Showing posts with label David Fincher. Show all posts
Showing posts with label David Fincher. Show all posts

10 December 2010

The Social Network(2010): Dunianya Putih dan Biru

"Untuk parti itu meletup, kau kena pastikan ianya kool." - Mark Zuckerberg.

Ada tiga cara untuk menonton filem ini, sepertimana ada tiga bentuk penonton yang akan mengerumuni filem ini.

Pertama ialah golongan IT nerd dan geek, atau mereka yang seumpama dengan itu (baca: Nazim Mannawi, ha ha ha ha), di mana filem ini akan menghidupkan segala bentuk fantasi yang mereka mahu imbaukan tentang kehidupan - awek seksi mengajak main, kau kaya dan dihormati golongan cantik dan hodoh, kau boleh tidur pada bila-bila masa kau suka, apa-apa yang kau kata adalah kool, kau diberi parti tapi kau bercadang kau tak kuasa nak layan sebab kod dan siber lebih penting, mamat beefcake bengang gila ngan kau sebab kau lagi kool. Filem, sepenuhnya, memberi gula-gula manis kepada golongan ini (dan inilah jawapan kenapa filem Hackers dahulu lakonan Angelina Jolie dibantai oleh golongan ini serta laman webnya digodam). Cara menonton filem ini, relaks, terhibur, dan ikut lencongan cahaya!

Kedua ialah golongan rakyat biasa yang cuba memahami golongan nerd dan geek. Segolongan daripada mereka akan turut menyatakan bagaimana "dekat"nya filem ini mempersembahkan golongan mamat geek di kampus, dan bagaimana mereka terhibur dengan peragaan mereka, idea mereka, cara cakap mereka dan segala yang tampak impresif sebagai sejenis makhluk yang di luar kod normal. Separuh pula mungkin, tidak akan peduli dan melihat budaya, cara, dan kisah golongan ini dan menuduh mereka hanya sebagai "segolongan lagi umat manusia yang Tuhan beri otak tapi mengejar dunia" (yeap, ini golongan fundementalis agama). Cara menonton filem ini, tonton filem ini berkali jika mahu memahami nuansa dan gaya hidup golongan ini, maka bolehlah diperturunkan kepada anak-anak supaya mereka juga boleh pergi ke Harvard.

Ketiga ialah, mengenali Aaron Sorkin dan David Fincher, Sorkin penulisnya (adaptasi daripada buku, hah, buku lagi, FAHAM tak Ridhwan, you just have to start from something), dan Fincher pengarahnya.

Sorkin sebenarnya lebih dikenali sebagai penulis siri drama The West Wing. Kekuatan Sorkin ialah dialog, khusus dalam retorik dan penjelasan. Sorkin suka mencari dan mengenal pasti "kebenaran" dalam hal-hal samar. Ini tampak jelas dalam skripnya, A Few Good Men. Kononnya, skrip ini menyatakan "sejarah". Di dalam filem ini pula, Sorkin mengambil sudut perbicaraan tertutup antara sudut Mark Zuckerberg-Eduardo Saverin-kembar Winklevoss. Hal ini membentuk perspektif yang berlainan antara tiga sudut berkenaan. Tetapi ini bukan Rashomon, kerana Sorkin "menggerakkan" kepelbagaian perspektif ini (kadang-kala bersilang, kadang-kala bertentang, seperti rangkaian sosial!) untuk menjurus ke satu penghujung yang sama. Kebanyakan drama dalam mahkamah mempunyai plot yang sama sebenarnya. Ambil sahaja The Last Exorcism of Emily Rose, anda akan jumpa pergerakan motivasi yang sama. Apa yang penting di sini ialah retoriknya, adakah ia memadai? Cara susunan, cara pembukaan dan penutup, ia amat-amat memuaskan daripada Sorkin.

Malah teks Sorkin dikatakan telah menenggelamkan auteur David Fincher, seperti kata-kata Leonard Maltin dalam ulasannya. Aku rasa tak. Jika dilihat, bermula dengan Zodiac, dan seterusnya Benjamin Button, Fincher mula melukiskan watak lelaki latar Amerika yang obsesif dalam pencarian (dalam filem ini, pencarian Mark Zuckerberg untuk menyempurnakan Facebook menyerlah kuat daripada, hal kekayaan). Watak-watak ini "susah" hendak didekati kerana sikap self-absorb dan sentimen mereka terhadap diri dan "kerja" yang mereka lakukan. Ini sebenarnya sindiran Fincher sendiri apabila ramai pengkritik menggelarkan filem-filem lamanya (Se7en, Fight Club, The Game) sebagai "syok sendiri" (pretentious). Secara kebetulan, hal ini juga menjadi rujukan terhadap pemahaman abad ke-21 yang banyak memberi sumber dan ruang teknologi kepada manusia. Secara menarik, ketiga-tiga filem termasuk yang ini membiarkan watak lelakinya seorang untuk menyoal dirinya dan punca kehadirannya dalam zaman itu. Dalam ketiga-tiga filem, watak Mark Zuckerberg yang paling menarik dan paling berjaya diangkat ke layar.

Filem ini dimulakan gelap. Gelap di sini sebagai petanda normal, prakejadian (di sini, kewujudan Facebook) dan "zaman gua". Babak gelap awal ini berlaku di dalam pub di mana anak-anak muda Harvard bertemu untuk minum, bersosial dan berpacaran (penanda kepada kewujudan Facebook). Satu "pertikaman lidah" sedang berlaku di antara Mark dan Erica (Rooney Mara). Ini adalah babak "pivotal" filem ini kerana di sini, malam ini, babak ini, secara nyata dan tersirat, pokok filem ini "dibina". Pergaduhan yang berlaku menyebabkan Mark berang dan mencipta satu laman yang nakal tapi bijak, dan ini akan terbawa ke pembinaan Facebook. Mark akan keluar dari pub "seorang" dan berjalan "as a nobody" dalam kalangan pelajar Harvard. Lihat secara teliti, anda akan sedar, babak ini gelap dan watak-watak tidak terkumpul kepada Mark (sedangkan pada malam yang sama, satu komuniti kampus berkumpul). Inilah matlamat pertama filem ini yang buat aku paling mengena. Secara jelas, filem ini menggambarkan bagaimana seorang anak muda tidak ada fitrah dalam berhubung (komunikasi). Keseluruhan filem ini berkenaan hal itu (gagal untuk berhubung). Ini merupakan ironi yang paling jelas (dan dijawab pada akhir filem) apabila seorang anti-sosial (daripada perspektif orang normal) boleh mencipta sebuah media sosial yang menjadi alternatif komunikasi yang paling terulung setakat ini.

Kita kemudian mengikut masuk ke dalam bilik Zuckerberg, dibuka lampu, lantas kita sedar, satu "eureka" akan berlaku.

Tetapi paling penting, dengan segala kebijakan Zuckerberg, adakah hal ini akan membantunya menyatakan yang sebenar, apa yang dia mahu nyatakan kepada seorang yang paling dicintainya? Aku melihat, seakan ada kesamaan filem ini dengan Citizen Kane (selain daripada dua-tiga watak yang membuka cerita yang menjurus ke satu arah). Sebenar-benarnya, Citizane Kane menceritakan tentang kehilangan "innocence" dan "cinta pertama", setelah apa yang dia kecapi. Adakah perumpamaan "Erica Albright" merupakan "Rosebud" Zuckerberg? Ini yang mungkin menyebabkan Zuckerberg "seronok" dengan filem ini.

Filem ini juga sebenar-benarnya, sepertimana suara hati Fincher hendak katakan, merupakan "dunia sunyi imaginasi". Akhir filem ini, kita tidak akan memahami mengapa Zuckerberg mengkhianati kawan terbaiknya (punca yang diberi dalam filem ini kerana keuntungan syarikat, tetapi Fincher dan Sorkin tidak memberi penjelasan yang tepat dan membuka lubang akan hal itu), dan mengapa Zuckerberg tidak melawan habis dengan kembar Winklevoss. Hal-hal ini dibiarkan enigma, sepertimana persoalan pencipta sebenar Facebook itu sendiri. Tetapi paling jelas, filem ini menyatakan, Zuckerberg yang tidak pun menyedari bahawa wataknya "sunyi" dan tidak dihargai (dia mahu sangat dihargai) meneruskan suara filem sejarah yang memaparkan pemimpi-pemimpi besar yang sering-kali tidak difahami manusia, seperti Patton, Gods and Monsters, Lawrence of Arabia, dan Amadeus. Filem ini mengisi "fantasi" itu untuk menyatakan dunia-dunia karya ciptaan manusia itu indah, tetapi anda tidak akan dapat memahami kenapa ia dibina, walaupun apabila cahaya diberi dan lampu dibuka. Malah, secara sindiran, filem ini menyatakan, Facebook tetap tidak "memuaskan" Zuckerberg, walaupun pada akhirnya. Hal ini merupakan enigma yang paling menyengat.

Jesse Eisenberg yang berlakon sebagai tauke Facebook sangat tepat menangkap jiwa seorang genius yang terperangkap dalam dunia yang tidak mahu mengikut katanya. Walaupun wataknya "pelik" dan "celaka", ia memberi ruang untuk kita menyukainya. Sebagai watak "nominasi Oskar", Andrew Garfield sebagai Eduardo Saverin layak mendapat penghargaan berikut. Justim Timberlake juga tidak mengecewakan sebagai seteru Eduardo serta sang legenda Napster.

Paling aku kagum ialah runut bunyi filem ini yang menggunapakai suara permainan video 80-90an serta synthesizer yang berjaya membuah emosi benar. Malah nada lagunya membuak emosi bahawa filem ini sebenar-benarnya sebuah dunia emosi yang menakutkan dan celaru, mendekati filem seram, yang sememangnya akan dan sudah pun berlaku terhadap watak-wataknya tanpa mereka sedari.

Secara peribadi, aku tidak berapa suka dengan filem ini kerana maksud jujurnya terhadap dunia abad ke-21 yang tidak lagi mengikut prosedur dan normaliti, tetapi perubahan-perubahan yang laju dan bersikap individualiti dan kepentingan diri (rujuk satu babak, Zuckerberg dinyatakan tentang Bosnia, negaranya tak ada jalan, tetapi dah ada yang guna Facebook), tetapi sebagai pengolahan sebuah filem yang jujur terhadap makna mencipta sebuah idea tentang individualisme yang berjaya memahami realiti sosialnya, filem ini merupakan antara filem terbaik tahun ini.

23 September 2007

Zodiac- Thriller of the highest Order


Aku membeli vcd filem ini semalam di Video Ezy. Baik, ia tidak ada potongan. Sebuah filem yang patut ditonton, lebih-lebih lagi sesiapa yang menyukai Silence of the Lambs, SeVen dan filem-filem thriller sebegitu. Ini sebuah filem thriller 'of the highest order', bukan kerana bagaimana pengarah filem ini, David Fincher melakukan sebuah lagi 'Seven' (jauh daripada itu) tetapi kerana membuka pelbagai lautan spekulasi yang beraliran dan berarus, yang jika anda tidak sabar, anda juga akan mengatakan filem ini 'convulted' dan lembap. Tetapi jika anda pernah menonton JFK Oliver Stone, filem ini setaraf dengan filem itu dalam mencari 'kebenaran' tetapi ia lebih 'tone down' dan senang diikuti. malah unik untuk sebuah filem penyiasatan yang benar.


Malah, filem ini ada 'edge' All The President's Men (yang juga sebuah filem kewartawanan mencari kebenaran- jangan samakan pencarian kebenaran ini dengan Raja Petra Kamarudin kerana beliau lebih Drama Queen, yang memang sesuai dengan musim khatulistiwa kita. Dua wartawan All The President's Men adalah manusia yang berani mencengkam kebenaran, seperti mana Robert Graysmith di dalam filem ini) di mana kita dipaparkan dengan pelbagai teori, dan pelabagi 'trace of evidence' yang ditinggalkan. Dan ianya dalm kuasa si wartawan untuk mengutip setiap bukti yang ditinggalkan untuk disambung dan dipaparkan dalam sebuah garisan yang lurus.


Tetapi seperti biasa, semua kebenaran bukan satu garisan yang lurus dan tepat. Filem ini berjaya memaparkan itu, tanpa sensasi, tanpa teori yang provokatif, hanya bagaimana orang biasa seperti polis, wartawan dan orang ramai ingin menyelesaikan satu masalah dengan cara 'mundane' mereka. Sedekat sifat manusia yang anda dapat jumpa.


Sebenarnya, David Fincher juga tidak menghilangkan rasa debar, rasa ngeri setiap kali 'kita' (para penonton) merasakan si pembunuh itu ada. Walaupun babak-babak si Zodiac itu membunuh tanpa lagu yang menakutkan atau editing yang laju atau kelam (walaupun kita tahu Fincher menggunakan elemen slasher ini pencambahan babak-babak), kita merasa sangat takut. Ini adalah kerana Fincher menggunakan idea 'apa yang kita tidak lihat lebih menakutkan'. Lihat sahaja babak awal di kereta, babak tasik, babak perempuan di tengah jalan raya (ini babak kegemaran aku, babak yang sangat menakutkan - dengan biasa si perempuan tanya "apakah awak biasa menolong orang begini", kemudian pembunuh itu dengan selamba mengatakan "saya akan buang anak awak luar tingkap dulu dan kemudiannya awak saya bunuh"), babak teksi dan babak Robert pergi ke sebuah rumah kawan seorang suspek. Fincher memang, boleh dikatakan seorang 'master' dalam memberi fright, malah dalam tempat-tempat yang betul pula.


Filem ini dibarisi oleh pelakon-pelakon yang hebat. Penghormatan perlu diberikan kepada Robert Downey Jr. sebagai seorang wartawan yang pandai, angkuh, berani dan mencari sensasi, Mark Ruffalo yang penuh integriti dan emosi, dan beberapa pelakon kecil lain yang turut membawa filem dua jam empat puluh minit ini tidak tampak membosankan.


Apa yang menyebabkan filem ini patut ditonton ialah, bagaimana Fincher, walaupun membawa satu konklusi bahawa Robert Graysmith (dilakonkan dengan baik oleh Jake Gyllenhall), si penyiasat amatur sudah bergitu positif bahawa seorang suspek bernama "Lee" ini pembunuh Zodiac, filem ini membuka satu hamparan spekulatif bahawa sesiapa masih boleh jadi pembunuh bersiri itu (bukti yang paling kukuh, surat tulisan Zodiac dan suspek utama tidak sama)- memaparkan dunia di luar ini sangat menakutkan, sesiapa, jiran kamu, kawan kamu, saudara kamu punya minda yang menakutkan kerana tidak semua yang disiasat boleh dijumpai. Ini benar dengan apa yang berlaku kepada Malaysia baru-baru ini, di mana kita tidak perlulah menunding orang asing itu atau orang banduan ini sebagai suspek - kitalah pembunuh Nurin. Kita lalai. Sepertimana filem ini memaparkannya.