetapi tidak bermakna filem KRU kali ini gagal, malah buat aku, setakat ini, inilah filem KRU yang paling memahami cerita dan garapan, malah melebihi Magika, dan untuk itu, inilah filem KRU yang paling berjaya setakat ini.

Hal "kelam-kabut" dan "tiada kawalan" yang dinyatakan di atas sebenarnya subjektif, kerana Yusry selaku pengarah filem ini ingin menyatakan sikap "rojak", dan bagai aku, kiranya, dia berhasil dari segi itu.

Jika kalian dari kumpulan sejarah ini, kalian akan rasa tersinggung dengan filem ini kerana ini merupakan intepretasi Amir Hafizi dan Yusry KRU menelusuri sejarah lama orang Kedah. Sebagai konsep, aku begitu teruja dan mengucapkan tahniah kepada Amir dan Yusry atas kerana mengintepretasikan suatu pemahaman sejarah yang segar akan hikayatnya. Garuda yang dibayangkan merupakan kumpulan lanun berkuasa sihir, Jentayu merupakan kapal Merong Mahawangsa, kata kiasan dalam ucapan orang Melayu menyatakan bahasanya perlu dibaca berulang kali kerana intinya kaya dengan simbolisme, Langkasuka datang daripada nama ibu Merong, Lang (lakonan mantap walaupun pendek Umi Aida, walaupun hal ini tidak dinyatakan dalam filem), ideal kenapa kisah "bersejarah" ini tidak dimasukkan dalam senarai data sejarah orang Rom mahupun Cina dinyatakan dengan bersahaja - bagaimana dua negara ini "malu" ditundukkan kebijaksanaan dan kehebatan mereka oleh seorang Melayu campur, ideal dunia Melayu yang sudah lama berlayar sungguh indah, serta pembinaan sebuah negara kota yang dahulunya tanah kampung mempunyai makna yang tersendiri.

Malah ada satu bahagian, yang kiranya, Amir dan Yusry telah memberi tempat yang begitu indah buat pantun Melayu, pertamanya, pantun yang diingati oleh Merong Mahawangsa daripada ibunya, telah dijadikan suatu mutiara kata yang tidak jelas tetapi menimbulkan pancawarna; ia merupakan kata bidalan cinta dua orang yang tidak pernah bertemu, prophecy kedatangan seorang raja bagi orang Melayu, dan akhirnya, satu puisi yang tragis tetapi berkesan. Penggunaan pantun di sini, kiranya berjaya dari segi pengisian cerita, penciptaan misteri, dan sekali gus memaparkan lapisan demi lapisan yang ia boleh pergi. Aku mengaku, bahagian akhir sewaktu Merong Mahawangsa "memahami" pantun ibunya itu apabila berlawan dengan Taji, lantas melakukan apa yang dia telah lakukan, membuatkan bulu roma aku berdiri. Malah aku nyaris-nyaris menangis atas kuasa pilu (poignant) yang berjaya disemarakkan dalam babak akhir itu.

Yeap, aku menyukai babak akhir filem ini. Kali itulah, aku mengaku, aku dapat menjumpai makna "epik" bagi filem ini. Hanya dengan babak itu sahaja, aku memaafkan Yusry yang pada awalnya, aku menunggu kemunculan sikap epik.

Ini adalah kerana, epik merupakan genre filem yang paling susah hendak dibikin kerana belanjanya tetapi paling disanjungi oleh mana-mana negara pembikin filem. Secara tuntas, Amir dan Yusry menyatakan dengan jujur, janganlah pandang filem ini sebagai filem serius sepertimana Puteri Gunung Ledang, Suryothai, atau Naresuan, tetapi lebih kepada bertih jagung seangkatan Queen Langkasuka. Nilai komersial itu tidak merunsingkan aku, malah, aku menyedari Yusry banyak membuak semangat Pirates of the Caribbean, contohnya apabila babak Putera Rom cuba mendapatkan Merong di pasar Goa. Malah dialog demi dialog (buat aku, ianya membosankan) antara Putera Rom dan Merong mengingatkan aku kepada dialog-dialog kena-mengenakan Keira Knightly-Orlando Bloom-Johnny Depp.

Ada beberapa hal lagi yang mencuitkan yang mungkin akan dibikin spekulasi, sepertimana pemahaman "penyatuan dua kampung", aku merasakan, secara sinikal, KRU sengaja mahu mempamerkan filem ini tepat pada masanya sebelum PRU kita atas makna "tersirat" penyatuan. Kalian mungkin akan berspekulasi bahawa Geruda itu PAS kerana simbol-simbol "purnama mengambang" yang jelas, dan kemudian Merong dan Langkasuka itu UMNO kerana simbol kerisnya (yang datang dari atas angin). Hal ini mungkin lebih mencuitkan jika anda tonton pengkahiran filem ini serta makna pantun yang dinyatakan.

Satu lagi yang aku jumpa, aku sedar, kepala hotak Amir Hafizi ni boleh tahan lucahnya. Dari Jin Notti, Magika hingga projek KRU sekarang, aku tersedar Amir ni suka dengan lawak-lawak lucah, yang kadang-kala membingitkan. Bagi aku, lawak-lawak lucah ini (yang ingin menyerupai Pirates of the Caribbean) sesuai buat mentaliti orang Malaysia tetapi mungkin kelihatan "murah" buat penonton luar. Satu contoh merupakan babak Merong menegur Putera Rom memakai skirt, yang bagi aku agak corny, lebih-lebih lagi dituturkan dalam bahasa Inggeris.

Mungkin kerana itu, dengan projek lunak yang tinggi kos ini, terlalu besar buat bahu Yusry. Secara serius, Yusry mempunyai impian yang maha ikhlas dan suci, tetapi impiannya itu, masih dicalarkan dengan beberapa masalah atas kerana, aku tampak dengan jelas, kepakaran teknikal kita yang masih belum setaraf, walaupun Indonesia dan Thailand. Ya, kebanyakan babak filem ini "betul" tetapi tampak "janggal" atas kerana beberapa hal. Aku tidak suka dengan mainan warna sephia yang sengaja untuk memaparkan kelam dan malam. Aku memahami ini disengajakan untuk membandingkan "masa" perantaraan kisah ini diceritakan dan kisah Merong tersebut, tetapi Ya Rabbi, buruknya! Kadang-kadang kelihatan "pasir-pasir putih" yang berkeliaran di atas layar. Kemudian runut lagunya, walaupun aku teruja, tidak memberi impak yang sepatutnya terhadap imej di layar. Aku juga tidak menyukai suntingan yang tidak begitu terkawal serta sudut tangkapan kamera yang begitu bermain-main (kejap-kejap terbang, kejap-kejap ke darat), inilah kelemahan Yusry dan pengarah penggambarannya dalam memahami bila syot fokus dan bila syot luas dilakukan. Ini menyebabkan kuasa sinematik filem ini merundum dan tidak dapat dipegang dengan erat.

Aku begitu teruja dengan kesan CGI dan seni pengarahannya sekurang-kurangnya, yang bagi aku, bolehlah dikatakan impressive bagi sebuah filem tempatan, dan bagi aku berjaya mengatasi Puteri Gunung Ledang. Lakonan pula, aku bangga dengan lakonan Rahim Razali walaupun kemunculan awalnya membuak ramai penonton menjerit "GANDALF!" (ada satu babak ni yang aku terkekeh sorang melihat Rahim isap "rokok" yang membayangkan yang dia tengah "high", aku tahu babak ni disengajakan), Umi Nazeera yang bagi aku sempurna, malah merupakan antara pelakon yang akan menggegarkan industri kita. Setiap gerak-gerinya, kata-katanya cukup dimakan, dirasai, kita seakan bercium dengannya. Malah Stephen Rahman Hughes pun kalah dengan ucapan Braveheartnya terhadap kata-kata akhir Umi tentang "panah", "parut" dan "jiwa". Umi merupakan bintang bersinar dan suatu yang ditunggu-tunggu dalam filem ini.

Pelakon-pelakon lain agak sederhana. Aku menyukai Gavin, tetapi atas kerana kekurangan kuasa imej, Gavin tidak diberi peluang drama yang sebenar, yang kadang-kala kamera cuba lari dari Gavin. Walaupun begitu, aku nampak Gavin ada potensi. Mano Maniam buat aku pula terlalu OTT. Craig Fong terlalu kayu, termasuk si puteri dan inangnya yang terjerat dalam filem yang salah. Tiba-tiba sahaja aku terbayang French & Saunders di tengah-tengah filem. Stephen Rahman Hughes? Tuhan, kita rupanya mempunyai our own Arnold Schwazeneger. Serius, filem ini memerlukan seorang Merong yang bukan sahaja tangkas, action hero ala-ala Hollywood, tetapi juga seorang thinking actor (mengikut kedalaman skripnya), dan tanggungjawab ini kelihatan susah dipikul oleh Stephen Rahman. Satu babak sahaja memaparkannya, bila Stephen bertanya, "Does it hurt?" pada seorang soldadu yang rebah ditikam ("hello, tentulah sakit?!"). Hanya seorang pelakon yang ada karisma dan wit boleh menyampaikan babak selamba itu dengan berkesan, dan bukan dengan wajah satu dimensi yang kosong.

Percubaan kareografi lawan dan aksi juga kurang menyengat, yang aku sedar, hal ini berlaku dalam mana-mana filem tempatan kita. Beberapa plot turut dipersoalkan seperti bagaimana Puteri Cina tiba-tiba dapat melepaskan diri dengan inangnya di pulau Garuda. Tetapi hal-hal ini, kiranya, aku lihat tidak akan mendatangkan masalah buat penonton kita, memandangkan ada banyak hal hiburan yang terisi yang boleh diikuti oleh mereka. Tetapi bagaimana pula dengan penonton luar?

Inilah persoalan yang paling susah dan subjektif yang ditangani oleh Yusry dan kumpulannya. Filem ini dibuka (dan ditutup) dengan penulisan hikayat (yang kita tonton, di sini, kita memahami, pembikin filem cuba "menulis kembali sejarah", satu semangat pascamoden yang enak). Hal ini agak "besar" dan penting buat kita penonton Malaysia, khususnya Melayu, kerana di sini, kita diperlihatkan bagaimana dengan kedatangan Islam, penulisan itu diperturunkan (secara fakta, hal ini agak salah kerana sebelum itu lagi, orang Melayu sudah ada sistem penulisannya, Pali) dan bagaimana bermulanya tamadun dengan penulisan dan penceritaan. Tetapi buat penonton luar, aku risau mereka "care less" berkenaan hal ini. Jika kalian rujuk mana-mana filem epik, Cleopatra, The Ten Commandments, Spartacus, Braveheart, Gladiator, Troy, Naresuan, Suryothai, kalian akan sedar, filem mereka digerakkan dengan satu watak sebagai "pemegang naratif". Pemegang naratif ini merupakan "tingkap" kepada penonton, dan dia tidak semestinya watak utama filem.
Rujuk filem Alexander dan bagaimana filem itu "kucar-kacir" apabila pemegang naratifnya ialah Anthony Hopkins (sekarang kalian faham kenapa Oliver Stone memerlukan seorang pelakon hebat seperti Anthony untuk membuka Alexander?) Filem Oliver Stone itu berlainan sedikit kerana "fakta" yang diceritakan dipersoalkan oleh si penulis, berlaku retorik dan hal ini mengundang konflik menarik. Di dalam filem Yusry ini, penulisan "naratif" (kita fahami, teks cerita ini) ditulis secara "satu hala", menyatakan apa yang kalian tonton ini, walaupun tampak "unreal" merupakan hal yang "real" berlaku. Aku tahu, Alexander versi Director's Cut lebih baik (adakah ini bermakna kita dapat menonton extended version filem ini?) apabila dikaitkan dengan gaya ini tetapi meletakkan seorang pencerita sebagai pembuka memang berisiko, walaupun hal itu merupakan hal yang amat mengikut semangat abad ke-21.

Aku merasakan, filem ini sepatutnya digerakkan oleh Putera Rom, si orang luar yang baru hendak mengenali hidup, kekasaran, kebebasan dan kemuliaan dunia Merong Mahawangsa (Melayu). Rujuk Pirates of the Carribean dan anda akan sedari filem itu pun bermula dengan Orlando Bloom sebagai penggerak naratif, dan bukan Johnny Depp, walaupun filem itu milik bintang itu. Apabila filem ini dimulakan dengan "mengejut" secara naratif, antara Putera Rom dan Puteri Cina yang agak pendek dengan montaj-montaj, kita tidak sempat untuk mengenali Putera Rom tersebut. Malah pembangunan watak hanya berlaku waktu dialog antara Merong dan Putera Rom di atas Jentayu, yang bagi aku, agak kelam-kabut, kerana kita perlu mencari pengakaran, to whom should we root for. Malah sejarah dan perkembangan kisah Merong juga "dimulakan" dengan mimpi. Banyak enigma yang tidak dinyatakan (adakah kerana Merong campuran orang asing, orang Melayu membencinya?) dan ini membuat kita menjerit, wehhh nak extended version!! Jika mungkin, kita dipaparkan satu arch yang indah berkenaan Putera Rom yang dahulunya pandang rendah terhadap bangsa asing, kemudian berubah rupa bila bertemu Merong, mungkin ada sesuatu yang boleh diakarkan di sini. Kerana, semua penceritaan seakan-akan laju dan kelam-kabut untuk menuju ke barisan penamat.

Di sinilah aku tampak sedikit kerosakan filem gah ini, yang aku risau tidak dapat diterima oleh pihak luar. Tetapi aku berharap, dengan filem ini, filem Malaysia boleh juga menjelajah ke serata dunia, walaupun ada cacat-celanya, untuk diperkenalkan bahawa Malaysia mengambil cabaran untuk membikin filem yang lebih baik dan menunggu untuk diletakkan di peta dunia perfileman.