17 February 2014

Cuak(2014): Representasi Refleksi Diri

"Adik aku, dia bernasib baik." - Tony Eusoff



Mungkin, ada perkara-perkara yang kita perlu tonton filem kita dalam kaca mata tempatan. Pak Hassan pernah mengajar aku bahawa dalam bahasa filem, apabila watak dalam sesebuah filem merenung cermin, itu petanda buruk yang akan berlaku terhadap watak itu (rujuk yang paling menarik, Taxi Driver, atau dalam filem kita, Chermin). Namun apabila aku tonton beberapa filem Melayu, aku menyedari ada pandangan yang berlainan yang lebih khusus dalam alam keMelayuan. Melayu sentiasa mementingkan sikap mengenal diri sendiri. Refleksi diri. Dalam Femina, watak Erma Fatima merenung cermin, bercakap dengan bayang-bayangnya, dan tiba-tiba, bayang-bayang cerminnya bercakap-cakap dengannya. Suatu "refleksi" disampaikan, lantas Erma mempunyai kekuatan pendirian. Optimisme dan harapan berlaku. Jika kita tonton Songlap, ada suatu babak cermin yang sangat menarik, Norma Damanhuri yang berlakon sebagai "ibu" Syafie melihat dirinya dalam cermin tetapi tidak pernah benar-benar memerhatikan dirinya dalam cermin. Cermin itu menjadi ruang imbasannya untuk melihat Syafie. Watak Norma menolak untuk merefleksi diri, dan secara ironi, Syafie melakukan hal itu untuk ibunya (babak ini semenarik babak gelap East of Eden apabila James Dean menghadapi ibunya).

Mungkin manusia Malaysia banyak memerlukan muhasabah diri untuk bergerak seterusnya dalam kehidupan.

Aku suka filem ini kerana memainkan persoalan besar ini. Satu lagi ialah persoalan kahwin. Kahwin ialah suatu metafora yang amat penting dalam filem Malaysia (rujuk The Journey untuk ini). Tragedi dan pencapaian klimaks kebahagiaan amat mendekati fenomena ini. Aziz M. Osman sudah cuba melakarkan maksud besarnya dalam beberapa siri filem "pengantin"nya (yang terbaik ialah Gila-gila Pengantin Remaja). Perempuan, Isteri & .. serta ... dalam Botol melakarkan situasi tragedi apabila keadaan ke jinjing pelamin itu tidak berlaku. Filem sekecil Tuan Badul pun faham apabila kenduri kahwinnya menjadi suatu farsa yang besar.

Dalam filem ini, "perkahwinan" itu dalam beberapa minit/jam akan berlaku. Adam (Ghafir Akbar) memandang cermin (wataknya akan memerhatikan cermin dalam dua babak berbeza) lalu bermonolog tentang pilihannya. Dalam masa sama, Brenda (Dawn Cheong) sedang disolek, juga memerhati cermin, tapi Dawn tidak bermonolog. Kelihatan, dia sudah bertekad. Hanya, kawannya, Nurul yang mengganggu kesedarannya.

Filem ini tidak bergerak klise, seperti sebuah filem garis lurus "nak kahwin" dengan kebiasaan struktur tiga arca (walaupun kehadirannya jelas ada). Filem ini ditonton seperti menonton 12 Angry Men, suatu kes dihadapkan, dan kes itu dibuka dalam beberapa persepsi, seperti suatu peta minda yang besar tentang satu kata kunci. Dalam filem ini, terdapat lima peta minda yang mengikat persoalan pilihan Adam-Brenda. Setiap persepsi ini ialah suara psikologi dan kecelaruan Adam-Brenda untuk meneruskan perkahwinan. Kenapa persoalan kahwin sekali lagi? 

Di sini, aku melihat, kehadiran Khairil dan kawan-kawan pengarah-penulis skripnya (setiap satu menggerakkan sebuah segmen, yang juga menulis skripnya) menggarap suatu metafora "kahwin=kebahagiaan" yang lebih besar daripada maksud sebenar. Kahwin di sini bermaksud memasuki alam kematangan, melangkaui proses kematangan diri (watak refleksi Abdul Qahar[?] yang dikatakan lelaki bosan selepas berkahwin menyampaikan maksud ini, yang akan menjadi Obi Wan Kenobi terhadap watak Adam nanti). Apakah kematangan yang diperkatakan. Apakah Adam dan Brenda dapat hidup aman selama-lamanya, dengan cabaran generasi baharu, dengan isu sekitar yang makin moden dan mencabar? Hal ini sendiri merefleksi bukan sahaja keadaan sekitar dan bagaimana anak muda seperti Khairil (dan aku?) boleh cuba mengubahnya, atau beroptimis dengannya, tetapi sikap industri filemnya sendiri yang makin mencabar orang sepertinya untuk membikin filem. Refleksi ini dilakukan agar Khairil, Lim, Manesh, Tony, dan Shaimaine melakukan suatu proses muhasabah tentang perlu atau tidak perlunya mereka untuk mematangkan diri, untuk membikin lagi filem. Hal inilah dengan sengaja, Adam dan Brenda akan bersemuka, tetapi suatu persoalan besar akan dibiarkan. Persoalan ini sebenarnya diletakkan di atas bahu penonton untuk "menjawab" jika Adam dan Brenda perlu kahwin, jika Lim dan kawan-kawannya perlu ada dan dapat menikmati "kebahagiaan" di persada wayang. Dengan dua tangan aku, aku melambai dengan thumbs-up, silakan, datang ke layar kami dan teruskan perjuangan itu, Lim, Khairil dan kawan-kawan!

Ini kerana terdapat beberapa isu semasa Adam-Brenda yang mencuitkan, khususnya segmen "pergaduhan" antara Adam-Brenda yang aku kira paling baik dilakukan. Dua watak itu bukan hanya dua watak talking heads yang kita tonton dalam drama, tetapi terasa gerakan cerita, syot dan naratif yang bersepadu. Kita teliti betul-betul bagaimana dekat, dan kemudian merengganggnya sosok Adam dan Brenda. Paling menarik, isu azan yang dikumandangkan menempelak sikap golongan liberal Melayu terhadap hal keterbukaan! Dan untuk hal ini dibuat, aku dan kawan aku menepuk tangan kuat-kuat kerana pembikin berani mengutarakan isu berat ini dengan selamba tanpa perlu dibuat-buat. 

Babak footaj dijumpa yang drakamkan oleh Adam juga menarik untuk memasuki sisi gelap psikologi Adam-Brenda-Nurul. Perhati betul-betul dan kita akan menyedari watak Nurul (Ani Juliana Ibrahim) sengaja membenci kamera. Adam dan Brenda menghadapi atau melepaskan pengakuan mereka seperti air (di sini sahaja sudah ada tanda tentnag perhubungan Adam-Brenda-Nurul bagaimana yang akan berlaku). Menarik di sini, kamera juga "cerminan diri". Nurul sekali lagi sedang menggosok gigi dengan tidak bermaya, memarahi Adam. Dalam babak klimak segmen ini, kamera tiba-tiba secara falasi merakamkan Adam membelakangi cermin. Dan Nurul menghadapi cermin tetapi tidak merenung cermin. Jiwanya sampai, dan Adam memerlukan "ruang" lain untuk diisi. Maka berbaloikah Brenda?

Segmen bersama-sama Pratrick Teoh merupakan segmen kelakar bodoh yang menyeronokkan, yang mana kita sudah tahu apa pilihan dan tekad Adam.

Aku agak terganggu dan tidak menyenangi babak percubaan noir Tony Eusoff sebagai abang Adam untuk merefleksi pilihan Adam dan kesilapan dirinya sendiri membuat pilihan. Aku tahu, mungkin semua yang kita tonton itu hanya sesi terapi Tony yang "hilang akal" maka beberapa keadaan sengaja celaru, namun gerakan ceritanya yang menghampiri klimaks, malah klimaks Tonylah yang sebenarnya menjawab kesudian Adam-Brenda bertaut dilakukan dengan sangat picing, ia kelihatan "palsu" dan dibuat-buat. Ini agak menyedihkan kerana percubaan cerita ini yang sudah membina intrig yang menarik untuk diikuti digagalkan kerana suatu klimaks yang tidak berapa menjadi. Nasib baik, klimaks Patrick menyeronokkan.

Suara filem ini berbunyi indie, dan filem indie seharusnya sudah mula berubah dengan teknik yang lebih baik. Sinematografinya menarik dan memahami bentuk dan gaya warna filem. Penyuntingan juga baik, dengan membuatkan kelima-lima segmen filem ini tidak kelihatan plastik atau merenggang, dan memautkan penceritaan naratifnya dengan baik. Penonton yang tidak biasa, seperti mereka yang tidak biasa dengan Cloud Atlas yang melompat-lompat bercerita tentu kurang enak dengan pengalaman ini. Namun pengalaman ini suatu pengalaman wayang yang menarik untuk sesebuah filem Malaysia, berani melangkau sesuatu yang segar.

Kehadiran teraju Ghafir dan Dawn amat dipuji, menyampaikan dengan baik beberapa sudut lakonan yang matang dan selamba. Aku lebih-lebih lagi menyenangi Dawn yang memahami gerak watak dan kelebihan lakonannya. Dia telah menyampaikan suatu dinamisme sudut emosi yang pelbagai dalam keadaan dan konflik tertentu. Dawn merupakan pelakon yang perlu dilihat pada masa hadapan. Pengarah yang pandai akan dapat membentuknya sebagai Meryl Streep kita suatu masa nanti. Ghafir menarik, dan ada babak-babaknya, lakonannya sungguh mengagumkan, namun ada babak yang Ghafir memerlukan sedikit faktor-X.

Secara keseluruhan, filem indie ini antara filem Malaysia menarik yang keluar pada tahun ini.

Dan ya, jangan lupa selepas kredit terakhir buat mereka yang menunggu untuk suatu kejutan menarik.

Klasifikasi Cuak: 18, Terdapat dialog lucah dan sikap kebaratan yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.
DITONTON DI TGV, Wangsa Walk. 

1 comment:

Muhammad Za'im Mohamad Yusoff said...

Ulasan saya tentang filem "Cuak"

CUAK YANG MENEMPELAK

http://zaimterbang.blogspot.com/2014/02/ulasan-filem-cuak-2014-cuak-yang.html