04 October 2015

Girlfriend Kontrak (2015)

Ia amatlah menarik untuk memerhati suatu novel picisan Barat diangkat dan kemudian disesuaikan ke dalam bentuk tempatan, hasilnya akan mengundang baik dan buruk, suatu risiko yang diambil oleh GB dan pengarah baharu, Virginia Kennedy dalam latar chic flick dan rom-com. Bahan yang diangkat itu ialah 50 Shades of Grey, dan filemnya ialah Girlfriend Kontrak.

Kita diberikan imej ini: Alisa (Nur Risteena) yang kelihatan lurus bendul, pasif, malu, dan tidak mempunyai pendirian sendiri memasuki alam moden, Barat, material dan "makan memakan" korporat apabila kelurusan bendul Alisa mendepani cermin kaca pejabat Umar (Keith Foo), Monaki (hah kau! - bangsawan) Development. Bodoh-bodoh alang Alisa sekali lagi diperuji apabila Umar, yang menyedari "kebendulan" gadis itu, membuat langkah untuk "memegang" Alisa sebagai aset dalam menyelesaikan masalah peribadi yang mengganggu-gugat dunia niaganya, ya, sebagai seorang Machiaveli yang mengikuti kekuatan kapitalisme yang tulen, Umar akan menggunakan sedaya upayanya untuk memanipulasi kebendulan Alisa.

Jika 50 Shades mempunyai alasan untuk melihat permainan tuan-hamba (S&M) dalam alusi dunia korporat antara tuan pengarah-pekerja, filem ini, dengan menarik sekali, meneliti pemerkasaan wanita tempatan dalam dunia patriaki lelaki yang serba kapitalis (hanya mencari keuntungan) dan hanya melihat wanita sebagai "barang" untuk digunakan dan dimanipulasikan untuk keuntungan peribadi dan perniagaannya (kerana filem ini boleh sahaja pergi lebih 18 dengan membuatkan Alisa ke arah kepelacuran, tetapi itu sudah terlalu melampau). Aku gerenti, dengan peliknya, penonton wanita yang ambil mudah dengan bersetuju dengan kerelaan Maya Karin dirogol oleh Aaron Aziz akan sedikit terganggu dengan tindakan dan keputusan Alisa yang "sanggup ikut" kemahuan Umar yang menghina maruahnya. Kenapa? Sebab ruang empat dinding itu sudah dipecahkan. Dalam Ombak Rindu, filem itu, dengan pelik "mengikat" Maya dengan Aaron dengan "perkahwinan sah" mengikut agama, dan menjaga aib (walaupun Maya jelas macam perempuan simpanan) wanita itu dengan ditutup dinding rumahnya. Alisa, dalam Girlfriend Kontrak diherdik, dimalukan, dan ditelanjangkan kerapuhan (vulnerability) Alisa berkali-kali di hadapan khalayak dan Alisa tetap, dengan kepala tertunduk, menyerap segala kemaluan itu atas "sesuap rezeki" dan kepercayaannya terhadap Umar untuk membantunya menyelesaikan masalah kelip-kelip berdekatan kampungnya. 

Walaupun premis ini, tampak polos dan rapuh (mana wanita yang sanggup melalui kepasifan Alisa?) tetapi perjalanan Alisa lebih mulia daripada Maya (dan hal ini boleh diperdebatkan). Ada semacam suatu keberanian pada pihak Virginia untuk memaparkan kepasifan wanita Melayu dari kampung ini, yang dibuli oleh adik sendiri dan kurang kepercayaan diri. Sedikit demi sedikit, Alisa, yang melalui suatu rutin Cinderella (atau dalam budaya kita, Bawang Merah), bukan sahaja akan mencari bestari dirinya, memperkasakan dirinya untuk berdiri dan menyampaikan perasaan dan hatinya (kita sudah masuk dalam ruang feminisme tuan-tuan puan-puan), tetapi menarik pengaruh terhadap keyakinan dirinya. Hal inilah yang menarik dan lebih mulia daripada Ombak Rindu.

Mungkin ada yang menyoal ketidaklogikan plot dan gerak dan susun babak. Terdapat juga adegan janggal, tetapi hal itu diselesaikan dengan komedi dan cara filem ini menyampaikan cerita, khususnya dengan kecelotehan Azad Jasmin dengan Keith Foo. Azad seorang fenomena dalam filem ini, mengikat filem ini sebaik-baiknya dengan kebijaksanaannya, lidah tajamnya, dan cara dia melihat dunia orang kaya orang miskin yang tidak menipu. Malah kekuatan filem ini datang daripada dialog tajam, lucu dan cepat yang disampaikan oleh pelakonnya, semuanya mempunyai makna dan disampaikan dengan tajam. Tidak pernah aku tonton sebuah filem komedi kita dengan dialog lucu setajam ini. Hal ini juga memberi dinamisme dan pembangunan antara watak dalam filem, dan hal ini dibuat dengan seselamba dan secepat mungkin. Lihat sahaja babak Azad yang tidak mahu menaiki bot, dengan menyatakan "Saya nampak macam Banana", ia bukan sahaja dialog lepas memberi alasan tetapi suatu pemerhatian tuan-pekerja (sebelum itu, Azad sudah nyatakan, "Tidak ada sesiapa yang kata tidak kepada Umar") yang melihat bagaimana pekerja juga dapat memanipulasi tuannya. Dan hal inilah, yang sedikit demi sedikit, kita menyedari, akhirnya, bentuk rigid, keras, dan objektif material dan kapitalisme juga boleh tunduk dengan kemanusiaan dan kelemahan manusia terhadap manusia lain, dan ini disampaikan dengan baik sekali oleh filem ini.

Semua pelakon berwibawa, malah pelakon baharu (sebelum ini dia berlakon dengan nama lain) Nur Risteena Munim tampak cerah untuk menjalani dunia heroin Malaysia. Keith Foo yang kelihatan gempal sedikit juga begitu, mungkin tampak sedikit kurang serasi dengan Risteena (kerana perkembangan mereka untuk bercinta itu kurang ditampakkan dan berjaya meyakinkan aku) tetapi usahanya menyampaikan watak jutawan muda, dengan hidupnya yang serba laju, berbudaya dan penuh drama dalam kalangan keluarganya, tampak hidup dan mengganggunya. Mereka turut dibantu oleh pelakon lain, termasuk Fara Fauzana (agak biasa namun menarik melihatnya mencuba) dan Bront Palarae yang terlepas juga jari tengahnya.

Filem ini amat dibantu oleh busana dan penataan seni yang berguna (functional), ditunjangi dengan kumpulan produksi yang membuat filem ini tampak baik dan sedap dipandang. Sinematografi Wan Chun Hung baik dan memanipulasi ruang dan latar dengan sempurna dalam babak-babak kampung, yang mulanya menyiarkan kesuciannya, dan kemudian mood romantiknya. Babak dunai moden dan pejabat juga baik, walaupun ada permasalahan dari segi duduk letak ruang dan sudut dalam beberapa babak, yang mungkin cuba diperbaiki sebaik mungkin oleh Kate James sebagai penyunting. Bunyi dan muzik latar Addaudio juga amat membantu, dan menjalankan kerja membuat filem komedi ini tidak tampak bodoh dan slapstik, tetapi cukup sederhana meletakkan mood dan ruang cerita.

Sinema filem ini, yang menaraf pada jalan fantasi dan komedi romantik, berjaya juga memberikan imej sinema yang sepatutnya, dan kemungkinan susah untuk dipukul oleh filem-filem seterusnya (kita lihat nanti) apabila meletakkan sebuah porche laju menghalang sebuah bas kampung di tengah jalan kampung di tepi kawasan kampung. Imej itu sudah cukup menyatakan, kita sudah bersedia dengan filem yang baik dan menyeronokkan. 

Klasifikasi Girlfriend Kontrak: P13, terdapat lawak yang mencadangkan homoerotik dan seks yang memerlukan bimbingan penonton yang belum matang.
DITONTON DI TGV Wangsa Walk.

No comments: