13 February 2014

Kami Histeria(2014): Suam-suam Kuku Langsuir

Jossie and the Pussycats bertemu Wishmaster versi Rafidah Abdullah.

Shamyl merupakan orang baharu yang banyak menghasilkan telefilem dan drama untuk Red Communications. Seperti yang kita sudah sedia kenal dengan filem titipan Rafidah, dengan bantuan Shamyl, membawakan filem berkenaan anak muda yang cuba meletakkan diri mereka di atas peta, melalui cara-cara (yang mungkin) salah.

Gaya pembawaan Shamyl baharu dalam dunia tempatan, dengan tempelan bunyi dan CGI yang tiba-tiba, mengingatkan kita dengan gaya pop-maya Edgar Wright, atau adik tiri Joseph Kahn. Efek ini sudah tentu mengikut "fokus penonton", yakni budak-budak universiti dan sesiapa yang suka warna-warna cantik atau perempuan muda-cantik (termasuk lesbian) dan lelaki muda-cantik (yakni Izzue Islam). Cerita senang ini bermain dengan moral zaman tuk kaduk dahulu tentang, "Jangan main benda yang kita tidak tahu."

Benda yang kita tidak tahu menjelma dalam bentuk Nur Fazura yang sungguh menggiurkan, kita tidak risau jika Fazura (atau Cik Lang) nak buat apa dengan kita. Fazura memberikan suara soprano (ini siulan orang Barat yang tiba-tiba tersesat dalam filem Melayu, nice job guys) paling tasteful dalam sejarah filem Melayu, kalah Azman Abu Hassan dalam Femina. Suara "berhantu" itulah yang membuatkan grup muzik lima gadis Melayu itu "meletop" tiba-tiba. Kelakar dan kekalutan menyirap sehingga akhir.

Filem ini filem "bertih jagung", seronok, cepat, ringan, dan rangup. Aku mempunyai syak bahawa Rafidah sengaja buat filem bodo-bodo sempoi ini untuk menyelar keadaan industri filem tempatan sekarang yang kehausan mencari penonton (seperti girl band ini mencari penonton) dan terperangkap dengan janji-janji manis seekor hantu (pembikin memilih untuk membikin filem hantu-tahyul) untuk cepat dikenali. Menariknya, terdapat perlambangan yang jelas dalam empat orang itu (yang nama pembikinnya tak elok disebut) dan lebih penting, terdapat semangat tinggi untuk mereka menghasilkan seni (perlambangan pembikin filem muda) yang mahu tidak mahu, terpaksa terperosok menyunting unsur populis (atau disyakki popular) untuk mempopularkan diri. Alah, perlambangan ini sahaja amat berkaitan dengan perangai ahli politik kita.

Afdlin Shauki menjadi "berhala" yang disembah pula oleh Cik Lang, membawa suatu persoalan paradoks yang menarik. Adakah Afdlin jawpaan kepada pautan filem lama (gaya Cik Lang) dengan filem baharu (gaya band itu) atau Afdlin terbikin filem hantu bodoh (maaf Afdlin) atau Afdlin kelakar atau Afdlin gemuk? Perkara ini sesuai dianalisis oleh anak-anak murid filem kelolaan Prof. Razak Mohaideen dalam suatu wacana akademik yang serius.

Runut bunyi Loque dalam filem ini membawa sinar yang mensirna semua bentuk lagu entah apa-apa yang berlaku dalam industri kita. Loque ialah cahaya harapan industri kita, harapan yang dulu aku letakkan kepada M. Nasir, nampaknya pancarannya di situ (Songlap juga dia sudah membuktikannya).

Kesemua pelakon melakukan peran sebagai yang sepatutnya untuk watak, khusus lima watak utamanya yang mencuit dengan pelbagai karakter dan sisi yang dijelmakan. Persoalan wanita berdiri atas kaki sendiri (untuk menyelesaikan masalah) dengan mengheret seorang lelaki "besar" memang kelakar dan menarik. Izzue biasa dalam filem ini (namun entah berapa banyak perempuan di kelilingku yang mencuit-cuit baju kurung kawannya di sebelah setiap kali dia muncul) dan Diana Danielle menyelerakan (ops, isteri orang).

Filem komedi remaja yang ringan dan menghiburkan.

Klasifikasi Kami Histeria: P13, Terdapat babak "seram" dan ganas yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Mid Valley. 

1 comment:

indraputra said...

Akhirnya. :)
Betul Fadz. Lagu2 dalam filem ni best lah. Fresh. Tapi, adakah suara Diana Danial yang betul atau di programkan. Sbb daripada lagu yg dia nyanyi untuk MUZIKA tu, saya memang tersangat suka cara dia nyanyikan lagu-lagu dalam filem ini. Ada soul yang saya rasa mesti dalam kawalan/pengarah Loque dan hasilnya kedengaran santai...tidak terpaksa mengeluarkan suara.
Pada saya, cerita ini tiada cacat celanya. Terutama sekali pemilihan Fazura untuk watak Cik Lang. Tak sangka dia berjaya menjelma menjadi Kiah Pekasam versi sangat cantik...:p Next jangan lupa filem SEJOLI plops...take care Fadz.